Home Novel Cinta Osaka, With Love
Osaka, With Love
Mastura Abdullah
14/9/2018 08:44:39
80,062
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

“HANG jadi nak ikut Along pi UK?” Suara Mak Yah terdengar memecah sepi.

Malam itu dia masih berjaga, masih meneruskan ulangkaji pelajaran memandangkan esok merupakan kertas terakhir bagimata pelajaran English for Science and Technology. Selepas peperiksaaan ini tamat, maka berakhirlah kisahnya sebagai seorang pelajar. Kembaranya telah bermula dan perlu diteruskan selagi nyawa dikandung badan.

“Ceq tak taulah mak. Separuh hati nakpi, separuh lagi duk ingat mak. Bimbanglah ceq nak tinggalkan mak.”

“Tu dia...hang nak duk bawah ketiak mak sampai tua ka, Faeeq?” seloroh Mak Yah, dengan riak seriusnya.

Mereka bertiga telah bersembang panjang tentang hal ini. Keputusannya sahaja belum dimuktamadkan oleh Faeeq.Jika hal dirinya yang dikhuatirkan oleh Faeeq, maka dia akan membantu anak bongsunya membuat keputusan.

“Dak la... Makan minum mak lagu mana kalau ceq ikut Along. Sapa nak beli ikan kat mak? Mak nak semai benih padi, sapa nak tolong?”

“Aku sekeh hang sat gi baru hang tau.Ingat hang tu pak aku ka, Faeeq?” marah Mak Yah.

Faeeq ketawa mengekeh, tahu yang segala alasan diberi tidak boleh diterima oleh Mak Yah. Bermacam pelawaan telah diterima dari rakan-rakan sekelas. Ada yang mengajaknya menjadi guru.Fuhh...takkan jadi cikgu pula? Dapat anak murid yang dua kali nakal dari diri sendiri, haru! Tak kurang juga yang mengajaknya menjadi polis. Ha ha ha. Itu pelawaan paling kelakar pernah diterima. Semuanya telah dipertimbangkan dan ditolak mentah-mentah.

“Aku cakap hang gelak.”

“Ya, mak! Kasi ceq habis SPM dulu.”

“Esok kertas last hang, kan?”

“Uish mak...sejak Along balik ni, mak cakap pun dah campuq. Orang putih dengan loghat Utara. Kelas Kak Yah!” sakat Faeeq.

Dia melopong sebentar tadi. Sekelip mata, kosa kata bahasa Inggeris Mak Yah bertambah semenjak Firdaus pulang kekampung bulan lepas.

“Jangan hang berani nak mengumpat mak dengan Along.”

“Ha... ha... ha... Dak la, ceq tak berani mengumpat mak,” balas Faeeq sehabis ketawa.

Mereka bersembang sekejap sebelum Mak Yah mengundur diri. Malam sebelum peperiksaan akhir. Bagaimana agaknya dirinya sepuluh tahun lagi? Di mana dia berada? Adakah dia sudah menyumbang bakti kepada Mak Yah yang telah banyak berkorban selepas arwah ayah meninggal dunia sepuluh tahun lalu?

Untuk tempoh terakhir ini, dia sudah berjuang untuk mendapatkan tiket terbaik bagi menyambung pelajaran. Namun,kesudahannya belum dapat dijangka.

“Tiduqlah...Cukup dah bekalan tu.”Terdengar laungan di luar sebelum lampu luar dipadam.

Faeeq senyum sendiri. Dia menutup buku seperti yang dicadangkan Along. Laju sahaja dia mencampakkan batang tubuh ke atas tilam usang.

“Sepuluh tahun lagi, jika aku berjaya menggapai awan, mampu membahagiakan emak, akan kupinang Umairah dengan Bismillah,” angannya sebelum menutup mata.

 


“HIP hip...”

“Hooray!” sahut rakan-rakan sekelas yang lain.

Mereka saling meluahkan perasaan lega sambil berpelukan sesama sendiri. Barangkali itu hari terakhir mereka bertemu dan entah bila lagi pertemuan seterusnya. Mereka berbual dan berbual sehingga tak sedar salah seorang dari rakan mereka terlebih dahulu meninggalkan perkarangan dewan.

“Kawan-kawan...” panggil Izzati, agak kuat. Rakan-rakan sekelas yang sedang bersembang secara berkumpulan masing-masing menoleh ke arahnya.

“Spoil lah hang ni, Izzati. Orang tengah rancak bersembang.” Suara Lan terdengar memangkah lebih awal. Izzati serba salah. Jika dia tidak menyampaikan amanah itu, entah bila lagi dia nak menyampaikannya.

“Sorrylah, aku cuma nak sampaikan pesanan Umairah. Dia kirim salam pada semua dan minta maaf atas semua kesilapan yang dia pernah buat pada korang semua. Mak dia dah tunggu dan nak bawa diabalik ke KL.”

“Uiks...kenapa dia tak cakap sendiri?Tak acilah pergi senyap-senyap.” Apek menjawab, sebaik perasan riak wajah Faeeq yang berubah sebaik dikhabarkan berita itu.

“Mak dia nak cepat. Lagipun jauh, KLd an Kedah,” jawab Izzati bagi pihak Umairah. Faeeq terkedu.

Dia sama sekali tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewanya. Lebih sebulan dia menahan hati dan diri,cuba menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran. Bukan itu sahaja, dia menahan hati dan diri dari memandang Umairah. Terlambatkah dia kerana tidak meluahkan apa yang berbuku di hati? Tetapi jika dia meluahkan perasaannya yang amat menyukai Umairah, adakah ia berbaloi pada usia yang sebegitu muda?

“Paeeq...” Lan menepuk bahunya.

 Rakan-rakan terdekat semua faham isihatinya walaupun dia tidak pernah mengakuinya. Bukan mereka tak perasan saban masa Faeeq mencari peluang untuk mengusik Umairah. Tidakkah itu bukti yang sangat jelas akan perasaan Faeeq?

“Lan...hang kata nak kerja part time, jadi dak?” soal Faeeq, mengalih perhatian kawan-kawannya dari kisah Umairah. Pada saat itu, hatinya remuk dan telah berkecai. Entah mengapa, dia rasa kehilangan dan ditinggalkan sendirian.

“Jadi...esok aku nak usha line.”

“Aku ikut hang,” putus Faeeq,serta-merta.

 Dia berbual sebentar tentang rancangan mencari kerja separuh masa sebelum meminta diri untuk pulang ke rumah. Lan, Apek dan Bob sebaliknya membuat keputusan untuk menemui Izzati yang masih berbual dengan rakan sekelas mereka.

“Kenapa kau lambat sangat cakap pasal Umairah?”

“Dia dah pesan jangan beritahu sesiapa melainkan dia dah pergi,” jawab Izzati, masih menyimpan amanah Umairah.

Begitulah kata Umairah beberapa hari sebelum peperiksaaan SPM bermula. Tempoh perkenalan mereka cukup singkat. Tidak cukup setahun pun, dan dia terpaksa akur dengan keputusan keluarga Umairah.

“Mana nak cari Umairah?” tanya Lan,mendahului rakan-rakan yang lain. Izzati menjungkit bahu.

“Kau nak cari Umairah buat apa?”

“Aduhai...banyak tanyalah kau ni. Akukan kawan Umairah jugak. Takkan tak boleh cari Umairah?” bidas Lan pula.

Padanya, Izzati terlalu melindungi hinggakan perkara yang dia tak patut lindung, pun dia buat begitu juga.

“Umairah tak tinggal apa-apa. Dia ambil nombor telefon aku, tapi tak pulak tinggalkan nombor telefonnya.”

“Lah...boleh tahan bendul jugak kau ni, ya? Dah lah kau seorang aje yang paling rapat dengan dia. Bila dia pergi,satu apa pun kau tak ambil?” sembur Apek pula.

Tadi dia masih bersabar dan cukuplah Lan seorang yang memberi buah keras tetapi kesabarannya menipis apabila Izzati tidak memainkan peranannya sebagai seorang rakan.

“Aku tak ingat...” jawab Izzati,perlahan.

Menyesal pun ada apabila dipersalahkan begitu. Tentu rakan-rakan sekelas juga tidak mahu terputus hubungan tambahan masing-masing bakal membawa haluan sendiri selepas tamat persekolahan.

“Kesian, Faeeq.”

“Eh, Faeeq mana?” tanya Izzati,tercari-cari wajah Faeeq di sebalik kumpulan rakan baiknya. Dia rasa kecewa pula apabila Faeeq tiada bersama-sama teman baiknya.

“Mana lagi? Balik rumahlah. Frust!”

“Entahlah, orang lain semua happy habis periksa, Faeeq pulak balik rumah frust menonggeng.” Lan meluahkan perasaan sebalnya.

Jika dia di tempat Faeeq, dia juga akan merasa hal yang sama. Tetapi, sedikit sebanyak dia bersyukur kerana berita itu diketahui mereka semua selepas tamat peperiksaan. Bayangkan jika Umairah mengucapkan selamat tinggal sebelum peperiksaan bermula? Tentu Faeeq luka parah. Diam-dia dia memuji Umairah yang prihatin, atau barangkali Umairah prihatin kerana sedar yang dirinya diminati oleh Faeeq? Perbualan mereka tamat di situ. Masing-masing pulang ke rumah dengan persepsi berbeza.



Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.