Home Novel Cinta Jadi Isteri Aku, Mau?
Bab 9

“SERONOK kan Mel kalau tiap-tiap bulan ada event macam ni?” 

Universiti KZ akan menjadi tuan rumah kepada pertandingan ‘Battle Of The Band’ yang berlangsung selama dua hari. 

Hari ini pesta yang sungguh meriah dengan pelbagai aktiviti diadakan. Dan malam esok akan diadakan pertandingan nyanyian yang turut disertai oleh band dari luar. Sebenarnya Aiman ada niat nak bertanding jugak tapi tak seorang pun sudi nak masuk bandnya.

Camelia cebik. Seronok? Tak pun. Ikutkan hati nak berkurung saja kat rumah. Tapi bila fikirkan Aiman yang memerlukan pertolongan terpaksalah dia ikut tercongok kat sini.  

“Janganlah buat muka masam macam tu. Cuba senyum. Mata tu biar liar sikit. Mana tahu dalam ramai-ramai orang ni ada yang hati kau berkenan.” Bersungguh Aiman memberikan cadangan. 

“Tak ada yang berkenan. Serabut mata adalah.” Muka Camelia masam macam telan segelen cuka. Muak bila asyik-asyik benda yang sama disaran Aiman. Cari boyfriend. Cari boyfriend. Cubalah bagi cadangan macam mana nak cari duit. Barulah cerah masa depan.

“Man, ingat sikit kau tu budak-budak lagi. Tak payah nak cakap pasal cinta sangatlah.”

“Aku dah 18 tahun Mel. Dah besar panjang. Dah boleh kahwin pun.”

“Hah bagus. Kau nak bagi makan apa anak orang? Tadah duit mak bapak? Ke tunggu duit jatuh dari langit?”

Aiman melopong sekejap. Camelia panah memang tepat kena ke hati. Sakit! 

“Kau kan dah berumur, patut dah ada boyfriend. Kalau kat sini tak ada yang berkenan, tunggu besok malam. Hah, masa tu kau bukak mata luas-luas. Pilih mana satu. Aku akan berusaha sedaya upaya buat temu janji cinta untuk kau. Cuba cakap kau nak yang macam mana?” 

Aiman masih tak berputus asa nak mencari calon abang iparnya. Dia tak rela Camelia sepi tanpa cinta.

“Carikan aku ustaz, boleh?” 

Camelia bagi syarat yang gerenti buat Aiman terus putus asa. Dia pun sedar diri yang dia bukannya baik sangat sampai nak bersuamikan ustaz. Lainlah kalau dia ni ustazah pilihan. Kalau setakat ustazah celup yang dapatnya gerentilah ustaz celup. Hehehe…

Terdiam terus Aiman. Kalau nak stok ustaz memang dia tak boleh nak rekomenlah. Amboi nak ustaz. Tak sedar diri yang tak berapa nak ustazah tu. 

Kalau tengok muka memang lembut giler. Tapi kalau dah naik minyak, memang nahaslah ustaz yang menjadi pilihan Camelia. Ada jugak yang mati katak.

“Sungguh ni nakkan ustaz?” Mana tahu Camelia selama ni tak ada kekasih sebab duk tunggu ustaz datang merisik. Kalau Camelia betul-betul serius dia tak segan-segan ajak Camelia pergi ke uji bakat bakal-bakal ustaz muda. Apa namanya... 

Hah... Pencetus Ummah, Da’i, Iman Muda, apa lagi ya. Nanti dia google. Bukan nak turut serta beruji bakat, cuma nak pergi jeling-menjeling, intai-mengintai, mana tahu jodoh kakaknya ada di situ.

“Tak payah nak bersungguh sangatlah Aiman. Tak mati pun kalau aku tak ada boyfriend. Kau tutup mulut kau tu. Karang aku tinggal kau sorang-sorang kat sini baru kau tahu.” Camelia dah kembang kempis lubang hidung. Tanda angin taufan mula nak datang. 

“Kau ni kenapa Mel? Moody sangat hari ni. Tak sihat eh.” Aiman buat-buat tanya. Tunjuk prihatin. Padahal dia dah tahu puncanya. Tak sangka setelah lama mendiamkan diri abang wrestler  telah mengganas kembali. 

Ada ke abang wrestler pergi rosakkan kereta Camelia hanya semata-mata pernyataan cintanya ditolak.

Sepatutnya abang wrestler kenalah tingkatkan usaha untuk tawan hati Camelia bukannya pergi tawarkan lagi hati Camelia.

Itulah, agaknya hati abang wrestler terlalu keras untuk memahami betapa lembut seorang perempuan harus dilayan bukannya dilanyak.

Tapi kadang-kadang ada singgah jugak ke otak Aiman yang mungkin abang wrestler bukan pelakunya. Masalahnya Camelia seratus peratus yakin tanpa setitik pun keraguan.

“Telinga aku sakit! Mata aku sakit! Hati aku sakit! Kenapa mamat tak guna tu mesti ada kat sini jugak?!” dengus Camelia berapi-api.

Sudahlah berhari-hari dia kena hadap dengan muka Rizqi yang ‘bertebaran’ di seluruh pelusuk kolej ni. Tak cukup dengan poster yang bertampal sana sini. Tambah dengan kain rentang dan macam-macam lagilah semuanya ada muka si keparat tu. 

Sekarang ni suara jantan miang tu pulak yang duk terngiang-ngiang. Tu… Dia jadi MC untuk acara hari ni pulak. Macam dah tak ada orang lain. Huh menyampah!

Rasa nak tinggalkan saja booth ni tapi kesian pulak Aiman sorang-sorang nanti. Pengsan si Aiman karang, menyesal tak sudah pulak dia.

 “Sorry susahkan kau. Tapi terima kasihlah kau sudi tolong aku. Ni semua salah Miza. Tiba-tiba tarik diri last minute. Nasib baik kau ada kalau tak aku dah merana.” 

Aiman tayang muka mintak belas simpati. Kalau Camelia angkat kaki, dia yang susah nanti.

Tak sedap hati pulak Camelia buat Aiman rasa bersalah.

“Aku okey.” No!!! Dia langsung tak okey. Dapat booth pulak paling dekat dengan stage. Jelas, terang, lagi bersuluh Rizqi asyik pandang-pandang jeling-jeling tajam kat dia. 

Kalau Rizqi tu perempuan dah lama dia kuburkan. Ni bukan setakat tak boleh nak cangkulkan si Rizqi tu, nak tuntut keadilan pun dia tak mampu. 

Si psikopat tu pergi rosakkan Mitsubishi Evo kesayangan Kamil yang Kamil tatang bagai minyak yang penuh. Tak cukup simbah dengan cat, cermin depan belakang juga dipecahkan dan keretanya kemek sana sini. 

Dia nak buat laporan polis tapi Aiman tak bagi. Kata Aiman tak ada bukti dan Aiman takut Rizqi buat benda yang lebih teruk lagi. Nak tak nak terpaksalah dia mengalah. Lagi. 

Sumpah dia benci Rizqi sepenuh hati! Benci sampai mati!

Kalau tak fikirkan tentang Aiman sumpah memang dah lama dia blah. Siapa nak lindungi Aiman kalau Rizqi serang Aiman lagi kalau dia tak ada.

Rizqi pula dari tadi duk mendidih hati. Dah lebih dari beratus kali dah dia genggam penumbuk hari ni. Hari ni memang kesabarannya benar-benar diuji. Hari ni juga akan terlakar sejarah hitam jika Camelia tak segera dialihkan dari sini.

Ikut hati yang panas ni memang dia dah lompat dari stage dan banting sorang-sorang ke tanah jantan-jantan tak guna yang asyik melirik-lirik cik bunganya. Sungguh dia tak tahu setakat mana lagi dia boleh tahan diri.

Sebenarnya dia yang aturkan biar partner Aiman last minute tak dapat datang sebab dia tahu Camelia akan gantikan secara tak sukarela. Dia yang pastikan booth Aiman paling dekat dengan stage. Dia jugak relakan masa berharganya terbuang dengan jadi MC.

Semua ni semata-mata agar dia dapat tengok Camelia dan haruslah Camelia pun dapat tengok dia. Mana tahu bila harus pandang dan dengar suara dia untuk jangka masa yang lama Camelia tiba-tiba jadi suka.

Tapi masalahnya dari tadi Camelia tayang aura permusuhan yang begitu kental. Aura suka langsung tak ada. Cinta tu jangan harap. 

Jadi boleh dikatakan rancangannya gagal.

Selesai memanggil orang yang membuat persembahan Rizqi turun mendekati booth yang Camelia jaga. 

“Ya Allah, janganlah datang sini! Janganlah!! Janganlah!!! Aiman rasa nak lari jauh-jauh bila Rizqi datang dekat-dekat. Kalau tengok muka bengis abang wrestler sekarang ni Aiman lagi sanggup tatap muka harimau buat seumur hidup. 

Aiman rasa bukan dia sorang aje yang ketakutan, orang-orang yang datang ke boothnya pun dengan sekelip mata semua dah angkat kaki. Tapi adalah sorang makhluk Allah tu yang tak gentar dengan kebengisan abang wrestler.

Tu si cantik molek tu siap angkat dagu tinggi-tinggi dengan kedua tangan duk cekak pinggang, tayang muka tak heran macam dah siap masuk ring nak bergusti dengan abang wrestler.

Ya Allah, kenapalah sejak keretanya dicederakan abang wrestler, Camelia macam dah hilang kewarasan. Dengan abang wrestler pun Camelia berani masuk gelanggang. 

Kalau abang wrestler amuk dia gerenti tak dapat tolong. Bukan tak nak tolong. Tapi gerenti dengan dia-dia sekali tak tertolong.

Ya Allah, tolong lembutkan hati abang wrestler. Amin.

“Pergi balik!”

“Kau tu sape, laki aku pun takkan pernah mungkin, pakwe aku pun takkan pernah jadi, kawan aku pun takkan pernah mungkin jadi kenyataan. Jadi apa hal kau suka-suka hati busuk kau tu nak suruh-suruh aku.”

Terbelalak Aiman dengan keceluparan mulut Camelia. Kalau tak sayang nyawa sendiri pun sayangilah nyawa adik yang akan mungkin turut tergadai sama ni.

Sengal habis seluruh gigi Rizqi duk kacip dari tadi tak nak bagi amarahnya meledak keluar. Dia cakap dua patah perkataan aje, Camelia balas berpatah-patah dan semuanya buat hati dia patah. Tak ada sepatah pun yang buat hati dia touched.

“Jadi kau lebih sukalah duk sini tayang diri bagi semua jantan-jantan kat sini puas hati duk tengok kau dari tadi?”

Berkerut dahi Aiman. Abang wrestler ni berpantun ke? Ish, ish, ish. Kalau tengokkan perangainya yang brutal siapa sangka abang wrestler suka bersastera rupanya. 

Siapa sangka jugak yang rupa-rupanya abang wrestler cemburu. So sweet. Cuma cara penyampaiannya salah. 

Cubalah pujuk, mintak baik-baik. Ni main nak gertak aje. Dia sangsi yang abang wrestler pernah bercinta kalau tengokkan gayanya yang brutal walaupun dengan perempuan yang dia cinta.

“Memanglah aku suka. Kau peduli apa?”

Ceh, Camelia pun balas dengan pantun. Aiman bangga!

“Kau cabar aku? Okay fine, kita tengok siapa yang lepas ni menangis tak berlagu.”

Pantun lagi. Aiman rasa nak tepuk tangan. Dia nak masuk berbalas pantun sama boleh?

“Kau fikir kau siapa. Aku langsung tak heran apa-apa.”

Aiman makin teruja. Balas abang wrestler, balas! Balas pantunlah. Bukan balas dendam.

“Kau degil ya. Aku akan tunjuk melawan aku perkara paling sia-sia.” Tak tunggu sesaat Rizqi melangkah lebar-lebar bawak satu misi, macam mana pun dia kena nyahkan Camelia dari sini.

“Alah... itu saja? Aku baru teruja dah tamat dalam sekelip mata. Sedih hati beta tak dapat tengok si jejaka dan si cantik jelita berbalas pantun jenaka untuk hiburkan hati beta yang dahaga melihat cinta antara mereka berdua. Beta berdoa semoga mereka tetap bersama sampai ke syurga.”

“Man, kau okey ke biul ni?” Camelia pandang Aiman dengan muka ngeri seolah-olah Aiman baru cakap yang dia nak tukar nama jadi Amani.

“Kau ni tak hargai langsung usaha aku. Aku punyalah usaha keras nak hasilkan pantun yang gempak macam kau dan abang wrestler tadi tapi kau biul-biulkan aku. Alah... cakaplah kau nak berbalas pantun berdua dengan abang wrestler aje. Yalah, berdua kan lebih baik.”

“Jangan sindir-sindir ya Man. Aku lagi rela berbalas pantun dengan ayam dari mengadap si kalis rezeki makhluk yang langsung tak bererti tu.”

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh La-lila