Home Novel Cinta AKU TAK SALAH
AKU TAK SALAH
Kamsiah Abu
1/1/2014 18:47:29
70,659
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 8

Ramai pelanggan yang kelihatan keluar masuk ketika Norsyazwani dan Airil Amri tiba di restoran itu tadi. Mungkin restoran itu adalah satu-satunya restoran yang ada berhampiran pusat pameran itu. Nasib baik ada satu meja yang masih kosong di satu sudut di tepi dinding.

Tanpa berlengah, segera Airil Amri menarik salah satu kerusi yang ada di situ dan mempelawa Norsyazwani duduk sebelum dia sendiri duduk di kerusi yang bersetentangan.

“Kenapa Encik Amri beriya-iya benar nak belanja saya minum ni?” Norsyazwani merisik.

Airil Amri yang sedang mahu menghirup minumannya segera mendongak. Merenung tepat ke anak mata Norsyazwani yang duduk di hadapannya itu dengan penuh minat. Tidak ada riak mahu menjawab soalan gadis itu. Perlahan-lahan terukir senyuman nakal di bibirnya. Seolah seronok kerana berjaya memujuk Norsyazwani untuk minum dengannya petang itu.

“Encik Amri!..”

“Eeemmm…”

“Dengar tak apa yang saya tanya?” Norsyazwani bertanya agak serius. Bagaikan tidak senang dengan sikap Airil Amri yang sengaja mahu mengusiknya.

“Hoi… seriusnya!.. Relex lah… Minumlah dulu, nanti sejuk pulak air tu…” sambil terus tersenyum nakal, Airil Amri membalas.

Norsyazwani hanya menarik nafas dalam sambil menjeling tajam ke arah Airil Amri. Cuba memprotes kerana lelaki itu masih belum menjawab soalannya. Namun sempat juga Norsyazwani mengangkat gelas minuman yang ada di hadapannya lalu menghirupnya perlahan-lahan.

“Cik Syazwani, kenapa serius sangat ni? Salah ke kalau saya belanja minum sambil kita berbincang-bincang? Saya tahu, kalau waktu bertugas awak tak boleh nak layan saya lama-lama kerana ramai pelanggan lain yang nak juga berbincang dengan awak…” dengan suara yang agak lirih, Airil Amri berkata lagi apabila Norsyazwani terus membisu.

Norsyazwani terkesima. Terasa dirinya yang agak keterlaluan menunjukkan emosinya tadi walaupun pada mulanya dia hanya ingin merisik mengapa Airil Amri boleh begitu cepat mesra dengannya. Akukah yang perasan dan syok sendiri, sedangkan dia tidak berniat apa-apa pun!.. hati kecil Norsyazwani berbisik, malu.

“Ma’af. Saya bukannya apa… Saya cuma bimbang ianya akan melanggar etika kerja saya kerana...”

Norsyazwani bagaikan terputus kata-kata apabila matanya bertembung dengan mata Airil Amri yang merenungnya tajam. Seolah lelaki itu tidak dapat menerima apa yang dikhuatiri oleh Norsyazwani itu.

“Syarikat kami tidak membenarkan pegawai-pegawai kami menerima sebarang pemberian dari pelanggan atau pun suppliers.Kerana dikhuatiri perkara begitu boleh membuka ruang kepada rasuah dan sebagainya. Perkara yang oleh menjejaskan mutu perkhidmatan kami…” dengan berhati-hati Norsyazwani cuba terus menjelaskan.

“Saya tidak nampak kita minum bersama ini akan melanggar etika kerja Cik Syazwani. Kita tidak ada apa-apa kepentingan pun. Saya bukannya pelanggan atau supplier syarikat Teguh Sejati Holding...” Airil Amri menelan air liurnya sebelum meneruskan kata-katanya.

“Salahkah kalau seorang sahabat nak belanja sahabatnya yang baru balik kerja, minum petang bersama?” Soal Airil Amri sambil merenung tepat ke mata Norsyazwani.

Norsyazwani terkedu. Perlahan-lahan dia menggeleng.

“Jadi saya rasa Cik Syazwani tidak perlu risau apa-apa pun kerana apa yang kita buat ni tidak menyalahi sebarang etika kerja!…” agak tegas kedengaran suara Airil Amri terus mempertahankan tindakannya itu.

Norsyazwani hanya membisu. Tidak tahu apa yang harus dikatakan kepada Airil Amri kerana apa yang dikatakan lelaki itu ada juga betulnya. Perlahan-lahan Norsyazwani mengangguk-ngangguk tanda memahami apa yang dikatakan oleh Airil Amri.

“Terima kasih banyak-banyak kerana Encik Amri benar-benar ikhlas belanja saya minum. Saya minta ma’af kalau pertanyaan saya tadi telah menyinggung hati Encik Amri…” akhirnya Norsyazwani berkata perlahan, cuba mengembalikan suasana harmoni antara mereka.

Airil Amri merenung wajah polos yang bertudung litup itu dengan penuh asyik bagaikan ada sesuatu yang menarik minatnya. Senyuman mesra terus terukir di bibirnya bagaikan seronok benar kerana Norsyazwani telah boleh menerima tindakkannya.

“Tiada apa yang nak diterima kasihkan kerana tak ada apa sangat pun yang saya belanja awak. Takat minum teh tarik dengan roti canai kosong ni, apalah sangat!.. Tapi saya seronok sangat sebab dapat berkenalan lebih rapat dengan awak…” balas Airil Amri, riang.

“Berkenalan lebih rapat?”

“Ya!.. saya mahu mengenali Cik Syazwani. Bukan sekadar sebagai Pegawai Pemasaran Teguh Sejati Holding tetapi sebagai seorang teman wanita yang saling memahami hati budi kita masing-masing…” tanpa mahu berselindung, Airil Amri menyatakan niatnya.

Norsyazwani tergamam mendengar pengakuan Airil Amri itu. Dengan mata yang membulat Norsyazwani terus merenung Airil Amri tanpa berkelip-kelip. Cuba menganalisa apa maksud sebenar yang tersirat dalam kata-kata lelaki itu.

Tanpa mengendahkan reaksi Norsyazwani itu, Airil Amri mengenyitkan matanya sambil terus mengukir senyuman mesra. Menentang tenungan gadis yang di hadapannya itu dengan penuh minat. Bagaikan sengaja mahu mencabar emosi Norsyazwani.

Jantung Norsyazwani bagaikan terhenti berdenyut melihat senyuman Airil Amri. Tidak dinafikan ia boleh mencairkan perasaan kewanitaannya. Perlahan-lahan dia menelan liurnya.

“Apa yang buat Encik Amri mahu mengenali saya dengan lebih rapat? Saya bukanlah sesiapa pun. Hanya seorang gadis kampung yang cuba mencari rezeki halal di Kuala Lumpur ini..” akhirnya Norsyazwani berkata, lirih.

“Gadis kampung yang bijak. Yang mempunyai keistimewaannya tersendiri… ” pintas Airil Amri. Jelas kedengaran ikhlas, memuji.

“Jangan memuji saya terlalu tinggi Encik Amri. Teruk saya nanti kalau jatuh, tiada siapa nak angkat..” Entah kenapa Norsyazwani tiba-tiba rasa teringin membalas usikan lelaki itu.

“Saya kan ada!.. Apa nak disusahkan?.. Kalau setakat Cik Syazwani yang kecil molek tu, bila-bila masa saya boleh dukung!..” balas Airil Amri pula sambil terus tersenyum nakal.

Lagi sekali Norsyazwani menjeling tajam ke anak mata Airil Amri sambil mengetapkan bibirnya. Seolah sedang menahan geram. Bagaimana pun Airil Amri yang terus tersenyum nakal itu hanya mengangkat-ngangkatkan keningnya. Tanda sentiasa bersedia dengan apa sahaja reaksi gadis itu selanjutnya.

Jelingan tajam Norsyazwani itu bagaikan tidak langsung memberi bekas di hati Airil Amri. Malah senyumannya semakin melebar. Melihat Norsyazwani masih membisu, sekali lagi Airil Amri mengenyitkan matanya seolah mencabar gadis itu untuk bersuara. Norsyazwani yang merasa lucu akan reaksi nakal Airil Amri itu tidak dapat lagi menahan derai tawanya. Lalu akhirnya turut tertawa terkekeh-kekeh.

“Betul ke Encik Amri larat nak dukung saya? Saya ni nampak ajer kecil tetapi berat tau!...” ujar Norsyazwani dengan suara yang perlahan apabila tawanya telah reda.

“Belum cuba belum tahu…” balas Airil Amri selamba, semakin berani.

“Eeemmm… dah, dah, dahh… kang ke mana pulak melarutnya kita ni. Eeerrr…Encik Amri kata tadi nak bincang dengan saya, pasal apa tu?” Norsyazwani segera menukar tajuk apabila melihat Airil Amri semakin galak mahu bergurau dengannya.

Airil Amri merenung tepat ke anak mata Norsyazwani dengan penuh minat bagaikan baru pertama kali bertentang mata, tanpa mengendahkan pertanyaan gadis itu.

“Encik Amri…” Norsyazwani segera menegur apabila lelaki itu terus merenungnya tanpa sebarang suara.

“Eeemmm…”

“Tak sangka Encik Amri suka berkhayal…” sindir Norsyazwani.

“Bukan berkhayal tetapi menikmati sesuatu kecantikan ciptaan Allah…”

“Apa dia?” Norsyazwani segera memandang sekeliling, mencari apa yang dimaksudkan oleh Airil Amri.

“Sesuatu yang saya mengharapkan akan mendapatkannya ketika pertama kali saya melihatnya!..” balas Airil Amri sambil terus merenung wajah Norsyazwani dengan penuh asyik.

Berdetup jantung Norsyazwani mendengar kata-kata Airil Amri itu. Adakah aku yang dimaksudkannya?... Hati kecil Norsyazwani terus bertanya-tanya sendirian.

“Tapi, apa kena mengenanya benda itu dengan saya?” risik Norsyazwani.

Because it is about you and me!..” sambil menunjukkan jarinya ke arah Norsyazwani dan kemudian kembali kepadanya, Airil Amri berkata dengan nada yang riang.

You and me?” Norsyazwani menjegilkan matanya, semakin keliru.

“Ya!.. you and me. Awak dan saya!..” Airil Amri mengulangi sambil menekankan suaranya.

“Oooh!.. saya benar-benar tak faham apa maksud awak, Encik Amri…” Norsyazwani bagaikan mengeluh, kesal.

“Tak mengapalah kalau Cik Syazwani tidak memahaminya sekarang. Satu hari nanti pasti Cik Syazwani akan memahaminya. Eeemmm… habiskanlah roti canai tu. Kalau dah sejuk tak sedap pulak nanti…” ujar Airil Amri agak terkilan dengan keluhan Norsyazwani itu.

Norsyazwani hanya mampu mengangguk dan kemudian turut menghabiskan roti canainya apabila melihat Airil Amri juga menyuap mee gorengnya dengan penuh selera.

“Cik Syazwani tinggal di mana?” Airil Amri bertanya ketika meletakkan sudu dan garpunya kembali ke pinggan yang sudah kosong.

Norsyazwani mendongak, menatap wajah lelaki yang duduk di hadapannya itu dengan tidak berkelip-kelip. Cuba menganalisa niat lelaki itu sambil mencari rasional samada dia perlu menjawab soalan yang ditanya.

“Subang Jaya…” bagaikan dipukau, jawapan itu meluncur laju dari mulut Norsyazwani sebelum sempat dia memikirkan rasionalnya.

“Dengan keluarga?”

“Tak!.. rumah sewa bersama dua orang kawan lain…”

“Oooh!.. Emak ayah di mana?”

“Emak ayah dah tiada…”

“Meninggal?”

Norsyazwani hanya mengangguk lemah sambil menghirup minumannya yang masih bersisa. Malas rasanya bercerita hal-hal keluarganya kepada orang yang baru dikenalinya.

“Oh, ma’afkan saya kalau soalan saya itu membuat Cik Syazwani sedih…”

“Tak mengapa… Dah itu takdir ALLAH…” balas Norsyazwani, bersahaja.

Airil Amri terus merenung wajah yang polos itu tanpa jemu.

“Eeemmm… kasihan saya mendengarnya. Habis tu Cik Syazwani sorang diri sajer ke di Kuala Lumpur ni?” Airil Amri merisik lagi.

“Taak!.. Abang long saya ada tinggal di Damansara…” satu ditanya, satu dijawab oleh Norsyazwani..

Airil Amri pula mengangguk-ngangguk seolah sedang menghayati jawapan Norsyazwani.

“Encik Amri… saya rasa dah agak lama juga kita di sini. Jadi saya nak minta diri dulu. Takut kalau balik lewat-lewat nanti, terlepas pula waktu magrib di rumah…” melihat Airil Amri yang masih membisu, segera Norsyazwani memohon sambil melihat jam tangannya.

Airil Amri turut melihat jam tangannya dan kemudian mengangguk-ngangguk seolah menyetujui apa yang dirisaukan oleh Norsyazwani itu. Mata mereka bertembung dan bertautan buat seketika apabila Norsyazwani yang berkira-kira mahu bangun terpaksa duduk kembali kerana terdengar telefon bimbit Airil Amri tiba-tiba berdering-dering minta di jawab.

Sebagai menghormati kawan yang telah bermurah hati membelanjanya minum, Norsyazwani mematikan niatnya untuk bangun, sebaliknya terus duduk sambil memerhatikan lelaki itu menjawab telefonnya.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.