Home Novel Cinta REEV
Bab 14

14

Suasana yang sedikit hingar dengan perbualan dan gurauan membuatkan aku menjeling sekilas kearah jam yang disemat dipergelangan tangan kananku. Patutlah.. Sudah jam satu petang. Aku mengangkat wajah. Memerhatikan sahaja seorang demi seorang dan juga sekumpulan staf pejabat beransur keluar. Seperti biasa, tiada seorang pun yang mempelawa aku makan bersama-sama. Rasa kecil hati tidak lagi bersarang dijiwa seperti mana kali pertama dahulu. Dah lali dan juga sebati.

"Rosy, tak keluar makan?" soal Encik Rahman kepadaku. Dan menjadi rutin juga bagi aku untuk mempamerkan satu senyuman kepadanya dari berkata-kata. Soalan yang sama diajukan kepadaku saban hari tanpa perlu menanti jawapan dari mulutku. Aku memerhati sahaja tubuh yang agak gendut itu berlalu melewati pintu pejabat yang sentiasa bertutup itu. 

"Rosy, jom lunch sama." tubuhku sedikit tersentak tatkala sapaan daripada Encik Faiz tiba-tiba menerjah ke cuping telinga. Aku mendongak sambil mulutku sedikit menganga. Sukar mempercayai apa yang telah aku dengari sebentar tadi. Encik Faiz bersikap selamba sambil tercegat berdiri dengan kedua belah tangan diseluk ke dalam poket seluar slack yang dipakai.

"Jangan nak mengada. Aku dah booked Oci dulu. Kau boleh pergi makan dengan pekerja kesayangan kau yang ramai kat luar tu. Kau kan suka duduk semeja dengan budak-budak kilang tu, kan? Dok mengumpat pasal aku." gertak Shakira yang tiba-tiba muncul di muka pintu. Aku terpana dengan kehadiran Shakira yang mengejut itu. Belum pernah lagi dia mencari aku dipejabat. Apatah lagi membuat temujanji untuk makan bersama. Pandanganku silih-berganti di antara kedua beradik itu. Dapat aku rasakan keadaan yang agak tegang sedang melanda mereka berdua ketika ini. Kasar betul bahasa Shakira terhadap abangnya itu.

"Oh, yeke. Takpelah, Rosy. Lain kali ye. Saya tak tahu pulak kalau nak makan dengan awak kena buat appointment dulu." ujar Encik Faiz dengan sopan. Mulalah membuatkan aku berasa sedikit serba-salah. Pertama kali pelawa aku makan bersama tiba-tiba kena reject. Dahlah ianya bukan keluar dari mulut aku sendiri. Aku ingin mengatakan sesuatu. Namun, belum sempat aku membuka mulut Shakira terlebih dahulu berkata-kata.

"Nice, bro. Apa lagi.. Chowlah.." usir Shakira sambil melangkah merapati meja kerjaku. Aku memandang kearah Encik Faiz dengan wajah yang teramat kesal. Walaupun aku belum bersetuju untuk menerima pelawaannya tadi, hatiku dirudum perasaan simpati memikirkan layanan dingin yang harus lelaki itu hadapi. Dengan wajah yang tenang Encik Faiz membalas pandanganku itu

"Have fun girls." ujar Encik Faiz sambil tersenyum. Apa yang mampu aku lakukan cuma tersenyum kelat sahaja kepadanya. Si cantik Shakira pula duduk bertenggek di meja kerja dengan wajah tersenyum puas. Aku mencapai beg dompet di dalam beg tangan sebelum beredar tanpa sepatah bicara. Walaupun aku tiada hak untuk mencampuri urusan mereka berdua, geram pula hatiku apabila melihat dia melayani abangnya sebegitu. Lebih-lebih lagi apabila aku dijadikan sebagai alasan. Menyedari tindakanku itu, Shakira mengejar dari belakang. Langkahnya kini menyaingi derap kakiku.

"Jom makan dekat luar. Aku belanja."

"Tiba-tiba je. Ada apa?" soalku pula. Tiba-tiba mahu makan diluar. Tentu ada sesuatu yang ingin diperkatakan.

"Alah, bosanlah makan dekat kantin. Sekali sekala apa salahnya. Selama kau kerja dekat sini berapa kali kau makan dekat luar? Cuba kira?" tukas Shakira pula. Aku menjeling kecantikan yang tidak jemu dipandang itu. Soalannya aku biarkan sepi. Sebaliknya kakiku terus melangkah menuju ke arah kantin. Shakira cepat-cepat menahan. Lengan kananku dipaut dengan kemas.

"Aku ajak kau keluar makan ni sebab nak tebus kesilapan minggu lepas. Ingat aku hadap sangat ke nak keluar dengan kau?" tutur Shakira sambil memandangku dengan perasaan tidak puas hati. Entah-entah tidak puas hati dengan sikap keras kepala aku ni. Rasakan.. Sebagaimana dia mempunyai tabiat degil yang gemar mencampuri urusan aku, belajarlah menghadap sikap aku yang satu ini juga. Aku merungkaikan pegangan kemasnya itu. Sambil berpeluk tubuh, aku mendongakkan sedikit kepalaku untuk bertentang mata dengannya. 

"Aku pun tak hadap sangat nak makan dengan kau!" Aku memulangkan paku buah keras. Baik aku mahupun Shakira, kami saling menentang pandangan sesama sendiri. Wajah yang serius dan mata yang tajam saling berbalas tatapan. Secara tiba-tiba Shakira ketawa dengan kuat. Tawanya kedengaran seperti orang dirasuk. Aku juga tidak mampu menahan rasa geli hati yang mencuit melihat gelagatnya itu. Kami sama-sama ketawa hinggakan aku merasakan terdapat sedikit air jernih muncul di tubir mata. Dengan tawa yang bersisa aku menyapu air mata yang keluar.

"Kau tak boleh lari dari aku, Oci."

"Ye. Aku mengaku kalah." sahutku dan tawa kami kembali bersambungan. Tingkah laku kami di koridor itu mendapat perhatian beberapa pasang mata yang melalui kawasan itu. Shakira menyarankan agar kami segera beredar sebelum perbuatan kami dijadikan isu pula. Tanpa aku sedar, dengan sukarelanya aku menerima pelawaan Shakira untuk keluar makan bersama. 


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa