Home Novel Cinta REEV
Bab 30

30

Dalam perasaan yang masih bercampur baur akibat peristiwa di atas pentas sebentar tadi, aku dikejutkan pula dengan kehadiran Mr. Reev. Lelaki itu menolak aku untuk naik ke tempat duduk pemandu. Kasar betul! Dah tahu aku pendek apesal bawak kereta tinggi macam ni? Kemudian, dia berjalan laju ke sebelah sana dan duduk disisiku. Aku memandang lelaki itu dengan pandangan yang tajam. 

"Kita tak ke mana. Cuma aku perlu bercakap dengan kau bersendirian." ujar lelaki itu seperti tahu apa yang sedang aku fikirkan. 

"Macam mana kau boleh masuk dalam kawasan kilang?" soalku tidak berpuas hati. 

"Entah. Ada perempuan nama Yana ajak aku masuk." Hah! Aku membulatkan mata. Jika benar apa yang dikatakan oleh Mr. Reev maka mungkinkah Yana menyaksikan apa yang telah berlaku diatas pentas tadi? Aku menelan air liur. Terasa kering tekak ini. Saat itu juga baru aku sedari keadaanku yang kusut masai akibat baru lepas menangis. Tanpa berfikir, kedua belah tangan aku tekapkan ke muka. Sungguh aku segan dan malu berkeadaan begitu. 

"Nah... Lap air mata dan hingus tu." kata Mr. Reev selamba. Aku membuka sedikit celah jari. Tampak sehelai tisu disuakan kepadaku. Tanpa membuang masa tisu itu aku rentap dari tangan lelaki itu. Tidak cukup satu, sekotak tisu bersaiz comel yang berada diantara kami aku capai. Selesai membersihkan wajah barulah hatiku berasa sedikit tenang. Aku menarik nafas yang dalam beberapa kali. Aura ketenangan mula menyerap ke dalam jiwaku.

"Drama apa kau berlakon tadi?" mulutku terbuka sedikit mendengar pertanyaan Mr. Reev. D-drama? Bila pulak aku berlakon? Aku menoleh kearahnya dengan satu kerutan  di dahi. 

"Hari ni tak ada acara lakonan." Aku menjawab spontan. 

"Yang atas pentas tadi tu?" sahut Mr. Reev. 

"Oh..." getusku sebelum bibir ini kurapatkan. Mindaku berputar kembali kepada adegan di atas pentas sebentar tadi. Tentulah ketika ini aku sedang bersyukur dan senang hati kerana akhirnya namaku yang sering menjadi buah mulut segelintir individu akhirnya dibebaskan dari sebarang tuduhan mengaibkan. Tidak terlintas difikiranku Kak Mar sanggup mengenepikan ego dan maruahnya demi menjelaskan perkara sebenar. Kepada semua yang hadir pula tu. Sebetulnya aku benar-benar terhutang budi dengan Kak Mar. Aku ingin berbual lebih lanjut dengan Kak Mar. Banyak ruang-ruang kosong yang perlu kami penuhi semenjak hubungan kami menjadi renggang. Tetapi, tiba-tiba aje lelaki ni muncul. Potong stim betul! 

"Ada hal apa yang kau nak cakap tu?" soalku dengan wajah masam mencuka. 

"Minggu depan, hari Sabtu kau ke Kuantan. Ada kerja untuk kau." tutur Mr. Reev dengan lagak angkuhnya itu. Aku ingatkan sikap itu cuma satu kepuraan sahaja ketika bertemu aku dahulu. Rupanya memang sah sikap lelaki itu sombong dan perasan jaguh. Huh! 

"Eh, eh... Senang aje kau datang ke tempat kerja aku... Bawak aku keluar macam ni... Lepas tu arah aku kerja. Kau siapa nak arah-arah orang ni?" hamburku dengan perasaan geram. Eei... Ikutkan hati mau aje aku rentap spec yang dipakainya itu. Bajet hensem! Aku mendengar Mr. Reev mendesis perlahan. Sebuah telefon yang disimpan di dalam poket jeans yang dipakai dikeluarkan. Aku hanya memerhati dengan ekor mata sebelum telefon itu didekatkan ke wajahku. 

"Tengok betul-betul dan fikir balik apa yang kau cakap tadi." pada mulanya aku enggan melayan keinginan lelaki itu. Namun, apabila satu suara yang aku kenali datangnya dari telefon berkenaan, aku akur. Sungguh aku terperanjat. Melihat bagaimana aksi Azran yang membaling seketul batu yang agak besar mengenai cermin kereta. Pelbagai bunyi kedengaran dan Azran kelihatan tergamam seakan baru menyedari ketelanjurannya itu. Video berdurasi dua minit itu cukup untuk dijadikan bukti. Jadi... Oh! 

"Kau tipu aku! Kau kata kau dah lepaskan adik aku!" Herdikan aku bergema  sebelum ianya dibawa mengikuti angin lalu. Masakan tidak, terlalu banyak ruang kosong di dalam Suzuki Samurai yang buruk itu. Kenderaan itu kelihatan usang dan terbiar. Besi yang menjadi tempat aku berpaut sebentar tadi terdapat tompok-tompok karat.  

"Aku tak tipu. Memang aku lepaskan adik kau. Tapi bukan kau." kata Mr. Reev dengan lagak bersahaja. 

"Aku tak faham." sahutku pula. 

"Adik kau dah takde kena mengena dengan aku. Tapi, kau... Kau kena tolong aku sebab kau adalah kunci kebebasan adik kau. Dalam erti kata lain, kalau kau tak nak tolong, video ni akan tersebar. Aku tak perlu pun buat report. Orang lain yang akan buat. So, macam mana?" jelas Mr. Reev hanya membuatkan hatiku bertambah bengkak dan sebal. Tak kiralah apa alasan yang diberikan oleh lelaki itu. Bagi aku sama sahaja maksudnya. Lelaki itu belum lagi melepaskan Azran dengan rela hati!

"Fikir Cik Rosy Binti Megat. Fikir dengan mendalam dan bagi aku jawapan sebelum hari Jumaat. Sekarang, keluar!" ucap lelaki itu dengan kasar diiringi isyarat tangan yang menyuruh aku keluar. Sempat aku menghadiahkan satu jelingan tajam kepada lelaki itu sebelum terjun dari kenderaan tersebut. Memang hatiku mendongkol geram ketika ini. Berlagak! Datang tanpa diundang lepas tu suka hati mengarahkan aku buat kerja. Entah kerja apa pulak tu. Dengan langkah besar yang sengaja aku ambil mulutku tak berhenti membebel sendirian. Hisy, geram! Gerammm!! Mahu sahaja aku lontarkan rasa itu sekuat hati. Namun, bimbang pula dicop tidak siuman. 

"Rosy! Pak Aziz nak mintak maaf ni sebab dah tuduh Rosy macam-macam." Aku tergamam buat seketika tatkala menerima teguran daripada Encik Azizi yang selama ini jelas benar tidak sukakan diriku. Buat beberapa kali aku menarik nafas yang dalam. Hal yang berlaku bersama Mr. Reev tadi aku usir jauh-jauh. Bukankah hari ini merupakan hari yang gembira untukku. Aku belum selesai meraikannya. Aku ingin bertemu dan berbual panjang dengan Kak Mar. Aku ingin berterima kasih pada Encik Faiz dan Shakira. Juga teman-teman yang lain. Tanpa aku sedar tubir mataku kembali digenangi air mata kegembiraan. 


Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa