Home Novel Cinta REEV
REEV
Kay Zaaraa
4/8/2019 07:58:49
2,663
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18

18

Seperti biasa aku menghampiri van kilang yang sedang menunggu di lapangan parkir. Aku menjenguk dicelah-celah pekerja kilang yang sudah ramai memenuhi tempat duduk di dalam kenderaan tersebut. Buat seketika, masing-masing memberikan tumpuan kepadaku. Fokus itu tidak mengalihkan pemerhatianku yang hampir kepada perasaan hampa. Susuk Azran tidak kelihatan. Aku memerhati pula keadaan sekeliling yang sibuk dengan sekelompok pekerja yang berpusu-pusu turun dari bas dan van untuk masuk berkerja dan sekelompok yang lain pula untuk pulang. Hingar-bingar dan bingit bunyi hon kenderaan yang memanggil ahlinya untuk tidak berlengah-lengah memenuhi segenap ruang. 

"Adik kau ke kedai runcit. Katanya sekejap aje. Tapi dah lebih lima belas minit." maklum Daud yang tiba-tiba sahaja muncul disebelahku. Aku tersenyum tipis kearah pemuda yang sebaya usianya denganku itu. 

"Takpelah. Aku pergi tengok. Nanti bila dah cukup orang kau gerak dulu dan ambil kitorang dekat depan tu." arahku seraya memulakan langkah. Tiba sahaja di luar pintu pagar utama, aku menemui Azran yang sedang berdiri dibahu jalan sambil bercekak pinggang. Niat yang nakal tiba-tiba tercetus. Senyap-senyap aku mendekati susuk tinggi nan kurus itu. Namun, belum sempat aku berbuat apa-apa, Azran terlebih dahulu berpaling. Bulat mataku sebaik bertentang mata dengannya.

"Kenapa ni, Aran? Apa dah jadi?" soalku sebaik mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena. Dengan wajah keruh dan rambut yang tiba-tiba kusut masai sudah pastilah sesuatu telah terjadi sebelum aku tiba disitu. Azran membisu seribu bahasa. Reaksinya sebentar tadi juga sama. Terkejut melihat aku berada dibelakangnya. Tetapi, sebentar sahaja. Saat ini air muka yang kacau itu belum mampu diusir dari wajahnya.

"Aran! Kenapa ni?" tanyaku lagi. Suara yang keluar kedengaran cemas. Aku berkalih pandang. Melihat sekujur tubuh itu atas dan bawah. Walau seinci tidak aku alpa untuk perhatikan. Aku sedang mencari bukti. Tiada yang bermain dalam fikiranku saat ini melainkan pergaduhan telah berlaku antara Azran dengan seseorang. Tetapi, satu kesan lebam pun tidak kelihatan. Betulkah andaianku itu? Boleh jadi salah. Habis tu? Apa sebenarnya yang berlaku?

"Hisy, geram pulak aku! Apa dah jadi, Ran? Baik kau cakap sekarang!" Aku mengherdik dengan perasaan geram. Satu demi satu van yang melewati pintu pagar itu tidak aku hiraukan. Aku sedar para penumpang di dalamnya sedang memerhatikan kami. Namun, tiada masa untuk aku berselindung dan berpura-pura. Keadaan Azran ketika ini amat merisaukan. Azran pula masih enggan berbicara. Diam membatukan diri dan memandang kearahku dengan pandangan yang penuh dengan kekesalan. Aku bosan. Geram dan tidak sabar. Akhirnya kedua belah tangan memeluk tubuh. Boleh jadi dengan cara ini aku dapat mengawal sedikit perasaan marahku kepada Azran. Juga dapat menahan diriku daripada berkasar kepadanya. Aku menarik nafas yang panjang. Hati kecil membujuk supaya bertenang dan memberi tempoh kepada Azran. Barangkali Azran masih dalam fasa terkejut. Aku mengangguk sedikit kepada Azran. Memberi isyarat aku fahami keadaannya. Pada masa yang sama van kilang yang dipandu oleh Daud tiba. Tanpa sebarang bicara kami masuk dan mengambil tempat yang telah dikhaskan kepada kami. Iaitu dibarisan paling belakang. Sepanjang perjalanan aku memerhati keadaan Azran dengan ekor mata. Dia kelihatan termenung jauh. Entah apalah yang sudah berlaku hinggakan ia memberi kesan yang cukup mendalam kepada Azran. Kasihan pula aku kepada Maya, teman sekelas Azran yang turut berkerja di kilang. Sedari tadi gadis remaja itu tertoleh-toleh ke belakang. Mungkin cuba menarik perhatian Azran kepadanya. Tetapi tidak berhasil. Aku tersenyum kelat kepada gadis itu yang jelas tertanya-tanya akan keadaan Azran. Aku menjungkitkan kedua belah bahu. Tiada penjelasan yang mampu aku berikan kepada gadis itu kerana aku juga sedang buntu. Aku menjeling kearah adikku lagi. Ikutkan hati, ingin sahaja aku mengasaknya kembali. Bersoal jawab dan diberikan jawaban. Barulah puas hati aku. Tetapi, tidak sampai hati pula. Lagipun situasi ketika ini tidak sesuai. Tak mungkin aku mahu isu itu turut didengari oleh sebahagian penumpang yang lain. Tak pasal-pasal mereka mengetahui status kami berdua. Keakraban hubungan aku dan Azran kini disalah tafsir pula. Berhempas pulas aku cuba menyembunyikan status kami, kini Azran digelar 'anak ikan' pula. Meluat aku mendengarnya. Tetapi, tidak Azran. Gembira diberi jolokan sebegitu. Katanya terimalah sebarang akibat kerana kedegilanku sendiri. Ah, apa sajalah! Perjalanan kian menghampiri destinasi. Aku mencuit Azran tatkala melihat adikku itu masih hanyut dalam lamunannya. Azran sedikit tersentak. Namun segera bangkit setelah menyedari aku sudah turun dari van tersebut. Usai mengucapkan terima kasih kepada Daud kami berjalan pulang. Keadaan agak mendung ketika ini. Awan hitam yang tebal sedang berarak. Nak hujan lebat ni, desis hati kecilku. Sesekali aku melirik kearah Azran yang seperti patung bernyawa. Masih membisu dan jauh mengelamun. Langkahku longlai mengenangkan bebanan apa yang sedang ditanggung oleh adikku itu. Hati kecil mencari-cari kata-kata yang jauh dari api kemarahan. Tetapi tidak berhasil. Setelah tiba di laman Tok Wan aku merasakan satu cuitan dibahu. Aku segera berpaling.

"Kak long, macam mana kalau aku masuk lokap?" Dummm! Bunyi petir yang agak kuat mengiringi apa yang sedang aku rasakan saat ini. 


Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa