Home Novel Cinta Jadi Isteri Aku, Mau?
Bab 20

LELAKI yang bermuram durja di depannya dilirik berkali-kali. Dah lama sebenarnya dia nak tanya soalan cepu emasnya tapi takut pulak Aiman jadi cemas.

Tanya ke tak?

Tanya!

Tak! Tak! Tak boleh!

Tanyalah!!!

Tak bolehlah!!!

Hesy... tak bolehlah tak tanya! Kena tanya jugak nanti bawa malapetaka kepada kesihatan hatinya. 

Mana taknya, wajah murung Aiman duk terbayang-bayang selalu. Kalau terjatuh suka, siapa nak menolong!!!

Alamatnya terpaksalah dia masuk merisik Aiman yang polos ni. 

“Man, kau dengan Kak Mel gaduh kenapa? Mesti kau buat hal ni?” 

Aiman pandang Amiza. Mengeluh kemudian tunduk dan mengangguk. Semua orang di kelasnya perasan hubungannya dengan Camelia dah retak dah terbelah. 

Bukan dia tak tegur Camelia. Camelia yang buat dia macam tak wujud. Nak cakap tak nampak memang taklah. Tengok tadi, sapaan Amiza yang dibelakangnya Camelia jawab. Sapaannya...?

Camelia buat tak tahu je. Ibaratkan kuman di seberang lautan nampak, gajah di depan mata tak nampak. Takkan nak bagi mikroskop kot baru perasan keberadaannya.

“Ceritalah.” 

“Mel marah. Dah seminggu dah.”

“Tau. Skip aje part yang tak penting. Kenapa Kak Mel marah?”

Aiman putar bola mata. Jengkel. Kalau dah kepoh memang tak menyabar. Terjah berita sensasi terus.

Aiman tak nak cerita. Tak nak pulak Amiza pandang buruk kat Sarah. Semalam Sarah call dan mesej berkali-kali. Dia tak respon langsung. Dia dah janji dengan diri sendiri untuk putuskan Sarah demi Camelia. Sarah pun dah dia maklumkan.

Tapi pagi tadi dia terlanjur membalas sapaan pagi Sarah kerana terlanjur rasa bersalah. Lepas tu dia tak habis rasa bersalah dekat Camelia pulak. 

Hesy... susah berada di persimpangan dilema ni.

“Man, ceritalaaaah...” Amiza menggesa tak sudah.

 Baru je Aiman tarik nafas nak tolak tak nak jawab pertanyaan Amiza, tubuh besarnya ditendang sampai dia terjatuh dari kerusi.

Sakitnya hanya Allah saja yang tahu. Bunyi tempikan nyaring dari Amiza dan suasana kafe mula kecoh.

Berdiri di situ Syahid dengan muka siap membunuh.

“Kau memang tak sedar diri! Dahlah gemuk ada hati kacau tunang orang!”

Aiman dengan pandangan berkunang-kunang menatap Sarah yang berada di belakang Syahid. Sarah mengalihkan pandangan dan memegang lengan Syahid. Aiman tersenyum pedih.

Sarah tahu dia tak patut cakap yang Aiman mengganggunya bila tunangnya terbaca mesej yang dibalas Aiman yang dia lupa padam.

Dia tak nak Syahid marahkannya. Dia tak mahu Syahid menganggapnya curang.

Syahid yang masih tak puas hati mendekati Aiman. 

“Ja... ja... ngan dekat. A... aku report polis.” Amiza berdiri di depan Aiman dengan tangan memegang garpu sebagai senjata.

“Belum kau report polis aku bunuh kau dulu!” Syahid tayang senyum sadis.

“Ap... apa?” Amiza nak pengsan.

“Abang, dahlah. Sarah tak nak abang masuk penjara.” 

“Diam!!!”

Sarah mengangguk pasrah. Syahid kalau dah marah memang selalu hilang kewarasan. Dia cuma harap keluarga Syahid dapat selesaikan semuanya dengan kekuasaan mereka seperti yang selalu dilakukan bila Syahid hilang kawalan dan membuat masalah.

“Miza, lari,” seru Aiman lemah. Tak bangun-bangun dari pembaringan. Wajah mamanya terbayang-bayang. Inilah yang Camelia cakap kalau tak sayang diri sendiri pun tolong fikirkan tentang sang mama.

Mama akan menderita kalau terjadi apa-apa kepadanya. Masa dia berumur 6 tahun dia dipisahkan dari mama bila orang tuanya bercerai. Papa yang ada duit dan kuasa menang hak penjagaan bila membuat mama terlihat sebagai ibu yang sanggup mencederakan darah daging sendiri. 

Sebenarnya itu perbuatan papa yang panas baran. Dia takut untuk menceritakan hal sebenar sebab papa mengugut akan membunuh mama. Dia yang ketakutan terpaksa mengikut telunjuk papa.

Mama berjuang sedaya upaya untuk memilikinya semula. Dua tahun selepas itu mamanya dapat membuktikan hal sebenar dan akhirnya dia dapat keluar dari neraka dunia itu. 

Tapi dia sudah terlanjur trauma. Dia menjadi tempat papa melepaskan kemarahan kepada dunia. Kesakitan dan ketakutan akibat dipukul sejak kecil membuat mentalnya rosak. Dia hidup dalam ketakutan sampai sekarang. 

“Miza, lari. Lari…”

“Ta... ta... tak bol... boleh.” Gagap Amiza makin teruk sebab dia makin takut. Nak tinggalkan Aiman macam tak berperikemanusiaan pulak.

“Kau memang cari mati perempuan bodoh. Tak sangka si gemuk ni ada peminat. Mesti kau pakai ayat guna-guna.” Syahid ketawa berdekah-dekah.

Tak lucu pun. Amiza makin ngeri. Dia yakin dan pasti yang orang di depannya ni gila!!!

“Lari Miza… lari…”

“Man jangan bising Man. Aku nak fokus ni,” balas Amiza bila Aiman tak henti-henti suruhnya lari. 

Okey, Miza. Tenang. Cari titik lemah dan serang. Tangannya gementar tak sudah. Kalau macam ni macam mana dia nak tancapkan garpu tepat pada sasaran.

Amiza takut sampai nak terkencing bila Syahid mendekat. Sampai hati tak ada orang datang tolong. Tolong tengok adalah. Tolong rakamnya banyak. Lepas tu jadi viral. Tak apalah, kalau dia mati pun sekurang-kurangnya dia sempat terkenal. 

Aiman pejam mata tak sanggup nak tengok tapi tetap mulutnya terkomat-kamit membaca mentera suruh Amiza lari.

Syahid angkat tangan nak lempang Amiza yang dah kejung kaku tak berdaya. Garpu pun dah terlepas.

“Pergi ke neraka kau setan!!!” Serentak itu tubuh Syahid jatuh ke lantai didorong kuat dengan tiba-tiba.

“Kak Mel!” Yang nyaring tu suara Amiza.

“Mel...” Yang sendu macam teratai layu di tasik madu tu suara Aiman.

“Abang!” Sarah berkejar menolong Syahid bangun tapi ditepis kasar.

“Kauuu!” Mata Syahid terpancar dendam yang amat sangat.

“Miza, angkat Aiman. Pergi!”

“Tak mampuuuu...” sahut Amiza lirih.

Camelia rasa nak menangis. Ya tak ya jugak. Manalah tubuh cekeding Amiza mampu.

“Mampus kau perempuan! Aku dah lama geram dengan kau!” 

Syahid cuba bangun. Camelia apa lagi habis dicapainya pinggan dan gelas atas meja dilemparkan ke muka Syahid. Tak lupa sasaran diserongkan sikit, lempar ke muka perempuan sihir si Sarah.

Terdengar riuh sorakan dari sekeliling. Camelia mendengus sinis tengok Sarah beria-ria menangis. Seperti biasa berlagak macam dialah perempuan paling teraniaya dalam dunia. 

Syahid pula mengaum-ngaum marah. Tumbuk-tumbuk lantai. Macam orang hilang akal. Dia tak terima dipermalukan oleh perempuan di depan ramai orang. 

Sarah yang cuba menyapu mee goreng yang berada di kepala Syahid dihadiahkan tamparan.

Aiman gagahkan diri untuk bangun. Kehadiran Camelia meniup semangat dalam dirinya. Kata doktornya, ketakutan dan traumanya yang buat dia lemah bukan kerana kesakitan. Dia boleh! Dia boleh!!!

Tak tunggu sesaat Camelia meluru membantu Amiza mengangkat Aiman yang mula boleh berdiri. 

“Jom! Cepat!” gesa Camelia.

“Kau nak pergi mana hah?!

Jeritan Amiza bergema. Tubuhnya ditolak kuat jatuh ke lantai.

“Miza!!!” Suara Camelia dan Aiman bergabung. 

Spontan tangan Aiman melayang. Penumbuknya selamat mendarat ke muka Syahid. Aik, rasanya dia dah tumbuk sekuat mungkin. Tak rebah pun. Tangannya pulak yang sakit menyengat.

Aiman menggigil sakan. Tak pernah-pernah dalam sejarah hidupnya dia pergi tumbuk orang. 

“Kurang ajar!!!” tempik Syahid dan tumbukan padu dilayangkan ke muka Aiman. Sekali kena tubuh Aiman melayang dan rebah ke lantai. Aiman kaku, pengsan.

“Aiman!!!” Camelia menjerit. Tak sempat berkelip dia ditolak dan melanggar meja di belakangnya lalu jatuh.

Syahid masih tak berpuas hati, kerusi di sebelahnya diangkat dan dihayunkan ke tubuh Camelia. “Mampus kau!!!” 

Camelia ketakutan. Matanya dipejam rapat mengharap semuanya hanya mimpi ngeri yang dialaminya hampir setiap malam dan bila bangun tak ada apa-apa perkara buruk pun yang terjadi kepadanya.

Semua ini mimpi.

Mimpi!

Namun keinginan Camelia hanya mimpi. Bunyi hempasan kuat kedengaran. Kerusi patah berkecai. Jeritan terkejut dan juga ketakutan dari orang-orang di situ bergabung menjadi satu.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh La-lila