Home Novel Cinta REEV
Bab 31

31

Bengang diusik tanpa henti oleh Azran, aku menyekeh anak muda itu ditempat biasa. Dia mengaduh kuat sambil menyapu pelipisnya. Aku tergelak senang hati. Azran menghentikan langkah. Aku juga begitu. Kami dalam perjalanan menuju ke arah rumah Tok Wan setelah van kilang yang dinaiki menurunkan kami berdekatan rumah api. 

"Kau, kak long... Bila bertukar, sebijik macam Incredible Hulk. Aku yang tinggi ni pun kau boleh tibai." rungut Azran. Tangannya masih menyapu pelipis yang sakit. Aku tersengih. Sejak tiga hari yang lalu, irama bahagia tak henti berseru di setiap anggota tubuhku. Lebih-lebih lagi jiwa yang longlai sebelum ini. Bagai diberi suntikan semangat terhapus sudah lara yang pernah bermaharajalela. Teman-teman di pejabat tidak lagi mengasingkanku. Cuma, ada segelintir sahaja yang segan untuk bertegur sapa. Tentulah! Kerana mereka sebelum ini paling kuat menghentamku. Bagi aku pula, mudah! Tiada sedikit pun rasa dendam yang tertinggal. Penerimaan mereka sudah memadai bagi aku. Buku lama itu sudah aku tutup kelmarin. Aku mahu membuka lembaran baharu pula. 

"Dah ada pakwe tu cuba ubah sikap garang tu. Jadilah perempuan yang lemah lembut, bersopan santun..." kata Azran lagi sambil menyusun kembali langkah dibahu jalan yang berbatu kecil. Aku terpinga-pinga. 

"Eh, bila masa pulak kak long ada pakwe ni?" soalku sedikit bengang. Apa tidaknya, bukan Azran sahaja yang menanyakan soalan itu. Sudah tiga hari berturut-turut aku diasak oleh soalan yang sama dari Shakira. Dicampur dengan Rajni dan Joyce yang tumpang sekaki menyoal. Masing-masing senyum melebar tiap kali terserempak denganku. Nak mengorek rahsialah tu. Tapi maaf, bukan aku perahsia. Lelaki tu memang bukan pakwe aku! 

"Aku dengar budak-budak kilang heboh ceritakan tentang pengakuan Kak Mar tu, kak long. Lepas tu ada pulak yang cerita pakwe kak long datang tepat pada masanya sebab nak selamatkan kak long dari lakonan Kak Mar tu."

"Astaghfirullahal'azim... Siapa yang bawak mulut ni, Ran? Tak baik tau tuduh Kak Mar pura-pura. Dia betul-betul ikhlas mintak maaf dengan kak long. Jadi, Aran percaya, lah?" sahutku sebaik mendengar cerita Azran itu. Tak sangka. Ada juga individu yang melihat adegan itu dengan kaca mata zahir sahaja. Siap membuat andaian sendiri pulak tu. Hisy, gerun pula aku dengan sikap generasi akhir zaman ini. 

"Yang mana? Yang pakwe kak long datang macam hero tu?" Aku sudah menepuk dahi. 

"Eei... Aku pelangkung jugak kepala budak ni." ujarku dengan perasaan geram. Mau aje aku tibai sekali lagi pelipis budak ni. 

"Dah tu?" tanya Azran sedikit terkulat-kulat. 

"Aran percaya ke tak Kak Mar tu ikhlas?" tanyaku sekali lagi. 

"Oo... Percayalah. Mana ada orang sanggup nangis-nangis depan orang ramai semata-mata nak mintak maaf. Tapi, pakwe kau orang mana, kak long? Bila nak bawak dia datang jumpa aku? Berani dia ambik kakak aku tanpa mintak izin dari aku dulu!" kata Azran bersungguh-sungguh. Siap mengepal penumbuk lagi. Amboi, marahnya! Dalam diam aku menarik nafas lega. Mujurlah Azran tiada pada hari kejadian. Jika dia menyaksikan gerangan individu yang menjadi buah mulut orang ramai itu, aku pasti akan berlakulah sebuah perbalahan hebat di antara mereka berdua. Tak pasal-pasal niat lelaki yang dikenali dengan nama Mr. Reev untuk melepaskan Azran bertukar sebaliknya. Entah-entah macam-macam dakwaan pula dijatuhkan terhadap Azran. Aku menggigit bibir. Lirikanku berpusat kepada Azran buat seketika. Anak muda itu berada dalam fasa memajukan diri sendiri dan keluarga. Sedang bersemangat waja menimba ilmu perniagaan tanpa jemu. Andai aku turutkan hati, pasti Azran terpaksa aku korbankan. Tapi, jika aku turutkan akal, aku pula yang binasa. Arghhh! Ditelan mati emak, diluah mati bapak. Aku tersepit dan dihimpit. Jalan keluar dari kesulitan ini belum aku temui. 

"Hisy, tu bukan pakwe kak long, lah! Apesal susah sangat korang ni nak percaya, hah?" getusku dengan rasa tidak puas hati. Aku mendengar suara Azran tergelak. Bukan main besar lagi gelaknya. Apa yang kelakar?  

"Ala, kak long... Gurau je pun. Tak payahlah emo sangat. Kalau betul apa salahnya. Kalau tak betul jadikanlah betul." kata Azran sambil menjelirkan lidahnya. Sebaik kata-kata itu diucapkan, Azran mengambil langkah seribu. Sambil memecut dia ketawa kuat. Sengajalah tu nak buat aku sakit hati. Memang aku sakit hati pun! Tapi bukan pada Azran. Pada Mr. Reev yang hadir macam biskut Chipsmore tu. Dari jauh aku dengar Azran melaung menyuruh aku berlari. Aku buat tidak endah. Malas melayan gelagat budak hingusan macam dia tu. Apabila aku tiba sahaja di halaman, kelibat Azran sudah tiada. Yang kelihatan cuma satu individu sahaja. Individu terakhir yang mahu aku jumpa selepas episod kemenangan aku kelmarin. 


Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa