Home Novel Cinta REEV
Bab 22

22

"Gila ke?" desisku dengan suara yang diperlahankan sehabis mungkin. Sepasang mata nan tajam seperti helang itu aku renung dengan perasaan tidak percaya. Wajah yang sedikit cengkung berlabuh ke tempat lain setelah beberapa saat menyapu pandanganku. Aku juga mengalihkan pandangan. Sudahlah perlu bercakap dengan keadaan berbisik-bisik, harus pula duduk dengan jarak yang agak rapat. Kenapalah rasa was-was tadi bulat-bulat aku tolak ke tepi. Sepatutnya aku dah boleh agak. Tentu ada udang disebalik batu. Tak mungkin dengan mudah dia nak lepaskan Azran. Sedangkan di awal pertemuan tadi lelaki itu liat semacam mahu berbincang dengan aku. Alasannya kerana aku bukanlah individu yang mahu ditemuinya. Sekarang, aku terperangkap pula dengan rancangan tak masuk akalnya itu.

"Dekat bandar, kau yang aku kenalkan sebagai girlfriend." tutur Mr. Reev sambil mendekatkan wajahnya dekat kearahku. Aku menjauh. Susah payah aku menjaga air muka di majlis orang, tiba-tiba dia muncul untuk mengheret aku dalam rancangannya yang aku sendiri kurang pasti apa tujuannya. Tadi, sebelum melangkah masuk ke dewan tiba-tiba sahaja lelaki itu muncul dengan penampilan yang baharu. Hilang penampilan yang serabai sebentar tadi. Diganti dengan sehelai kemeja berlengan panjang berona merah hati yang dilipat hingga ke siku dan sepasang seluar khakis. Hanya satu yang masih setia melekap pada lelaki itu. Sepasang kasut sukan berwarna putih itu. Entah dari mana dia dapat persalinan baharu ini enggan aku ketahui. Sebaik melangkah ke dalam grand ballroom, aku perasan banyak mata yang memerhati dengan penuh minat. Mata-mata yang seringkali aku temui dikilang. Aku pasti tentu ada yang ringan mulut mahu merisik khabar akan gerangan lelaki yang berada disampingku ketika ini. Aku sendiri tiada klu yang tepat akan butiran lelaki itu. Tuturnya disusun penuh berhati-hati. Identitinya juga masih samar dan misteri buatku. 

"Kenapa perlu jumpa diorang lagi? Kan tadi dah jumpa." ujarku memecahkan keheningan diantara kami. Disekeliling, bunyi muzik yang berpadu dengan suara seorang penyanyi jemputan khas kedengaran meriah dan gamat. Namun, hanya kami berdua yang merasai betapa tegangnya ruang yang sedang memisahkan kami saat ini.

"Tugas kau berdiri sebelah aku. Tak payah bercakap apa-apa. Mungkin sepuluh minit atau lima belas minit. Mungkin lebih." jawab Mr. Reev tanpa merapatkan jarak seperti sebentar tadi. Aku bungkam. Renunganku jauh ke depan. Aku sedar mereka yang berada di meja bulat ini pasti hairan melihat telatahku. Mujurlah aku sengaja memilih meja yang tidak diduduki oleh staf yang lain. Terdapat sepasang suami isteri berserta anak-anaknya sahaja di meja ketika ini. Hampir lima belas minit menikmati hidangan yang sudah tersedia di atas meja aku merasakan satu cuitan kecil dibahu. Namun cukup untuk buatkan aku terperanjat. Wajah selamba Mr. Reev memandangku tanpa riak bersalah. Dia memberikan isyarat mata yang menandakan pelan yang dirancang akan bermula. Aku berbuat tidak endah. Sakit hati diperlakukan seperti sebiji bola yang ditendang ke sana ke mari bermaharajalela dalam diri. Cawan minuman aku capai. Seteguk dua aku telan dengan perasaan geram. Rasa kenyang masih jauh untuk digapai. Tetapi seleraku makin hampir kepada penghujung. Macam mana mahu makan dengan tenang dengan adanya lelaki ini disisi. Pertemuan yang aku rancang sepatutnya berlangsung tidak sampai sejam berlanjutan hingga ke saat ini. Hisy! Kacau betul!

"Jom..." kata Mr. Reev lantas berdiri. Aku turut sama berdiri. Tetapi disebabkan terpaksa. Kerana tangan lelaki itu sedang mencengkam dengan kemas pada bahagian siku kiriku. Tidak hanya alunan keroncong yang kuat bergema di cuping telingaku ketika ini, debaran dadaku sendiri dapat aku dengar dengan kuat. Mataku sudah tertonjol keluar. Aku pasti mata yang memandang sejak mula aku masuk ke dewan kembali menumpukan perhatian mereka terhadapku. Terkocoh-kocoh langkah yang aku ambil akibat dipaksa untuk beriringan dengan lelaki itu. Kecil bola mataku melihat tangan sasa itu melingkar di bahagian lenganku ketika ini. Teguh dan erat. Seperti tidak mahu membiarkan aku melarikan diri. Hatiku sebal. Selama berada di samping lelaki itu dan tetamu VIP yang ditemuinya di bandar tadi, aku hanya mendiamkan diri. Selesai urusan lelaki itu yang mengambil masa kira-kira sepuluh minit, aku dibawa kembali ke meja makan. Aku menarik nafas yang lega. Sepatah ucapan mereka sebentar tadi tidak aku ikut tahu. Sengaja aku sibukkan fikiranku dengan memberikan sepenuh perhatian terhadap majlis tepung tawar yang sedang berlangsung di pentas utama. Aku berbuat begitu semata-mata tidak ingin membiarkan perbualan mereka mengganggu fikiran aku pula. Kalau butiran peribadinya pun aku tak berminat untuk tahu, apatah lagi urusan lain yang berkaitan dengannya. 

"Sekarang, adik kau bebas." ujar Mr. Reev sewaktu menarik sebuah kerusi untuk aku duduki dan melangkah dari situ. Perasaanku menggebu. Aku menoleh untuk kali terakhir. Melihat kelibat lelaki itu menghilang dibalik pintu utama. Usai jasad itu terhapus dari pandangan, dapat aku rasakan getaran yang masih kencang didadaku saat ini. Mengenangkan layanan baik lelaki itu terhadapku sebelum beredar membuatkan aku terasa janggal pula kerana sikap kasar dan dingin lebih sebati buat lelaki itu. Dalam masa yang sama aku berasa aman dan tenteram. Kemelut yang dibimbangkan akhirnya selesai jua. 


Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa