Home Novel Cinta Operasi Bulan Madu
Operasi Bulan Madu
Aini Marisha Marisha
31/12/2013 20:56:48
90,867
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Dia tak diam telah dua minggu Faizal bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di sini. Dan dalam dua minggu itu jugalah dia sering melihat Amira Saira yang juga turut bertugas di balai yang sama. Walaupun perubahan fizikal Amira telah banyak berubah namun senyuman manisnya tetap sama seperti dulu. Cuma senyuman itu tidak pernah diberikan kepada Faizal. Faizal hanya dapat melihatnya apabila Amira Saira berbual dengan kawan-kawannya atau dengan pegawai yang lain.

Faizal tahu Amira Saira sangat marah padanya. Mungkin juga sehingga sekarang perasaan marah itu masih lagi merah membara kerana Amira Saira tidak pernah menunjukkan tanda-tanda bahawa dia telah memaafkan Faizal. Faizal sedar dia yang bersalah. Oleh itu dia tidak mahu terburu-buru mendekati Amira Saira walaupun dia boleh mengeluarkan apa sahaja arahan memandangkan dia adalah ketua jabatan di sini.

Faizal mengimbas kembali kenangan semasa mereka bersekolah dahulu. Faizal tergelak sendiri apabila dia teringatkan kenakalannya di sekolah. Memang dia akui dia agak nakal. Bukan sekali, bahkan telah banyak kali Cikgu Hasnol memanggilnya ke bilik guru atas kesalahan disiplin yang telah dilakukannya. Pernah sekali dia meletakkan sirap merah atas kerusi Fatin yang terkenal kerana kecantikannya di sekolah mereka. Fatin memandangnya sebelah mata kerana dia tidak sekacak pelajar-pelajar lelaki lain di sekolah mereka malah Fatin membencinya dan sering mengejeknya dengan perkataan cicak kubing. Tanpa dilihat oleh seseiapa, dia meletakkan beberapa titik sirap ros di atas kerusi Fatin. Fatin langsung tidak sedar perkara ini dan apabila dia bangun, semua mata memandang ke bahagian belakangnya kerana sirap itu kelihatan seperti darah haid yang meresap ke bajunya. Merah padam muka Fatin kerana malu dan Faizal yang memerhatikan dari jauh ketawa besar sampai meleleh-leleh air mata. Mana tidaknya, dia dapat melihat Fatin yang berjalan tersipu-sipu menuju ke bilik air sambil menutup belakang bajunya dengan kertas lukisan besar.

“Apa kena kau ni Fatin? Period tembus ke?” tanya Faizal, sengaja hendak memalukan Fatin. Fatin hanya memuncung dan terus berlari-lari ke tandas perempuan. Faizal dan kawan-kawannya ketawa berdekah-dekah sehingga berair mata. Dan sehingga kini Faizal yakin tiada siapa yang tahu bahawa dia lah yang melakukan perkara itu kepada Fatin.

“Apa kena dengan kamu ni Faizal? Saya terima banyak sangat aduan. Dari guru-guru, dari pelajar, dari orang luar..... Apa masalah kamu ni sebenarnya?” Cikgu Hasnol bertanya dengan pandangan yang tajam. Wajahnya serius tanpa sebarang senyuman yang terpamer. Faizal hanya tunduk memandang lapik meja berbunga-bunga kecil warna biru. Jari-jarinya menarik-narik plastik putih yang dihamparkan di atas meja itu. Dia bosan sebenarnya. Setiap kali ada aduan, dia akan dipanggil. Setiap kali ada pelajar perempuan yang menangis, dia akan dipanggil. Bosan! Dia memang bosan. Di rumah, bapanya selalu terjerit jerit memarahinya. Di sekolah pula guru disiplin iaitu Cikgu Hasnol pula menggantikan peranan bapanya dalam soal siasat. Apa yang mereka mahu daripadanya? Salahkah sekiranya dia ingin bergurau dan bermain-main dengan kawan-kawannya sendiri?

Dia bukannya membunuh orang malah memegang pun tidak. Hanya kata-kata yang agak kasar tidak akan mencacatkan anggota tubuh pelajar-pelajar yang diusiknya itu. Manja sangat. Usik sikit pun tak boleh.....ejek Faizal dalam hatinya. Dia tersenyum sendiri tanpa sedar yang cikgu Hasnol masih memerhatikan setiap tindak tanduknya.

“Kenapa awak senyum-senyum ni Faizal? Kenapa awak tak jawab soalan saya?” Cikgu Hasnol masih cuba untuk bersabar dengan kerenah anak muda di hadapannya.

“Apa lagi yang saya nak jawab cikgu? Saya bukannya buat apa-apa. Usik-usik je. Bukannya luak pun. Dia orang tu yang manja sangat....,” jawab Faizal selamba. Sama seperti jawapannya dalam kes-kes yang lain.

“Itu kata awak....awak mendefinasikan perbuatan awak sebagai usik sahaja, tapi tidak bagi pelajar tersebut. Mereka merasakan usik-mengusik awak tu dah keterlaluan sehingga memalukan mereka. Awak panggil orang dengan gelaran yang tak sepatutnya, bubuh katak, usik barang-barang mereka...semua ini memberikan tekanan kepada pelajar tersebut...,” tegas Cikgu Hasnol. Nada suaranya agak tinggi kerana dia mahu Faizal sedar bahawa perbuatannya adalah salah.

Katak? Gelaran yang mengaibkan? Ha! Dia sudah tahu siapa yang membuat aduan kali ini. Tentu budak gemuk bernama Amira itu. Faizal mahu tergelak apabila kejadian Mira menjerit kerana gelikan katak bermain semula di matanya. Tetapi apabila melihatkan wajah Cikgu Hasnol yang masih serius, sedaya upaya Faizal cuba menahan perasaan geli hatinya. Huh! Padan muka kau! Kau tak kenal siapa Faizal! Getus hati Faizal bangga kerana telah berjaya mengenakan Amira.

“Faizal?” panggil Cikgu Hasnol dengan suara yang tinggi apabila dilihatnya Faizal tidak mengendahkan kata-katanya.

“Errr..ya cikgu?” Tergagap-gagap Faizal menyahut. Kecut juga perutnya apabila mendengar nada suara Cikgu Hasnol yang tinggi.

“Kenapa awak tak jawab?” tanya Cikgu Hasnol dengan pandangan yang tajam.

“Saya nak jawab apa lagi cikgu? Saya main-main aje,” jawab Faizal selamba. Malas dia hendak bertekak dengan Cikgu Hasnol tentang apa yang telah berlaku.

“Saya nak awak minta maaf dengan dia.” Tiba-tiba sahaja Cikgu Hasnol membuat keputusan tanpa sebarang pertimbangan lain lagi.

“Dengan siapa cikgu?” tanya Faizal pura-pura tidak tahu.

“Awak jangan buat-buat tak tahu, Faizal,” ujar Cikgu Hasnol. Geram sungguh dia melihat sikap Faizal yang langsung tidak bertanggungjawab. Sementara itu tangannya menulis sesuatu di dalam diari tugasannya di sekolah.

“Betul cikgu,” serentak itu juga Faizal mengangkat tangan kanannya seolah-olah sedang bersumpah.

“Jangan nak bersumpah-sumpah pulak. Lepas ni saya nak awak minta maaf dengan Amira,” ujar guru kaunseling itu dengan wajah yang serius.

Faizal tersenyum. Betul tekaannya. Amira Saira yang telah membuat aduan mengenainya. Minta maaf? Mungkin boleh tapi aku tidak akan mengalah dengan engkau semudah itu Amira....bisik hati Faizal geram.

“Baik cikgu, saya janji akan pergi mintak maaf dengan dia nanti,” ujar Faizal dengan wajah yang disedihkan penuh kepura-puraan.

Tetapi ternyata guru yang telah mempunyai banyak pengalaman mengendalikan kerenah pelajar-pelajar sekolah tidak mudah tertipu dengan sekadar reaksi luaran. Cikgu Hasnol mengulum senyum di hujung bibir.

“Tak semudah itu Faizal...,” ujarnya dengan senyuman sinis. Faizal mendongak - hairan.

“Pukul 11.00 pagi, saya akan panggil Amira ke bilik kaunseling dan awak akan meminta maaf kepadanya di hadapan saya,” jelas cikgu Hasnol. Dia memandang wajah Faizal cuba mencari reaksi anak muda itu.

Ada tanda kejutan terpamer di wajah anak muda itu. Reaksinya seolah-olah cuba membantah tetapi gelengan kepala cikgu Hasnol memberikan jawapan tersirat bahawa dia tidak boleh membuat apa-apa rayuan. Dengan longlai Faizal keluar dari bilik cikgu Hasnol. Entah berapa banyak sumpah seranah yang dihamburkan dalam hatinya terhadap Amira Saira. Dia tidak menyangka begitu berani sekali gadis itu mengadu kepada cikgu Hasnol tentang perbuatannya. Nantilah kau...sekali lagi Faizal berbisik geram.

“Apa cikgu Hasnol cakap?” Aswazi yang telah begitu lama menunggu di dalam kelas terus melontarkan soalan.

“Ah! Diamlah kau!” marah Faizal. Wajahnya masam mencuka. Pelajar-pelajar lain yang turut berada di kelas hanya menjeling dan berbisik-bisik dari jauh. Faizal menghempaskan punggungnya ke kerusi dengan kasar. Meja kayu yang hampir penuh dengan contengan dan lakaran akibat vandalisme diketuk beberapa kali. Marahnya terhadap Amira Saira semakin menggunung. Laharnya seolah-olah menunggu masa untuk meletup.

“Eh, apahal ni kawan....” Aswazi masih tidak puas hati. Dia menarik kerusi di sebelah tempat duduk Faizal kemudian menariknya rapat ke meja Faizal.

“Siapa yang komplen pulak kali ni?” tanya Aswazi lagi masih ingin tahu.

Faizal malas hendak menjawab soalan-soalan Aswazi. Matanya memandang tepat ke papan hitam yang masih bertulis dengan beberapa angka dan pengiraan. Dia seolah-olah terbayangkan wajah Amira Saira yang sedang ketawa dan mengejek-ngejeknya.

“Tummm!!”

Aswazi terlompat apabila tiba-tiba sahaja Faizal menumbuk meja dan terus melangkah keluar dari kelas. Pelajar-pelajar lain yang berada di dalam kelas itu juga tersentak dan semua mata memandang ke arah Aswazi. Aswazi menjungkitkan bahunya lalu bergegas keluar membuntuti Faizal.

“Kau ni kenapa Faizal? Nak ke mana ni?” tanya Aswazi lagi sambil beriring berjalan dengan Faizal.

“Aku nak cari minah gemuk tu. Berani dia mengadu pasal aku kat cikgu Hasnol,” jawab Faizal dengan geram. Jari jarinya digenggam erat tanda panasnya hatinya di waktu ini.

“Jangan buat yang bukan-bukan Faizal. Nanti kalau kau kena buang sekolah lagi teruk.” Aswazi cuba memujuk kerana dia sayangkan kawan baiknya itu.

“Ah!! Aku tak peduli. Minah tu memang nak kena ajar sebab kurang ajar sangat,” bentak Faizal lagi. Wajahnya semakin panas membakar. Aswazi hanya mampu menggeleng kepala namun dia terus mengekori langkah Faizal.

Langkah Faizal terhenti apabila dia dapati Cikgu Sharon berada di dalam kelas 5 Mawar. Niatnya untuk bersemuka dan membuat perhitungan dengan Amira Saira sebelum bertemu dengan Cikgu Hasnol terbantut. Faizal bersandar di koridor bersetentang dengan pintu bahagian belakang kelas Amira. Dia menunggu sekiranya Amira akan menoleh ke belakang sebentar. Jadilah sekiranya dia dapat menunjukkan penumbuknya kepada perempuan gemuk itu sebagai amaran. Lima minit berlalu tetapi Amira langsung tidak menoleh malah cikgu Sharon pula yang merenungnya tajam beberapa kali. Akhirnya dengan berat hati Faizal melangkah semula ke kelasnya.

“Cikgu Hasnol suruh aku mintak maaf dengan minah gemuk tu pukul 11.00 nanti kat bilik kaunseling,” beritahu Faizal perlahan tetapi penuh kemarahan.

“Berani ya perempuan tu,” komen Aswazi, terkejut juga kerana buat pertama kali ada pelajar yang berani mengadu tentang kelakuan Faizal.

“Itulah, sakit betul hati aku. Selama ni bukan tak ada aku usik budak-budak lain, tapi tak siapa berani report kat cikgu. Ini...baru datang sini dah nak tunjuk besar kepala. Dia ingat dia tu siapa? Dia ingat bapak dia Inspektor polis, aku takut??,” bebel Faizal tidak puas hati. Genggaman tangannya semakin kuat mencengkam.

“Habis tu kau kena pergilah ni?” tanya Aswazi lagi sambil menggaru kepala yang gatal.

“Memanglah....kalau aku tak pergi nahas aku kena marah dengan cikgu Hasnol. Lagi teruk lalau dia report pulak kat bapak aku tu...,” jawab Faizal gelisah. Dia merenung jauh kemudian meraup rambutnya yang terjuntai di dahi ke belakang.

“Apa kau nak risau. Bapak kau bukan selalu ada kat rumah pun. Kalau yang dapat tahu pun mungkin emak kau je...,” pujuk Aswazi, cuba meredakan keresahan Faizal.

“Aku tak nak tanggung risiko lah Zi,” luah Faizal dengan nada suara yang semakin mengendur.

Aswazi mengangguk. Kasihan pun ada dengan Faizal yang telah menjadi kawan baiknya sejak mereka di sekolah rendah lagi. Boleh dikatakan dia tahu semua perkara mengenai Faizal dan keluarganya. Dia simpati pada Faizal dan dia faham kenapa Faizal selalu mengusik pelajar-pelajar lain dan cuba menunjukkan kekuatan dan kehebatannya. Itu semua disebabkan oleh sikap bapa Faizal sendiri yang panas baran dan sering memukulnya sejak dari kecil sehinggalah sekarang. Perasaan marah kepada ayah sendiri diluahkan dengan cara membuat apa sahaja yang disukainya demi untuk melepaskan tekanan yang dihadapi. Mereka merokok, mengusik pelajar-pelajar perempuan, melepak, menconteng dinding awam dan adakalanya ponteng sekolah. Tetapi bagi mereka semua yang mereka lakukan masih ada batasan. Mereka tidak sama sekali melakukan perbuatan jenayah yang lain seperti merompak, meragut, dan menghisap dadah.

Aswazi teringat kisah pada tahun lepas yang mana pada satu malam Faizal telah datang ke rumahnya dengan wajah yang lebam-lebam.

“Apa kena kau ni Faizal?” tanya Aswazi sambil menggeleng kepala. Nasib baik Faizal datang pada waktu malam ke rumahnya jadi kesan lebam itu tidak begitu ketara di pandangan ibu bapa Aswazi yang menyedari kehadiran Faizal.

Mereka berdua duduk di halaman rumah Aswazi yang dipenuhi dengan pokok-pokok palm merah yang ditanam oleh ibunya. Hanya cahaya dari lampu pagar sahaja yang menerangi kerusi taman yang diletakkan di situ.

“Jom kita duduk situ,” tunjuk Aswazi kepada kerusi batu yang berwarna putih. Faizal hanya mengikut. Sesekali wajahnya berkerut menahan rasa sakit di bibirnya.

“Sakit?” tanya Aswazi apabila dilihatnya Faizal memegang bibirnya yang kebiruan.

“Aku ambikkan ais nak? Kau tuam kat situ,” tanya Aswazi lagi. Matanya memerhati setiap sudut wajah Faizal.

“Boleh jugak,” jawab Faizal walaupun bibirnya terasa amat sakit dan sengal.

Aswazi terus bangun menuju ke pintu dapur. Tidak lama kemudian dia keluar dengan semangkuk ais batu dan sehelai tuala kecil. Ketulan ais batu itu dimasukkan ke dalam tuala kecil, dibunjutkan lalu diberi kepada Faizal.

“Tuam kat lebam tu, cepat surut sikit,” arah Aswazi.

Faizal menuam bibirnya perlahan-lahan. Air mata yang bergenang cuba ditahan dari mengalir. Hatinya sebak. Di saat dia memerlukan keluarga, tetapi kawan baiknya pula yang membantu.

“Apa dah jadi? Kau gaduh dengan bapak kau lagi ke?” tanya Aswazi lagi walaupun dia sudah tahu jawapannya. Dia menggeleng kepala memikirkan nasib Faizal.

Faizal membiarkan sahaja soalan Aswazi tidak berjawab. Jika dia tidak menjawab pun dia tahu Aswazi sudah dapat mengagak. Selalunya memang itulah sebabnya sekiranya dia datang dengan bibir yang berdarah dan lebam-lebam di muka dan badan.

“Kali ni pasal apa pulak?” Aswazi terus duduk berhadapan Faizal.

“Aku tegur dia pasal apa lama tak balik. Mak aku tu pun isteri dia jugak. Bukan bini muda dia aje. Lepas tu dia naik angin. Terus dia bukak tali pinggang besi dia dan pukul aku,” jawab Faizal sambil sesekali dia mengaduh kesakitan.

Aswazi menggeleng kepala. Kesal dengan sikap bapa Faizal yang sangat ringan tangan memukul Faizal.

“Entahlah Faizal, kesian jugak aku tengok kau ni. Bapak kau bila nak kahwin lain bagi alasan nak ikut sunnah Nabi tapi bila dah kahwin tak ada pulak nak ikut perangai Nabi dalam menjalankan tanggungjawab dia sebagai suami,” keluh Aswazi agak kecewa.

Faizal hanya mengeluh panjang. Bibirnya masih terasa sakit. Dia berat hendak balik ke rumah kerana tidak mahu bertembung lagi dengan ayahnya. Sebentar tadi apabila dia dipukul dengan teruk, ibunya hanya mampu menangis dan menjerit-jerit meminta agar ayahnya berhenti memukul tetapi ayahnya langsung tidak mengendahkan. Oleh kerana tidak tertanggung lagi sakit yang menghentam-hentam tubuh kurusnya, Faizal nekad menolak ayahnya lalu berlari sekuat hati meninggalkan rumah. Dia tidak tahu apa yang berlaku kepada ayahnya. Jatuhkah, terkejutkah, marahkah....dia tidak mahu langsung ambil peduli. Apa yang dirasakannya sekarang adalah perasaan marah yang meluap-luap terhadap lelaki yang mempunyai pertalian darah yang amat rapat dengannya itu.

“Kau tidur sini saja lah. Rumah aku pun bukannya ada orang. Aku dengan mak dan ayah aku je. Adik-adik aku balik kampung, duduk dengan tok wan dua hari ni. Nanti aku bagitahu mak ayah aku.” Seolah-olah tahu apa yang bermain di fikiran Faizal, Aswazi menawarkan pertolongan.

Fizal merenung Aswazi agak lama. Air matanya bertakung di kelopak mata. Cepat-cepat dia menoleh ke tempat lain apabila perasaan sebak semakin menebal di hatinya. Aswazi menepuk bahu Faizal beberapa kali.

“Dah lah tu...kita kan kawan. Jom masuk,” ajak Aswazi.

“Aku tak nak mak ayah kau nampak muka aku macam ni. Nanti dia orang ingat aku bergaduh dengan orang,” ujar Faizal sebak. Faizal sungguh berasa malu dengan keadaannya sekarang. Malu kerana dipukul teruk oleh ayahnya sendiri.

“Mak ayah aku tahu pasal ayah kau. Maafkan aku sebab cerita pada mereka tapi aku nak ibubapa aku tahu siapa kawan-kawan aku,” jelas Aswazi sambil mengangguk cuba menyakinkan Faizal tentang keluarganya.

“Diorang cakap apa pasal aku?” tanya Faizal ingin tahu.

“Mereka pun kesiankan kau Faizal. Tapi mereka tak mahu campur tangan uruan keluarga orang lain.....,” jawab Aswazi lagi.

“Aku faham....,” balas Faizal dengan perasaan yang bertambah sedih.

Dan malam itu Faizal tidur di rumah Aswazi semata-mata tidak mahu bertemu dengan ayahnya. Dia benar-benar berharap ayahnya sudah pulang ke rumah isteri keduanya pada esok hari. Sesekali apabila difikirkan, ada baiknya ayah berkahwin lain dan tidak pulang ke rumah mereka. Apabila ayah tidak pulang, Faizal merasa bebas, bebas melakukan apa sahaja di rumah dan bebas juga hendak keluar berjumpa kawan-kawan pada bila-bila masa. Jika bapanya pulang, dia rasa bosan. Hendak keluar, takut dimarah, hendak duduk menonton televisyen, dia bosan dan tidak mahu duduk bersama dengan ayah di ruang tamu, hendak menghabiskan masa di dalam bilik sepanjang hari, takut dilihat terlalu ketara kebenciannya terhadap ayah sendiri. Ah! segalanya serba tidak kena.

Melihat kemesraan keluarga Aswazi sewaktu mereka menjamah sarapan pagi, benar-benar membuatkan Faizal cemburu dan sedih. Kenapa dia juga tidak punya ikatan kekeluargaan seerat ini? Alangkah indahnya sekiranya dia sentiasa disayangi oleh ayah memandangkan dia anak tunggal di dalam keluarga mereka.

“Kenapa menung tu Faizal? Tambah lagi bihun tu....,” pelawa Halimah. Halimah iaitu ibu Aswazi menghulurkan mangkuk berisi bihun goreng kepada Faizal yang hanya tunduk sejak dari tadi. Kasihan pula Halimah melihatnya lebih-lebih lagi melihatkan lebam-lebam yang masih kelihatan di muka dan badan Faizal.

Halimah dan Mansur telah kenal dengan Faizal sejak Aswazi mula berkawan baik dengan Faizal. Kalau tidak silap, sejak mereka di tingkatan satu lagi. Segala cerita mengenai Faizal dan keluarganya mereka tahu kerana Aswazi selalu menceritakan kepada mereka. Mereka sungguh kesian dengan nasib Faizal, tetapi untuk masuk campur urusan keluarga Faizal, mereka rasa agak keberatan.

“Faizal nak ke klinik ke? Boleh pakcik hantarkan. Lagipun hari ni pakcik cuti....,” pelawa Mansur kerana risaukan keadaan Faizal. Manalah tahu sekiranya ada luka-luka dalaman yang boleh menjejaskan kesihatan Faizal nanti. Mansur memandang wajah anak muda yang kurus itu yang hanya mendiamkan diri sejak tadi.

Faizal hanya menggeleng kepala.

“Tak apalah pakcik. Sikit lagi hilanglah lebam dan sakit ni. Saya nak balik rumah. Takut mak risau...,” jawab Faizal perlahan.

Perasaan sebak datang lagi memenuhi ruang hati Faizal kerana yang mahu menghantarnya ke klinik bukan bapanya sendiri tetapi orang luar yang lebih mempunyai perikemanusiaan walaupun bukan sanak saudara sendiri.

“Faizal...pakcik ni berat nak campur urusan keluarga Faizal tapi pakcik faham situasi yang Faizal alami sekarang ni. Sebagai seorang pegawai di pejabat Agama Islam, pakcik banyak kali berhadapan dengan masalah-masalah macam ni. Tapi satu aje yang Faizal kena ingat. Seburuk mana pun sikap ibu bapa kita, arahan mereka wajib kita patuhi selagi arahan tersebut tidak bertentangan dengan agama Islam,” nasihat Mansur kepada Faizal. Dia tahu dalam keadaan sekarang, Faizal amat marah kepada ayahnya.

‘Tapi pakcik...sikap bapa saya ni memang dah bertentangan dengan agama. Dia berkahwin dua tapi bersikap tak adil pada ibu saya. Dah lah tak bagi nafkah, bila balik sekali sekala asyik nak marah aje.....” Faizal masih mempertahankan dirinya.

“Itu pakcik tak nafikan. Tapi kita tegur lah cara elok. Mungkin Faizal terus menyerbu dia dan marah-marah sebab itulah dia naik angin tak......” Mansur masih cuba memujuk dengan nada suara yang perlahan. Dia tahu anak muda itu tidak boleh dipaksa kerana jika dipaksa dia akan semakin memberontak.

“Siapa yang tak marah pakcik......dulu masa dia nak kawin lain, mak izinkan. Mak redha. Tapi ini balasan dia pada kebaikan mak selama ini,” bentak Faizal masih mahu menegakkan rasa hatinya.

“Faizal.....anak perempuan, tanggungjawab ibu bapa kepada dia hanya setakat dia belum berkahwin sahaja. Bila dah berkahwin tanggungjawab itu akan bertukar kepada suami. Faizal fikirkanlah kenapa mak Faizal begitu baik dengan ayah walaupun ayah Faizal buat macam-macam kat mak Faizal. Sebab mak Faizal itu sudah berada di bawah tanggungjawab suami dia kan....Jika dia menderhaka atau melawan suami dia, dia akan berdosa, tak cium bau syurga. Itu yang mak Faizal mahukan dan bukan emak Faizal sahaja, semua orang Islam mahu masuk syurga. Faizal tak bangga ke dapat seorang emak yang begitu? Taat pada suami di dunia untuk jaminan tempat di akhirat?” ujar Mansur lagi. Dipandangnya dalam-dalam wajah Faizal cuba mencari rasa hati anak muda itu.

“Tapi berbaloi ke taat pada suami macam tu pakcik. Itu taat membabi buta,” jawab Faizal lagi dengan perasaan yang marah membara kepada ayahnya.

Mansur menggeleng kepala beberapa kali dan beristighafar. Begitu dalam sekali kebencian Faizal terhadap bapanya sendiri. Sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan yang lebih di dalam ilmu agama, Mansur rasa bertanggungjawab untuk menasihati Faizal agar dia tidak terus berdosa kerana berperasaan begini. Dia sedar semua ini bukan salah Faizal semata-mata tetapi sikap bapanya juga menjadi punca perbalahan mereka. Isu poligami ini memang menjadi satu masalah yang besar sekiranya si suami tidak bersikap adil dengan kesemua isteri-isterinya. Ramai yang hanya mengikut nafsu semata-mata, pantang melihat gadis jelita, hati meronta-ronta ingin memilikinya sehingga sanggup memejamkan mata daripada melihat angka-angka di penyata gaji yang hanya cukup-cukup makan. Selain itu ada antara mereka yang hanya mahu menunjukkan kehebatan mereka yang masih lagi mampu memikat si jelitawan walaupun telah berkahwin dan mempunyai anak. Sikap seperti inilah yang menyebabkan akhirnya rumahtangga yang dibina porak peranda kerana nafkah isteri tidak mampu ditunaikan, kehendak anak-anak tidak mampu dipenuhi dan yang menjadi masalah besar adalah apabila isteri muda memonopoli suaminya sehingga menidakkan hak isteri pertama.

Mansur selalu mengeluh apabila mendengar hujah para suami yang bersikap seperti tin kosong. Bercakap besar tetapi tiada ilmu di dalam diri. Kebanyakan mereka menghafal surah An Nisa, ayat 3 tetapi tidak sehingga akhir. Mereka hanya mengambil ayat yang boleh menyokong tindakan yang mereka ambil iaitu ....

“Nikahilah oleh kalian wanita-wanita (lain) yang kalian senangi dua, tiga, atau empat. ….,”

Ayat yang seterusnya mereka tinggalkan yang mana sambungannya adalah……. “ …..akan tetapi jika kalian khawatir tiadak akan dapat berlaku adil, maka nikahilah seorang saja atau nikahilah budak-budak yang kalian miliki. Hal itu adalah lebih dekat pada sikap tidak berbuat aniaya.”

Ayat inilah yang selalunya tidak dapat dipenuhi oleh para lelaki yang suka berpoligami atau yang berpoligami hanya kerana nafsu.

“Faizal, pakcik sedar Faizal marahkan ayah Faizal. Tetapi seperti yang pakcik kata tadi, walaubagaimanapun, mereka tetap ibu bapa kita dan wajib kita menghormati mereka. Faizal cuba berbaik-baik dengan ayah. Mungkin dengan cara itu dia akan sedar tentang keburukan sikapnya selama ini. Api tidak boleh dilawan dengan api. Hanya air sahaja yang boleh memadamkan api. Tetapi jangan pula dilemparkan air semasa api sedang marak menyala. Tunggulah sehingga ia tinggal bara kemudian barulah disejukkan dengan air. Untuk membuatkan ia menjadi bara, kita mesti biarkan api itu padam dulu dengan sendirinya, kemudian perlahan-lahan kita datang dan memadamkannya. Faizal tentu dapat menangkap maksud pakcik kan. Mulai saat ini, Faizal juga mesti menunjukkan perubahan sikap. Kalau Faizal sendiri tidak suka dengan sikap panas baran ayah Faizal, maka Faizal juga mesti menunjukkan perkara itu pada diri Faizal sendiri. Faizal juga tidak seharusnya menjadi seorang yang pemarah. Faizal mesti menunjukkan rasa hormat dan sayang kepada ayah Faizal. Boleh tak Faizal buat perkara tu?” tanya Mansur penuh mengharap. Mansur memandang Faizal yang hanya mendiamkan diri mendengar kata-katanya. Agak lama dia menunggu untuk mendapatkan reaksi Faizal.

Akhirnya Mansur lega dan rasa bersyukur apabila Faizal mengangguk walaupun jauh di sudut hatinya dia tahu, perasaan marah Faizal terhadap ayahnya masih terikat kuat di situ.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.