Home Novel Cinta AKU TAK SALAH
AKU TAK SALAH
Kamsiah Abu
1/1/2014 18:47:29
70,666
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 17

Hajjah Saleha tersenyum sendirian tanda merasa amat puas hati. Matanya terus memerhatikan Norsyazwani yang begitu bersopan santun menyusun pinggan di atas meja.

“Sudah berapa lama Wani berkawan denga Am?” sambil terus tersenyum mesra Hajjah Salehah bertanya Norsyazwani.

Norsyazwani tersentak seketika. Tidak tahu bagaimana mahu memberitahu wanita separuh abad itu akan tindak tanduk anak lelakinya yang begitu nekad dan bersungguh-sungguh sehingga membuatkan Norsyazwani tidak berupaya untuk menolak lamarannya.

“Taklah berapa lama sangat makcik. Tetapi cukuplah untuk memahami hati dan perasaannya...” akhirnya Norsyazwani menjawab perlahan dengan penuh maksud tersirat.

“Alhamdulillah… senang hati makcik bila mendengar Wani boleh memahami hati dan perasaan Amri. Tidaklah makcik risau sangat pasal dia lagi..” jelas kedengaran riak lega dalam suara Hajjah Salehah.

“Tetapi kenapa makcik risau?” soal Norsyazwani, dengan rasa penuh keperihatinan.

Hajjah Salehah merenung wajah lembut Norsyazwani yang begitu ayu dipandangannya walau pun gadis itu bertudung litup dan tanpa alat solek yang tebal. Perasaan sayang dan kasih terhadap gadis itu bagaikan tiba-tiba menerjah hati Hajjah Salehah.

Patutlah Am beriya-iya benar mahu berkahwin dengannya!.. Emak pun sudah jatuh sayang padanya walau pun baru pertama kali berjumpa. Semoga engkau akan bahgia bersamanya, nak!.. sempat hati kecil Hajjah Salehah berbisik sendirian.

“Sebenarnya memang makcik agak terkejut bila Amri beritahu yang dia sudah terbuka hati untuk berkahwin dalam waktu terdekat ini, kerana sebelum ini dia memang tidak mahu berkahwin walau pun ramai kawan perempuan yang telah dikenalinya…” ujar Hajjah Salehah sambil terus merenung gadis di hadapannya itu dengan penuh perasaan kasih.

“Oh!.. iya ke? Tetapi kalau tak menjadi keberatan makcik, boleh ke saya tahu kenapa Encik Amri tidak mahu berkahwin sebelum ini?” agak berhati-hati Norsyazwani bertanya, sengaja mahu merisik lebih lanjut tentang lelaki yang telah berjaya mengetuk pintu hatinya itu.

“Dia pernah rasa…”

“Amboi!... apa yang seronok sangat emak dan Hani bincangkan? Sampai Am panggil dari luar pun tak dak siapa yang dengar!..”

Tiba-tiba suara Airil Amri dengan nada nakal dan gembira mengusik mereka sehingga Hajjah Salehah tidak sempat mahu menghabiskan kata-katanya.

“Heh, kamu ni Am!.. Masuk rumah tak reti nak beri salam ke? Nasib baik mak tak ada sakit jantung, kalau tidak mahu pengsan mak dibuatnya kerana terkejut!..”

Hajjah Salehah segera berpaling dan menegur Airil Amri yang baru balik dari kedai. Hajjah Salehah menyuruh anak lelakinya itu mencari buah-buahan untuk dibuat pencuci mulut selepas makan tengahari nanti.

Norsyazwani yang turut berpaling segera memandang tepat ke arah Airil Amri dengan kening yang berkerut. Seolah menyokong kata-kata Hajjah Salehah di atas reaksi Airil Amri yang membuatkan mereka terkejut. Hakikatnya Norsyazwani juga rasa amat terkilan kerana Hajjah Salehah tidak dapat meneruskan ceritanya tentang kenapa Airil Amri tidak mahu berkahwin sebelum bertemunya tempoh hari.

“Am dah beri salam beberapa kali tapi emak tak dengar. Tu yang Am terus cari kat dapur ni. Nak tahu juga apa yang buat emak dengan Hani khusyuk sangat sampai tak dengar Am dah balik dari kedai tadi…”

Terus dengan senyuman mesra, Airil Amri membela diri sambil meletakkan buah tembikai dan buah anggur yang dibelinya ke atas kabinet dapur berhampiran di mana Norsyazwani sedang berdiri. Sempat dia mengenyitkan matanya ke arah Norsyazwani yang kebetulan sedang memerhatikannya. Jiwa Norsyazwani bagaikan melayang melihat reaksi romantis Airil Amri itu.

“Hah, Aina!... mari potong buah yang abang kamu beli ni…” Hajjah Salehah memanggil anak gadisnya yang sedang membancuh air untuk mereka makan nanti.

“Tak apa makcik, biar Wani yang potong…” segera Norsyazwani mengambil buah tembikai dari atas cabinet dapur itu sambil mencari pisau untuk memotongnya.

“Tak apalah Kak Wani. Pergilah Kak Wani duduk temankan abang Am. Kak Wani tetamu kami, jadi biar Aina sajer yang potong buah ni…” Aina yang baru sahaja meletakkan jug air di atas meja segera menarik perlahan buah tembikai itu dari tangan Norsyazwani.

“Betul Wani. Biarlah Aina yang potong buah tu. Wani pun dah penat tolong makcik masak tadi. Marilah duduk dulu sementara kita tunggu Aina siap potong buah tu. Lepas tu kita boleh makan sama-sama…” saran Hajjah Salehah sambil turut menarik kerusi di sebelah Airil Amri.

“Hah? Wani ke yang masak tadi mak? Padanlah sedap baunya!..” Sambil tersenyum nakal, Airil Amri bertanya ibunya.

Airil Amri membongkok sambil sengaja menarik nafas panjang seolah cuba mencium aroma makanan yang sudah terhidang di atas meja.

“Iyalah!... Dah kamu yang dera dia suruh masak tadi, jadi dia masaklah…” dengan nada nakal juga Hajjah Salehah sengaja mengusik anak lelakinya itu.

Norsyazwani yang baru duduk bertentangan dengan Airil Amri hanya menunduk, malu.

“Eeemmm… tak sabar rasanya nak suruh Wani tinggal terus dengan kita!..” Airil Amri berkata sambil menjeling manja ke arah Nosyazwani yang kelihatan tersipu-sipu.

“Betul, Wani… Makcik pun setuju betul dengan apa yang Am cakap tu. Tak sabar rasanya nak tengok kamu berdua disatukan. Moga-moga sempatlah makcik melihat cucu sebelum makcik menutup mata nanti…” sokong Hajjah Salehah, mesra.

Merah padam muka Norsyazwani menahan malu. Segera dia menjeling tajam ke arah Airil Amri seolah memprotes. Namun Airil Amri terus memerhatikannya dengan senyuman nakal. Bagaikan seronok benar kerana mendapat sokongan padu ibunya.

“Saya tak berani komen apa-apa pasal tu makcik, kerana saya masih ada abang kandung yang bertanggung jawab ke atas diri saya sekarang…” Norsyazwani cuba berhelah agar tidak dikatakan tidak tahu adat atau bersopan.

“Ooohhh!... itu tidak menjadi masaalah. Memang makcik dan Amri dah cadang nak jumpa dengan abang Wani esok supaya dapat kita bincangkan hal kamu berdua ni. Abang Wani tinggal di mana?” komen Hajjah Salehah sambil bertanya.

“Dia tinggal di Damansara. Tetapi saya tak tahu samada dia ada di rumah atau tidak esok. Lagi pun dia tak tahu apa-apa pasal saya dah berkenalan dengan Encik Amri. Saya khuatir dia akan terkejut jika makcik dan Encik Amri terus pergi jumpa dia nanti…” balas Norsyazwani menyuarakan kebimbangannya. Kurang selesa dengan tindakan mereka yang tergesa-gesa itu.

“Eeemmm… kalau macam tu, petang nanti Wani cubalah beritahu abang Wani tu serba sedikit pasal kamu berdua ni. Kalau dia tidak keberatan dan ada kelapangan esok, Wani bertiahulah Am. Jadi bolehlah kami pergi berbincang dengan abang Wani tu esok..” Hajjah Salehah terus mencadangkan.

Airil Amri yang sentiasa tersenyum mesra terus memerhatikan Norsyazwani dengan penuh minat. Dia hanya mengangguk-ngangguk tanda setuju dengan cadangan ibunya itu.

Norsyazwani menarik nafas dalam-dalam seolah cuba mencari lebih oksigen untuk membolehkannya terus bernafas. Hakikatnya Norsyazwani tidak tahu macam mana mahu membuka mulut kepada Abang Longnya tentang hubungannya dengan Airil Amri itu. Pasti Abang Longnya akan terkejut besar kalau diberitahu yang dia baru berkenalan dengan Airil Amri selama lebih kurang seminggu sahaja.

“Kenapa Hani? Hani ada masaalah ke dengan abang Hani?” Airil Amri cuba merisik.

“Taaakk!... Cuma saya tak tahu macam mana nak beritahu dia pasal lamaran Encik Amri itu. Saya yakin dia akan terperanjat kerana dia tahu yang saya tidak pernah berkawan rapat dengan mana-mana lelaki sebelum ini…” akhirnya Norsyazwani berkata perlahan seolah serba salah.

“Apa yang Hani nak susahkan. Berterus terang sahajalah kepadanya yang kita telah jatuh cinta pandang pertama. Dan untuk menjaga tata susila serta adap sopan ugama Islam, kita mengambil keputusan untuk berkahwin bagi mengelakkan sebarang perkara yang akan mendorong kepada kemaksiatan. Bukankah itu lebih baik dari kita terus berhubungan tanpa ikatan yang sah? Am yakin abang Hani akan memahaminya…” dengan penuh yakin Airil Amri mencadangkan untuk membantu Norsyazwani.

Oh!.. lelaki ini memang hebat. Tiada masaalah yang jadi masaalah padanya. Semuanya boleh diselesaikan dengan mudah!... Hati kecil Norsyazwani berdetik sendirian. Mengkagumi kewibawaan Airil Amri menangani sebarang perkara yang dianggap sulit oleh Norsyazwani.

Hajjah Salehah pula yang mengangguk-ngangguk kali ini sebagai tanda setuju dengan segala apa yang dikatakan oleh anak lelakinya itu. Hanya Norsyazwani sahaja yang masih kelihatan agak tidak yakin untuk berterus terang dengan Abang Longnya. Norsyazwani tahu Abang Longnya amat mengambil berat akan hal dirinya dalam segala aspek, maka pasti banyak soal jawab yang harus ditanganinya nanti.

“Eeeemmm… saya tak berani janji yang abang saya akan percaya dengan mudah terhadap apa yang Encik Amri cadangkan itu kerana dia agak teliti orangnya…” ujar Norsyazwani.

Airil Amri memandang ke arah ibunya sambil mengangkatkan keningnya seolah memohon pendapat dan nasihat wanita separuh abad itu.

“Macam nilah, Wani… Wani beritahu abang Wani yang Wani ada kawan dan dia ingin nak bawa emaknya berjumpa dengan abang Wani tu…”

“Kalau dia tanya kenapa, apa saya nak katakan?” pintas Wani masih agak musykil.

“Katalah yang Wani tak tahu kenapa tetapi kawan Wani dan emaknya hendak sangat bertemu dengan abang Wani tu… Makcik yakin kalau Wani beritahu dia sungguh-sungguh, pasti dia tidak akan menolak kerana dia pasti mahu tahu kenapa kan?...” ujar Hajjah Salehah.

Lagi sekali Norsyazwani menarik nafas panjang sambil melemparkan pandangannya keluar tingkap. Seolah sedang memikirkan logiknya saranan Hajjah Salehah itu. Sementara Airil Amri terus memerhatikan Norsyazwani dengan penuh keterujaan seolah tidak sabar untuk mengetahui reaksi gadis itu selanjutnya.

“InsyaALLAH, saya akan cuba yakinkan Abang Long saya…” akhirnya Norsyazwani memberikan pengakuannya.

Kelihatan Airil Amri tersenyum lega. Begitu juga Hajjah Salehah sambil mengelus lembut bahu Norsyazwani sebagai tanda menghargai usaha gadis itu. Jauh di sudut hati Hajjah Salehah, sudah timbul rasa sayang pada gadis yang bakal menjadi isteri anaknya itu. Dapat dirasakannya bahawa Norsyazwani adalah jauh lebih baik dari arwah Norshamsinar.

Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.