Home Novel Cinta Dirgahayu Tuanku
Dirgahayu Tuanku
AnnSelasih
24/7/2019 18:48:58
16,350
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

Kelam kabut!

Pertemuan untuk melaksanakan rencana rahsia yang diatur bersama-sama paman semakin hampir.

Sepersalinan lengkap milik ayah dicapai dari dalam almari lalu dilipas kemas di dalam kantung kain batik. Semua barang keperluan telah disediakan termasuklah sebilah keris pusaka milik keluarga arwah ibu. Bidasari menarik nafas panjang sebelum melangkah keluar dari kamar menuju ke pintu utama. Hanya beberapa langkah sahaja, rencananya pasti akan berjaya jika suara garau ayah tidak berkumandang seisi rumah.

"Bidasari! Mahu ke mana kamu? Bukankah sudah gelap isi alam di luar sana?"

Serta merta langkah Bidasari terhenti di situ. Perlahan sahaja kepala berpaling ke sisi. Ayah masih memaku mata menanti jawapan Bidasari. Dari lisan mahupun bahasa tubuhnya; berundur semula ke kamar!

'Ada kitab baru di tangan ayah? Tulisan siapa?' 

Hati mula mendesah ingin tahu. Luaran kitab nampak asing di mata Bidasari. Akan tetapi itu bukanlah keutamaan buat masa ini meskipun keasyikkannya terhadap ilmu dan kitab tiada tolok bandingannya. Ada permasalahan bangsa dan negara yang perlu dia selesaikan. Hmm ... sudah tentu tanpa pengetahuan ayah.

Bidasari merapati Pak Rasul. Soalan meluncur laju dari mulut.

"Kitab pasal apa ayah?"

Pertanyaan itu bagi mengalih perhatian ayah dalam masa yang sama memenuhi lonjakan hati Bidasari. Bibir Sang ayah mengukir senyum. Dia tahu sangat keasyikan satu-satu anak gadisnya itu.

"Kajian tentang alam semesta. Bagaimana perubahan cahaya bulan ada kaitan dengan kejadian alam. Pasang dan surut air laut, gelora dan tenang muara. Malah menjadi panduan bagi ahli falak bagi penentuan kitaran hari dalam sebulan."

Tak sedar punggung sudahpun berlabuh di sisi ayah. Ilmu baru!

"Siapa pengarangnya ayah? Orang kita? Atau kitab yang bersandarkan ilmu bangsa lain?"

Ayahnya ketawa kecil. Dagu anaknya disentuh lembut.

"Jika mahu tahu lebih banyak lagi, duduk lama-lama di sini. Mari mentelaah bersama ayah."

Bidasari mencebik dan menggeleng kepala.

"Sari ada janji dengan Paman malam ini. Mahu bicara hal penting kata Paman."

Pak Rasul meletakkan kitab ke riba. Dicari anak mata Bidasari dalam kesamaran cahaya dian di hadapan mereka.

"Ada-ada sahaja Paman kamu itu. Tidak cukup siang, malampun dia mahu berkelek dengan anak aku. Bilang sama Paman kamu, suruh anaknya Si Siantan tu cari jodoh cepat-cepat. Biar segera bermenantu. Ini tidak, anak aku juga yang dikejarnya."

Hati ayah cepat sahaja panas bilamana nama Paman disebut. Adik arwah ibunya itu memang tidak sebulu dengan ayah. Jika dilayan, sampai ke pagilah dia akan betapa di sini mendengar omelan ayah tentang Paman. Tangan tua itu Bidasari kucup laju. Begitu jua di kepalanya sebelum melangkah keluar.

"Sari harus pergi sekarang. Mungkin Sari akan bermalam di rumah Paman."

Kedua-dua belah kakinya telah menuruni tangga rumah ketika ayah berteriak kuat, "Apa? Bermalam di rumah Paman? Paman kamu benar-benar mahu merebut kamu dari aku ya?"

Bidasari pura-pura tidak mendengar kata-kata terakhir ayah. Dia pasti ayah akan menghalang jika diminta izin terlebih dahulu. Atau akan tidak sedarkan diri jika mengetahui rancangannya yang sebenar. Dari jauh Bidasari melaung, "Ayah jaga diri ya. Makan dan minum sudah Sari sediakan di bawah tudung saji di dapur."

Bidasari menarik kain batik agar menyelubungi seluruh kepala. Biarpun jelas bahaya yang menanti, keterujaan mengatasi bimbangnya.


Istana Besar, Melaka 

Sudah agak lama mata besar Malim menatap putera kesayangannya. Tak mampu dia menahan senyuman biarpun dari awal lagi Raja Hussain telah memberi amaran.

"Tengku nampak lebih jelita daripada ibu hamba."

Ikhlas pujian diberi meskipun jelingan tajam Raja Hussain yang Malim terima sebagai balasan. Keras suara yang keluar dari celah gigi-gigi yang berlaga.

"Kau jangan lupa Malim. Ada keris yang terselit ditubuhku di sebalik baju ini..."

Raja Hussain mengetap gigi lagi sebelum keluhan berat dilepaskan untuk entah kali ke berapa semenjak baju kurung labuh pesak gantung itu mulai tersarung di tubuh. Mahu sahaja dia kerat lapan lidah Malim tatkala mendengar hilai halus daripada pembantunya itu ketika menolong dia mengenakan pakaian tadi.

Dan entah kali ke berapa juga dia berlegar mengelilingi katil. Teragak-agak mahu melangkah keluar kamar. Bagaimana jika rancangannya gagal? Apa pandangan dayang dan pengawal istana seandainya dapat menangkap dia berpakaian sebegini? Mahu pengsan ayahanda jika berada di hadapan Raja Hussain sekarang. Terasa pahit air liur yang ditelan laju.

Malim masih setia menanti di ambang pintu. Sesekali kepalanya menjenguk keluar memerhati pergerakan pengawal istana.

"Jikalau Tengku ragu-ragu, kita batalkan sahaja rencana ini."
Malim bersuara lembut seakan-akan memujuk.

"Ini perkara penting Malim. Berkait rapat dengan jatuh bangunnya kegemilangan tamadun bangsaku serta kerajaan Melaka ini. Masakan aku berupaya bertolak ansur?"

Kata-kata yang diujar kepada Malim sebenarnya diaju buat diri sendiri juga. Dia mengumpul semula semangat yang kian menghilang. Biar apapun yang bakal terjadi, sebesar manapun kesukaran dan bahaya yang terpaksa dia tempuhi malam ini, Raja Hussain tak akan mengalah. Akhirnya Raja Hussain menganggukkan kepala kepada Malim.

"Ayuh, mari kita pergi."

Terencat pergerakan Raja Hussain dihalang dengan tangan Malim di muka pintu. "Bolehkah Tengku berjanji dengan patik sebelum kita keluar?" 

Anak mata Malim di pandang tepat. Raja Hussain mengumpul kesabarannya semula. "Ada apa lagi Malim?"

"Boleh Tengku janji... akan menjaga baju ibu patik itu sebaiknya? Baju itu pemberian pertama ayah kepada ibu."

Masih terbayang-bayang tangan yang terketar-ketar tatkala Malim menyembunyikan baju kesayangan ibunya itu ke dalam bungkusan. Rancangan itu telah difikir masak-masak setelah meneliti kawalan keselamatan istana. Dari pemerhatian Malim, jarang sekali dayang istana atau gadis yang keluar atau masuk ke istana di soal siasat dengan teliti oleh para pengawal. Malah dia pernah melihat pagar besar istana dibuka seluasnya hanya dengan satu kenyitan sahaja daripada si gadis.

Raja Hussain dengar acuh tak acuh. Banyak perkara lain lagi yang lebih besar ertinya daripada baju itu di dalam hidupnya. Pipi gebu Malim memenuhi kedua tapak tangan Raja Hussain.

"Malim, dengar sini. Kalau baju ini diapa-apakan, beta berjanji akan menggantikan 100 persalinan baru yang jauh lebih bagus daripada baju ini untuk ibu kamu."

Malim mengganggukkan kepala. Wajahnya masih suram.

"Menjunjung kasih, Tengku. Akan tetapi patik mahu Tengku tahu bahawa kenangan yang indah tidakkan bisa dapat mengatasi 100 perkara baru yang tidak bermakna dalam hidup kita."

"Apa-apa sahajalah Malim. Mari pergi. Kita akan terlepas nanti andai masih bertangguh."

Raja Hussain menarik tangan Malim keluar menuju ke balai tengah seterusnya ke pintu keluar utama istana. Menyembunyikan wajah di dalam kerudung batik, tidak putus-putus Raja Hussain memanjatkan doa agar Tuhan melindungi mereka berdua malam ini.

Langkah kaki mereka berdua terhenti di pintu utama istana. Pengawal bertugas merenung gadis yang dilihatnya dari atas sehingga ke bawah.

"Siapa kamu? Mahu ke mana?" Garang nada suara pengawal bertanya.

Malim mempamerkan wajah manis dan menjawab, "Dayang baru."

Pengawal menempelak Malim. "Bukan kamu. Aku bertanya kepada dia!! Siapa tuan hamba? Sila tunjukkan wajah!"

Tubuh Malim mula bermandi peluh manakala Raja Hussain yang berdiri rapat di sisi Malim menarik nafas dalam sebelum menyahut dalam nada suara yang paling halus dan lembut, "Hamba Lelasari."

Pengawal masih tidak berpuas hati. Ditenungnya wajah Malim semula.

"Kenapa kamu sengih-sengih? Ada apa-apa yang menggelikan hati kamu?"

Lekas-lekas Malim menggelengkan kepala dan menjawab, "Sedap suara dia."

Tak sedar siku Raja Hussain laju menujah rusuk Malim. Berkerut sebentar wajah Malim. Pengawal melangkah berdiri berhadapan Raja Hussain.
"Perlihatkan aku wajah kamu!"

Titis dingin mulai merenik di dahi Raja Hussain. Ternyata rancangannya bakal berakhir di sini sahaja. Malim menggamit pengawal supaya mendekatimya. Dibisiknya sesuatu kepada pengawal. Serta merta pengawal tunduk dan membuka pintu utama. Lekas-lekas Malim dan Raja Hussain mengatur langkah beredar dari perkarangan istana. 

Setelah jauh dari Kota Melaka, Raja Hussain menukar pakaian di belakang perdu pohon besar. Sambil itu sempat juga Raja Hussain bertanya, "Apa yang kau bisikkan kepada pengawal tadi, Malim?"

"Oh! Perihal tadi ya. Patik bagitahu pengawal, ini gadis istimewa Tengku Hussain."

Malim ketawa mengenangkan peristiwa tadi. Tidak disangka, tipu muslihatnya berjaya. Raja Hussain menghulurkan baju samaran kepada Malim.

"Gadis istimewa? Ada-ada sahajalah kau ni Malim."

Bertentangan dengan ayahandanya yang terkenal dengan kehebatan memenangi serta disenangi semua wanita, Raja Hussain tidak pernah ambil pusing tentang perempuan. Hatinya tidak pernah tertarik dengan mana-mana gadis. Samada di dalam istana mahupun di luar istana. Fikirannya sering dipenuhi dengan ilmu-ilmu yang dipelajari daripada para cendekiawan istana mahupun dari dalam kitab dan naskhah yang dibaca. Masa mudanya lebih banyak dihabiskan di ruangan ilmu ataupun bilik bacaan. Hatinya bagaikan meletup dengan keterujaan sekiranya terjumpa pengetahuan baru. 

Lebih baik bercinta dengan ilmu daripada gadis. Sudah pasti ilmu akan menuntunnya ke lembah makmur dan mulia. Sedangkan gadis akan membawa fikirannya menerawang ke mana-mana. Entahlah, diapun tak tahu.

Raja Hussain perasan garisan melengkung yang sungguh lebar di bibir Malim.

"Hmm... tak habis-habis lagi kau nak mempersendakan beta Malim?"

Dalam menggeleng Malim masih tersenyum.
"Patik gembira Tengku, kerana kita berdua tak banyak bezanya."

"Apa maksud kamu?"
Berubah nada suara Raja Hussain. Masakan Malim sudah lupa akan kedudukan dirinya.

"Persalinan orang-orang biasa yang Tengku pakai ini tidak membezakan darjat kita. Jikalau patik kena tangkap dengan orang jahat, sudah tentu Tengkupun tertangkap sama."

Laju Raja Hussain menghayun tangan ke kepala Malim. Agak kuat sehingga Malim tertunduk ke bawah. Hilang terus senyuman Malim. Kepala digosok kuat.

"Awas bicaramu Malim. Sesungguhnya kata-kata yang terbit dari mulut itu adalah suatu doa. Lalu ke mana haluan kita seterusnya, Malim?"

Perlahan sahaja Malim menyahut.

"Hutan dara Bukit Siguntang, Tengku."


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.