Home Novel Cinta REEV
REEV
Kay Zaaraa
4/8/2019 07:58:49
2,663
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

16

Selesai mengemas rumah dan memasak untuk juadah tengah hari, aku turun ke laman untuk mengambil angin pula. Cuaca terik sekali di luar. Namun redup sahaja apabila duduk dibawah lindungan pohon ketapang yang memayungi pangkin kayu yang aku duduki ketika ini. Peralihan monsun barat daya sedang melewati. Sebab itulah cuaca agak hangat dan angin laut yang berhembus berasa sedikit kering. Berbekalkan semangkuk jeruk kelubi buatan Nek Jah yang dibeli oleh Azran tempoh hari, aku menikmati keenakan asam tersebut sambil menyandarkan tubuh pada batang pokok ketapang. Sebelum ini banyak benar kerengga yang menghuni pohon tersebut. Tetapi, setelah diperasapkan sarangnya habis semua makhluk kecil itu berpindah ke tempat lain. 

"Eh, jauh menung tu." Aku tersentak dan pandanganku bertembung dengan sepasang mata yang redup. Mata tua itu kelihatan letih dan disekelilingnya garis kedutan sudah banyak menghiasi. 

"Laa.. Bila Che De balik? Pergi memukat ke?" kataku separa terkejut. Sambil meneliti penampilan orang tua berusia awal enam puluhan itu serta-merta lubang hidungku disapa bau masin air laut. Seluar yang dipakai basah dan diselaputi oleh pasir hingga ke paras peha. Baju berlengan panjang yang lusuh dan pudar warnanya juga basah jeruk. Kepala yang sudah memutih ditutupi dengan topi yang sering digunakan oleh buruh kasar membina bangunan. Che De atau nama sebenarnya Che Muda meletakkan rajut yang dipikul dihujung pangkin. 

"Pergi ambik bekas. Bekas je.. Duit jangan dibawak jugak." arah Che Muda tanpa menjawab pertanyaanku sebentar tadi. Aku bergegas turun dan menuju ke pintu dapur. Sekembali di sisi Che Muda, aku hulurkan sebiji bekas bersaiz sederhana. Che Muda menyeluk rajut yang penuh dengan bermacam isi laut. Ada udang minyak, ketam, ikan parang, gelama dan pelaling. Siap membagi rajut yang jelas separuh berisi dikemaskan kembali. Aku memandang hasil memukat yang sedang diagihkan dengan perasaan sayu. Che Muda gemar begitu. Memberi tanpa mengharapkan balasan wang ringgit. Semenjak arwah emak masih ada begitulah sikap Che Muda kepada kami. 

"Terima kasih, Che De. Bila balik? Oci tak nampak pun." ujarku tatkala bekas yang tidak lagi kosong ditolak sedikit mendekatiku. Che Muda duduk. Begitu juga aku. Bau hanyir dan masin kuat menusuk hidung. Namun, aroma itu sudah sebati menjadi darah dagingku. Aroma yang mengingatkan aku tentang perjuangan demi kelangsungan hidup. Walau ribut badai datang bertandang para nelayan ini sanggup redahi demi sesuap nasi untuk keluarga tercinta. Che Muda punyai sebuah bot kecil. Dari asalnya menggunakan perahu, orang tua itu bertukar kepada bot enjin. Melalui bot itulah beliau turun ke laut mencari rezeki. Jika bot kepunyaannya itu bermasalah, dia akan menjadi awak-awak kepada bot nelayan yang lebih besar. Sejak dulu lagi, tanpa akad mahupun lafaz, Che Muda akan membagikan rezeki yang diperolehi kepada kami anak-beranak. Setelah berkerja, aku berkeras untuk tidak lagi menerima ihsan dari orang tua itu. Kasihan memikirkan lelaki berusia awal enam puluhan itu masih gagah mengerah tulang empat kerat di tengah samudera sendirian. Kemudian, berbagi pula hasil tangkapan. Tetapi, sikap keras kepala itu bukan milik aku seorang. Che Muda pun begitu. Puas dilarang tetap memberi. Katanya rezeki yang Allah berikan memang untuk diagihkan bersama. Bukan hanya kepada diri sendiri. Sejenak aku melirik kearah orang tua itu. Dalam diam aku melahirkan rasa kesyukuran diberikan seorang jiran yang baik hati seperti Che Muda. 

"Malam tadi. Aran mana? Kerja?" tanya Che Muda pula. Aku menganggukkan kepala tanda mengiyakan pertanyaan itu. Che Muda berasal dari Tumpat. Sesekali apabila rindukan kampung halaman, Che Muda akan pulang ke sana. Menurut arwah emak, Che Muda itu hidupnya sebatang kara. Berhijrah ke kampung ini ketika umurnya tiga puluhan. Mungkin sudah tertulis Che Muda sukakan suasana di kampung ini. Cuma, jodohnya belum tiba. Masih bujang dan tinggal sendirian dirumahnya yang terletak bersebelahan sahaja dengan rumah Tok Wan. 

"Che De dengar Yana ada balik." Aku terpempan buat seketika. Tak menduga perbualan kami akan ada perkaitan dengan sepupuku itu.

"Aik, baru malam tadi balik dah tahu cerita? Sape bagitahu Che De? Ikan dekat laut ke?" selorohku sambil bermain-main dengan rambut yang bebas ditiup angin. Walaupun nama yang disebut itu mencuit perasaan tidak senang tetapi aku enggan membiarkan perasaan itu membuli dan menyeksa diri lagi. Entah bagaimana kata-kata Shakira sebelum ini terngiang-ngiang difikiranku. 

"Kau patut melawan..."

Ya. Itulah yang aku sedang buat saat ini. Menghalang perasaan tidak senang itu dari bermaharajalela dan mengganggu emosi.

"Kebetulan Che De sampai Aran ada dekat kedai kopi Milah." jelas Che Muda meskipun aku tidak menginginkan sebarang penjelasan. Kedai kopi Milah terletak di kawasan kejiranan ini. Kebiasaannya jika malas hendak keluar jauh dari rumah, Azran dan teman-temannya akan duduk melepak di situ sahaja. 

"Balik ke tak balik ke.. Keadaan tak mungkin dapat jadi macam dulu." tuturku berat. Che Muda mengetahui kebenaran kisah itu melalui Azran. Puas dia memujukku supaya berhenti kerja sahaja ketika itu. Tetapi aku menolak mentah-mentah. Terkilan kerana usaha menbujuk tidak berhasil akhirnya orang tua itu akur dengan sikap keras kepalaku. 

"Tak menyesal?" Aku menggeleng. Separa mengiyakan separa lagi ragu-ragu. Bukankah aku pernah berikrar, kemaafan yang terlahir dari bibirku akan diberikan apabila namaku dibersihkan dari fitnah itu. Patutkah aku memaafkan dengan begitu mudah dan menjalani kehidupan seperti tiada apa-apa yang berlaku? Tak mungkin. Kesan dari tragedi itu membuatkan aku terkontang-kanting menghadapinya sendirian. Oleh itu, memang sukar untuk memaafkan meskipun luka itu tidak lagi berdarah. 

"Kerja macam mana?" soal Che Muda seperti tahu titik nokhtah telah tiba untuk persoalan hubunganku dengan Yana. 

"Okay je." sahutku ringkas. Bibirku tersenyum sedikit. Bersyukur topik sudah bertukar. 

"Baguslah. Tapi, kalau rasa dah tak mampu carilah tempat lain. Takkan seumur hidup nak bertahan larat.." ujar Che Muda. Bukan lagi menyoal. Sekadar memberi ingatan dan nasihat. Aku termangu merenung kata-kata Che Muda. Sudah lama Che Muda tidak menimbulkan isu meletak jawatan. Patutkah kali ini aku memikirkan ia dengan semasak-masaknya? Hampir dua tahun aku berjuang namun hasilnya masih sama. Kebenaran belum bersedia dirungkaikan. Boleh jadi selama-lamanya ia akan tersimpan disitu. Mungkin sudah masanya untuk aku menyerah kalah dan membuka lembaran baru ditempat baharu pula. Che Muda mengundurkan diri. Membiarkan aku sendirian merenung dan membuat timbang tara. Jalan penyelesaian tidak ku temui. Ah, serahkan sahaja pada Yang Maha Esa. Bukankah rahsia-rahsia kehidupan ini berada di dalam genggamanNya? 


Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa