Home Novel Cinta Jadi Isteri Aku, Mau?
Bab 28

KEADAAN sekarang sungguh mengerikan. Ditambah pula dengan senyuman Rizqi yang lagi manis dari madu rasanya dah berjaya membuat separuh hati Camelia terkedek-kedek berjalan masuk ke kolam hati Rizqi. 

Adakah itu bermakna dia dan Rizqi sekarang dah saling berbagi hati?

Oh tuhan... Camelia tiba-tiba rasa pening. Tak sanggup menerima kenyataan.

Rizqi mula tak sabar. Kenapa lama sangat cik bunga nak bagi jawapan? Tak tahu ke yang jantungnya macam dah nak luruh dah ni. 

Kalau jantungnya boleh bersuara tentu dah nyanyi lagu Hero si Enrique Iglesias gitu. Let be me your hero bebeh!  


I can be your hero baby 

I can kiss away the pain 

I will stand by you forever 

You can take my breath away


Masih dalam sesi pandang memandang tak ada angin tak ada ribut Camelia terkejut bila wajah Rizqi mendekat dengan tiba-tiba.

Apa lagi terus Camelia hadiahkan pelempang sekuat hati. Kurang ajar punya jantan miang! Arghhhhh!!!

Kenapa bebeh tampar hero? Rizqi jadi gila sekejap. Kuat betul libasan Camelia. Terteleng sampai kepalanya. Sakit kat pipi bukan apa-apa. Tapi sakit kat dalam hati ni Tuhan saja yang tahu.

“Aduh!” Belum sempat berdiri tiba-tiba Camelia mengaduh. Tangannya menekap mata kanannya. Rasa pedih menyucuk. Sakit sekali.

“Kau selalu fikir buruk-buruk pasal aku, kan? Hah, padan muka tu. Aku nak buang semut kau pergi libas. Baguslah, biar buta mata tu!” 

Mulut membebel tapi tangan dah pegang kedua sisi muka Camelia. Nak tolong tapi Camelia yang terlanjur sakit hati menepis tangan Rizqi.

 “Jangan degil boleh tak! Tak payah nak jual mahal sangatlah!” Suara Rizqi mendesis-desis tahan diri dari keluarkan suara halilintarnya.

Camelia kaku, kecik hati. Air matanya keluar laju. Campuran dari sakit mata dan sakit hati.

Rizqi membuang semut yang berada di dalam mata Camelia dengan lembut dan hati-hati. Berbeza dengan mukanya yang bengis.

Bila dah selesai, “Dah buang dah! Pergi sana duduk jauh-jauh!” Dahi Camelia ditonyohnya geram. 

Patah! Patah!! Patah!!!

Hati Camelia  patah. Tak cukup Rizqi halau dia pergi. Siap tonyoh kepala dia lagi. Sampai hati Rizqi. Camelia bergegas bangun dan berlari ke kolam. Tak terjun. Masih waras lagi. Duduk  kat tepi aje. 

Sedaya upaya Camelia ketap bibir, tak nak bagi esakannya terdengar. Dia tak nak Rizqi rasa besar kepala dapat buat dia menangis. Dia bukan perempuan lemah. Bukan!

Tapi kenapa bila Rizqi tengking dia dan berkasar dengan dia, dia rasa sakit sangat? Hati dia rasa seperti diblender sampai hancur. Tak terbentuk lagi. Tak sangka effect Rizqi begitu besar ke atas dirinya.

Riziq raup wajah dengan kedua tapak tangan. Rasa nak tumbuk diri sendiri berkobar-kobar dalam dada. Dia tak sepatutnya buat Camelia macam tu tadi. Dia tak sepatutnya berkasar. Itu pun dia dah sehabis daya tahan dirinya. Kalau tak, tak tahulah nasib Camelia.

Dulu dia tak pernah kisah nak buas macam mana sekali pun. Ikut suka hati dia aje. Dia tak pernah fikir pun mangsa dia nak sakit ke nak apa ke. Yang dia fikir dah orang buat dia sakit hati jadi tak salah dia balas lebih lagi. Biar sampai serik dan tak berani cari pasal dengannya lagi.

Tapi Camelia bukan musuh. Camelia perempuan yang dia cinta tapi kenapa dia tetap tak boleh kawal diri? Dia takut kalau satu hari nanti dia akan cederakan Camelia tanpa sengaja.

Kepala Rizqi bagai dihentam kuat membayangkan dia mencederakan Camelia dengan tangannya sendiri. Dia memejamkan mata, menggeleng-geleng keras dengan tangan terkepal.

Tak! Tak mungkin! Dia tak mungkin buat macam tu!

Suara-suara yang tanpa diundang mula datang berbisik yang dia harus tinggalkan Camelia. Berbisik yang dia takkan mampu bahagiakan Camelia. Berbisik yang ini adalah pembalasan dosanya selama ini. Dia tak sepatutnya bahagia bila kematian ibu bapanya adalah kerana dirinya.

Bayangan pahit mula datang satu per satu menghentam pertahanan dirinya. Bayangan Camelia terluka kerana dirinya turut datang menyerang kewarasan fikirannya.

Apa ini petanda yang dia harus menjauhi Camelia?

Ya! Ya!! Ya!!! Terdengar suara Camelia melaung dalam fikirannya membuatkan kepalanya bagai dipukul seribu tangan. Dadanya berdenyut sakit membuatkan nafasnya sesak. Dan tubuhnya mula bergementaran. 

Dulu… dulu dia selalu begini. Kejadian pahit itu yang buat dia jadi begini. Tapi bukan ke dia dah sembuh? Kenapa sakitnya datang lagi? Kenapa?!!

Tubuhnya terasa begitu lemah dengan urat sarafnya menyucuk-nyucuk sakit di sana sini. Nyeri.

Berdebuuussss!!! 

Bunyi kocakan air yang begitu kuat terus menyedarkan Rizqi dari igauan buruknya. Tengok-tengok Camelia dah berada dalam kolam. Tergapai-gapai hampir tenggelam.

“Camelia!!!” jerit Rizqi kuat terus bergegas bangun namun tubuhnya terlanjur lemah menyebabkan Rizqi terjatuh.

Rizqi mengabaikan rasa sakit di lututnya yang tadi jatuh menghentam lantai dan digagahkan kakinya yang terasa lembik untuk bangun dan berlari sekuat tenaga menuju ke kolam lalu terjun mendapatkan Camelia.

Melihat Camelia yang sudah tenggelam, hati Rizqi menjerit ketakutan. Selaju mungkin dia cuba berenang mendapatkan Camelia. 

Tunggu Mel, aku datang. Aku datang.

Tubuh Camelia segera dipaut. Pantas dia membawa Camelia naik ke permukaan air. Digoncang-goncangkan tubuh itu namun Camelia sudah kaku. Laju dia berenang ke tepi kolam. Tubuh Camelia diangkat, dibawa keluar dari kolam jahanam.

“Mel, bangun… bangun…” Pipi Camelia ditepuk berkali-kali dan tubuh itu digoncang-goncang lembut berharap Camelia akan sedar malangnya dia terus kaku. 

“Cik bunga… sedarlah…” seru Rizqi lirih. Wajah pucat itu menambahkan lagi ketakutannya. 

Tubuh itu dibaringkan kembali. Dikerahkan seluruh upayanya untuk fokus di saat fikirannya nanar ibarat diserang badai.

Menyelak tudung Camelia, Rizqi meletakkan dua jari di tepi leher Camelia untuk mencari nadi dan meletakkan telinga berdekatan dengan hidung Camelia untuk mengesan bunyi pernafasan sambil memerhatikan dada Camelia berharap ada pergerakan naik turun tanda pernafasan.

Namun malangnya tak ada nadi yang dikesan dan Camelia tak bernafas.

Rizqi mahu meraung namun dia tahu mengikut emosi bukan pilihan terbaik saat ini.

Rizqi memberikan bantuan CPR. Ditekannya dada Camelia sambil membuat pengiraan kemudian memberikan bantuan pernafasan. Saat bibirnya menyentuh bibir Camelia jantungnya bagaikan meletup.

“Mel bangun! Bangun!” Camelia yang tetap kaku tak ada reaksi buat Rizqi rasa nak mati.

“Tolonglah sayang…” rayu Rizqi sambil terus memberikan bantuan kepada Camelia. Dia tak boleh berputus asa.

Tak lama kemudian Camelia terbatuk-batuk mengeluarkan air. Rizqi menarik nafas panjang, seperti diberi nyawa baru.

“Camelia… Mel…” Kelopak mata itu bergerak-gerak tapi tetap tak terbuka. Rizqi menunggu penuh debaran. 

“Bukak mata tu sayang…” Pipi basah Camelia diusap-usap cemas.

Kelopak mata Camelia masih tertutup dan tak lama kemudian berhenti bergerak. Tubuh kaku Camelia ditarik ke pangkuannya dan dipeluk erat sambil meraung sedih. 

Semua ini salahnya. Dia terlambat. Kalaulah dia tak terkena serangan panik tadi yang membuatkan tubuhnya lemah sudah pasti dia dapat menyelamatkan Camelia dengan lebih cepat.

Semua ini salahnya! Salahnya!!!

“Mel, kau tak boleh pergi. Aku sayangkan kau. Kau tak boleh pergi... Kalau kau mati, aku pun tak nak hidup lagi...” Sayu, sebak, takut, semuanya bercantum menjadi satu.

Rizqi bagaikan hilang kewarasan. 

“Tak… Tak… Tak… Tak boleh... Tak boleh... Jangan...” rintihnya pilu. Air matanya jatuh laju. Dia tak sanggup kehilangan orang yang dia sayang di depan matanya lagi. Cukup dulu. Cukup!


Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh La-lila