Home Novel Cinta Osaka, With Love
Osaka, With Love
Mastura Abdullah
14/9/2018 08:44:39
80,244
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

KUALA LUMPUR, 2018

“JUMPA Umairah?” tanya Faeeq sebaik melabuhkan punggung di atas kerusi empuk.

Telefon bimbit masih tertekap di telinga. Minggu kedua di Kuala Lumpur sebaik tamat kontrak selama tiga tahun sebagai jurutera penerbangan di Birmingham, United Kingdom mencabar buat dirinya. Cabarannya bukan kerana tugas yang tergalas di bahu, sebaliknya kerana gadis yang dicari semenjak lapan tahun lalu masih belum ditemui.

Jika ditanya apa perasaannya, dia hendak sahaja melaung pada dunia yang perasaannya membuak-buak ingin bertentang mata dengan Umairah. Dan soalan pertama yang ingin ditanya, apakah dia sudah berpunya? Dia ingin berterus terang kepada Umairah bahawa seluruh hati ini hanya dipunyai Umairah. Telah lama dia menyimpannya dan dia teringin sekali menyerahkannya pada yang berhak. Tetapi, tuan punya nama entah di mana. Buntu Faeeq dibuatnya. Sedar yang dirinya masih di talian, akhirnya dia membuat keputusan.

“Kalau minggu ni aku tak jumpa jugak dia, memang aku jejak dia guna penyiasat.”

“Ha... ha... ha... Berat sangat dah hang ni, Paeeq,” ketawa Lan kedengaran di hujung talian.

Faeeq menyabarkan hati. Lan paling banyak membantu usahanya menjejak Umairah dan mereka masih berhubungan walaupun pernah terpisah beribu batu jauhnya.

“Tak tau kat celah mana aku nak cari dia. KL ni pun bukan kecik wey.”

“Yang aku hairan, awat hang tak pi tanya toki dia? Dah lama aku cadang. Hang asyik kata nak cari dulu. Oi Paeeq,umuq kita 25! Kau, aku mungkin muda tapi orang perempuan lain. Aku takut dia dah jadi bini orang.”

“Amboi, mulut hang! Doalah yang baik-baik untuk aku.”

“Kalau dia jadi bini orang, hang laghu mana, Paeeq?”

“Aku yakin dia masih solo macam aku,”balas Faeeq, meluahkan keyakinannya walaupun dia sendiri goyah dengan kata-katanya.

Masakan tidak, Umairah tidak lagi ditemui selepas hari terakhir peperiksaan SPM mereka. Paling mendukacitakan, Umairah langsung tidak hadir pada hari keputusan SPM diumumkan. Sehingga lewat petang, kelibat Umairah tak juga kelihatan.

Kini setelah punya kerjaya stabil dan punya wang ringgit sendiri, dia pasti akan berikhtiar untuk mencari Nadyne Umairah, sehingga mata bertentang mata, baru hatinya akan puas.

“Lantak hang lah, Paeeq. Kalau usaha hang berhasil aku tumpang gembira. Tak sabaq nak tengok hangpa naik pelamin.”

“Sebelum tu, tolonglah usha Umairah untuk aku dulu.”

“Aku tunggu result hang minggu ni.Kalau tak jumpa jugak, aku balik kampung. Tolong pi rumah toki Umairah untuk hang,” balas Lan, sengaja membakar perasaan sahabat lamanya.

 Padanya, Faeeq memang setia. Jika lapan tahun lalu, dia melihat Nadyne Umairah sebagai cinta monyet Faeeq, tetapi semakin hari, semakin utuh pula nama Umairah di jiwa sahabat lamanya. Anehnya, Umairah tidak dapat dijejaki sedangkan teman-teman sekelas lain tidaklah terputus hubungan seperti itu.

“Kalau aku pi, takut aku malu muka.Wan dia benci kut tengok muka aku.”

“Hang mau mana? Mau jumpa Umairah atau mau malu muka?” soal Lan tidak puas hati.

Baginya alasan itu rekaan semata-mata dan tidak masuk akal. Kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

“Hang tak faham, Lan!” balas Faeeq,memicit kepala yang terasa bengang.

Jika keluarganya dan nenek Umairah tidak sekampung, tentu sudah lama dia buat kerja mudah itu. Akan tetapi, diamasih punya emak dan perlu menjaga air muka emak. Insiden belasan tahun lalu masih segar di ingatannya. Kalaulah, dia punya bebola ajaib yang bisa menilik rahsia hatinya, tentu tiada mercun buatan sendiri belasan tahun lalu dan mudah pula Umairah disunting sebagai isteri. Betapa ruginya dia!

“Aduh...” Keluhan terlepas dari bibirnya tanpa disedari.

“Parak sangat dah hang ni. Kering tekak aku bagi idea itu ini dengan hang. Tunggulah hujung minggu ni. Aku balik kampung, tolong usha Umairah untuk hang. Kalau Wan Senah berkenan kat aku, hang jangan naik hantu pulak.” Lan memancing emosi Faeeq sekali lagi.

Dia cukup mengerti, hajat Faeeq hendak menyunting diri Umairah bukan sebarang hajat. Barangkali, ia hajat suci murni yang lahir sebaik terpandang wajah Umairah buat pertama kali dalam diriFaeeq. Sebab itu terujanya Faeeq sebegitu rupa.

“Hang jangan buat pasai dengan aku.Aku karate hang sampai ke bulan.”

“Aku ada Bob, sayap kiri. Apek, sayapkanan.”

“Sayap kiri kanan hang tu aku pulastak dan seminit aih! Tak hairan aku!”

“Oh, berlagak!”

“Ha... ha... ha... Ahad ni aku nakjumpa hang, siap dengan peta lokasi Umairah,” balas Faeeq, tegas.

Lan sengih di hujung talian. Memangsah Faeeq gila! Angau! Mereng! Dan sewaktu dengannya.

“Perghhhh...berapa upah aku?”

“Kopi dangdut secawan. Ada berani?”

“Kedekut macam dulu jugak.”

“Asalkan kacak, kedekut tak lagi dipandang,” jawab Faeeq, selamba.

Mereka sama-sama ketawa sebelum tawanya mati sebaik melihat jam yang melilit pergelangan tangannya. Sudah masanya untuk ke lapangan terbang.

 

SAAT terpandang susuk tubuh itu dari jauh, debaran jantungnya berdetak tak tentu hala. Selepas lapan tahun, mereka dipertemukan kembali. Belum tentu Faeeq menaruh hati buat dirinya, namun itulah isihatinya buat Faeeq, yang tak pernah berubah semenjak lapan tahun yang lalu.

 Dia tahu Faeeq masih solo dan belum berkahwin.Dia juga tahu yang Faeeq telah kembali ke Malaysia dua minggu yang lalu setelah lapan tahun di perantauan. Dan doanya hendak melihat Faeeq setelah sekian lama bagai dimakbulkan. Faeeq adalah Jurutera Penyelenggaraan Pesawat di Malaysia Aircraft Engineering yang berpusat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Dia tahu tentang itu hanya secara kebetulan yang tak disangka-sangka. Si Kayra sibuk mencanang pada rakan-rakan pramugari ada seorang jejaka kacak baru melapor diri di  MAE. Melalui Kayra, Umairah tak sengaja melihat gambarnya dan sangat yakin bahawa insan itu adalah Muhammad Faeeq, yang namanya tidak pernah terpadam dari fikiran.

Umairah meneliti lagi susuk tubuh yang sedang sibuk berbual dengan beberapa pegawai nun jauh di tingkat bawah. Dalam hati dia hanya mampu berdoa agar lelaki itu berjaya dalam kehidupannya.Dia hanya mampu melihat dari jauh, tak akan sekalipun mendekati Muhammad Faeeq. Itu tekadnya dalam hati.

Nyanyian lagu Jaga Dia Untukku kedengaran dari telefon bimbitnya. Melihat nama Dayyan pada paparan skrin,Umairah diterpa rasa sebu. Namun, apa lagi yang dia boleh buat, Dayyan tunangnya dan mereka bakal disatukan tak kurang sebulan lagi.

“Hello.”

“You dah habis duty?”

“Dah,” jawabnya malas.

“I ambil you. Kita dinner.”

“I malaslah, dah kenyang. I nak balik rumah aje, boleh tak?” tanya Nadyne Umairah, berusaha menghindar.

Dia tidak begitu mengenali Dayyan dan tidak pula menyukai Dayyan. Mereka disatukan kerana pilihan keluarga. Mama begitu sukakan Dayyan, yang katanya romantik serta hormatkan mama. Kata Mama lagi, Dayyan juruterbang handsome, dan datang dari keluarga ternama. Akan tetapi, bukan itu ukuran dan nilai calon suami buat Umairah.

“Sayang...bila lagi kita nak jumpa? I duty sampai 24 September. Kemudian, majlis kita pada 27 September. Kalau tak jumpa sekarang, bila lagi?”

“Then,why don’t we just meet each other on our wedding?” Selamba dia memberi jawapan. Terdengar keluhan Dayyan dihujung talian.

“I rindu you...lima belas minit lagiI sampai tau.”

Tut, tut, tut. Talian terputus kedengaran selepas itu. Umairah hanya mampu melepas keluhan. Tiada siapa yang mengerti kesulitan yang sedang ditanggungnya. Kerana mama, dia menerima jodoh itu walaupun hatinya hanya menginginkan sebuah nama lain.

“Nadyne, I ingat you dah tarik selimut. Belum balik lagi ke?” Suara seseorang menyapa lembut dirinya.

Umairah tahu, Jennifer yang menegurnya tadi. Dia hanya menggeleng, tak lupa menghadiahkan Jennifer sebuah senyuman.

“Are you waiting for someone?”

“How do you know? Am waiting for my prince, my hero, my charms. Huh.” Dia membuang keluhan perlahan,kemudian tersengih di hujungnya.

My prince, my charm apa ni? You dah kenal ke belum kenal lagi prince charm you tu?” Jennifer teruja hendak tahu.

Jennifer merupakan salah seorang cabin crew yang selalu bertugas bersamanya. Mereka tidaklah begitu rapat tetapi mereka boleh dikatakan akrab juga. Umairah sering sahaja menghabiskan masa senggangnya dengan Jennifer,berbual-bual tentang perihal minat dan hobi kecuali rahsia peribadi. Bagi Umairah, Jennifer teman yang peramah dan sangat mengambil berat. Jika Umairah menghadapi kesulitan, Jennifer orang pertama yang akan datang membantu.

“Kenal tak kenal...sama saja, Jen. Eh, you kenapa tak balik lagi? Tunggu buah hati?”

“Hati I tak ada buah. Hati I ada daun-daun kering aje.”

“He... he... he... Yang kering jangan disimpan dalam hati. Simpan yang cute dan gebu-gebu saja tau,” usik Umairah, masih dengan senyuman simpulnya. Mereka berdua rancak bercerita, tak sedar yang masa begitu mencemburui perbualan mereka.

“Sayang...jom!” Umairah mengalih wajahnya pada suara yang menyapa.

Dayyan menyapa dengan senyuman menawannya. Jennifer juga ikut memandang. Kemudian, dia tersenyum nakal sambil menggoyang-goyangkan jari telunjuknya kepada teman seperjuangan.

He is Dayyan Putra, kan? The most handsome pilot in the worldwide,” ulas Jennifer separuh berbisik.

Umairah  ketawa. Juruterbang terkacak seantero dunia? Biar betik Jen? Umairah perlahan-lahan menarik beg pakaiannya tetapi cepat-cepat dibantu oleh Dayyan.

He is tapi I tak setuju dengan statement you yang ‘overdose’ tu. Daa Jen, I balik dulu, ye?” lambai Nadyne Umairah,mesra. Dia dapat melihat senyuman Jennifer yang manis buat dirinya.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.