Home Novel Cinta Osaka, With Love
Osaka, With Love
Mastura Abdullah
14/9/2018 08:44:39
80,065
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

FAEEQ antara dua, sama ada hendak berkayuh pulang atau singgah menziarahi Umairah di rumah neneknya. Apabila mengingatkan kenakalan yang pernah dibuat pada Wan Senah, Faeeq jadi kecut perut. Menyesal pula kerana jadi budak nakal satu masa dahulu. Kan bagus kalau dia rajin membantu Wan Senah di kebun pisang satu masa dulu, tentu Wan Senah tak keberatan membiarkan diaberkawan dengan Nadyne Umairah sekarang. Malangnya, dia pernah melancarkan mercun buatan sendiri, niatnya hendak menyambut Aidilfitri, tetapi tersalah sasaran dan hampir mengenai Wan Senah. Semenjak peristiwa itu, Wan Senah memang marah betul dengan Faeeq.

“Assalammualaikum,” sapa satu suara dari belakang.

Faeeq yang masih menongkat basikal dengan kaki, menoleh ke arah pemilik suara itu. Toki Rahim memberhentikan motor di sebelah basikalnya. Bunyi enjin motor yang semput-semput melatari pendengaran mereka.

“Waalaikumussalam warahmatullah. Toki Rahim!” jawab Faeeq, lantas berjabat tangan dengan datuk Umairah.

“Awat hang duk sini? Penat mengayuh ka? Habaq mai lah kat Toki Rahim ni.”

“Dak aih...Sebenaqnya...” Faeeq cuba berterus terang tetapi akhirnya dia menelan liur sahaja.

Mindanya ligat mencerna kebaikan bertanya pada Toki Rahim tentang keadaan Umairah. Namun dia berkira dua kali pula apabila terfikir kemungkinan Toki Rahim bercerita pada Wan Senah dan seterusnya sampai pada emak pula tentang dirinya yang bertanya Umairah. Palingharu jika dia dituduh gatal oleh emak. Alahai!

“Umairah ada duk di ghumah tu. Dia demam kepialu lepaih jatuh dalam tali ayaq tu. Toki ingat dia pi minum ayaq kotoq, tu pasai dia demam. Hang tau dak, Paeeq?”

Faeeq menggeleng kepala laju-laju.

“Empat malam Umairah duk dalam wad,” cerita Toki Rahim, bagai mengerti apa yang dicari Faeeq. Tentu Faeeq tertanya-tanya tentang Umairah sementelah mereka berdua belajar di kelas yang sama.

“Oh...lagu tu ka? Semoga Umairah cepat sembuh. Toki, kirim salam...errr...Ceq balik dulu na,” kata Faeeq,meminta diri apabila tersedar yang dia hampir terlepas kata.

Sopannya dengan orang tua memang gred A. Itu semua gara-gara mercun buatan sendiri enam tahun lalu. Natijahnya, Faeeq sopan dengan sendiri dengan orang tua di Kampung Kubang Jawi. Barangkali itu hikmah tersembunyi di sebalik tragedi malam raya.

“Iyalah... kayuh gherek tu pelan-pelan na.” Sayup-sayup pesanan itu tertangkap dek salur pendengarannya,diikuti dengan deruan bunyi enjin motor, barangkali menghala ke destinasinya.Faeeq perlahan-lahan mengayuh basikal. Mengimbas memori lalu, menyesal pula dia menyakat Umairah hingga menyebabkan Umairah terjatuh ke dalam parit air.Sudahlah peperiksaan SPM tinggal sebulan sahaja lagi, waktu-waktu genting begini, Umairah jatuh sakit pula. Jika apa-apa terjadi pada Umairah, siapa hendak bertanggungjawab?

“Aku? SPM pun tak tau apa cerita lagi. Laghu mana nak bertanggungjawab pada anak dara oghang? Umuq aku pun muda.”

“Kalau sepuluh tahun lagi...beranilah aku.” Dia bermonolog sendiri hingga akhirnya, apabila tongkat basikal mencecah tanah, dia bertekad tidak mahu menyakat Umairah lagi. Apa pun terjadi, biar Umairah datang ke sekolah dan habiskan perjuangannya.

“Aku pun begitu.”

“Hah, dah balik pun. Hang tak dak kelas tambahan ka, Paeeq?” Suara Mak Yah terdengar menyapa. Dia sedang mengangkat kain dari jemuran ketika melihat kelibat Faeeq di halaman rumah.

“Ceq dari kelas tambahan lah ni.”

“Along balik tu,” beritahu Mak Yah,menanti reaksi anak bongsunya.

Seperti yang dijangka, senyuman berbunga mekar pada wajah Faeeq, lalu anak itu berlari-lari menuju ke arah dapur. Rupa-rupanya Along sudah menanti di muka pintu.

“Along!” panggil Faeeq, teruja.

“Oi!” sahut Firdaus,tersengih-sengih.

Lama dia tak bertemu dengan Faeeq,kerana dua tahun lamanya dia di Jerman, menyambung pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Awam. Akhirnya dia pulang juga tetapi seperti tidak lama. Dan rasanya, dia hendak mengajak Faeeq pula dalam perantauan kali ini.

“Tak habaq pun nak balik.”

“Tak penting...yang penting along dah sampai rumah mak.Tu... panjang leher-leher tu, hang cari apa?”

“Cari bini.”

“Cari bini? Aik, hang berbini dulu sebelum Along, Paeeq?” tanya Firdaus, hairan. Dia belum mengerti usikan Faeeq sehinggalah suara emak terdengar di antara mereka.

“Hang duk Jerman baru dua tahun Along oi, bahasa kampung ni puluhan tahun hang guna, tak faham jugak? Adik tu tanya pasai hang, dah kahwin ka?”

“Ha ha ha. Adoi mak oi...ceq baru sampai ni. Nak alih bahasa tu makan masa dua puluh empat jam. Sabaq na...Nanti ceq jadi orang pertama yang faham mak, bukan takat isihati, bahasa isyarat makpun ceq buleh faham.”

“Dah tu, bila lagi?” tanya Mak Yah sambil menyenduk nasi ke dalam pinggan anak-anak terunanya. Faeeq tidak menunggu Firdaus, lalu terus menyuap nasi semulut-semulut sehingga ditegur pelahap oleh Firdaus.

“Aku lapaq la. Pukui tiga baru sampai rumah. Hang apa tau!”

“Habis, aku tak lapaq ka? Dua tahun duk Jerman...tak makan ayaq tangan mak. Hang makan nasi hari-hari pun tak buleh tunggu aku baca doa sat, na?” bebel Firdaus, panjang berjela. Faeeq buat tidak dengar sahaja. Bagus juga Along membebel, dapatlah Faeeq mendengar suaranya percuma, sementelah dua tahun mereka tidak berjumpa.

“Kalau bab makan, hang tok sah duk hingaq la, Along. Adik hang ni tak makan saman.”

“Gulai keli cicah sambal belacan. Mai nak tambah lagi,” jawab Faeeq lantas menghulur pinggannya kepada Mak Yah.

Senyuman janda beranak tiga itu mekarbila anak-anak cukup berselera menikmati air tangannya. Tiada yang lebih membahagiakan selain melihat anak-anak membesar sempurna di depan mata.

“Mak ai...Lajunya hang makan. Akubaru suap lima mulut.”

“Hang makan sambil kira...memang lambat.” Bidas Faeeq, selamba. Beberapa minit selepas itu, dia menyudahkan santapan tengah hari dengan hati yang senang
Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.