Home Novel Cinta Dia Bukan Arissa?
Dia Bukan Arissa?
Syaida Ilmuna Ismail
30/1/2013 16:05:03
196,873
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18

Bab 18

“MAKCIK Sue masuklah..” jemput Nida sambil mengangkat beg sandang dan tarik miliknya dan Makcik Sue.

“Wah besar rumah kawan kau ni…!” kata Makcik Sue meliarkan matanya 360 darjah ke ruang tamu rumah milik kawan Nida, Fisya.

“Tak de lah besar mana makcik.. rumah apartment biasa je. Duduklah. Bilik makcik dengan Nida pun saya dah sediakan,” kata Fisya dengan nada lembut. Fisya merupakan rakan Nida semasa di belajar di Kuala Lumpur dulu. Oleh kerana rasa simpatinya mendengarkan cerita Nida mengenai Makcik Sue dan anak saudara kembarnya, Fisya bermurah hati untuk menumpangkan mereka berdua di rumahnya. Lagi pula memang dia tinggal seorang di rumah itu. Ibu bapanya duduk di Johor dan dia tinggal di Kuala Lumpur atas tuntutan kerja.

“Terima kasih nak.. Fisya kan namanya?” kata Makcik Sue sambil mengelap-ngelap peluh menggunakan tudung bawalnya.

“Iya makcik. Ni Nida, bilanya awak nak cari kembar tu? Saya teringin nak tengok dia orang real life!” kata Fisya. Ternyata gelojak ingin tahunya lebih tinggi dari Nida sebenarnya.

“Haha apelah kau ni! Sabarlah.. orang yang aku nak contact tu pun belum lagi aku contact.” Nida kemudian melabuhkan punggungnya di sebelah Makcik Sue.

Makcik Sue yang risau melihat gelagat Nida mencelah. “Iyalah Nida, cepat-cepatlah kau telepon kawan kau tu. Carikan mana Kamal. Makcik Sue nak jumpa dengan dia!”

“Makcik Sue.. Fisya.. hari ni kita ni baru je sampai. Apa kata kita relax satu dulu.. pi Jalan TAR ka.. shopping satu dua lai tudung. Lepas tu kita pi la cari depa.” Nida mengeluh berat. Letih ni! Sabaq sat noo!

“Haa yang nilah yang aku tak berkenan dengan hang ni Nida! Ni nak Fisya.. sat lagi petang bawak sat kami pi Jalan TAR tu. Bagi penuh impian si Nida ni. Kalau tak, lagi tulah dia tak jalan kerja dia. Kata hari tu konon Nida Si Detektif la.. sekarang ni apa pun tak ada!” bebel Makcik Sue.

“Iya lah Makcik Sue.. Nida.. nanti petang saya bawak ye?” jawab Fisya sambil ketawa kecil dan menggelengkan kepalanya melihat gelagat dua orang insan yang dalam kesusahan ini.

****

ISHKK.. ISHKK… Arlisa teresak-esak menangis. Dia tidak menyangka akan bertemu Kamal di sini. Lelaki itu juga bakal bekerja bersamanya. Sudah semestinya Adam akan mengambil Kamal sebagai model utama oleh sebab pengaruh Sofea ke atas lelaki tersebut. Dia tidak tahu mahu berbuat apa lagi. Di jiwanya, dia hanya memohon tuhan memberikannya petunjuk. Tolonglah keluarkan dirinya dari masalah yang bersimpulan maut ini.

Airmatanya berterusan berhamburan. Dia juga menggosok-gosok tangan kanannya yang merah akibat rentapan kuat Kamal ke atas tangannya semasa di dalam lif tadi. Arlisa sangat mengesali apa yang berlaku tadi. Dia juga tidak menyangka yang dia sungguh berani semasa berhadapan dengan Kamal tadi. Ini mungkin kerana amarahnya yang berkalang di hati.

Tergamak lelaki itu melukakan hatinya. Bukan sahaja melukakan tetapi mencincang hatinya sehingga lumat. Tiada sedikit pun perasaan bersalah yang bersarang pada hati Kamal. Malah dia mahu menutupi kesalahannya lagi dengan menyalahkan Arissa kembali. Pada mulanya, mengapakah dia mencintai lelaki sekejam itu? Arlisa kesal. Kesal kerana mencintai seorang manusia melebihi dari penciptanya. Inilah padah yang sedang dia terima.

Tangisan Arlisa berpanjangan sehingga dia tidak menyedari ada yang sedang mengendap. Adam menyelinap masuk ke dalam kamar pejabatnya. Dia mengerutkan dahi dan curiga. Mengapa Arissa menangis? Ada sesuatu yang tidak kenakah? Adam mendekati Arlisa. Perlahan-lahan dia menyentuh bahu wanita tersebut.

“Arissa?” tegur Adam lembut.

Arlisa yang mendengar suara lembut Adam tersentak. Cepat-cepat dia mengelap airmatanya yang sedang laju mengalir. Buat beberapa ketika dia tidak memalingkan wajahnya ke Adam sehinggalah lelaki itu menegurnya buat kali kedua.

“Arissa? You menangis?” Adam mengalihkan wajah Arlisa mendekati wajahnya. Lalu dihapuskan airmata yang basah di pipi dengan ibu jari kanannya.

“No, I tak apa-apa..” Arlisa pantas menolak tangan Adam dan menyeka airmatanya sendiri.

BAM! Pintu bilik pejabat itu ditolak deras. Fida muncul dengan wajah penuh kegirangan. Dia terangguk-anguk dan mendekati pasangan tersebut.

Fida menepuk-nepuk tangannya kuat. “Bravo.. Bravo! Lakonan yang hebat Arissa. Tak payahlah nak menangis sangat! Sekarang baru kau tahu erti cemburu bukan?” kata Fida dengan kuat sekali. Dia sengaja mahu memalukan Arlisa di hadapan semua pekerja termasuk Adam.

“Fida? Apa ni? Tutup pintu tu!” Adam makin lama makin sakit hati melihat tingkah laku Fida.

“Adam.. you ni kan takkanlah tak sedar.. isteri you tu kesian dia. Menangis konon!” Kata-kata Fida menyimpang dari apa yang dituturkan Adam. Dia tidak mahu ambil kisah akan kemarahan abangnya itu. Apa yang dia tahu, kali ini dia berjaya juga menumpahkan airmata Arissa yang selama ini tidak pernah menangis sekali pun selama mereka mengenali antara satu sama lain!

Arlisa menyeka sisa-sisa airmatanya. Dia memandang tajam ke arah Fida. Lalu diturunkan pandangan itu. Dia sedar dia tidak sepatutnya berbuat begitu. Namun kesabarannya ada batas. Cukup-cukuplah wanita ini saban hari mengejek dan memarahinya. Tidak kira pula asyik melaporkan hal-hal yang remeh temeh kepada Adam. Hari ini wanita ini telah sampai ke tahap yang mencabar kesabaran Arlisa.

“Kenapa kau pandang aku macam tu hah? Nak tampar aku? Tamparlah! Biar suami kau tahu perangai kau tu!” kata Fida sambil mendekatkan wajahnya pada Arlisa. Arlisa hanya cuba mampu mengelak dan menjauhi Fida.

“Fida sudahlah! Keluar dari bilik I sekarang! Keluar!” Kesabaran Adam juga teruji. Tambahan pula apabila dia melihat reaksi dingin Arlisa yang tidak mengendahkan tingkah laku Fida. Arlisa tidak sedikit pun berkata-kata mahupun bertindak memukul Fida. Bagi Adam, ini adalah sesuatu yang sangat pelik. Arissa yang dia kenali sangat berbeza. Cepat naik angin kalau dicucuk, dan kalau tindakan Fida seperti tadi berulang, sudah tentu mereka sudah bergomol di atas lantai biliknya sekarang.

Fida menghempas pintu bilik Adam dengan kuat. Marah dan pada masa yang sama puas. Puas hatinya kerana dapat melukai hati perempuan keji itu. Manakala Adam yang di dalam biliknya berkalih pada Arlisa. Matanya memandang wanita itu sayu. Inilah kali pertama dia melihat isterinya menitiskan airmata. Apa yang membuatkan hatimu tersentuh sayang? Cemburukah?

“Arissa.. kenapa menangis? Fida cakap you cemburu? Betul ke?” tanya Adam perlahan sambil mendekati Arlisa yang sedang kini duduk di sofa berdekatan dengan jendela bilik.

“Tak adalah.. I mana ada..” Arlisa menunduk dan melihat jari-jarinya yang kemas dipotong kuku.

“Kalau macam tu… kenapa menangis?” Adam mendekat lagi kemudian melabuhkan punggungnya di sebelah Arlisa. Dia memegang tangan wanita itu. Darah panas yang mengalir di tangan Adam membuatkan Arlisa terasa tidak selesa. Lalu ditarik tangannya dengan perlahan demi mengelak Adam bersangka buruk kepadanya.

“I sebenarnya…” Arlisa sudah kehilangan akal. Apa pula yang perlu ditemberangnya? “I memang cemburu… Sofea tu kekasih lama you kan?” Arlisa terpaksa mengakuinya, namun memang terdapat secalit kebenaran atas pengakuannya itu. Memang dia cemburu. Dia juga tidak tahu mengapa. Telah beberapa kali dia tegaskan ke hatinya bahawa Adam bukan milik dirinya. Namun sekeping hati ini seakan-akan berkeras.

“Yes..” Adam melemparkan senyuman kacaknya. Dia mengangkat wajah Arlisa dan tersenyum lagi. “Tapi you adalah kekasih I untuk selamanya..” Adam mengusap lembut wajah Arlisa.

Ya Allah! Dugaan ini sangat kuat. Arlisa sekali lagi bertembung matanya bersama Adam. Dia benar-benar tidak dapat mengawal perasaan. Lelaki ini begitu kacak dan begitu tulus cintanya. Alangkah indahnya jikalau dia ini suamiku. Mengapa dia milik Arissa? Mengapa bukan aku?

“Adam..” Arlisa cepat mengalihkan wajahnya dan bangun dari sofa tersebut. Dia cepat-cepat membuang perasaan cemburu terhadap Arissa itu jauh-jauh. Dia juga mengingati kembali sebab dia ke sini. Arlisa adalah seorang wanita malang yang datang dari kampung. Adam tidak mungkin mencintainya jikalau dia tahu akan kebenarannya.

“Arissa.. kenapa you selalu menjauhi I?” Adam mengerutkan dahinya. Arissa yang dia kenali dulu sudah tiada. Tiada lagi kemanjaan yang ditonjolkan Arissa kepada dirinya. Kini dia terasa sangat sendiri dan merasakan cinta Arissa kepada dirinya semakin menjauh.

“Maafkan I Adam…” Arlisa terus berlalu keluar dari bilik tersebut. Dia harus menghindari perasaan yang bertakhta di hatinya ini. Tetapi sampai berapa lama lagi?

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.