Home Novel Cinta SEBELUM NAFAS TERHENTI
SEBELUM NAFAS TERHENTI
16/1/2014 09:51:09
56,643
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

PAGI esoknya, dalam pukul 4.30 pagi Nurlisa sudah bangun. Entah mengapa, tidurnya tidak begitu lena sebenarnya. Sementara menantikan masuk waktu solat subuh, Nurlisa bersembahyang sunat tahajud dahulu. Selesai tahajud dia mengambil al-Quran dan membacanya perlahan-lahan. Di saat itu, hatinya rasa tidak begitu tenteram. Jauh menyusup ke dalam kalbu, dia terkenangkan emak dan adik-adiknya.

Rindunya amat mendalam. Apa khabar emak dan adik-adiknya? Begitulah soal hatinya. Dia juga terkenangkan Aldi. Sudah hampir enam bulan lelaki itu pergi meninggalkan rumah itu. Belum pernah sekali pun dia menghubungi Vila Kencana Emas untuk bertanya khabar. ‘Mungkin Aldi sudah melupai aku.’ Hatinya sering berbisik begitu. Namun, bibirnya terus membaca al-Quran perlahan-lahan. Lama kelamaan, hatinya kembali tenang. Bibirnya kembali tersenyum tatkala dia teringatkan yang Allah akan sentiasa membantu hamba-hamba-Nya.

Mendengar gemersik suara gadis itu membaca al-Quran, Bibik Sunarti pun terjaga dari tidurnya. Nurlisa sudah memulakan solat subuh, kerana sudah masuk waktunya.

Bibik Sunarti segera ke bilik air untuk membersihkan diri sebelum mengadap Allah di subuh hari itu.

“Semalam ada berita kebakaran di kawasan setinggan.Cuba buka televisyen itu, Lisa. Kita tonton berita jam 6.00 pagi.”Bibik Sunarti bersuara serak dan agak perlahan. Dia masih bertelekung.

“Apa bibik? Kebakaran?” Nurlisa membulatkan matanya mendengar berita itu lantas memetik switch di dinding dan mencapai alat kawalan jauh peti televisen. Matanya melihat ke kaca tv. Berita televisyen jam 6.00 pagi memang sedang disiarkan.“Ya Allah. Emak!” Hati kecilnya meraung dan menjerit.

Sudah sahlah gambaran yang dilihatnya di kaca televisen itu sememangnya kawasan setinggan tempat tinggal keluarganya. Hampir 40 buah keluarga hilang tempat berteduh. Itulah yang dikatakan oleh pembaca berita televisen itu.

“Bibik! Bibik! Benar! Benar! Emak saya tinggal di situ! Macam mana ni? Bibik tolong saya bibik.” Nurlisa menangis sambil mencengkam-cengkam tilamnya.

“Sabar! Sabar! Jangan menangis lagi.” Bibik Sunarti memeluk Nurlisa sambil memujuk dan mengusap-ngusap belakang anak gadis itu cuba menenangkannya. Air mata keduanya berderaian.

“Mengapa bibik tak kejutkan saya semalam?”Dalam tangisannya, Nurlisa menyoal wanita tua itu. “Tapi datuk dan datin tiada di rumah. Bolehkah saya pergi begitu saja?” Nurlisa terus menangis. Jika dia ada sayap, pada waktu itu juga dia akan terbang ke kawasan kebakaran itu. Tidak sabar rasanya untuk menanti pagi mendatang. Kalau boleh dia ingin pulang ke rumahnya sekarang.

“Tak mengapa. Kalau perlu, beritahu saja sama Adzman. Rasa-rasanya pagi nanti dia akan pulang.” Bibik Sunarti terus memujuk Nurlisa. Semenjak ketiadaan Aldi, Adzman kerap berada di rumah.

PAGI itu, Sebaik sahaja ternampak kelibat Adzman, Nurlisa seolah ingin menerpanya. “Encik! Encik! Saya nak minta cuti.” katanya.

Adzman sedikit terkejut.Mengapa nak minta cuti? Siapa yang melarang? Datuk Haris dan Datin Rabiatul tidak ada di rumah ke? Nurlisa bebas ke mana-mana tanpa halangan sesiapa. “Cuti?” Adzman menyoal kembali. Tajam matanya merenung ke wajah Nurlisa yang kelihatan cemas.

Nurlisa mengangguk-angguk berapa kali. “Saya nak tengok mak dan adik-adik saya, encik. Ada kebakaran di kawasan setinggan tempat mereka duduk tu.” Nurlisa tidak dapat menahan rasa sedihnya lalu menangis.

Adzman terdiam. Hatinya rasa tersentuh melihat keadaan Nurlisa yang bersedih itu.“Rumah terbakar?” tanyanya lagi sambil menarik nafas panjang. Teringat dia kebakaran yang dilihatnya semalam. Kebetulan dia berada tidak jauh dari situ. Selepas itu, dia turut berada di sana untuk mengambil gambar. Keadaannya amat menyedihkan. Semua rumah ranap menjadi arang dan abu. Kemungkinan untuk menemui ahli keluarga yang masih hidup, agak mustahil.

“Wak! Wak! Wak Dollah!” panggil Adzman.

“Wak ikut Datuk dan Datin pergi Jakarta,” terang Bibik Sunarti dengan suara yang agak kuat kerana jarak mereka yang agak jauh.

“Jomlah! Saya hantarkan.” Dengan perasaan simpati yang mendalam, Adzman menghulurkan bantuan kepada gadis itu.

Walaupun dengan perasaan hati yang sangat berat, Nurlisa terpaksa juga melangkah masuk ke kereta dan duduk di sebelah Adzman.

Memang benarlah seperti kata Adzman sewaktu dalam kereta tadi. Tiada suatu apa pun yang tinggal di kawasan kebakaran itu kecuali abu dan puntung-puntung kayu yang setengahnya masih lagi berasap dan membara.

“Mak! Mak!” Nurlisa terjelepok jatuh di atas abu dan tunggul-tunggul arang di tapak rumahnya. Dia menangis. Ke mana harus dicari keluarganya yang dikasihi? Ya Allah, tolonglah hamba-MU ini. Batinnya merintih-rintih mengharapkan keajaipan daripada ilahi.

“Encik Adzman baliklah. Saya tak mahu balik ke sana lagi. Saya nak cari mak dan adik-adik saya. Mak!!!” Nurlisa terus menangis sambil menguis-nguis abu-abu yang berlonggok.

“Saya kerja dengan datin sebab nak bantu mak dan tanggung adik-adik saya. Sekarang mereka semua dah tak ada lagi. Saya dah sebatang kara.” Nurlisa menangis teresak-esak. Pipinya basah dengan air mata.

“Semuanya tak ada makna lagi. Tak ada.” Nurlisa terus meratap-ratap.

Adzman hanya memerhatikan gadis itu dengan perasaan sayu. Tidak henti-henti malang yang menimpanya.

“Lisa...” Adzman memberi isyarat kepada Nurlisa supaya mengikutnya untuk meninggalkan tempat itu.

Nurlisa masih duduk bertinggung sambil menguis-nguis puntung-puntung yang masih berasap.

“Lisa!” Adzman memegang tangan gadis itu lalu menariknya supaya berdiri.Air mata Nurlisa menjurai dipipinya.

“Sabar!” pujuk pemuda itu.

Nurlisa masih tersedu. Ujian kali ini bagaikan mencarik ketabahannya selama ini. Bukankah dia hanya manusia biasa. Kadangkala tidak dapat mengelakkan diri daripada tunduk kepada perasaan sedih.

“Jom kita balik ke rumah!” Pujukan Adzman masih belum berakhir.Simpatinya terhadap gadis itu menggunung. Tambahan apabila melihat gadis itu terhincut-hincut ke sana sini kerana ketempangan kakinya, perasaan hati Adzman bertambah berat dan sebak. Ada rasa penyesalan dan bersalah bermukim di hatinya.

Pada malam itu, televisyen masih melaporkan kebakaran yang melanda kawasan setinggan tempat tinggal keluarga Nurlisa.

“Lisa! Jangan-jangan familimu masih ada!” Bibik Sunarti seolah memberi harapan.

“Entahlah, bibik. Semalam sewaktu saya berada di sana, tak seorang pun jiran-jiran yang saya temui untuk saya tanyakan tentang emak.” Suara Nurlisa tersendat pilu. Hatinya masih resah selagi berita tentang keluarganya tidak diperolehi. Seluruh kawasan setinggan itu menjadi abu.

“Lisa. Sabarlah. Ingat Allah.Semua ini ujian daripada Allah.”Bibik Sunarti terus memujuk gadis itu. Dia faham setabah mana pun seseorang manusia itu, jika ditimpa musibah sedemikian rupa, takkan dapat menahan rasa sedih dijiwa. “Mana tahu, ada yang masih hidup dan pergi menumpang di rumah saudara mara mereka. Lisa bersabar dulu.” Dia terus menasihati Nurlisa, persis seorang ibu.

“Saya faham, bibik. Insya-allah... Saya tahu semua ini ujian daripada Allah untuk saya. Saya redha. Cuma saya rasa tidak puas selagi tidak bertemu dengan jenazah mereka kalau mereka benar-benar sudah tiada...” Sungguh ngilu rasa hatinya apabila mengucapkan perkataan ‘sudah tiada’. Nurlisa tersedu lagi. Matahari di dunia ini seolah telah terpadam. Dia berasa kehilangan yang amat sangat.

“Bibik, saya rasa lebih baik saya berhenti dari sini! Duduk di rumah ini saya tidak boleh bebas untuk mencari famili saya.”

“Berhenti? Habis nanti kalau Aldi pulang macam mana? Jika dilihatnya kamu sudah tidak ada lagi di rumah ini tentu Aldi berasa sedih.” Bibik Sunarti bersuara perlahan dan cuba untuk memujuk Nurlisa.

Mendengarkan itu, Nurlisa bertambah kuat sedu dan sedannya. Haruskah dia menceritakan apa yang terpendam dijiwanya kepada Bibik Sunarti? Yang diinginkannya ialah kasih sayang lelaki itu untuk selamanya. Namun dia berasa dirinya terlalu kecil untuk digandingkan dengan lelaki itu.

“Bibik... saya hanya orang gaji di rumah ini. Biarlah saya pergi. Di sini pun saya ibarat melukut di tepi gantang. Encik Aldi tentu melupai saya. Melupai kita.” Nurlisa memancung terus sebarang perasaannya terhadap Aldi. Meskipun sebenarnya sesekali rasa rindu seolah sedang membelah dadanya. Bayangan Aldi selalu terbayang di matanya. Tambahan apabila terkenangkan genggaman tangan Aldi tempoh hari dan renungan matanya yang seolah mengisi seluruh ruang hatinya.

“Lisa! Bibik sudah tua nak. Bibik tahu, Aldi ada perasaan sayang kepada Lisa. Tetapi Aldi masih mengawal perasaannya sebab dia anak tuan rumah ini. Lagipun dia seorang duda dan Lisa seorang anak gadis yang masih perawan. Sudah tentu dia bimbang dan berjaga-jaga dengan perasaan hatinya. Tidak mahu dikecewakan dan tak mahu kehilangan lagi.” Bibik Sunarti mengusap-ngusap belakang Nurlisa yang sedang meniarap.

“Saya cacat, bibik. Cacat! Saya tak mahu dan tidak pernah ada impian apa-apa kepada Encik Aldi. Bibik jangan bercakap mengenai hal ini lagi, ya. Saya rasa sedih.” Nurlisa menelentang lalu menutup mukanya dengan bantal. Dia tidak mahu mendengar apa-apa lagi tentang Aldi.

“Lisa! Dengar dulu nasihat bibik. Lisa pernah dengar omongan orang yang cinta itu buta, kan? Lisa jangan pergi dulu. Tunggu sampai Aldi balik.” Wanita tua itu terus menasihati gadis yang dihadapannya.

Nurlisa kini sudah duduk bertimpuh di atas tilamnya di hadapan Bibik Sunarti.

“Bibik tahu. Lisa mesti sedang merindukan Aldi. Tunggulah sehingga dia pulang. Tak lama lagi sahaja. Mungkin lagi dua tiga bulan.” Bibik Sunarti terus memujuk.

“Tidak, bibik. Saya takkan tunggu dia kembali. Saya mesti mencari ibu yang telah melahirkan saya ke dunia ini.” Suara Nurlisa seolah berbisik.Hatinya semakin pilu dan air matanya kembali menitis di pipi. Kerinduan yang membingkai di hatinya biarlah dipendam keseorangan. Tidak perlu diceritakan kepada sesiapa.

“Aldi sudah melupai saya. Dia tak pernah sekali pun menghubungi saya semenjak dia pergi.Siapalah saya, bibik. Gadis cacat yang miskin. Tidak pantas beriringan dengannya.” Nurlisa semakin sebak. Hatinya memang ingin Aldi menjadi miliknya. Namun layakkah dia untuk bersama dengan lelaki itu?

“Lisa, Aldi bukan begitu. Percayalah cakap, bibik. Tidak menghubungi, bukan bermaksud sudah melupakan. Kemungkinan dia sibuk dengan pengajiannya.” Bibik Sunarti berharap, Nurlisa akan termakan pujukannya itu dan membatalkan niatnya untuk pergi dari rumah itu. Kalau Nurlisa pergi, bertambah kesunyiannya di vila itu sekiranya Datuk Haris dan Datin Rabiatul keluar negara.

“Sudah ketentuan Allah, saya tinggal di rumah ini bibik.Dengan ketentuan-Nya juga saya akan pergi.” Nurlisa benar-benar sudah membulatkan hatinya untuk pergi dari rumah itu.

“Saya dan Aldi akan bertemu kembali sekiranya itu ketentuan ilahi.” Dalam kelembutannya, gadis ini amat tegas.

“Lisa nak pergi ke mana? Bibik tidak pernah tahu yang Lisa ada kawan-kawan di luar sana. Nanti Lisa nak tinggal di mana? Nak kerja apa?” Bibik Sunarti terus menyoal gadis itu. Di hatinya ada rasa bimbang mengenangkan nasib gadis kecil molek yang tidak sudah-sudah dirundung malang itu. Pertanyaan daripada Bibik Sunarti membuatkan Nurlisa terdiam sejenak. Bagaimana dia hendak memulakan segala-galanya. Keseorangan. Namun bukankah selama ini dia berasa cukup dengan adanya Allah di hatinya. Insya-allah segalanya akan jadi baik.

“Allah ada, bibik. Saya serahkan diri saya bulat-bulat kepada Allah. Dia yang maha kuasa dan mengaturkan segala-galanya untuk saya. Bibik jangan bimbang.” Hati Nurlisa kembali tenang. Keputusan yang diambilnya untuk berhenti bekerja di rumah itu adalah muktamad. Setiap perjalanan bermula dengan langkah pertama. Dia akan berikhtiar, berusaha serta bertawakal kepada Allah. Dia redha menerima segala keputusan daripada Allah sekiranya dia akan berpisah dengan Aldi buat selamanya.

“Baiklah, Lisa. Nanti jaga diri baik-baik. Solat jangan lupa. Orang yang sentiasa memelihara solatnya akan menemui kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Insya-allah, tuhan akan bersamamu, nak.” Bibik Sunarti memeluk anak gadis yang berada dihadapannya seolah memeluk dan memujuk anaknya sendiri. Dia yakin anak itu mempunyai semangat juang yang sangat kuat kerana dia mempunyai keyakinan yang teguh terhadap Allah.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.