Home Novel Cinta Jadi Isteri Aku, Mau?
Bab 32

“ADA hati kau datang lagi, berambus!!!” 

Memang aku ada hati pun dekat kau. Aku memang ada hati dekat semua perempuan cantik kat dunia ni. Nak aje Jay cakap macam tu tapi apakan dayanya hanya mampu simpan dalam hati saja.

Jay tak jadi masuk. Pintu ditutupnya kembali. Masuk kali ini rasanya dah tiga kali dia dihalau Camelia. Marah betul Camelia rupanya. 

“Hesy, apa aku nak buat ni?” Jay menyandar lemah tak berdaya  di dinding. Berada di tengah-tengah antara bilik Rizqi dan bilik Camelia. 

Nak masuk bilik Rizqi, memang cari nahaslah. Dengan Adam yang memang dari semalam lagi macam nak telan dia. Dengan Fiqri yang melepaskan marah pada dia akibat dimarahi Camelia, dan yang paling gerun, Rizqi yang bila-bila masa saja akan terajang dia. 

“Susahlah macam ni. Sunyinya aku. Sampai bila kena jadi pria kesepian ni? Ugh…” Jay mengeluh panjang. 

Huh, mengeluh hanya untuk orang yang tewas. Keturunan Syed macam dia ni orang yang hebat. Di mana ada kemahuan, pasti ada jalan. Susah macam mana pun dia kena pastikan posisi dia dalam Rizqi and the gang masih kekal. 

Fikir… Fikir… Fikir… 

Tang! Tiba-tiba idea datang.

“Kalau aku boleh buat cik bunga tak marah lagi kat si jantan buas tu mesti kesalahan aku akan dimaafkan. That’s right!” Lebar senyuman Jay. Terima kasih kepada otaknya yang sentiasa bijak dan cerdas ini. 

Seketika berlalu…

Pintu diketuk-ketuk sebelum dibuka. Kali ni dia dah kalis dan bersedia dengan amukan Camelia. Jelingan tajam Camelia kepadanya dibalas dengan senyuman.

“Aku tak nak tengok muka kau! Berambus!!!” Sekuat hati Camelia menjerit. 

“Mel, mengucap. Ni kan hospital,” pujuk Jay. Dalam hati dah sebal. Perangai tak ubah macam si jantan buas. Suka naik angin tak tentu masa. 

“Patutlah kau berkenan sangat dengan cik bunga ni Qi. Sama spesis dengan kau rupanya.” Jay ketap bibir. Berbisik sendiri. Kalau Camelia dengar confirm dia bakal dicekik nanti.

“Kau tak payah nak ajar aku. Semalam aku hampir mati tanpa sempat mengucap. Semua tu angkara kau. Sekarang kau berambus!” marah Camelia lagi. 

“Aku tahu aku salah. Aku bukan nak suruh kau maafkan aku. Aku datang ni sebab aku dah tak sanggup tengok Qi yang risaukan keadaan kau walaupun pada hakikatnya keadaan dia lagi teruk. Asyik-asyik tanya tentang kau. Qi cedera kau tahu tak semata-mata nak selamatkan kau.” Jay buat-buat lirih. Wajahnya disayukan. 

Camelia terdiam. Betul ke Rizqi cedera? Patutlah muka budak bertiga ni aje yang muncul.

“Qi ke yang selamatkan aku semalam?” soal Camelia. Dia tak sedar apa-apa. Sedar-sedar dah ada di katil hospital.

“Yalah. Takkan kau pulak yang keluar sendiri dari kolam tu.” Selamba Jay menjawab.

“Apa kau cakap?!! Grrr!!!” 

Terjojol mata Jay. Camelia nampak seperti singa nak menerkam dia. 

“Sorry Mel. Hee…” Jay sengih. Angkat dua jari, peace. 

Bila Camelia nampak mula tenang Jay sambung balik usaha.

“Masa kita orang sampai, kau dan Qi dah ada tepi kolam. Dua-dua pengsan. Korang nampak teruk sangat masa tu. Lebih-lebih lagi Qi.” Tipu… padahal si jantan buas tu sempat tumbuk dia lagi. Nasib baik dia tak mati terbenam dalam kolam. Tak guna betul!

Ya Allah! Camelia menutup mulut. Sampai begitu sekali. Jadi kalau tak kerana Rizqi pasti dia dah tak ada di dunia ni. Dua kali lelaki itu menyelamatkan dirinya. Dua kali lelaki itu cedera parah kerananya.

“Teruk ke keadaan dia?”

Jay menjeling hujung mata. Nampaknya Camelia mula nak termakan penipuannya. Tiba-tiba ada rasa sedih merayap di hati. Camelia risaukan Rizqi tapi sikit pun tak kesian dengan dia yang bengkak separuh muka. Tanya pun tidak. Belai-belai tu jauhlah sekali.

Tak berharga sangat ke dia di mata Camelia?

Sssedihhh!!!

Tak apa. Sekarang ni fokus kepada ambik hati Rizqi. Yang lain tu tendang jauh-jauh dulu.

Teruskan usaha Jay! Muka disayukan dan dengan suara lirih dan terlalu sedih Jay kembali menipu.

“Teruk jugak. Kepala dia cedera, mungkin terhantuk kat kolam kot.” Jay sedaya upaya kulum senyum melihat Camelia sampai terbeliak mata. Terkejut sangatlah tu. 

Okey, Jay. Peluang dah cerah tu. Tingkatkan usaha!

“Doktor cakap kemungkinan ada darah beku dalam kepala dia, sebab tu dia asyik muntah-muntah dan pening-pening.”

Jay diam sekejap. Betul ke simptonnya macam tu? Lantaklah. Camelia bukannya tahu pun betul ke tak.

Terkejut. Serta-merta air mata bertakung di kolam mata Camelia. Sedaya upaya dia menahan diri dari menangis. Sampai begitu sekali Rizqi cedera semata-mata nak selamatkannya. Rasa bersalah pada Rizqi makin menggunung tinggi.

Bagus Jay, bagus! Jay tahan diri dari tepuk dada dengan bangga. Muka Camelia yang garang habis tadi dah hilang diterbangkan angin. Silap haribulan, Camelia meraung kat sini.

“Aku tak tahu yang dia cedera sebab aku.” Suara Camelia kedengaran begitu sebak.

Tengok tu Jay. Umpan dah mengena. Tambahkan usaha Jay! 

“Doktor cakap lagi, paru-paru dia ada masalah. Mungkin dia tertelan banyak air semalam. Qi tu memang dari kecil ada penyakit paru-paru berair. Kau nampak aje dia sihat. Tapi sebenarnya taaakkk!” Perkataan tak ditekan dengan penuh drama.

“Penyakit dia jadi tambah teruk. Entahlah aku pun takut nak bayangkan apa yang akan jadi nanti. Kalau diikutkan memang dia dilarang berenang sebab penyakit dia tu. Tapi semata-mata nak selamatkan kau, dia sanggup bergadai nyawa. Lagipun...”

Jay berhenti sekejap. Tahan Jay! Tahan! Bibirnya diketap sekuat hati tak tahan sangat nak mengilai dah ni.

“Lagipun...” Camelia dah tak sabar. Dia tahu itu pasti berita buruk tengokkan Jay yang begitu sedih sampai bergetar-getar bibir yang diketapnya.

“Doktor cakap berkemungkinan besar paru-paru dia dah rosak. Kena tukar. Tapi kau sendiri tahu kan macam mana payahnya nak dapatkan penderma. Mungkin waktu dia bersama dengan kita dah tak panjang.”

 Jay makin teruja mengarang cerita. Nasib baik si Camelia ni tak ambik medic. Suka hati dia aje nak hentam. Muahahahaha…

"Aku rasa kau patut lupakan apa yang aku cakap kat kau pagi tadi. Qi buat macam tu sebab dia betul-betul sayangkan kau. Lagipun kita tak tahu berapa lama lagi masa yang dia ada," ucap Jay berlakon sendu.

Air mata Camelia tumpah jua. Sejak tadi sudah berbakul-bakul dia menyumpah Rizqi. Tak sangka pulak keadaan Rizqi teruk sampai macam tu sekali. 

Ya Allah! Selamatkanlah Rizqi. Dia tak sanggup nak memikul rasa bersalah sepanjang hidupnya.

Jay bantai ketawa dalam hati. Okey, sebelah sini dah settle. Tinggal nak menyelesaikan orang kat bilik sebelah sana saja. Yes!!!




“QI, makanlah. Apasal degil sangat ni?” Adam bercekak pinggang. Geram dengan perangai degil Rizqi. Nak tunjuk proteslah tu bila dia tak kasi pergi tengok Camelia. Buat apa nak pergi kalau nak kena maki, buat hancur hati aje.

“Tak nak! Aku nak jumpa Mel!”

“Kalau dengan kita orang yang tak tahu apa-apa ni bukak pintu aje diberambus-berambuskan. Kau, huh entah apa yang dibuatnya nanti.” Adam raup wajah. Kesal jugak dibuatnya bila teringatkan kes kena halau tadi.

Rizqi garu kepala. Sukar dia nak terima walaupun dah banyak kali Adam asyik mengulang benda yang sama. Dia boleh faham kalau Camelia marahkan dia. Tapi takkan dengan sedaranya pun Camelia marah. 

“Aku nak tengok cik bunga kejap je."

"Kan dah tengok semalam. Siap tidur kat bilik dia lagi. Cukuplah tu." 

"Tu semalam. Sekarang dah masuk tengah hari. Lagipun aku kena pergi tanya dia kot kot dia sakit lagi ke, ada yang tak selesa ke."

"Confirm tak sakit Qi. Kalau boleh marah-marah macam orang kurang waras tu sakit tang mananya." Fiqri memerli. Buruk betul perangai bunga yang ingin disunting Rizqi.

"Kau diam!" tunjuk Rizqi berang. "Sekali lagi kau hina Camelia memang kau, aku tendang!" 

Fiqri putar bola mata tayang muka menyampah tapi dia tetap mengambil langkah berjaga-jaga iaitu duduk jauh-jauh dan diam sebelum Rizqi jadikan dia punching bag.

"Doktor ada Qi. Kau tak payah nak risau lebih-lebih. Lagipun memang betul Mel dah sihat walafiat." Adam tahu kalau dia tak mengugut pakai nama tok ayah dah lama ada penerbangan yang selanjutnya ke bilik sebelah.

Bukan nak menyibuk, Adam risau Rizqi kecewa dengan sambutan Camelia nanti. Cukuplah dia sorang yang kena lempar dengan bantal tadi. Kalau Rizqi tengok-tengok kena lempar keluar ikut tingkat.

"Macam manalah aku boleh tertidur lama sangat," keluh Rizqi. Mungkin kalau dia ada bersama Camelia semasa Camelia sedar, Camelia tak semarah ni kot. Kalau marah sekali pun boleh dia minta maaf dan memujuk. Masalahnya sekarang nak pergi pun tak boleh.

"Sebab kau tu masih sakitlah. Apa lagi."

"Aku dah sihatlah Dam!" Rizqi tak suka dikatakan sakit. Seolah-olah sedaranya macam nak salahkan Camelia bunyinya.

“Dah, tak payah nak cakap banyak. Makan!" arah Adam tegas.

“Tak nak!”

“Makan!” 

“Aku nak stik. Tak selera aku nak makan benda tu.” Pinggan dijeling. Bukan salah makanan, salah Adam yang tak kasi dia tengok Camelia. Mana nak datang selera kalau dia tak dapat jumpa cik bunga.

“Pelempang kau tak nak?!” Fiqri dah naik meluat. Dah tak tahan. Kesian bapaknya kena melayan si sewel yang gila bayang ni.

“Hei, kau datang sini. Biar aku lempang kau. Aku ni sakit. Cuba prihatin sikit.” Rizqi mula nak mengamuk. 

Fiqri cebik. “Dah macam naga keluar asap aku tengok. Mendengus tak sudah-sudah. Macamlah orang takut.” Omelan perlahan sahaja. Dengar dek Rizqi nanti panjang pulak cerita. Tak pasal-pasal kena smackdown. 

“Okey, nak stik kan? Aku pergi beli. Kalau kau tak nak makan jugak terpaksalah aku bagitahu tok ayah.” Adam mula mengugut. Tahu sangat Rizqi memang akan mengalah.

“Janganlah weh. Macam budak kecik, sikit-sikit nak mengadu. Aku makan!” Sudu dan garpu dicapai dengan muka tak puas hati. Rasa nak cucuk aje Adam ni biar jadi Kasim Selamat!

Tahu takut. Adam tarik nafas lega bila nampak Rizqi mula makan. Mengada-ngada betul. Kalah orang putus cinta. Tak nak makan segala. Kalau mati kebulur pun belum tentu Camelia tu nak kat dia. 

“Kau nak apa hah?!” Pantas epal di depannya dicapai dan dibaling kepada Jay yang terjengul kepala di celah pintu. Adam dan Fiqri yang tak sedar apa-apa terkejut besar dengan tindakan tiba-tiba Rizqi. 

Jay sepantas kilat menarik balik kepalanya yang hampir menjadi mangsa keganasan tadi. Tak pasal-pasal terjadi tragedi buah epal kalau dia tidak bertindak pantas tadi.

“Huh… Nasib baik. Kurang ajar punya si jantan buas. Tambah cacat lagi muka handsome aku. Ini pun masih menyengat.” Mukanya dipegang. Sakit!!!

“Apasal kau ni mengamuk tiba-tiba. Dah hilang akal ke?!” Fiqri mengutip kembali majalahnya yang terbang dek terkejut melihat epal terbang.

“Jaafarudin penyangak tu cuba nak masuk. Berani nak tunjuk muka dia yang hodoh tu kat sini. Kalau aku dapat dia memang lunyai aku kerjakan. Huh, dah hilang selera makan aku!” 

“Cis! Mereng ke atau dah tak siuman? Aku punyalah sebegini handsome, boleh dia pergi cakap muka aku ni hodoh. Nasib baik aku nak kekalkan posisi aku dalam Rizqi and the gang. Kalau tak, memang dah kena tumbukan bertubi-tubi aku. Huh!” 

Jay menggenggam penumbuk. Sabar Jay. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Bertabah Jay! Bertabah! Dadanya dipukul-pukul memberi semangat kepada diri sendiri.

Jangan sampai pecah muka lagi sudah…

Okey, satu dua tiga. Pantas pintu dibuka. Tiba-tiba pula ada bantal terbang menuju ke arahnya. Fuh! Nasib baik sempat elak. Nampak Rizqi terkial-kial mencari barang untuk dilempar kepadanya.

“Mel nak jumpa kau!” Sehabis laju Jay menuturkan. 

See??? Jay bersorak dalam hati. Dilihatnya Rizqi sudah kaku. Tak lagi nak merosak binasakan dia. Pantas dia masuk mendekati Rizqi.

“Betul ke kau ni Jaafarudin?! Kau jangan nak buat hal lagi!” Adam dah lama panas hati dengan Jay. Nampaknya Jay memang betul-betul dahagakan pelempangnya.

“Betullah. Kejap lagi Mel nak datang lawat Qi. Tapi ada syaratnya.” 

“Syarat apa Jay?” Penuh tak sabar Rizqi bertanya. 

Jay tarik sengih. Confirm! Posisinya kekal. Yes!

“Kau kena pakai ni.”

Mahu juling mata Rizqi melihat kain pembalut. 

“Aku cakap kepala kau cedera masa nak selamatkan dia. Dia percaya. Dia rasa bersalah jadi dia dah tak marah lagi.”  

“Grrr... geramnya aku! Kau buat hal lagi. Menipu pulak kali ni.” Fiqri memukul dengan sekuat hati belakang Jay dengan majalah yang dilipatnya. Mengaduh Jay dibuatnya.

“Disebabkan aku baik hari ni, aku halalkan apa kau buat kat aku. Lain kali jangan harap kau nak tengok bumi lagi!” Jay mendengus marah.

“Macam mana nak pakai ni. Balut macam ni, boleh?” Dengan tak mengenal erti kesabaran Rizqi mula melilit kain pembalut ke kepalanya. Perbalahan Jay dan Fiqri sikit pun tak memberi kesan kepadanya. Apa yang ada dalam kepalanya ialah… tak sabar-sabar nak jumpa cik bunganya.

“Biar aku buat.” Adam mula membalut kepala Rizqi. Keluhan dilepaskan perlahan. Dia tak suka Jay menipu. Bimbang kalau tembelang pecah, lagi marah Camelia dibuatnya. Tapi bila melihat betapa terujanya Rizqi, nak tak nak dia rela ambil part turut bersubahat.

“Qi, aku bagitahu Mel kemungkinan ada darah beku dalam kepala kau.”

“Tak guna Jaafarudin!!!” Adam menggenggam penumbuk. Angin satu badan tinggal nak gulung Jay aje.

“Jangan panggil aku macam tu lagi! Aku tak suka!” Jay mendengus kasar. Dah naik berbulu telinganya mendengar nama itu disebut berulang-ulang kali. Sensitif tahu tak. Ni nak pergi pejabat pendaftaran ni. Tukar nama!

“Korang berdua boleh bergaduh lepas ni. Selesaikan masalah aku dulu!” Rizqi pulak yang naik angin. 

“Jay, teruskan,” suruh Rizqi dengan tak sabarnya.

“Aku sambung.” Jay sengih lebar. Rasa macam terlalu diperlukan pulak hari ini. Yes!!!

“Kau buat-buatlah pening. Nak muntah.”

“Lagi?” Rizqi bertanya lanjut. Bimbang jugak dia berlakon tak kena dengan penyakit yang Jay rekakan.

“Aku cakap paru-paru kau ada masalah. Sebab kau tertelan banyak air masa nak selamatkan dia. Terus dia menangis, Qi. Mesti dia terhutang budi sangat dengan kau. Tapi jangan lupa. Aku cakap yang kau memang dari kecik ada masalah paru-paru berair. Dah tenat.” 

Jay skip part dia cakap yang Rizqi dah nak mati. Takut jugak dia yang separuh mati dikerjakan Rizqi nanti.

“Apasal kau cakap macam tu?!! Aku sihat sejahteralah! Mesti Mel fikir sepuluh kali nak buat aku jadi laki dia sebab kau cakap aku sakit dah nak mati! Kurang ajar punya Jaafarudin! Berambus kau sekarang! Berambuuuss!!!” 

Terkebil-kebil Jay bila ditengking sebegitu kuat. Dia cakap tenat. Bukan mati. Tadi bukan main lagi dia diperlukan. Lepas dapat semua dia dihalau pula. Inilah yang orang tua-tua cakap, habis madu sepah dibuang. Huh, sedihnya!




APA YANG JAAFARUDDIN PENYANGAK KELENTONG MEL SAMPAI CAMELIA MARAH SEMUA ORANG?

ISK, ISK, ISK... CUKUP SORANG JE KAWAN MACAM NI MEMANG DISASTER KAW KAW HIDUP. NAKALNYA NAUZUBILLAH. 

P/S: Jay cakap itu semua fitnah. Dialah lelaki paling suci, baik budi pekerti satu malaya. PEACE!!!



Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh La-lila