Home Novel Cinta Tentang Martin
Tentang Martin
Ann Hann
5/12/2018 08:08:26
53,228
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Prolog

Prolog

Ingatkah kau ketika kali kedua kita bertemu? Ketika aku menyangka kau akan membenciku seumur hidupmu. Ketika aku berlutut di depanmu memohon maaf dan kau lantas menarikku berdiri. Itulah hari aku membenci diriku sendiri. Tapi katamu, itulah hari dan detiknya jantungmu berdebar aneh yang kau sendiri tak tahu mengapa…

Ingatkah kau, degup jantungmu bunyi paling indah dalam tidur malamku? Kau membisikkan betapa dirimu bertuah kerana aku akhirnya menjadi milikmu. Itulah malam yang takkan pernah aku lupakan. Kau turut memakai baju warna kesukaanku. Kita menikmati kopi pahit dalam cawan yang sama. 

Katamu, dalam setiap aku dan kau wujud pro dan kontra yang akan buat kita berdua saling melengkapi kehidupan ini. 

Bagai montaj yang kabur, sebelum perlahan-lahan menjadi jelas, aku menemukanmu… saat aku bergelut dengan waktu-waktu perih yang hampir menewaskan diriku. 

Dan… kau muncul bersahaja. Dengan membawa api marak bersemangat yang mengajar aku tentang betapa sulitnya hidup kalau aku tidak berfikir dengan betul dalam membuat pilihan.

Aku, bukanlah orang bertuah, jauh dari perkataan kaya. Aku selalu menyangka hidupku hanyalah berdasarkan nasib malang yang mendorong aku untuk terus mencuba perkara-perkara yang orang lain anggap sebagai keajaiban. Kau betul, kejayaan bukan datang bergolek terus ke kaki kita. Sebelum aku tiba kepada perkataan itu aku seringkali jatuh tersungkur, berkali-kali kecewa dan hampir putus asa.

Begitupun aku tak pernah melaluinya dengan mudah, setiap perjalanan kisahku bagai dipenuhi edan yang menyeksa. Walaupun kesakitan itu sedang membuat denyut nadiku semakin perlahan… memerangkap tubuhku dalam kegelapan yang menakutkan kenyataannya. Aku takut memikirkan adakah aku akan dapat bertemumu lagi, aku benar-benar tak tahu. 

Aku memekik ketakutan kerana terkejut hingga jatuh tertiarap di atas permaidani dengan debunya berterbangan saat aku terbaring tidak bermaya sambil merintih dengan seluruh tubuhku menggeletar kuat.

Semangatku kembali lemah, tetapi fikiranku mendesak aku bangun, bangun Lila, bangkit! kau harus kuat, kau sudah melalui semua ketakutan, kau harus mencari Martin! selamatkan Martin, dia sedang menunggumu…


Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.