Home Novel Cinta REEV
Bab 5

5

Selesai menyidai kain dijemuran, aku duduk di pangkin. Matahari sudah meninggi. Meskipun cuaca semakin hangat, pangkin yang dibina dibawah pokok ketapang itu redup sahaja. Pohon berdaun lebar yang usianya lebih tua dari aku memayungi hampir sebahagian bumbung ruang tamu dan sebahagian laman yang berkeluasan sekangkang kera. Aku menjulurkan kaki. Ah, enak rasanya bersantai begitu. Jika berbaring rasanya boleh tertidur aku disitu. Aku berkalih pandang. Melihat Tok Wan yang sedang memberi ayam belaannya makan. Reban kecil yang dibina berhampiran dengan kebun di belakang rumah itu cuma dihuni oleh tiga ekor ayam sahaja. Ayam hutan yang ditangkap oleh Poksu yang mempunyai hobi berburu. Aku memerhati dalam diam gelagat Tok Wan. Tok Wan gemar berpakaian kurung Kedah dan berkain batik. Kurung Kedah itu lusuh sahaja warnanya. Begitu juga kain batik yang dipakai. Padahal ada beberapa helai baju dan kain batik yang baharu. Apabila berada di laman, Tok Wan gemar menyarungkan sehelai lagi kain batik yang dijadikan sebagai kerudung kepala. Jika sedang berkebun pula, kain batik itu dibungkus dan dilipat seakan tingkuluak, iaitu tutup kepala wanita Minangkabau. Kulit Tok Wan putih melepak. Meskipun sudah berusia, masih bersisa kejelitaan Tok Wan. Aku masih ingat lagi, pernah aku temukan foto hitam putih milik Tok Wan ketika usia muda semasa berkemas bilik orang tua itu. Memang cantik sekali rupa parasnya. Seperti mengetahui dirinya dalam pemerhatianku Tok Wan berpaling. Lalu melangkah ke arahku. Aku terpempan seketika sebelum kembali memerhati. Gerak geri Tok Wan sudah tidak segagah ketika aku kecil dahulu. Apabila berjalan, tubuh Tok Wan membongkok sedikit. Orang tua itu kerap memegang sebatang kayu yang dijadikan tongkat apabila berada diluar rumah. 

"Mu ada pakwe?" Terkejut beruk aku mendengarnya. Sambil mendekatkan sedikit wajah ke arah Tok Wan yang sudah duduk berdekatan, aku memberanikan diri memandang wajah tua itu seakan meminta kepastian. Mata yang kuyu itu nampak penat. Namun menatapku dengan serius. Kepastian diperolehi. Aku menelan air liur. Tak pernah seumur hidupku Tok Wan bertanya begitu. Tiba-tiba sahaja soalan cepumas itu disoal. Pelik bercampur ingin tahu membuak-buak di dada. 

"Erm, takde, Tok Wan." Aku berkata jujur. Menjalani kehidupan seperti ini membuatkan pergerakanku terbatas. Hidup aku demi keluarga. Sejak bersekolah menengah fikiranku difokuskan kepada dua. Pelajaran dan keluarga. Namun, apabila tiba saat untuk membuat keputusan, aku telah memilih keluarga dari diriku sendiri. Tiada erti  berhibur dan berlibur. Ruang fikiran disesakkan dengan keperluan keluarga dan adik-adik. Perasaan halus yang kadangkala timbul apabila melihat kebahagian orang lain dalam fasa percintaan aku benamkan jauh-jauh ke dasar lubuk hati. Bukan aku tidak beringin. Tetapi, perasaan itu sengaja aku nafikan. Lebih-lebih lagi mengenangkan fizikal yang aku rasakan tidak secantik mana. 

"Takde orang nak, ke?" Aku tersentak sebentar. Kembali ke realiti sebelum mulut mampu menjawab. Percakapan Tok Wan sedikit kasar. Barangkali kerana cara beliau dibesarkan begitu. Suaranya pula sering kedengaran sedikit tegang. Bukan kerana marah. Tetapi begitulah intonansi suara Tok Wan apabila bercakap. Kerana gema begitulah adik-adikku takut dengan Tok Wan. Tetapi tidak bagi aku sendiri. Apabila tinggal satu bumbung dengan Tok Wan sejak dari kecil, aku dapat membaca mood Tok Wan lebih baik dari orang lain. Ketika Tok Wan benar-benar marah bicaranya lebih tegang dan kata-katanya ringkas sahaja. Ketika ini, Tok Wan sedang dalam mood tenang. Kerana banyak pula bertanya. 

"Entah." Tuturku sepatah. Namun memadai kerana Tok Wan tidak lagi melanjutkan bicaranya. Hanya membisu memandang ke arah lautan yang terbentang luas. Pertanyaan Tok Wam itu telah lama bermain dibenakku. Wujudkah seseorang itu? Andai dia tahu tentang kisah hitam itu, mahukah dia kepadaku? Kalau pemuda kampung ni aku boleh agak jawapannya. Siapa yang menginginkan perempuan tidak bermaruah seperti aku ini? Sudah tentu tiada. Dijodohkan secara percuma pun belum tentu ada yang nak. Sudah bermacam tohmahan yang dilemparkan kepadaku semenjak peristiwa itu. Perempuan sundal, gatal, jalang dan sebagainya.

"Tok Wan.. Oci nak tanya sesuatu." kataku seperti meminta kebenaran. Wajah yang menampakkan riak gelisah aku tundukkan sambil mata dikatup rapat. Puas aku menunggu namun tiada suara yang kedengaran. Boleh jadi itulah tanda Tok Wan memberi izin. Sebaik menerima isyarat itu, aku menghela nafas yang dalam beberapa kali. Mengumpul kekuatan sebelum memuntahkan isi hati yang ku pendamkan sekian lama.

"Masa Oci kena tangkap dekat kilang dulu kenapa Tok Wan tak cakap apa-apa?" Fuh! Terasa lega sekali dada ni setelah persoalan yang satu itu dapat diluahkan. Kini, debar pula menjadi pengganti. Resah dan kacau bilau di dalam jiwa mula bertandang disaat menanti jawapan daripada Tok Wan.

"Sebab aku tak tahu mu betul-betul bersalah ke tak." sahut Tok Wan dalam loghat Terengganu yang pekat. Aku melirik sekilas. Pandangan Tok Wan masih jauh ke ufuk timur. Kedua belah keningnya berkerut. Bibir bawah yang sedikit terjuih kelihatan bergerak-gerak. Kemudian ditutup rapat. Aku turut melihat ke arah garisan lautan di kaki langit. Bersinar permukaan air seperti ditaburi berlian akibat biasan cahaya mentari. Tanpa aku sedari seulas bibirku mengukir senyuman yang tipis. Satu perkara yang aku kagumi mengenai orang tua itu ialah pendirian tegasnya. Datanglah bermacam berita sama ada benar atau tidak. Tok Wan bukanlah jenis individu yang menerimanya secara bulat-bulat. 


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa