Home Novel Cinta Osaka, With Love
Osaka, With Love
Mastura Abdullah
14/9/2018 08:44:39
80,220
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

“UMAI! Umai! Bangun!” Sayup-sayup terdengar suara seorang lelaki memanggil namanya, cemas.


Kelopak mata yang masih berpisatdikedip perlahan-lahan. Dahinya berkerut seribu, menahan panahan mentari yang tepat membakar wajahnya. Dalam masa yang sama, pipinya terasa pijar, bagai ditampar bertalu-talu sebelumnya. Perlahan-lahan, dia mencari titik persamaan pada wajah yang kabur itu.


“Kau!” jerit Umairah kuat.


Perasaannya cepat terbakar bila melihat Faeeq. Dia tergesa-gesa bangun lalu bertekad hendak pulang ke rumah Wan Senah di hujung kampung. Biar telinga masih berdesing dan air berjujuran menitis dari segenap pakaian yang basah, namun perjalanan tetap diteruskan.Tentu Wan Senah khuatir akan dirinya yang lewat tiba dari kebiasaan. Lewat lima minit pun bertalu-talu soalan yang perlu dijawab, inikan pula lewat setengah jam!


“Umai, tunggu dulu. Kain kau tu...” kalut Faeeq memanggil apabila melihat Umairah deras melangkah. Dia bertindak deras juga, berlari ke arah basikal lalu cuba menyaingi Umairah yang sudah jauh meninggalkannya.

“Kau ni kenapa?” tanya Faeeq tidak puas hati.


Dia cuba membantu Umairah yang hampir kelemasan akibat terminum banyak air, tetapi bagai pesalah yang sedang menunggu hukuman, bantuannya telah disalah erti. Tentu Umairah ingat dia cuba mengambil kesempatan. Sedangkan Umairah tidak tahu, nak mengheret tubuhnya ke atas bukannya senang. Umairah bukannya kurus! Remaja meningkat umur tujuh belas tahun. Tak ada beza kut dengan wanita berusia dua puluh lima tahun. Rungut Faeeq lagi. Penyudahnya, dia terkebil-kebil menghantar bayang Umairah yang nun jauh di sana.

Umairah yang sedang mengayuh basikal pula sibuk menyusun jawapan untuk dibentangkan pada Wan Senah setibanya dirumah nanti. Tentu Wan Senah akan bertanya kenapa bajunya basah. Dan jika dijawab dia terjatuh ke dalam tali air, tentu Wan Senah hendak tahu sebab musababnya pula.


“Aduh!” Umairah bertambah sakit kepala.

 Penangan jatuh ke dalam tali air meninggalkan kesan sedikit sebanyak. Dengung di dalam telinga masih terasa, begitu juga denyutan di kepala. Umairah rasa tidak sedap badan. Teringat pula kata-kata pahitnya pada Faeeq ketika lelaki itu mempelawanya minum air parit.

“Kau sajalah yang minum air tu. Lagibagus kalau air tu pakej...minum air percuma cirit-birit, tak payahlah aku tengok muka kau seminggu kat kelas.”


Menyesal pula dia mengeluarkan kata-kata begitu. Mudah-mudahan tidaklah sampai cirit-birit. Tak mahulah dia berulang ke jamban yang letaknya di luar rumah Wan Senah. Dia terus mengayuh basikal membelok Lorong Haji Samad. Rumah Wan Senah dan Toki Rahim tidak sampai dua minit kayuhan. Dalam banyak-banyak jalan, lorong itulah yang paling mencabar setiap hari. Akar kayu berselirat, menyebabkan lorong kecil itu berbonggol-bonggol. Badannya akan bergegar setiap kali melintasi lorong itu.Hari ini, cabarannya berganda, dalam kedinginan kerana menyarung pakaian basah,dia berjaya juga melintasi lorong kecil berbonggol itu. Umairah menongkat basikal di pondok kecil yang disediakan oleh Toki Rahim buat basikal tuanya menumpang teduh.


“Sejuknya!” Umairah deras berlari anak ke arah dapur sambil kedua tangannya memeluk tubuh yang dingin.


Sebelum itu, sempat anak matanya menjeling ke arah beranda, kut Wan Senah duduk berehat di situ sambil menanti kepulangannya yang lewat dari kebiasaan. Dia mengintai lagi, di kiri dan kanan dapur. Tiada sesiapa di situ. Inilah peluang terbaik buat dirinya beraksi pantas. Dia berkira hendak mencuri masuk ke dalam kamar tidurnya untuk mengambil tuala. Mudah-mudahan kelibatnya tak terlihat dek mata Wan Senah atau Toki Rahim. Doa Umairah dalam hati. Yakin dengan telahannya, dia berjingkit perlahan-lahan ke dalam rumah.


“Berjingkit tak berbunyi sekalipun,Wan tahu Mairah dah balik.” Suara Wan Senah kedengaran nyaring dari belakang.  Umairah terkejut, lalu deras mengurut dada.Tak jadi dia berjingkit. Umairah berpusing menghadap Wan Senah dengan senyuman manis di wajah.

“Mairah pi mana, apa pasai basahlencun ni?”

“Tak pi mana, Wan..” jawab Umairah,serba salah hendak memandang wajah Wan Senah.

“Tak pi mana?” ulang Wan Senah,hairan.


Dia tidak puas hati dengan jawapancucunya itu. Masakan tidak ke mana tetapi basah kuyup pula? Hujan di tengahjalankah? Tetapi jarak sekolah ke rumah tidaklah jauh sangat. Kalau hujan di sekolah,tentu di rumah juga hujan tetapi cuaca di langit molek sahaja, molek hingga kesekolah yang letaknya nun jauh di depan kampung. Sekadar dibatasi lautan sawah padi yang luas terbentang sepanjang kampung, sekolah menengah yang sayup mata memandang pun masih boleh dilihat dari beranda rumah mereka. Sebab itu dia hairan dengan pakaian Umairah yang basah kuyup.


“Wan...sebenarnya basikal Mairah terbalik masuk ke dalam tali air.” Umairah membuka cerita.

“Astragfirullahal azim...padanlah basah kuyup. Lagu mana boleh terbalik? Ada budak tolak Mairah ka?” soal WanSenah seraya menarik pergelangan tangannya.

Umairah tak sempat bersedia. Tubuhnya ditolak tarik. Satu pakaian Umairah dibelek Wan Senah satu persatu, mula dari atas hingga ke bawah, beralih ke kiri hingga ke kanan, hinggalah terasa hujung kainnya ditarik Wan Senah.

“Kain ni pasaipa boleh koyak ni,minyak hitam ni kena apa? Habaq dengan Wan betui-betui!” Bertalu-talu suara Wan Senah bertanya, langsung tak sempat dijawab Umairah.


“Wan...Mairah sejuk. Boleh Mairah mandi dulu? Lepas mandi dan solat, Mairah ceritakan hal yang sebenar pada Wan,ya?”

 “Ceghita dulu, baru mandi!” tegas Wan Senah,ingin tahu.

“Tak ada apalah, Wan. Hal kecik aje.Kain ni koyak sebab terlekat pada rantai basikal. Mairah tak sempat nak berhentikan basikal, terus masuk tali air. Nasib baik ada...” cerita Umairah terhenti di situ.


Dia hampir menyebut nama Faeeq jikatak berhati-hati tadi. Wan Senah memang tak suka dengan Faeeq. Namanya sahaja tak dibenarkan disebut di dalam rumah itu.

Semuanya gara-gara sikap Faeeq yangnakal. Menurut cerita Wan Senah, Faeeq pernah menembak mercun buatan sendiri dan hampir mengenainya. Peristiwa itu berlaku enam tahun lepas sewaktu penduduk Kampung Kubang Jawi berpusu-pusu ke masjid untuk bertakbir pada malam Aidilfitri. Semenjak itu, Wan Senah tak menyukai Faeeq, tetapi dalam nakal-nakal Faeeq pun, dia masih sudi menyelamatkan Umairah yang hampir kelemasan tadi. Jika bukan kerana bantuan Faeeq, entah di mana Umairah sekarang. Hatinya sempat berdesis panjang.


“Ada sapa?”

“Ada orang kampung yang nampak, jadidia yang tolong Mairah.”

“Sapa? Wan nak buat pulut kuning, nakbagi pada orang yang tolong Mairah tu,” cadang Wan Senah.


Umairah mati akal. Kalau Wan Senah tahu tentang Faeeq tentu dia marah. Faeeq dah tolong dirinya, takkan dia tak membantu Faeeq pula, sekalipun hal yang lepas lebih banyak menyakitkan hati Umairah.


“Mairah tak kenal, Wan. Mairah kantak sampai setahun kat kampung Wan ni, kalau Mairah membesar dari kecil di kampung ni, tentu Mairah kenal,” dalihnya, mengambus rahsia.


Wan Senah tidak lagi mendesak sebaliknya dia mengarahkan Umairah mandi dan bersiap untuk solat dan makan tengah hari.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.