Home Novel Cinta Operasi Bulan Madu
Operasi Bulan Madu
Aini Marisha Marisha
31/12/2013 20:56:48
90,849
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

Ketukan beberapa kali di luar bilik Faizal membuatkan dia mendongakkan kepala ke muka pintu. Masuk Sarjan Mejar Baharom lalu terus memberi tabik hormat kepadanya. Faizal mengangguk sedikit.

“Tuan, kita dapat satu kes baru. Ada orang melaporkan jiran mereka jalankan aktiviti menjual dadah,” jelas anggota polis itu sambil menghulurkan catatan mengenai panggilan telefon yang dibuat.

“Di mana?” tanya Faizal.

“Di Pasir Puteh, tuan,” jawab Sarjan Mejar Baharom.

“Baik, suruh Inspektor Borhan masuk jumpa saya sekarang,” arah Faizal. Dalam keadaan seperti ini, dia perlu bertindak cepat. Jika lewat, kemungkinan barang kes akan dilupuskan atau dipindahkan keluar dari kawasan bidangkuasa mereka.

Setelah mendapat arahan, Sarjan Mejar Baharom terus keluar untuk memanggil Inspektor Borhan. Tidak lama kemudian, seorang pegawai polis berumur dalam lingkungan 28 tahun masuk ke bilik Faizal.

“Borhan, kita dapat maklumat aktiviti pengedaran dadah. Saya nak awak aturkan pasukan untuk buat intipan dulu. Jika betul ada aktiviti pengedaran, maklumkan pada saya dan kita akan buat serbuan,” terang Faizal berkenaan laporan yang diterima.

“Baik, tuan. Saya akan aturkan intipan dengan segera,” ujar Inspektor Borhan sambil membuat catitan ke dalam buku nota kecil yang dibawanya.

“Awak ambil laporan ni dan maklumkan pada saya perkembangan selanjutnya dari masa ke semasa,” arah Faizal lebih lanjut. Sebelum Inspektor Borhan masuk menemuinya dia telahpun membuat catitan rasmi mengenai laporan yang dikemukakan oleh Sarjan Mejar Baharom. Arahan-arahan lanjutnya juga dan tindakan yang dirancang juga dicatitkan untuk rekod rasmi.

“Baik, tuan.” Inspektor Borhan memberikan tabik hormat kemudian meninggalkan pejabat Faizal setelah mendapat arahan tugas yang diperlukan.

Faizal kemudian mengambil beberapa fail berwarna kuning air yang berada di atas meja. Diselaknya beberapa muka surat, membaca sepintas lalu kemudian membuat beberapa minit ringkas di atas kertas kosong yang sedia ada di dalam fail tersebut.

Apabila selesai, dia menyandarkan sebentar tubuhnya ke kerusi. Dia melemparkan pandangannya ke luar bilik. Memerhatikan beberapa anggota polis yang kelihatan agak sibuk dengan tugas masing-masing. Ada yang beruniform dan ada yang hanya berpakaian preman. Tubuhnya yang agak lenguh kerana sudah begitu lama duduk di kerusi digerak-gerakkan sedikit. Kakinya yang panjang dan sasa dilunjurkan dan ditegangkan untuk melancarkan perjalanan darah beberapa ketika.

Faizal mengambil mug berisi air Nescafe yang sudah hampir suam di sudut kiri meja. Diteguknya Nescafe itu beberapa kali kemudian mug itu diletakkan semula di tempat asal.

Faizal menggerakkan pula bahu kirinya beberapa kali kemudian perlahan-lahan jari-jemarinya meraba-raba lengan atas kirinya. Ada benjolan panjang seperti parut di situ. Dia memegang parut itu agak lama dan pandangan matanya seolah-olah begitu jauh menghilang entah ke mana. Berkerut-kerut bibirnya seolah-olah ingin mengatakan sesuatu.

Ah... Faizal mengeluh panjang. Amira Saira... nama itu meniti di bibirnya lagi dan ketika itu juga jantungnya berdegup kencang. Dia menoleh semula ke luar cermin.

‘Panjang umur kau,’ bisik hati Faizal.

Seketika dia terlihat kelibat Inspektor Mira sedang berada di luar pejabatnya, sedang berbual dengan beberapa orang anggota polis wanita. Sesekali kelihatan Inspektor Mira ketawa seolah-olah cerita mereka begitu lucu. Melihat gadis itu ketawa, mengingatkan Faizal kepada Mira yang ketawa terbahak-bahak setiap kali mengenakannya di sekolah.

Faizal tersenyum. Apabila difikirkan semula, tidak berbaloi dia mendendami gadis itu sehingga sekarang. Cerita semasa zaman sekolah adalah satu kenangan manis sebenarnya yang sukar diperolehi lagi di dalam hidup mereka. Memang benar setiap yang berlaku dalam hidup manusia mempunyai hikmah-Nya. Dan kini dia juga telah mendapat hikmah-Nya daripada ujian yang diterimanya satu waktu dulu.

Sesekali pernah juga terdetik di hatinya, mungkin Mira ditakdirkan hadir untuk menyedarkan dirinya bahawa dia boleh berubah dan buktinya adalah kejayaan yang dimilikinya sekarang. Jika Mira tidak melakukan begitu, mungkin sehingga kini dia tidak akan dapat menjawat jawatan besar begini. Mira... Faizal tersenyum lagi apabila nama itu meniti di bibirnya.

Faizal menggeleng perlahan. Sukar sebenarnya untuk dia mentafsirkan perasaannya sendiri. Ada satu persoalan yang sering bermain di fikirannya. Adakah kerana perasaan dendam menyebabkan dia mencari Amira Saira sehingga ke Ipoh atau perasaan rindu yang sekian lama terpendam sebenarnya yang ingin diluahkan? Sehingga kini Faizal masih cuba merungkaikan persoalan ini dan dia benar-benar berharap pertemuan ini akan menjawab segala persoalan yang belum sudah antara mereka.

Previous: bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aini Marisha Marisha