Home Novel Cinta Dirgahayu Tuanku
Dirgahayu Tuanku
AnnSelasih
24/7/2019 18:48:58
16,333
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Sudah bersedia adinda?"

Pertanyaan diaju penuh sinis. Malah hujungnya diakhiri dengan gelak tawa.

Tidak menoleh, Raja Hussain hanya menggangguk. Tubuhnya diubah ke posisi bersedia. Segala tumpuan dan tenaga telah dipusatkan. Dengan sedikit membongkok ke hadapan, Raja Hussain tekad. Dia pasti kemenangan di pihaknya kali ini. Sekilas, ingatannya berlari mempelajari kesalahan di pusingan pertama tadi. Daya kaki yang tidak cukup laju dan pesat sewaktu menginjak bongkah-bongkah kayu, menjadikan dia bagaikan anak kecil yang meniti di para kayu yang terakhir sebelum menghumban diri di atas pelana kuda. Di situlah dia mulai jauh ketinggalan dari pesaingnya sehingga menemui kekalahan.

Sejurus Raja Muhammad memberi isyarat kepada pengawal, kawasan lapang di pinggiran hutan itu bergema dengan teriakan.
"Mula!"

Segala tenaga dikerah agar larian bertambah pantas. Dalam jarak kurang daripada 200 kaki, Raja Hussain telah menangkap kelibat kain perca merah yang diikat di hujung batang anak panah yang terlonggok di dalam kelongsong. Lima kain merah kesemuanya. Menandakan lima sasaran yang menantinya kelak. Lima sasaran yang pasti ditembusi anak panahnya tanpa satupun tersasar!

Tatkala busur dan bekas anak panah dicapai, Raja Hussain sempat menjeling. Raja Muhammad juga telah selesai melalui cabaran pertama hanya beberapa langkah di belakangnya.

Kantung anak panah disemat erat ke tubuh. Kini halangannya cuma pada bongkah-bongkah kayu di hadapan. Raja Hussain mulai memecut pantas agar tatkala kaki diinjak pada bongkah tersebut, daya tolakan membantu badannya kencang meniti di atas kayu itu tanpa perlu meletakkan sepenuh tapak kaki sebelum diangkat semula ke bongkah seterusnya.

'Berjaya!' Hati Raja Hussain melonjak keriangan sehingga terkeluar ketawa kuat dari ulas bibirnya. Para kayu di sisi kuda hanya dijejak dengan hujung kaki. Dia bagaikan terbang ke atas pelana sebelum mengerah binatang sasa itu berlari kencang. Raja Hussain arif benar akan lawannya yang handal mengendali kuda. Tetapi dia juga kenal kekuatan diri sendiri. Tak satupun sasaran pernah terlepas sia-sia dari bidikan busurnya.

Derap kaki kuda yang dipacu Raja Muhammad semakin kencang. Kini, sebelah menyebelah mereka bersaing menghampiri barisan pokok belimbing yang ditanam berderetan. Sasaran terlebih dahulu disembunyikan di situ. Di celah-celah dahan dan daun-daun hijau yang merimbun, kain merah diikat kemas pada tangkai buah belimbing yang ranum. Hanya lima belas biji sahaja yang bertanda.

Mata kedua- dua anak raja itu galak mengimbas semua pohon di kiri dan kanan laluan. Raja Hussain dan Raja Muhammad tekad memburu sasaran.

Supp! Bedebuk!
Bidikan dilepaskan dari tangan Raja Hussain. Sebiji belimbing dengan ikatan kain merah terpotong dari tangkainya.

Bedebuk!
Bidikan kedua Raja Hussain juga mengena.

Raja Muhammad juga telah mendapat peluang. Sasaran pertama dan kedua tepat menembusi isinya. Kini, masing-masing berkejaran ke sasaran ketiga.

Tuah menanti buat Raja Hussain. Dia telah menjumpai sasaran ketiga. Pantas busur diregang sebelum anak panah dilepaskan.

Tersasar!! Silau cahaya dari celah belukar mengganggu tumpuan. Pandangan segera dialih ke tepi. Kelihatan dua tangan digapai tinggi. Tatkala muncul kepala yang sedang menjenguk keluar dari situ, Raja Hussain sudah mengenal pasti si pembuat angkara.
Sial!

Raja Muhammad ketawa. Anak panahnya menjumpai sasaran ketiga dan keempat. Dia semakin menghampiri penamat sedangkan Raja Hussain berterusan dihujani silauan sehingga kesemua anak panahnya lari dari sasaran. Bidikan terakhirnya laju menerjah ke tubuh Panglima Hitam yang berdiri memerhati dari jauh. Mudah sahaja dia mematahkan tujahan dengan hentaman tombak yang diambil dari pengawal di sisinya.

Deraian ketawa dari mulut Raja Muhammad masih tak berhenti tatkala kakinya memijak tanah. Terbahak-bahak dia ketawa. Perilaku adindanya sebentar tadi amat bertentangan dengan omongan besarnya sebelum pertarungan bermula.

Raja Hussain menyerahkan tali pedati kuda kepada pengawal sebelum turun menyertai kekandanya. Menjengkelkan akan tetapi dia tetap sedia menerima apa sahaja akibat kekalahan. Pertarungan tetap pertarungan. Dia tidak akan menolak apatah lagi mengalah. Kalah atau menang tidak banyak bezanya. Paling teruk dia akan didenda atau diperlakukan sesuka hati laksana budak suruhan.

"Hmm ... kali ini kekanda mahu bersiram dengan taburan bunga mawar pula. Tujuh mawar yang berlainan jenisnya. Dah melekat bau herba di badan kekanda."

Raja Muhammad menepuk-nepuk belakang bahu Raja Hussain. Senyuman masih berbaki di bibirnya.

"Lagipun manalah tahu kalau-kalau berkat air tangan adinda nanti, jodoh kekanda cepat datang."

Raja Hussain cuba bermanis muka. Minggu lepas, tiga hari dia berpenat lelah menyediakan air siraman herba kekandanya, balasan kekalahan di atas pertaruhan mereka. Dan kini ... mandi bunga pula? Wajah-wajah dayang dan inang istana mendekati ingatannya satu persatu. Mangsa mulut manisnya nanti. Akan tetapi satu wajah yang menanti menjadi bahaman sebentar lagi mulai memenuhi fikiran Raja Hussain. Tanpa dia sedari, tangan telah mengepal erat.

Raja Hussain tundukkan tubuh, membongkok. Sengaja diperlihatkan wajah yang sakit kepada kekanda. Alasan yang mudah untuk segera mengundur diri.

"Aduh! Memulas pula perut adinda."

Sambil mengundur, Raja Hussain memohon beredar.

"Kita bicara semula ya Kanda. Apa sahaja kemahuan kekanda, akan adinda penuhi. Dinda mohon undur diri."

"Adinda! Tunggu!" Raja Muhammad tidak termakan umpan. Akan tetapi Raja Hussin telahpun berpaling dan berlari meninggalkannya.

Panglima Hitam merapati Raja Muhammad, menggeleng-gelengkan kepala memerhati lagak Raja Hussain.

"Banyak sungguh helahnya."
Raja Muhammad ketawa sambil mengusap lembut kuda kesayangan. Dia kenal sangat perilaku adindanya itu. Sukar ditelah akan tetapi mudah dipujuk dan dibawa berunding. Meskipun selaku Putera Mahkota, ruang masa bagi Raja Muhammad semakin sempit, itu bukan alasan baginya untuk tidak mengambil tahu urusan adinda-adindanya terutama sekali Raja Hussain. Lelaki itu paling akrab dengannya semenjak kecil. Meskipun mereka lahir dari ruang rahim yang berbeza, mereka berkongsi nasab yang sama, dari susur galur pemerintah agung kerajaan Melaka.

"Adinda Raja Hussain banyak menyimpan rahsia sejak akhir-akhir ini. Beta amat khuatirkan keselamatannya."

Renungan redup anak mata Raja Muhammad cukup dimengertikan oleh Panglima Hitam.

"Hamba akan menghantar orang-orang hamba mengintipnya. Usahlah Tengku bimbang."

Tangan Raja Muhammad dilabuhkan ke bahu Panglima Hitam. Bersama ukiran senyuman, dia mengangguk perlahan.

Malim tersengih-sengih menanti di tepi tembok kota Melaka. Serpihan cermin di tangannya berkilau melempias cahaya mentari petang.

Hati Raja Hussain sungguh membara di saat ini. Wajah manis Malim tidak berupaya meredakan kemarahannya. Sebaik sahaja Malim menghampiri Raja Hussain, sebuah tendangan kuat menyambut kehadirannya. Terpelanting Malim ke dalam belukar.

Wajah manis bertukar kelat. Malim mengerang kesakitan sambil memeluk perut. Nafasnya terasa tersekat dek kekejangan otot di situ.

"Ampunkan ... Patik ... Tengku."

Raja Hussain masih tidak berpaling. Dilarikan tangannya ke rambut, menahan amarah. Dia kenal sangat dengan budak suruhannya itu. Cekap tetapi adakalanya bahlol. Setia tetapi mudah sangat berkalih-kalih hatinya. Boleh diharap tetapi kurang berfikir panjang.

"Baik kau bawa berita baik kali ini, Malim. Jika tidak, beta akan pastikan tubuhmu berendam dalam Selat Melaka dua hari dua malam lamanya."

Terbongkok-bongkok Malim bergegas menghadap Raja Hussain. Dengan wajah mencerut, Malim memberikan alasan.

"Hamba hanya menurut perintah, Tengku. Tengku juga yang pesan tempohari, seandainya hamba telah berjumpa jawapannya, bersegera menemui Tengku tanpa berlengah."

Bulat mata Raja Hussain mendengar jawapan Malim. Kini, dia pula yang disandarkan alasan.

"Bila beta pernah berkata begitu? Perihal apa yang mustahak begitu sekali sehingga tak sempat-sempat kamu menanti urusan beta selesai tadi?" bentak Raja Hussain.

"Eh! Masakan Tengku sudah lupa ..."
Termalu- malu Malim pandang Raja Hussain. Di kala ini, Raja Hussain rasa seperti mahu menyinggah sepenumbuk dua pula tepat di muka Malim.

"Ala ... masa tu ... di dalam kamar beradu Tengku ... masa hanya tinggal kita berdua sahaja. Tengku datang merapati patik, lalu berbisik di telinga patik."

Raja Hussain menghalakan tapak tangannya ke arah Malim. Berombak dadanya menyaksikan kelaku Malim.

"Sudah! Sudah! Apa yang kamu merepek ini Malim!"

Perlahan sahaja Malim bersuara, "tadi Tengku juga yang bertanya, sekarang marah pula."

"Apa Malim? Ulang semula apa yang kamu ujarkan tadi?"

Memang kali ini Raja Hussain telah hilang sabar. Selepas ini akan diutarakan kepada kekandanya agar dijadikan Malim sahaja sasaran anak panah mereka menggantikan buah belimbing.

Malim memuncungkan bibir dan menjawab, "Tidak ada apa-apa Tengku. Marilah kita pulang sahaja ke istana. Hamba urutkan seluruh tubuh Tengku dengan minyak akar kayu, mahu?"

'Pulang ke istana? Urut badan? Lekas benar Malim mengalih tumpuan,' getus hati Raja Hussain. Lelaki itu yang sememangnya telah dididik dengan pelbagai ilmu dan kepandaian dari usia mentah lagi tidak terjejas langsung dengan kata-kata Malim. Malah dia tahu sangat, dengan Malim dia harus mengalah dengan perasaannya sendiri.

"Apa berita penting yang kamu bawa?"

Malim masih teragak-agak menjawab. Lama direnungnya tanah merah yang berlopak. Hanya sepatah kata yang keluar dari bibir Malim, " Naskhah."

Kali ini jawapan Malim benar-benar mengundang keterujaan Raja Hussain. Dipegangnya kedua bahu Malim erat.

"Kamu telah temui jawapannya? Bila? Di mana?"

Malim membalas renungan putera rajanya.

"Kita kena keluar dari istana malam ini juga Tengku. Jika terlepas peluang kali ini, patik bimbang kita tidak akan dapat menemuinya langsung selepas ini."

Raja Hussain melangkah kegusaran ke arah kiri kemudian berpatah semula ke kanan, berulang kali. Ah! Mendesak benar sedangkan alasan yang boleh dia gunakan tiada. Mahu meminta pertolongan kekandanya bimbang pula Raja Muhammad berupaya menghidu rancangannya.

"Masa untuk bersantap bersama-sama ayahanda sudah hampir benar. Mustahil kita dapat keluar dari istana sekarang. Kamu ada sebarang ikhtiar, Malim?"

Malim menggaru-garu kepala. Dari riak wajahnya Raja Hussain tahu Malim telah bersedia dengan perancangan rapi ... cuma ... Ah! Kalau boleh dia tak ingin tahupun rencana Malim itu. Kalau boleh ...

"Sebentar ya, Tengku."

Malim berlari anak ke semak lalu mencapai bungkusan kain. Sambil mengepit erat bungkusan kain ditubuh, Malim merenung Raja Hussain.

"Patik ... Patik ... khuatir... Tengku murka."

Cuak sungguh Raja Hussain mendengar kata-kata Malim. Apa sangat hal yang bisa membuat dia murka. Dipejam matanya rapat-rapat dengan harapan anggapan buruk segera pergi. Separuh hati dia gagahkan diri membuka mata dan cuba memaniskan muka di hadapan Malim.

"Biar beta lihat dahulu apa yang kamu rancangkan."

Raja Hussain menyentap bungkusan kain yang dikepit Malim. Perlahan-lahan Malim berundur ke belakang menuju ke belukar.

Nafas dihela sedalam-dalamnya sebelum membuka bungkusan tersebut namun semua itu hanyalah sia-sia belaka. Kuat sungguh tempikan suara Raja Hussain tatkala dia melihat isi bungkusan Malim.

"Maliiiiiiiiim!"



Previous: PROLOG
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.