Home Novel Cinta AKU TAK SALAH
AKU TAK SALAH
Kamsiah Abu
1/1/2014 18:47:29
70,881
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 16

“Hello!..” dengan nada yang agak tegang, Norsyazwani menjawab telefonnya.

Dia yang sedang membelek-belek borang permohonan kursus kahwin yang diberikan oleh Airil Amri semalam jadi agak jengkel apabila konsentrasinya terganggu oleh deringan telefon di atas mejanya yang seolah menjerit-jerit minta dijawab.

“Assalamualaikum. Kenapa garang sangat pagi ni, sayang?” kedengaran suara mersik Airil Amri memberi salam di hujung talian.

Tersentak Norsyazwani mendengar lelaki itu memanggilnya sayang dengan suara yang begitu romantis. Terasa cair hati Norsyazwani mendengarnya.

“Waalaikumussalam. Ma’af, saya ingatkan siapa tadi kerana saya agak sebuk sikit pagi ni. Mana awak tahu saya ada di pejabat? Kenapa tak telefon handphone saya?” Norsyazwani cuba mengendurkan suaranya apabila sudah mengenali suara yang memanggilnya.

“Sajer Am nak cuba telefon pejabat dulu. Kalau Hani tak jawab bermakna Hani tiada di pejabat dan mungkin ada di pusat pameran. Lepas tu barulah Am akan cuba telefon handphone pula. Rezeki pagi ni, telefon sekali terus dapat…” kedengaran suara riang Airil Amri.

“Eeemm… ada hal apa yang awak telefon saya pagi-pagi ni?”

“Kenapa? Tak boleh ke?”

“Bukan tak boleh, tetapi terkejut juga kerana pagi-pagi lagi awak dah telefon…”

“Sajer nak pastikan Hani dah selamat sampai pejabat ke belum. Hani pergi kerja tadi naik apa?” dengan nada penuh prihatin Airil Amri bertanya.

Airil Amri tahu yang Norsyazwani pergi kerja menaikki komuter kerana kereta wanita itu telah ditinggalkan di pejabat semalam. Airil Amri telah menghantarnya terus pulang ke rumah selepas mereka makan di Seri Bayu Restoran. Puas Airil Amri memujuk Norsyazwani agar dia datang menjemputnya pagi ini. Tetapi Norsyazwani menolak kerana tidak mahu menyusahkan lelaki itu yang terpaksa berpusing jauh dari rumahnya ke rumah Norsyazwani.

Namun Airil Amri tetap mahu Norsyazwani merasakan bahawa dia adalah seorang yang amat prihatin terhadap keselamatan insan-insan yang penting dalam hidupnya. Dan sebab itulah pagi-pagi lagi Airil Amri sudah menelefon Norsyazwani dengan harapan gadis itu akan segera menerima lamarannya.

“Naik komuter!...” jawab Norsyazwani selamba.

“Ramai orang tak?”

“Pagi-pagi memang ramai sebab semua orang nak pergi kerja…”

“Itulah… Am nak datang ambil Hani, Hani tak bagi. Kan dah susah terpaksa berebut-rebut naik komuter…” ujar Airil Amri dengan nada agak kesal.

“Tak mengapa. Belajarlah bersusah-susah sikit. Dulu pun semasa saya belum beli kereta, macam tu juga, berebut-rebut naik komuter...” balas Norsyazwani bersahaja.

“Kalau Hani dah jadi isteri Am, Am tidak akan benarkan isteri Am bersusah-susah begitu. Am akan pastikan isteri Am akan sentiasa selesa dan selamat…” kedengaran Airil Amri bagaikan memberi amaran.

Norsyazwani terkedu mendengar kata-kata Airil Amri yang begitu lancar. Oh!.. sungguh-sungguh benar nampaknya lelaki ini mahu aku menjadi isterinya. Mengapa ya? Apa yang ada padaku sehingga boleh membuat dia terpikat padaku dalam jangka masa perkenalan yang begitu singkat?... Hati kecil Norsyazwani terus tertanya-tanya penuh kehairanan.

“Tapi belum tentu lagi kita akan jadi suami isteri…” entah kenapa, laju sahaja kata-kata itu terpantul dari mulut Norsyazwani.

“Itu kata Hani. Tapi kalau ALLAH dah tentukan jodoh kita berdua, tiada siapa boleh halang. Hani pun tak boleh nak menolaknya…” balas Airil Amri penuh yakin.

Lagi sekali Norsyazwani terkedu. Lelaki ini memang betul-betul sudah gila bayang!.. getus hati kecil Norsyazwani walaupun semasa melamarnya semalam Airil Amri telah pun mengakui yang dia telah benar-benar jatuh hati pada Norsyazwani sejak pertama kali mereka bertemu.

Tetapi, kalau memang betul dia ikhlas mahu mengahwini aku, apa lagi yang perlu aku tunggu? Dia baik, romantis dan berbudi bahasa. Jadi apa lagi yang aku mahu cari dari seorang lelaki untuk menjadi calon suami?... hati kecil Norsyazwani yang sebelah lagi pula seolah cuba memujuknya.

“Memang saya tidak boleh menolak takdir ALLAH. Tetapi saya yakin ALLAH juga tidak zalim untuk membiarkan saya tanpa ada peluang untuk membuat pilihan…”

“Hani rasa Am bukan pilihan yang baik untuk Hani?” Airil Amri segera memintas.

“Saya tidak bermaksud begitu…”

“Jadi, apa sebenarnya yang Hani maksudkan?” soal Airil Amri tambah tidak sabar.

Norsyazwani terkedu mendengar soalan Airil Amri itu. Dia menelan liurnya seolah cuba mencari kata-kata yang sesuai sebelum menjawab pertanyaan lelaki itu.

“Tidakkah awak akan rasa menyesal nanti kerana mengambil keputusan terburu-buru begini? Saya bukanlah sesiapa yang istimewa yang boleh awak banggakan sebagai isteri awak nanti…” ujar Norsyazwani sambil cuba merisik kejujuran lelaki itu.

“Am nak berkahwin dengan Hani bukan untuk berbangga-bangga tetapi kerana cinta!..”

“Awak cintakan saya?” tanpa mahu berselindung, Norsyazwani segera bertanya.

“Perlukah ia diucapkan? Bagi Am, cinta adalah perbuatan. Ia tidak memberi erti jika hanya dibuktikan dengan ucapan semata-mata. Ia perlu dibuktikan melalui perbuatan yang menjurus kepada perasaan cinta itu. Contohnya, kita cinta kepada ALLAH dan RasulNYA, maka untuk menunjukkan cinta kita itu, kita perlu melaksanakan semua perintahNYA…”

“Maksud awak?” pintas Norsyazwani agak teruja.

“Bukankah perkahwinan itu matlamat cinta antara lelaki dan perempuan? Jadi salahkah kalau Am mahu berkahwin dengan Hani kerana mahu membuktikan cinta Am?” soal Airil Amri seolah sengaja mahu Norsyazwani mentafsir apa yang dimaksudkannya.

Entah untuk keberapa kalinya Norsyazwani terkedu pagi itu. Namun jauh di sudut hatinya berdetik juga rasa gembira kerana itu bermakna dia tidak bertepuk sebelah tangan. Norsyazwani tidak dapat menafikan bahawa hatinya memang telah mula terpikat dan sentiasa bergetaran apabila melihat senyuman Airil Amri yang amat menggoda pada saat pertama kali mereka keluar bersama kelmarin dulu. Ditambah pula dengan sikap prihatin dan romantis lelaki itu yang benar-benar boleh mencairkan jiwanya. Norsyazwani tidak dapat lagi menolak rasa cinta yang sudah mulai memekar dalam hatinya.

“Tidakkah awak terfikir bahawa saya mungkin telah mencintai orang lain sekarang?” Norsyazwani tiba-tiba mahu menduga sejauh mana cinta lelaki itu terhadapnya.

“Adakah Hani mencintai orang lain sekarang?” Airil Amri sebaliknya bertanya seolah sengaja memerangkap Norsyazwani supaya menjawab soalannya sendiri.

Norsyazwani tersentak dengan soalan itu. Oh!.. lain yang ku mahu, lain pula jadinya… getus hati kecil Norsyazwani agak kesal.

“Kenapa Hani diam? Betul ke Hani sedang bercinta dengan orang lain?” kedengaran Airil Amri terus mengasak lagi.

“Kalau ada, awak nak buat apa?” Norsyazwani tiba-tiba ingin mencabar.

“Siapa lelaki itu?”

“Untuk apa awak nak tahu siapa?”

“Untuk bertemu dengannya dan bertanya kepadanya kenapa dia sanggup membiarkan cinta you all berdua tergantung begitu sajer tanpa matlamat…” balas Airil Amri selamba.

“Maksud awak?” Norsyazwani keliru.

“Kalau benar-benar dia cintakan Hani, mengapa tidak dia buktikan cinta itu dengan cara yang terhormat dan bermaruah iaitu melalui perkahwinan yang sah?” soal Airil Amri lebih berani.

Norsyazwani tersentak lagi. Lelaki ini benar-benar nekad nampaknya!..bisik hati kecilnya.

“Jadi awak rasa awak telah membuktikan cinta awak dengan cara terhormat?” Norsyazwani terus menduga.

“Ya!.. Sebab itu Am melamar Hani untuk menjadi isteri Am yang sah. Demi cinta, Am sanggup lakukan apa sahaja agar wanita yang Am cinta akan sentiasa mendapat perlindungan dari Am. Hani masih ragu dengan Am?” Airil Amri terus mencari kepastian.

Norsyazwani benar-benar terkedu dengan kata-kata dan pertanyaan Airil Amri. Entah mengapa hatinya sendiri bagaikan meronta-ronta untuk terus sahaja menerima lamaran lelaki itu. Norsyazwani dapat bayangkan betapa indahnya hidup dengan lelaki yang amat bertanggung jawab begitu.

“Saya tidak pernah meragui kejujuran awak…”

“Alhamdulillah!.. Adakah ini bermakna Hani menerima lamaran Am?” soal Airil Amri dengan suara yang amat jelas membayangkan keterujaannya.

“Kalau ALLAH sudah tentukan jodoh saya adalah awak, apa lagi yang mampu saya lakukan…” balas Norsyazwani dengan penuh maksud tersirat.

“Dan Hani akan sanggup tinggalkan lelaki yang sedang Hani cinta hanya kerana Am?” Airil Amri seolah menduga.

Norsyazwani menelan air liurnya kerana terkesima dengan pertanyaan Airil Amri yang tidak disangkanya itu.

“Saya belum pernah mencintai mana-mana lelaki dalam hidup saya!.” tangkis Norsyazwani.

“Jadi tak perlulah Am berdepan dengan sesiapa untuk membuktikan cinta Am terhadap gadis yang Am cinta? Alhamdulillah…” ujar Airil Amri dengan nada lega.

“Tapi awak masih perlu berdepan dengan lelaki yang bertanggung jawab ke atas diri saya sekarang ini. Itu awak tidak boleh lari...” segera Norsyazwani mengingatkan.

“Siapa? Abang Hani? Itu sudah pasti. Am tahu adap sopan dan budaya kita orang Melayu. Janganlah Hani bimbang tentang itu. Bila-bila masa sahaja Am sanggup untuk bertemu dengan abang Hani. Jadi bila Am boleh bawa Hani balik jumpa emak Am? Supaya dia boleh tahu akan persetujuan Hani menerima lamaran Am!..” Airil Amri bagaikan tidak mahu melepaskan peluang.

“Emak awak dah tahu ke pasal niat awak tu?”

“Dah!.. dan dia amat teruja untuk bertemu dengan bakal menantunya!..”

“Oh!..” tanpa menyedarinya terlontar keluhan bagaikan terkejut dari bibir Norsyazwani.

“Kenapa Hani terkejut?” soal Airil Amri agak hairan.

“Saya tak sangka begitu cepat awak memberitahu emak awak pasal saya…”

“Kerana bagi Am, sesuatu yang baik itu jangan ditangguh-tangguhkan…”

“Awak begitu yakin mahu berkahwin dengan saya walaupun awak belum mengenali diri saya sepenuhnya…” komen Norsyazwani, sengaja mahu menduga.

“Am yakin ALLAH tahu apa yang dilakukanNYA. Sebab itu DIA terus membuka hati Am untuk memilih Hani sebagai isteri Am walaupun Am pernah berkenalan dengan ramai perempuan lain sebelum ini. Proses mengenal hati budi akan lebih mudah jika kita sudah terikat dengan hubungan yang halal…” Airil Amri memberikan hujjahnya bagi meyakinkan Norsyazwani.

Norsyazwani benar-benar terpegun dengan setiap kata yang diucapkan oleh Airil Amri sehingga membuat Norsyazwani tidak upaya lagi mematahkan setiap fakta yang diberinya.

“Alhamdulillah kerana awak sudi memilih saya dengan cara yang terhormat begini. Semoga ALLAH akan sentiasa memberkati hubungan kita kelak…” balas Norsyazwani akhirnya.

“InsyaALLAH. Jadi bila Hani nak jumpa emak Am?” Airil Amri mengulangi pertanyaannya yang masih belum dijawab oleh Norsyazwani.

“Eeeemmm… hari ni Juma’at, jalan selalunya jem teruk pada waktu petang. Takut lambat pula saya sampai rumah. Macam mana kalau hari Sabtu nanti?..” Norsyazwani mencadangkan.

“Okey!.. Hari Sabtu Am datang ambil Hani di rumah ya!.. Boleh Am suruh emak masak lauk sedap-sedap untuk kita makan tengahari..”

“Eh!.. janganlah susah-susahkan emak awak. Saya hanya nak jumpa dia. Bukan nak makan tengahari kat rumah awak!..” segera Norsyazwani memintas.

“Okey, kalau begitu Am datang ambil Hani awal sikit dalam pukul 10.00 pagi. Jadi Hani boleh tolong emak Am masak. Macam mana? Am pun teringin juga nak rasa masakkan Hani..” sambil tertawa kecil, Airil Amri mengusik.

“Ooohh!.. pandai awak nak kenakan saya ya!...”

“Apa pulak kena mengena? Eloklah Hani tolong emak Am masak. Biar dia lebih sayang kat bakal menantu dia tu…” Airil Amri semakin seronok mengusik.

“Eeemmm… suka hati awaklah. Malas saya nak bertekak dengan awak kerana ada sajer jawapan awak. Okeylah, saya ada report yang nak kena siapkan segera ni, jadi ma’afkan saya ya!.. Nanti hari Sabtu awak telefonlah saya dulu sebelum datang ya!.. Assalamualaikum!..” ujar Norsyazwani sambil mahu memutuskan talian.

“Waalaikumussalam. Okey Hani, sampai jumpa lagi hari Sabtu. Oh ya!.. jangan lupa borang permohonan kursus tu ya!..” mahu tidak mahu Airil Amri terpaksa menjawab salam Norsyazwani sambil sempat mengingatkan.

Airil Amri terus merenung telefon yang sudah diputuskan taliannya sambil tersenyum lega.

Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.