Home Novel Cinta REEV
Bab 19

19

Aku menghela nafas yang panjang di salah satu pondok rehat yang disediakan di sepanjang tebing Sungai Pahang yang lebih dikenali sebagai Riverfront. Hari Ahad begini bandar Diraja ini memang sibuk sekali. Maklumlah, jam baru melewati pukul sepuluh pagi. Ada yang keluar untuk ke pasar dan membeli-belah. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk beriadah bersama keluarga. Aku pula ke lokasi yang semakin menambat hati pengunjung ini kerana mempunyai janji temu dengan seseorang. Seseorang yang tidak aku kenali. Namun, patut aku temui kerana individu itu sedang memegang kunci kebebasan adikku yang bernama Azran. Memang benarlah telahanku kelmarin. Azran terlibat dengan pergaduhan. Kerana satu provokasi dia bertindak diluar kawalan hingga merosakkan kenderaan individu tersebut. Buat kesekian kali aku mengeluh mengenangkan sikap baran tak bertempat si Azran. Aku melirik jam ditangan. Pertemuan ini diaturkan oleh Azran sendiri. Aku yang memujuknya supaya menghubungi individu yang ingin dirinya dikenali sebagai Mr. Reev. Bangsa apakah dia? Bagaimana rupanya? Mungkin kerana terlalu terkejut dan marah mendengar penjelasan Azran kelmarin membuatkan aku terus lupa untuk bertanya. Pagi ini apabila Azran menyatakan keinginan untuk ikut serta menemui lelaki itu, aku menegah. Bimbang barannya datang kembali. Walhal aku mahukan perbincangan ini nanti berjalan dalam suasana yang tenang. Silap hari bulan aku mampu memujuk lelaki itu supaya menyelesaikan isu itu secara baik dan damai. Sekali lagi aku mengerling jam ditangan. Sudah hampir setengah jam aku menunggu. Suasana hening yang redup dan berangin menyebelahi penampilanku tatkala ini yang mengenakan sepasang baju kurung Kedah. Sebenarnya pada tengah hari nanti aku akan menghadiri sebuah majlis perkahwinan salah seorang staf dipejabat. Mengetahui aku bakal menolak jemputannya, Rina yang bertugas dijabatan akaun awal-awal lagi merayu agar aku bersetuju untuk hadir. Gadis itu berharap benar teman-teman sepejabat hadir kerana menurut Rina bulan ini merupakan bulan terakhir dia berkhidmat dikilang sebelum mengikuti suaminya berhijrah ke luar negara. Oleh kerana tidak mahu menghampakan permintaan gadis ayu anak jati Pekan itu, aku akur. Lagipun Rina itu agak mesra orangnya walaupun sedar dengan kisah hitam yang terpalit pada diriku ini. 

"Kakak Azran?" buat sesaat aku terpana. Suara yang dalam dan sedikit garau mencantas lamunan panjangku sebentar tadi. Aku mengangkat wajah. Terkedu melihat lagak seorang lelaki berkulit sawo matang yang sedang berpeluk tubuh berjarak kira-kira lima kaki dari kedudukanku ketika ini. Aku bingkas bangun. Beg galas yang dikepit dibawah ketiak  dikemaskan ke tubuh. 

"Ye, saya. Err.. Mr. Reev ke?" soalku. Lelaki itu tidak menjawab. Hanya menyoroti pandangannya kearahku. Aku meneka sahaja memandangkan sepasang mata milik lelaki itu tidak kelihatan kerana terlindung disebalik kaca mata hitam yang dipakai. Buat beberapa ketika kami cuma mendiamkan diri. Lidahku terasa kelu. Padahal sejak berada di dalam perut bas tadi aku menghafal beberapa rangkap kata untuk dituturkan kepada lelaki itu. Entah ke mana semuanya menghilang sebaik wajah serius itu menyapu pandangan. Aku mara beberapa tapak ke hadapan. Sambil berdehem kecil aku cuba memberanikan diri untuk bersuara. 

"Mr. Reev..." 

"Sah adik kau tak bagitahu perkara sebenar, kan?" kami bertutur secara serentak. Namun, kenyataan lelaki itu lebih mendapat perhatianku daripada hajatku sendiri. 

"Maksud encik?" soalku tanpa membuang masa. Lelaki itu pula mara setapak. Meninggalkan jarak kira-kira sekaki sahaja diantara kami. 

"Aku mintak bapak kau datang untuk berbincang. Bukan orang rumah macam kau ni." Perghhh!!! Berdesing telinga aku mendengar cercaan tersebut. Dada yang tenang sebentar tadi berombak kencang. Aku pasti roman wajahku jelas dengan garis-garis keberangan. Biadap! Tapi, bagaikan angin lalu aku paksakan amukan itu dipendamkan kembali. Hisy, patutlah baran adik aku tu datang. Kalau macam ni sikap lelaki itu bila-bila masa aku pun boleh meletup. Tapi, ingat! Azran boleh disumbat ke dalam penjara jika aku mengikut kata hati saat ini. Aku menggenggam kuat buku lima disisi. Sebal hatiku mahu berlama disitu. Namun aku harus bertahan demi masa depan Azran. Aku menelan air liur. Susuk lelaki itu sememangnya tinggi lampai. Apabila aku memandang ke hadapan apa yang aku dapati hanyalah sebidang dada milik lelaki itu yang mengenakan tshirt dengan potongan leher berbentuk V. Aku harus mendongakkan kepala untuk berbalas pandang dengannya. Sungguh aku tidak gemarkan kedudukan begitu. Akhirnya aku melangkah setapak ke belakang. Sambil menarik nafas yang panjang aku bersuara kembali. 

"Selama ni saya yang jaga kebajikan adik saya. Encik boleh bercakap dengan saya walaupun tanpa kehadiran ayah kami." tuturku penuh diplomasi. Aku berharap benar lelak itu dapat menerima alasan dangkal itu. 

"Buang masa.." itulah yang aku dengari sebelum lelaki itu bertindak menjauhkan diri. Aku tergamam buat seketika. Eh, aku belum habis bercakap lagi! Kacau-bilau aku mencari susuk lelaki itu yang sedang maju kearah tempat parkir. Aku membuka langkah seribu meskipun sedar keterbatasan pergerakanku di dalam pakaian yang dikenakan. Aku harus cepat sebelum lelaki itu beredar. Peluang untuk bertemu lagi barangkali tipis. Mungkin setelah mendengar penjelasanku sebentar lagi dia mampu membuat pertimbangan yang bersifat ihsan. Aku melihat Mr. Reev menghampiri sebuah kereta sedan berwarna putih. Dadaku berdebar kencang memikirkan kesempatan yang bakal lupus. Aksiku yang sedang berlari anak mengejar sesuatu menarik perhatian beberapa pasang mata. Aku abaikan pandangan dan sorotan mereka. Lelaki itu lebih penting dari rasa malu yang aku rasai ketika ini. 

"Nanti, encik.." tuturku dalam nafas yang tercungap-cungap. Bibirku masih mampu menguntum senyuman yang kecil mengenangkan usahaku yang tidak sia-sia. Hujung baju lelaki itu aku genggam dengan kemas. Kepalaku ditundukkan sambil mata rapat terpejam. Aku tahu aksi aku ini terlalu berani. Namun, aku enggan biarkan lelaki itu terlepas lagi. 

"Kami tak ada ayah.. Sebab tulah saya yang bertanggungjawab atas apa sahaja yang terjadi." ujarku perlahan sekali. Pengakuan itu sesungguhnya sesuatu yang perit untuk aku lahirkan. Hampir dua puluh tahun perkara itu dipendam jauh ke dalam lubuk sanubari. Selama itu jugalah belum pernah aku ungkitkan perkara itu. Jiwaku bagai disiat-siat. Luka yang membaluti seketul hati ini terasa berdarah kembali. Mataku kejap dirapatkan. Walaupun perasaan sedih itu sudah tiada, rasa hiba tetap berkeliaran apabila terkenangkan lelaki bernama ayah itu. 

"Maksud kau?" soal lelaki itu tanpa berpaling. Aku menelan air liur. 

"Dia.. Tak ada. Tak ada dalam hidup kami anak beranak." sahutku perlahan. Cukuplah penerangan pendek itu buat lelaki tersebut. Aku tahu aku tidak mungkin mampu menghuraikan ia dengan panjang dan lebar. Saat itu juga Mr. Reev memusingkan tubuhnya. Genggaman tanganku pada bajunya yang semakin longgar sejak tadi terlerai. Kedudukan kami bertentangan sebagaimana ditebing sungai tadi. Cuma, jarak itu makin rapat dan dekat. 


Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa