Home Novel Cinta Dia Bukan Arissa?
Dia Bukan Arissa?
Syaida Ilmuna Ismail
30/1/2013 16:05:03
196,889
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Bab 6

RAMBUTNYA dipotong hingga ke paras bahu persis Arissa. KRAP KRAP KRAP! Rambut-rambut tersebut berderai jatuh ke lantai. Kemudian dia menyapu sedikit bedak asas yang terdapat dari dalam beg tangan kakaknya. Semua barangan alat solek Arissa berjenama terkenal. Maybeline, Loreal, Clinique dan juga Revlon. Arlisa kadang-kadang menjadi takut untuk menggunakannya. Takut membazir dan takut salah penggunaan. Inilah kali pertama dalam hidupnya dia memakai mekap dengan sangat tebal. Walaupun sebenarnya tidaklah begitu tebal. Sedikit solekan telah cukup untuk mencantikkan wajah Arlisa yang sudah mempunyai ‘natural beauty’ yang tersendiri.

Arlisa menyelongkar beg pakaian Arissa. Kebanyakan seleksi pakaian Arissa berwarna gelap dan kegemarannya adalah warna hitam. Namun di antara pakaian berwarna gelap ini, terdapat sehelai blouse berwarna putih. Tanpa berfikir panjang Arlisa memilihnya. Dia memadankan blouse tersebut dengan slack hitam dari Zara. Arlisa merasakan dirinya sedang berubah sedikit demi sedikit. Tidak pernah seumur hidupnya memakai pakaian berjenama. Dan inilah kali pertama.

Terakhir sekali, inilah kali pertamanya dia memakai cincin emas bertatahkan permata. Arwah ayah dan ibunya dulu tidak meninggalkan sebarang harta. Makcik Sue juga tidak pernah membelikan dia barangan kemas. Cincin yang dipakainya ini adalah cincin perkahwinan Arissa. Arlisa menatap dirinya pada cermin panjang yang tergantung di bilik. Dari atas sampailah ke bawah, dia saling tak tumpah seperti Arissa. Cuma satu sahaja perkara yang dapat membezakan mereka berdua iaitu tingkah laku di antara kedua-dua beradik tersebut. Dengan ini secara fizikalnya, dia adalah Arissa.

****

KERETA Suzuki Swift dipandu laju meluncur jalan menuju ke KLIA. Arlisa menatap wajah lelaki yang memandu kereta tersebut. Kata hatinya sering tertanya-tanya, siapakah lelaki ini? Kenapa dia tahu banyak hal tentang Arissa? Kenapa dia hendak tolong aku secara tiba-tiba?

“Apa nama kau?” Tiba-tiba Arlisa bersuara. Perasaan ingin tahunya membuak-buak.

“Kau tak perlu tahu,” jawab lelaki itu ringkas.

“Aku kena tahu. Aku tak suka dengan sikap kau yang penuh rahsia ni.”

“Kenapa? Kau takut aku ni penipu? Huh.. aku bukan macam kau,” jawab lelaki itu selamba.

“Selagi lagi aku nak tegaskan di sini, aku tak bunuh Arissa. Apa yang kau buat dengan mayat kakak aku?” Arlisa bertanya lagi. Terlalu banyak persoalan yang melingkar di minda.

“Kan aku cakap itu masalah aku! Kau tak faham lagi ke?” Lelaki itu mulai naik berang.

“Okey, aku ada satu soalan lagi..” Arlisa masih berani bertanya.

“Kau dan kakak kau adalah dua manusia yang berbeza.. kau berani, kau ada otak.. tapi malangnya…. Sudahlah, apa yang kau nak tanya?” Lelaki itu mengeluh. Mungkin dia ada sekelumit perasaan simpati terhadap Arlisa.

“Sampai bila aku kena jadi Arissa?”

“Hanya untuk setahun. Selepas semua hal dah reda, keadaan kau dah selamat, kau boleh kembali ke tempat asal kau,” jawab lelaki itu serius.

“Kau yakin yang aku boleh bertahan selama setahun kat situ? Aku tak rasa keluarga suami kakak aku tu bodoh dan untuk alasan apa yang aku perlu buat untuk tinggalkan keluarga tu nanti?” Arlisa bingung. Kadang-kadang dia merasakan seperti dia mahu patah kembali ke masa lalu dan hanya menyerah diri terhadap apa yang telah berlaku. Namun apabila mengenangkan Makcik Sue dan dia tidak punya duit untuk mengambil peguam untuk mempertahan kes ini nanti, dia terpaksa pilih jalan ini.

“Hah.. Arlisa.. Arlisa.. aku tahu kau ni bijak orangnya. Semua ini terpulang pada kau. Kalau kau tak mahu menyumbatkan diri kau tu masuk dalam penjara, kau kena berusaha. Jadi Arissa yang sebenarnya. Kau sendiri pun tahukan perangai dan tingkah laku kakak kau tu macam mana. Sedikit kesalahan yang kau lakukan, ia adalah selangkah untuk menjerat diri kau masuk ke penjara.

Kalau semua perkara ini terbongkar, kaulah yang akan menanggung akibatnya. Aku yakin, mereka takkan tahu kalau kau pandai memainkan watak. Satu lagi, nanti bila dah cukup setahun tempoh kau jadi Arissa, aku pasti akan hubungi kau. Yang itu kau tak perlu risau,” jelas lelaki itu. Lelaki tersebut tampak begitu yakin. Seperti dia sudah merancang perkara ini berbulan-bulan sebelum ia dilaksanakan.

Adakah aku sudah terperangkap? Arlisa cuma mampu bermohon kepada tuhan untuk melindungi dirinya. Hanya tuhan sahaja yang memahami dirinya sekarang. Dia begitu lemah dan tidak berdaya untuk memikirkan cara lain untuk menyelesaikan masalah ini. Terkadang dia merasakan dia sedang melakukan kesalahan yang amat besar. Dia bakal melakukan sebuah penipuan dan selangkah mendekatkan dirinya dengan maksiat. Bagaimana dia harus menangani keluarga suami Arissa nanti, terutamanya suami kakaknya, Adam Farhan? Bagaimana jikalau mereka sudah mengetahui hal yang sebenar? Oh Tuhan, aku hanya ada DiriMu untukku bergantung hidup dan harapan, berikanlahku kekuatan Ya Allah!

****

MAKCIK Sue memusing tombol pintu rumahnya lalu masuk ke dalam rumah. Kosong dan sunyi. Dia sempat meletakkan barang di atas meja kecil bersebelahan dengan sofa. Di mana Arlisa?

“Arlisa! Arlisa.. oo Arlisa,” jerit Makcik Sue.

Dia mengerutkan dahi dan mula menggaru-garu kepalanya. Mana pulak si anak dara ni?

“Keluar agaknya kot budak ni. Tapi ni baru pukul 10 pagi. Nak pergi mana..?”

Makcik Sue mencapai telefon Nokia miliknya dan mendail nombor telefon Arlisa. Tiba-tiba deringan telefon itu berbunyi di dalam rumah. Makcik Sue curiga. Arlisa tidak membawa telefonnya bersama. Makcik Sue menuju ke bilik anak dara tersebut dan kelihatan telefon bimbit itu berbunyi di atas meja solek gadis itu.

“Eh ni telepon dia.. mana pulak budak ni pi?? Eh ni surat apa?” Mata Makcik Sue tertancap pada sampul surat putih terselit kemas di bawah bedak Baby Johnson milik Arlisa. Surat itu dicapai dan diluahkan isinya. Makcik Sue mengatup bibirnya dengan tangan kiri setelah membaca beberapa baris ayat di dalam surat tersebut. Kemudian dia terduduk dan jatuh pengsan di atas lantai bersama surat tersebut yang masih terlekat di tangannya.

****

“NAH ambik iPhone ni. Telefon ni penting. Ada macam-macam dalam ni. Ada gambar-gambar keluarga Arissa, ada notes-notes penting dalam tu. Kau pergi je dekat icon notes tu and dalam tu ada lebih kurang macam diari hidup Arissa. Kalau kau tak tahu apa-apa, kau rujuk saja situ,” jelas lelaki tersebut. Dia memang tahu benar tentang segala perkara mengenai diri Arissa. Dari kisah hidup hinggalah ke barangan peribadi milik kakaknya. Siapa lelaki ini?

“Okey.” Arlisa cuba untuk mendalami pengetahuannya mengenai cara penggunaan telefon tersebut. Dia tidak begitu pandai menggunakan iPhone. Namun dia juga tidak buta IT. Dia masih mengetahui cara-cara untuk menghubungi orang lain dan bermain dengan aplikasi Whatsapp dan lain-lain.

“Lagi satu, kau boleh panggil aku Zik,” kata lelaki itu.

“Zik saja?” tanya Arlisa.

“Cukup itu. Kau tak perlu tahu banyak hal tentang aku. Aku rasa kau kena gerak sekarang,” Zik mengulurkan beg tangan dan beg tarik Arissa kepada Arlisa.

Arlisa mulai berjalan ke hadapan menuju ke pintu berlepas. Hatinya jadi rawan. Dia tidak tahu apa yang dia sedang lakukan ini benar atau tidak. Tiba-tiba dia berpaling semula kepada Zik.

“Tunggu! Hanya untuk setahun saja kan?” tanya Arlisa. Dia menahan Zik sebelum lelaki itu pergi lebih jauh.

“Ya,” jawab Zik ringkas. Kemudian dia terus berpaling dari Arlisa dan meneruskan perjalanannya.

Arlisa dengan keadaan terpaksa berpaling semula ke arah perjalanannya. Kaki, tangan, dan hatinya berkata ini semua tidak patut dilakukan. Namun mindanya tetap berkeras dengan mengatakan dia harus berpijak kepada realiti. Inilah realiti hidupnya mulai sekarang.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.