Home Novel Cinta Jadi Isteri Aku, Mau?
Bab 27

“Tak payahlah nak fikir banyak-banyak. Duduk dulu, kita tunggu sampai orang datang.” Rizqi mula memujuk Camelia yang masih berdiri tegak mengadap pintu. Kesian pun ada bila melihat Camelia dah nak menangis. 

Rizqi menyesal dah sakitkan hati Camelia tadi. Dia bukan sengaja. Dia tengah geram. Harap Camelia memaafkan dirinya yang sabar kekurangan. Bukan serba kekurangan okey. Dia sempuuurna! Sangat!

Camelia berkobar-kobar nak balik. Macam mana pun dia kena usaha untuk keluar dari sini.

Kedua telapak tangannya ditekapkan ke pintu. Ditolaknya sekuat hati. Dikerahkan seluruh tenaga. 

“Dahlah. Buat habis tenaga aje,” pujuk Rizqi. 

Camelia berhenti. Itu pun kerana tenaganya dah habis.

“Apa kata kita bergabung suara jerit mintak tolong. Mana tahu ada orang dengar.”  

Rizqi hembus nafas kesal. “Boleh tak kau bertenang sekejap. Kalau jerit sampai tertanggal anak tekak sekalipun, belum tentu orang akan dengar.”

“Kalau kau tak nak biar aku buat sendiri! Camelia membentak geram.

Sabar Qi. Sabaaaar... Rizqi usap dada.

"Memang tak membantu langsung,” guman Camelia perlahan tapi masih didengari Rizqi.

Haish, susah nak sabar kalau macam ni. Rizqi picit dahi.

“Tolong!!! Tolong!!! Toloooong!!!” Sekuat hati Camelia menjerit. Pintu pula diketuk-ketuknya kuat. 

“Dahlah. Jangan seksa diri,” pujuk Rizqi.  Kesian bila Camelia sampai terbatuk-batuk tapi ada hati lagi nak menjerit. 

Hampa! Camelia sedaya upaya menahan diri dari menangis. Dahinya disandarkan ke pintu. Apa lagi cara yang ada untuk keluar dari sini? Fikir Mel, fikir!

“Dahlah. Mari kita duduk dulu.”

“Tak nak!”

Rizqi mendengus. Ni buat darah dia menyirap ni. Orang ajak baik-baik dia pergi tengking pulak.

Dum!!! Dum!!! Dum!!!

Cik bunga ni… Melopong mulut Rizqi tengok Camelia duk tendang pintu sambil menjerit-jerit. Dibiarkan aje Camelia menggila. Kan ditahan dia pulak yang kena tendang. Buat hancur hati aje.

Setelah beberapa minit berlalu.

Dah letih ya sayang… Rizqi menghembus nafas lega bila Camelia akhirnya duduk bersandar di pintu. Dia pun melakukan benda yang sama. Duduk elok di sebelah Camelia. Terjongket sebelah kening Rizqi bila Camelia mendengus kesal dan memusing tubuh membelakanginya.

Amboi marah betul! Rizqi sengih. Geli hati.

Camelia melirik Rizqi yang bangun menuju ke kerusi. Nampak Rizqi ambik air. Baguslah tekak dia pun dah kering ni. Tapi masalahnya nak ke Rizqi bagi kat dia?

Bila Rizqi datang balik duduk di sebelahnya Camelia buat-buat tak peduli. 

“Mel…” Fuyo, Rizqi sendiri kagum dengan cara dia seru nama Camelia. Kalau Camelia tak tergoda lagi tak tahulah. 

Meremang bulu roma Camelia bila diseru sebegitu rupa. Berpaling aje matanya disajikan dengan seraut senyuman yang buat Camelia kram perut.

“Nah.” Penutup botol air mineral dibuka dan dihulurkan kepada Camelia. 

“Huh!” Camelia memalingkan wajah. Tak sudi menerima. Jual mahal. Dia masih kecik hati bila Rizqi suruh dia bunuh diri. 

“Ambillah. Aku tahu tekak kau sakit tu.” Rizqi memujuk lembut. 

Akhirnya Camelia ambik. Teguk tak henti sampailah sikit lagi nak habis. 

Ya Allah... rakusnya budak perempuan sorang ni. Rizqi kulum senyum. Takut Camelia naik angin lagi.

“Bilalah agaknya kita boleh keluar dari sini?” Camelia mengeluh. 

Rizqi mengangkat bahu. Dia harap secepat mungkin. Naik seram dia duduk berdua-duaan dengan Camelia. Silap perhitungan takut besok jugak dia kena akad nikah. 

Jangan buat yang bukan-bukan Qi. Tolong jangan! Rizqi menggeleng-geleng kepala, mengusir anasir-anasir jahat yang bermain di fikirannya.

Setelah menenangkan diri Rizqi mengengsot merapati Camelia. Dinaikkan kedua belah kakinya. Duduk memeluk lutut meniru Camelia. Kepalanya ditopangkan ke lutut mengiring memandang seraut wajah yang kelihatan resah gelisah itu. 

Wajah bak telur dikupas itu direnung tak lepas. Maka mulalah hati lelakinya buat perangai tak siuman. Kedua tangannya digenggam erat. Jangan sampai dia pergi buat kerja gila mengukur tahap kemulusan kulit Camelia sudah.

“Sam cakap kau selalu tanya pasal aku.” Rizqi rasa Sam menipu. Camelia macam tak kisah aje dengan dia.

Camelia nampak tersentak. Rizqi jadi gugup bila Camelia merenungnya dalam-dalam. Dah kenapa pulak tenung macam tu? Kalau dia khilaf tergoda macam mana?

Nafas dihela. Kesal dan sesal. Camelia meraup wajah.

“Sorry Qi. Aku selalu hilang kewarasan kalau dah marah.” 

Rizqi ketawa kecil. Teringat Fiqri pernah kata perangai baran dia dengan Camelia hampir sama level. Jadi mereka tak sesuai bersama. Kalau bergabung, jadi meletup punya.

“Samalah. Aku pun macam tu.” Rizqi diam pandang wajah Camelia. “Tadi aku tak sengaja cakap macam tu. Sorry eh.”

Camelia angguk. “Aku faham.”

Rizqi ketawa bahagia. Inilah yang orang panggil sehati sejiwa. Saling memahami.

Camelia ketap bibir. Ketawa Rizqi buat dia rasa nak tersenyum. 

“Betul ke yang Sam cakap kau risaukan aku?”

Camelia diam. Rizqi menunggu penuh tak sabar.

“Aku memang risaukan kau. Qi, terima kasih sebab selamatkan aku. Erm...” Camelia mati kata. Padahal sebelum jumpa, Camelia rasa dia ada banyak benda nak cakap.

“Sama-sama...” Sayang. Sayang tu Rizqi sebut dalam hati. Tak pasal-pasal Camelia cekik-cekik dia nanti. Kalau nak cium-cium tak apa. Dia lagi-lagilah suka sepenuh jiwa dan raga.

“Macam mana kau sekarang, dah sihat?” Camelia baru perasan muka Rizqi cengkung dan itu buat dia rasa makin bersalah.

Rizqi mengaum-ngaum bahagia. Boleh tak dia peluk Camelia sekarang?

Haish... tak boleh. 

Tenung ajelah buat masa sekarang. Rizqi pandang Camelia dengan pandangan bahagia dan teruja penuh cinta yang membara.

“Jangan pandang aku macam tu.” Suara baik Camelia tadi dah bertukar kesal.

Haish... tenung pun tak boleh jugak. Habis tu apa yang boleh? Sungguh Rizqi kecik hati dengan Camelia.

“Hmm... kau tak jawab lagi. Kau dah okey ke?” Suara Camelia jadi baik semula automatik perasaan Rizqi yang sempat buruk tadi jadi baik tiba-tiba.

“Aku tak sihat.” Betul. Tak tipu. Dia tak selera makan. Tak selera tidur. Tak selera nak berehat. Asyik fikirkan Camelia.

Wajah Camelia bertukar sendu. Rizqi sakit disebabkan dia. Tapi tadi sempat lagi dia mengamuk kat Rizqi. 

Betul kata orang. Perangai buruk cepat mendarah daging. Dia pun tak sedar bila dia berubah jadi kasar. Dia memang selalu curiga dengan orang. Semua orang tak boleh dipercaya. Kalau dia lembik, orang senang-senang aje tindas dia. 

Macam Kamil yang terlalu baik. Si rubah betina tu ambik kesempatan atas kelembutan hati Kamil. Memperbodohkan Kamil sampai Kamil harus sesakit itu sebelum menemui ajal.

“Kenapa tak rehat kat rumah? Tunggulah sihat dulu baru datang.”

Rizqi senyum selebar alam. Bahagia yang terucap. Hari ni Camelia betul-betul baik dengannya. Harap untuk selama-lamanya.

Camelia buat-buat tak nampak senyuman berbahaya Rizqi. Tak nak dia jadi patung macam malam tu. Apalah mak Rizqi makan masa mengandungkan si anak jantannya ni sampai senyuman Rizqi jadi semanis ni.

Adakah sejuta telaga madu?

Effectnya terlalu mengerikan. Jantung Camelia rasa nak pecah. Sungguh tak tipu.

“Aku rindu kau sebab tu aku datang.” 

Camelia berdehem. Wajahnya panas. Rasa macam terbakar pun ada. 

“Mel… Kau tahu kan aku sukakan kau?” Seromantis mungkin Rizqi tunekan suaranya. Nak bagi Camelia lagi terpesona, terpukau tergoda dan semua ter ter ter…

Terkejut Camelia dengan soalan cepumas Rizqi. Bibirnya digigit. Dia ingat teguh sangat pertahanan dia. Rupa-rupanya tak. Berhadapan dengan Rizqi yang cukup sempurna melafazkan kata suka, buat separuh hati dia jatuh suka.

Masalahnya separuh ke? Err... Macam penuh. Camelia rasa dadanya makin sesak. Berkemungkinan besar kalau tak meletup mungkin akan bocor.

“Cik bunga… kau tak jawab lagi soalan aku tadi?”

Hati Camelia bergetar. Kenapa masa kawan-kawan Rizqi panggil dia cik bunga rasa biasa aje. Bila Rizqi panggil rasa macam kebas seluruh badan. Itu tanda-tandanya apa eh?

“Mel… Kau tahu kan aku sayangkan kau?” Nada yang lagi romantis digunakan. Menatap wajah gabra Camelia penuh cinta.

Camelia dah naik seram. Tadi rasanya soalan lain yang Rizqi tanya. Belum dia jawab Rizqi dah upgrade soalannya. 

“Mel… Kau tahu kan aku cintakan kau?” Soalan diupgrade lagi. Kali ini lagi dalam. Dah main ke tahap cinta. Dan kali ini intonasinya jaaauuh lebih romantis. Mata Rizqi dah pancarkan aura cinta yang berkobar-kobar. 

Tubuh Camelia dah menggigil. Entah apa perasaan yang tengah melanda dirinya sekarang. Yang dia tahu dia tak boleh lepaskan pandangannya dari terus tatap mata redup Rizqi yang tengah pancarkan cahaya yang lain macam menurut definisi hatinya.

“Mel… Aku cintakan kau.” Rizqi menatap sehabis sayang seraut wajah itu. Senyuman bak berlian meniti di bibirnya. Cintanya makin berkobar-kobar. Hati pula makin berdebar-debar. Menanti balasan dari cik bunga.

Harap-harap positiflah jawapannya. Mari sama-sama kita berdoa.






Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh La-lila