Home Novel Cinta Dia Bukan Arissa?
Dia Bukan Arissa?
Syaida Ilmuna Ismail
30/1/2013 16:05:03
196,547
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

Bab 20

“KAU yakin ke yang tu Encik Adam Farhan, boss tempat kau kerja dulu?” tanya Nida. Bagaikan tidak percaya, Fisya sebenarnya kenal dengan lelaki yang bersama Arlisa atau Arissa tadi.

“Iyaaa aku kenal! Ya Allah! Dulu aku kerja kat situ jadi kerani. Encik Adam tu duda anak sorang. Family dia memang kaya giler! Rumah macam istana.” Fisya kelihatan bersungguh-sungguh bercerita. Manakala Makcik Sue dan Nida pula sekadar mendengar.

“Ohh ye ke? Tapi yang perempuan tadi tu, kau sure nama dia Arissa bukan Arlisa?” Nida bertanya lagi. Dia mahukan kepastian. Ini adalah kerana pengecaman Nida amat bercanggah dengan apa yang Fisya katakan. Arissa? Tapi nampak gaya perempuan itu macam Arlisa. Tetapi bila difikirkan semula, ia agak mustahil wanita itu adalah Arlisa.

“Aku yakin nama dia Arissa! Puan Arissa tu semua orang kenal dalam pejabat. Tiap-tiap hari staf-staf kat situ bergosip pasal dia. Itulah inilah. Tambah-tambah lagi masa Encik Adam nak kahwin dengan dia. Katanya, Puan Arissa tu background dia tak berapa baik sikit…” kata-kata Fisya mula mengendur apabila mahu berbicara pasal keburukan orang. Dia mendiamkan diri seketika.

Makcik Sue yang tidak puas hati akan kediaman Fisya mula bertanya. “Apa yang tak berapa baik? Ceritalah.. makcik tak kisah..”. Makcik Sue cuba untuk memberanikan dirinya mendengar segala baik buruk perangai anak saudaranya. Dia tahu Arissa itu memang liar sikit budaknya. Memang tidak disangkal lagi itulah Arissa dan bukan Arlisa.

“Macam ni, Encik Adam tu dulu kahwin dengan sorang perempuan. Nama dia Bella. Puan Bella meninggal dunia sebab accident dalam 2 tahun lepas. Sejak tu, hidup Encik Adam memang tak berapa stabil. Ada banyak girlfriend dan di antara girlfriend yang dia paling rapat ialah Arissa. Puan Arissa ni dulu dia orang cerita.. kerja kelab malam!” Fisya menoktahkan ceritanya dengan nada memeranjatkan.

Makcik Sue mengurut-ngurut dadanya. Mahu terputus saja urat di jantung ini apabila mendengar penceritaan Fisya. Dia semakin yakin memang benar wanita itu Arissa. Sepanjang hidupnya dengan Arlisa, gadis itu adalah gadis yang pandai menjaga sopan santun dan berhati mulia. Tidak seperti kakaknya, suka keluar malam dan suka berdengki dengan kecantikan yang dimiliki Arlisa.

“ Makcik Sue okey tak ni?” Fisya bertanya. Takut-takut pengsan pulak makcik ni.

“Okey.. okey… sambunglah cerita kamu tu.. lepas tu apa jadi..” Makcik Sue tersandar di kerusi seketika. Melepaskan segala keluhan di dada.

“Lepas tu apalagi.. kahwinlah Encik Adam dengan Puan Arissa tu. Tapi dengar-dengar ceritalah kan.. Puan Murni, mak kepada Encik Adam tu memang anti Arissa. Dia tak suka menantu dia tu. Semua orang pun sebenarnya tak suka kat dia..” kata Fisya sambil menjegilkan matanya. Unsur dramatik diselitkan dalam penceritaan.

“Kenapa tak suka?” Nida bertanya. Dia bagaikan tidak percaya mendengarkan cerita-cerita Fisya.

“Sebab Puan Arissa tu jahat! Dia layan Puan Murni, mak mertua dia, macam kawan-kawan dia je. Kami ni semua.. kalau dia datang office, habis kena marah! Ish! Kalau diingatkan balik.. mau geram jugak. Sebab tu lah aku berhenti keja kat situ. Adik Encik Adam tu pun satu hal jugak.. garang, cerewet tak bertempat! Serik akuuu…” jelas Fisya dengan nada amarah yang menjalar-jalar di hatinya. Memang dia dah takkan kembali berkerja di Fashionista lagi.

“Astaghfirullah…” Makcik Sue menggelengkan kepalanya. “Arissa tu memang perangai dia macam tu.. makcik tak tahu lah kalau dah salah didik dia ke ape.. entahlah.” Makci Sue mengeluh berat dan berkata dengan nada penyesalan. Alangkah baiknya kalau masa dapat diputarkan kembali.

“Tapi… betul ke yang tu kembar yang korang cari ni?? Arissa kakak si Arlisa kan? Arlisa tu yang hilang sekarang kan?” Fisya membuat pengesahan sekali lagi. Bagai tak percaya pula.

“Kita orang ni sebenarnye cari Arlisa, tapi Makcik Sue cakap kalau jumpa dua-dua orang pun bagus. Cuma sekarang ni lepas dengar cerita kau.. memang betullah tadi tu Arissa. Tapi…” Nida memberhentikan kata-katanya. Dia masih ada keraguan. Mengapa sikap dan gaya yang dipertonjolkan Arissa tadi tidak seperti Arissa?

“Tapi apanya?” Fisya musykil.

“Aku ni masih tak percaya yang aku tengok tadi tu Arissa!”

“Laaa aku berani sumpah! Yang tulah Arissa!” kata Fisya sambil mengangkat tangan kanannya tegak ke paras bahu.

“Berapa kali kau jumpa Arissa tu?” tanya Fisya.

“Adalah sekali dua…”

“Haa? Tengok? Aku dengan makcik dah jumpa dia orang tu hampir separuh dari hidup kita orang tauuu!” Nida bangun sambil menepuk-nepuk dadanya. Kemudian dia kembali duduk semula di sebelah Fisya.

Makcik Sue pula terkebil-kebil mengulangi ingatannya semasa di klinik tadi. Memang ada kebenarannya pada kata-kata Nida. Tidak mungkin wanita tadi tu Arissa.

“Okey aku ada cadangan! Apa kata.. kalau kau buat-buat macam kau nak bekerja kat Fashionista? Kau keje la dalam dua bulan macam tu untuk kau betul-betul pasti sama ada perempuan tu Arissa ke Arlisa ke…” kata Fisya sambil tersenyum. Idea bernas betul!

“Tapi.. sama ada Arissa ke Arlisa ke, dua-dua orang tu dah cam muka aku…” Nida menundukkan wajahnya.

“Takkanlah pulak Makcik Sue yang nak kerja kat situ….” Makcik Sue berkata perlahan dalam nada memerli. Aduhai budak ni!

“Hehehe.. Makcik Sue kan special kes…” Nida tersengih-sengih.

“Macam nilah.. pasal tu kau jangan risau. Nanti aku akan ubah kau menjadi orang lain! Haa.. aku akan renovate kan sikit muka kau tu.. kau jangan risau!” kata Nida dengan penuh semangat. Masa untuk menunjukkan bakat terpendam ni!

“Betul kau boleh buat?”

Fisya mengangguk laju.

“Si Kamal ni pulak macam mana?” tanya Makcik Sue dengan tiba-tiba. Dia teringat akan Arlisa. Yang dicari Arlisa tapi yang dijumpa Arissa. Aduhai!

“Kamal tu… tak pa, tak pa.. Malam ni saya janji akan contact kawan saya tu,” kata Nida dengan nada bersungguh.

****

MALAM menjengah dengan cuaca yang lebih tenang. Namun ia tidak setenang hati Puan Murni yang seperti dilanggar garuda. Anak perempuannya Fida masih belum pulang. Dari pagi tadi, sehinggalah malam yang tidak lama lagi bakal menjelang satu pagi, Fida masih belum pulang.

Puan Murni mudar-mandir di ruang tamu. Matanya tidak boleh lelap selagi Fida belum pulang. Sudahlah itu seorang saja bunga di antara kumbang, bunga itu jualah yang mengharumkan malah bunga itu jualah yang penuh berduri. Puan Murni runsing memikirkan Fida. Kemanakah mungkin puteri kesayangannya ini pergi?

Arlisa yang berada di biliknya juga masih belum tidur. Dia semenjak tinggal di rumah besar ini, memang tidak dapat tidur dengan nyenyak. Semuanya kerana Adam. Ia kadang-kadang menjadi igauan dalam mimpi-mimpinya. Dia takut jikalau Adam menyelinap masuk ke dalam biliknya walaupun sudah berkunci. Sampai bila lagi dia harus bertahan dalam situasi ini? Dia sendiri tidak tahu. Apa yang dia ketahui sekarang ialah dia sedang mendera jiwa dan hati seorang lelaki yang sedang mendambakan cinta seorang isteri. Sungguh bersalah dirinya ini. Tapi apakan daya. Dia tidak mampu melakukan apa-apa kecuali berdoa semoga perkara ini berakhir secepat mungkin. Jangka masa setahun itu terlalu lama untuk dia lalui keseorangan.

Arlisa yang tidak dapat melelapkan matanya bercadang untuk turun ke dapur. Namun apabila dia sampai di tingkat bawah, kelihatan ruang tamu masih bercahaya. Lalu dia menapak ke sana. Kelihatan Puan Murni sedang mundar-mandir dalam kegelisahan.

“Mama.. kenapa tak tidur lagi?” tegur Arlisa perlahan. Dia tidak mahu mengejutkan wanita separa umur itu.

Puan Murni berpaling. Ternyata ia adalah si penyamar itu. “Oh Arissa? Kamu pun tak tidur lagi?” Soalan itu berbalik semula kepada Arlisa.

“Belum.. saya dahaga. Turun minum air sekejap.”

“Adam dah tidur?” tanya Puan Murni. Dia tetap bertanya walaupun dia mengagak mereka pasti tidak tidur sebilik.

Arlisa tergaru-garu kepalanya. “Ahh dah rasanya…” Dia kemudian menundukkan kepalanya memandang corak di carpet yang kelihatan lebih menarik dari persoalan Puan Murni tadi.

“Ohh..” Puan Murni merasakan telahannya benar. Perempuan ini sangat berhati-hati dalam menjaga perhubungannya dengan Adam. Puan Murni dalam masa yang sama merasakan dia sedang menghalalkan sesuatu yang haram. Astaghfirullah!

“Mama sebenarnya buat apa malam-malam kat sini?” Arlisa cuba mengalihkan topik perbualan. Dia tidak mahu Puan Murni berterusan bertanyakan dia mengenai Adam.

“Tunggu Fida.. tak balik-balik lagi ni.” Puan Murni mengeluh panjang. Kelihatan kerisauan pada nada pertuturannya.

“Dia tak balik lagi? Dia masih marahkan saya agaknya,” kata Arlisa sambil mengetap bibirnya. Dia tahu Fida benci benar dengan dia.

“Kamu tak bersalah.. dia tu.. memang macam tu. Susah nak mengawal perasaan dia. Kalau dia tak suka, dia akan membenci sampai mati. Sebab tu dia tak kawin-kawin.” Puan Murni berkalih ke jendela. Dia kemudian mengalihkan langsir meninjau keadaan di luar. Mana tahu, Fida sudah pulang.

“Sebab tu dia tak kawin?” Arlisa semakin berminat untuk mengenali diri Fida. Mungkin dia dapat membantu.

“Dulu dia ada cintakan seorang lelaki ini..” kata Puan Murni sambil memaniskan wajah. “Tapi.. dia orang putus cinta. Sejak dari tu.. dia dah tak mahu bercinta lagi.. Dan! Menghindarkan dirinya dari cinta!” kata Puan Murni lagi sambil bertukar emosi menjadi melankolik.

“Ohh begitu… jangan risaulah ye Mama.. Insya Allah, nanti dia baliklah tu. Jom kita tidur dulu. Nanti mama sakit, lagi susah tau.” Arlisa mendekat dirinya dengan Puan Murni. Tangannya yang masih berbalut itu mengusap bahu Puan Murni. Lalu dipimpinnya wanita itu ke kamar wanita tersebut.

Di hadapan pintu bilik, Puan Murni memberhentikan langkahnya. Dia memegang wajah Arlisa dengan kedua-dua telapak tangannya.

“Terima kasih, Arissa,” ucap Puan Murni dengan seleret senyuman. Lalu dia masuk ke biliknya meninggalkan Arlisa keseorangan di hadapan pintu.

Arlisa bingung seketika dengan sikap Puan Murni. Dahulu Puan Murni amat membenci dirinya, sekarang Puan Murni seakan-akan sayang akan dirinya. Manusia berubah, begitu juga dirinya.

****

FISYA memperbetulkan rambut palsu yang melekap di kepala Nida. Rambut tersebut pendek dan mengembung serta berwarna hitam. Kemudian diberinya Nida cermin mata bersegi empat dengan bingkainya berwarna hitam untuk dipakai. Kalau sekilas pandangan, Nida kelihatan seperti ‘Ugly Betty’ dengan baju kurung polos yang bercorak bunga-bunga kecil ala-ala vintage.

“Oh my god! Renovation aku menjadi!” kata Fisya sambil mengipas-ngipas wajahnya dengan tangan kiri.

“Kau ingat aku rumah! Renovate-renovate! Dah okey dah kan? Makcik Sue macam mana?” kata Nida sambil berkali ke kerusi belakang kereta Perodua Kancil itu.

“Ahaha.. Macam Ugly Betty dah aku tengok.” Makcik Sue terkekek-kekek tertawakan Nida. Macam pelawak dah!

“Makcik Sue ni….” Nida mencebik. Dia merasakan dirinya bagaikan ‘clown’.

“Dah-dah.. dekat pukul 9 pagi ni.. cepat keluar. Nanti lift tu penuh.” Fisya menolak-nolak badan Nida untuk keluar. Kemudian Fisya turun dari kereta dan bukakkan pintu untuk Nida.

“Okey.. okey aku keluar ni..” Nida menelan air liur. Kuatkan semangat Nida! Kuatkan semangat. Dia kemudian menapak beberapa langkah ke hadapan.

“Good luck!” jerit Fisya dari belakang.

Nida memasuki ruang legar antara bangunan fesyen yang terbesar di Malaysia ini. Dia melihat kawasan sekitarnya. Ramai sungguh orang yang pelik-pelik. Fesyennya pun pelik-pelik. Seksi meksi bagai. Terbelah sana, terbelah sini. Seram! Lalu dia melurukan perjalanannya ke arah lif yang kelihatan mulai sesak.

Nida bersama staf-staf disekeliling menunggu lif. Kemudian setelah beberapa lama menunggu, orang-orang disekitarnya secara tiba-tiba beralih ke tepi seakan-akan memberi laluan kepada seseorang. Dia berkalih dan melihat seorang lelaki kacak bercermin mata hitam bersama pasangannya yang cantik lagi jelita iaitu sudah semestinya orang yang dicari-cari, Arissa.

Arlisa bercemin mata hitam dan berbaju dress peach berlengan panjang. Dia sengaja memakai lengan panjang pada hari ini supaya kecelaan akibat terkena air panas dapat ditutupi. Nida cuba untuk mendekatkan dirinya bersama pasangan tersebut. Dia ingin melihat wanita yang dianggap Arissa itu dari dekat.

Fizikal wanita ini serupa. Sama ada Arlisa ataupun Arissa, sama saja. Tiada sedikit beza pun. Kali ini dia cuba pula untuk memicing telinga, mendengar perbualan kedua pasangan itu. Tidak sempat hendak berbuat apa-apa tiba-tiba lif yang ditunggu-tunggu sudah meluahkan isinya dan menanti isi baru untuk dimasuki. TING! Semua orang bergegas masuk ke dalam. Namun mereka tetap memberi penghormatan kepada Encik Adam dan Puan Arissa untuk menaiki lif tersebut dahulu.

Manakala Nida cuba menyelitkan dirinya dalam situasi tersebut. Walaupun terpaksa berkusuk-kasak bersama staf-staf lain, dia harus juga memasuki lif tersebut bersama Arissa dan suaminya, Adam. Perilaku Nida menimbulkan amarah beberapa staf wanita. Mereka memerli dengan nada perlahan. Namun Nida tidak mengendahkannya kerana dia telah berjaya berada di dalam lif!

Nida cuba untuk memicing telinga sekali lagi untuk mendengarkan perbualan pasangan yang disangka suami isteri ini.

Arlisa menatap wajah Adam dengan serius. Dia cuba untuk mengatur kata-kata. Adam pula kelihatan tegang dengan situasi lif yang agak padat.

“Adam.. kenapa you batalkan meeting semalam?” tanya Arlisa perlahan.

“You tak ade, jadi I tak boleh nak handle meeting. Lagi pun semua orang macam tak ada idea yang brilliant je untuk our festival fashion tu..” Adam menjawab dengan nada acuh tidak acuh.

“Kan I dah cakap semalam…”

Kata-kata Arlisa dipintas. “Yes I know.. lagi pun kejap lagi je kan meeting.”

TING! Lif berbunyi dan beberapa manusia keluar dari isi perut lif. Yang tinggal cuma Arlisa, Adam, dua orang staf dan Nida.

“You risau kan Fida sebab tak balik-balik lagi?” Arlisa menduga. Memang Adam tampak risau dari malam tadi lagi, lantas lelaki itu masuk awal ke bilik miliknya.

“Yeah..” Adam membalas soalan Arlisa sambil menundukkan wajahnya.

“Semua ni salah I kan?” Arlisa merasakan dirinya yang harus dipersalahkan. Kalau bukan kerananya Fida tidak akan jadi begini.

TING! Sekali lagi lif memuntahkan isinya. Dua orang staf keluar. Kini tinggal Nida, Arlisa dan Adam. Nida menelan air liurnya. Dia tidak tahu di tingkat berapa dia harus turun. Dia juga takut Arissa akan mengecam wajahnya.

Adam pula tidak membalas pertanyaan Arlisa. Sesekali dia merasakan tindakannya mengahwini Arissa memang suatu kesalahan besar. Dia meletakkan keluarganya di bahagian yang paling bawah semasa dia membuat keputusan untuk mengahwini Arissa. Kini padahnya, dia yang terima.

Arlisa mengerling ke belakang lif. Dia melihat Nida dengan wajah penuh curiga. Kemudian memalingkan wajahnya semula ke hadapan. Silap aras ke budak ni? Muka macam familiar..

Arlisa berkalih semula wajahnya ke belakang. “Cik ni dah sesat ke?”

Nida menelan air liurnya. Ya Allah! Dia bercakap dengan aku. Lemah lembut macam Arlisa!

“Ahh saya.. saya..” Nida menggaru-garu kepalanya. Aduhai! Nak jawab apa ni?

“Cari kerja ke?” Arlisa menggaris senyuman ringkas.

“Iya! Saya sebenarnya nak minta kerja.” Nida cepat-cepat mengiyakan kata Arlisa untuk mengelak dirinya disyakwasangka.

“Okey then, awak ikut saya lah,” kata Arlisa yang sempat mengerling ke arah Adam. Lelaki itu tiada reaksi. Sesuatu yang kurang Arlisa gemari, Adam seorang yang sombong apabila berhadapan dengan orang yang tidak setaraf dengan dirinya.

TING! Lif terbuka dan ketiga-tiga mereka keluar dari perut lif tersebut. Arlisa mengisyaratkan Adam untuk ke bilik mesyuarat dahulu manakala dia akan menyusul nanti. Nida pula mengekori Arlisa hingga ke meja Vivian, sekretari Adam.

“Vivian, you tolong tengokkan kalau ada kerja kosong lagi untuk Cik ni..” Kemudian Arlisa berkalih kepada Nida. “Kerja apa pun awak tak kisah kan?” tanya Arlisa dengan berhati-hati.

“Saya okey je!” kata Nida sambil berseloroh.

“Okey kalau macam tu kita jumpa lagi,” kata Arlisa sambil mengorak langkah pantas ke bilik mesyuarat.

Nida tenganga melihat tingkah laku Arissa yang tidak langsung sama dengan apa yang digambarkan Fisya. Berbeza sungguh! Ternyata kalau inilah Arissa, memang kakak rakan baiknya ini telah berubah. Tetapi kalau wanita ini Arlisa kelihatan lebih logik sebenarnya. Hal ini kerana memang begitulah sifat Arlisa dari azali.

“Cik… jom ikut saya,” kata Vivian yang mematikan lamunan Nida secara tiba-tiba.

****

Previous: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.