Bab 19
Pagi-pagi
lagi Muadz Hazami keluar untuk ke pejabat dengan motosikal Honda C70 Pak Abu.
Tergelak orang tua itu melihat gaya anak majikannya yang tidak seperti biasa.
Berpakaian t,shirt dan seluar track dengan menaiki kenderaannya yang hampir
roboh! Kasihan! Bibik Sarti yang melihat turut melepas tawa. Cepat-cepat pula
dia menceritakan tentang perjanjian Muadz Hazami dan Dato’ Zahari untuk bekerja
sebagai budak pejabat dengan gaji yang sedikit. Sudahnya Pak Abu pula memarahi
bibik Sarti yang seakan seronok melihat anak majikan mereka seperti itu.
“ Saya bukan apa Pak Abu! Encik
Muadz itu orangnya mana boleh diarah-arah! Mahu pula kerja budak pejabat! Macam
aneh saja saya tengoknya Pak Abu. Agak-agaklah, kenapa sama dia?” Bibik Sarti
menggarukan kepalanya yang gatal secara tiba-tiba.
“ Okeylah tu dia nak bekerja! Bibik
jangan pandai-pandai buat cerita. Nanti disikunya bibik. Bibik mahu balik sana
indonesia? Buat kerja sendiri! Jangan sibuk sama orang lain!” nasihat Pak Abu.
Bibik Sarti mencebik lama sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Tidak lama
kemudian dia datang membawa secawan teh o panas untuk Pak Abu.
“ Rasuah ke?” soal Pak Abu sambil
mencapainya.
“ Mana ada! Ini Datin yang suruh
kasi sama Pak Abu! Datin bilang, kalau Pak Abu mahu makan, masuk saja ke dalam
rumah.”
“ Ia lah! Terima kasih.” Pak Abu
duduk sambil menikmati minumannya yang masih panas. Bibik Sarti menganggukkan
kepalanya.
“
Saya sambung kerja ya!” Balas bibik Sarti sambil berlalu. Sempat dia mengomel
kerana dituduh sebegitu oleh lelaki tua itu. Walaupun mulutnya boleh tahan
bisanya, namun hatinya baik. Siapa yang tak kenal bibik Sarti? Bibik yang
paling cocok untuk dijadikan pembantu rumah! Rajin dan berkaliber! Berkaliber?
Apa itu! Bibik Sarti menggaru kepalanya lagi. Pening!
****
Muadz
Hazami memasuki bangunan pejabat. Jarang sekali dia menjejakkan kakinya di
situ. Jika pernah sekalipun ketika dia berumur belasan tahun. Itu pun kerana
diajak oleh papanya. Kini dia melangkah lagi ke situ. Bukan sebagai bos, tetapi
sebagai budak pejabat! Tiada kot mahupun briefcafe seperti anak Dato’ yang
lain. Hanya baju t’shirt dan seluar track sementara baju seragam akan diberikan
oleh Dato’ Zahari di pejabat itu. Malu? Argh..malu ditolak ketepi! Apa yang
penting buah hati pengarang jantungnya ada di situ! Itu yang dia mahu
sebenarnya. Cinta is nonsense! Tidak wujud lagi dalam diri Muadz Hazami yang
sedang angau lebih dari Laila kepada majnumnya!
“ Erm..awak cari siapa ni,
terjenguk-jenguk ni!” sergahan seseorang membuatkan Muadz Hazami berhenti buat
seketika. Dia mengurut dada seraya berpaling.
“ Muadz??Kau buat apa kat sini?”
soal Quezairy yang berada di hadapan anak majikannya itu. Cara pemakaian Muadz
Hazami seakan tidak kena pada tempatnya!
“ Aku datang kerjalah! Kau ni tak
reti nak bagi salam! Main sergah je!” Marah Muadz Hazami sambil membetulkan
rambutnya yang sedia rapi.
“ Kerja?? Macam ni! Kau biar betul
Muadz!” Quezairy tidak percaya. Dia melangkah memasuki pejabat diiringi Muadz
Hazami yang tidak berpuas hati. Quezairy ingat dia melawak ke apa!
“ Aku dah cakap dengan papa aku nak
kerja. Alih-alih dia suruh aku jadi budak pejabat. Bukan hantar surat je, buang
sampah, buat air! Dah nasib aku, nak buat macam mana!” Muadz Hazami seakan
mengeluh. Quezairy tergelak kecil. Macam-macam hal! Anak bos dah jadi macam
kuli.
“ Okeylah tu! Bukan payahpun kerja.
Kerja senang, gaji puluhan ribu! Kalau aku nak.” Quezairy duduk di tempatnya.
Bayangan Ellysa Qairina dan Juliza Damia masih belum kelihatan.
Muadz Hazami mendengus kasar.
Entah betul atau tidak keputusannya itu. Silap haribulan, apa tak dapat!
Kalaulah Ellysa Qairina itu pandang orang berharta, dialah orang pertama yang
akan direjek! Dia juga yang tertelan asap.
“ Puluhan ribu tu tak apa! Ni RM800
je! Aku datangpun naik motor Pak Abu. Silap haribulan aku terlingkup tengah
jalan. Motor dah nak terbalik..Nak buat macam mana dah macam tu kehendak hati.”
Muadz Hazami turut duduk. Dia memandang sekeliling. Hanya dua tiga orang sahaja
yang baru tiba. Kelibat gadis yang dipujanya masih belum menunjukkan bayang.
“ RM800?? Alahai! Kalau macam ni,
tak bolehlah kau belanja aku lagi. Apalah papa kau ni Muadz!” Quezairy
menggelengkan kepalanya. Pelik juga dia dengan Muadz Hazami yang bersetuju.
Kalau dia, jangankan RM800, Rm1000 pun belum tentu dia mahu. Hidup di Kuala
Lumpur, semuanya perlu dibayar. Tiada percuma!
“ Dah nasib aku nak buat macam mana!
Eh, mana budak skuter tu? Tak sampai lagi?” soal Muadz Hazami sambil melilau
melihat pintu.
“ Kejap lagi sampailah tu! Kau nak
dia tahu ke kau ni anak bos?”
“ Tak payahlah! Cakap je aku budak
pejabat. Kau jangan bongkar rahsia ni dah! Malu aku nanti.” Muadz Hazami
memberi amaran. Quezairy menganggukkan kepalanya tanda faham. Kemudian dia
tersenyum sendiri. Muadz Hazami memandang dengan rasa curiga.
“ Kau apahal senyum-senyum ni! Nak
kena siku?” marah Muadz Hazami sambil menunjukkan sikunya.
“ Ala Muadz! Janganlah marah.
Erm..kau buatkan aku air! Aku dahagalah!” Arah Quezairy dengan selamba. Pantas
Muadz Hazami menunjukkan penumbuknya sebelum mendengar seseorang memberi salam.
Ellysa Qairina dan Juliza Damia melangkah masuk dengan senyuman. Jantung Muadz
Hazami berdegup kencang. Matanya menatap kayuan wajah manis milik Ellysa
Qairina. Senyuman gadis itu bagaikan menarik-narik dirinya untuk menyapa
hempunya diri.
“ Hai Quezairy..Awal sampai,” tegur
Juliza Damia malu-malu kucing. Ellysa Qairina hanya memandang sebelum matanya
menangkap sebatang tubuh yang tidak dikenalinya. Muadz Hazami mengangkat tangan
sebelum menjatuhkannya cepat-cepat. Hilang keegoannya selama ini terhadap
perempuan!
“ Erm…siapa tu?” soal Ellysa Qairina
sambil menunding jari kepada Muadz Hazami. Lelaki itu hanya bersahaja walaupun
sesekali bibirnya menguntum senyum. Senyuman paksa! Terasa ingin terbalik dia
ke belakang apabila Ellysa Qairina datang menghampiri.
“ Pekerja baru! Dato’ ambil kerja.
Boleh tolong Mak Jah. Bersih apa yang patut! Nak air, boleh je dia buatkan!”
Quezairy pantas menjawab. Sempat pula dia mengerling Muadz Hazami yang
tersenyum kelat. Ellysa Qairina menganggukkan kepalanya seraya tersenyum lebar.
“ Ye ke? Okeylah macam tu! Nama awak
siapa?” soal Ellysa Qairina ingin tahu. Dia tidak ingin menjarakkan hubungan
dengan pekerja di situ walaupun sebagai staf bawahan. Semua yang ada mesti
dihormati dengan sewajarnya.
“ Nama dia…” Quezairy ingin
memberitahu. Pantas Muadz Hazami berdehem beberapa kali.
“ Saya Azam! Baru hari ni mula
kerja.” Muadz Hazami memperkenalkan diri. Nama penuh biarlah rahsia. Quezairy
mencebik dengan nama baru yang didengarnya. Belum sempat dia bersuara,
kedengaran suara Dato’ Zahari memberi salam. Pantas mereka menjawab serentak
sebelum memulakan tugas yang diberikan.
“ Awak, masuk bilik saya!” Arah
Dato’ Zahari kepada Muadz Hazami. Melopong mulut Quezairy mendengarnya. Parah
ni! Masakan anak dijadikan kuli! Muadz apa yang kau tengah buat ni?? Kau
sengaja cari nahas ni!
“ Baik bos!” Balas Muadz Hazami singkat.
“ Muadz, apa dah jadi?” soal
Quezairy apabila Dato’ Zahari berlalu ke biliknya.
“ Kuasa cinta!” Ujar Maudz Hazami seraya
meninggalkan Quezairy yang masih tercegang. Lelaki itu asyik terkejut beruk!
Silap haribulan, kejang urat saraf! Muadz Hazami menggelengkan kepalanya dengan
sikap Quezairy. Tidak matang!
****
“ Okey untuk hari ini?” soal Dato’
Zahari sambil merenung anak bujangnya. Lelaki muda itu hanya bersahaja bagaikan
tiada apa yang berlaku. Tiada rungutan mahupun bantahan. Dia melakukan apa
sahaja yang disuruh oleh orang tuanya.
“ Bajunya?” soal Muadz Hazami sambil
menjungkit kening. Pantas Dato’ Zahari mengambil sesuatu di dalam laci meja.
Sepasang baju berwarna hijau muda diberikan kepada Muadz Hazmai.
“ Boleh tahan! Hijau ni
mendamaikan!” Muadz Hazami bersuara sinis. Dia membelek-belek baju tersebut.
“ Kerja rajin-rajin! Papa tak nak
ada sebarang aduan tentang Muadz!” Tekan Dato’ Zahari tidak senang dengan sikap
pelik Muadz Hazami. Masakan kerja begitu yang dipersetujui oleh anak bujangnya
itu. Mana pergi sikap sombong dan berlagaknya selama ini! Mesti Quezairy tahu!
Sempat Dato’ Zahari berkira-kira.
“ Kalau boleh, jangan bahasakan papa
di tempat kerja! Tak elok dipandang orang. Kerja tetap kerja. Tidak boleh
campur adukkan dengan hubungan kekeluargaan! ” Muadz Hazami memberi nasihat.
Dia tidak ingin dikenali sebagai anak bos!
“ Yang tu betul! Pandai Muadz
berfikir. Sekarang, ada apa-apa lagi?” soal Dato’ Zahari sambil menjungkit
kening. Pantas Muadz Hazami berfikir sehingga berlipat dahinya.
“ Erm..jangan Dato’ tersasul
panggil saya anak pula nanti. Nanti buruk nama Dato’!” tokok Muadz Hazami
dengan wajah yang serius.
“ Yalah Muadz! Dah pergi kerja!”
Dato’ Zahari malas melayan kerenah anak tunggalnya itu. Semakin dilayan,
semakin sakit pula hatinya. Sempat lagi anaknya itu memberi arahan.
“ Okey bos! Saya akan menjalankan
amanah yang diberikan dengan sebaiknya!” Balas Muadz Hazami dan berlalu keluar.
Dia menyanyi kecil sambil menjeling Quezairy yang ralit menyiapkan kerja. Nasib
kau lebih baik Quezairy! Aku ni..kerana cinta, jiwa raga yang merana! Muadz
Hazmai bergegas ke bilik persalinan untuk menukar pakaian. Buat seketika dia
termenung di situ. Entah apa yang dia lakukan! Janganlah ianya perkara yang
sia-sia! Ya ALLAH..kurniakanlah impianku agar menjadi kenyataan! Amin…