Home Novel Cinta SEBELUM NAFAS TERHENTI
SEBELUM NAFAS TERHENTI
16/1/2014 09:51:09
56,655
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

Bunga-bunga mekar berkembangan. Ada anggerik, ada mawar, ada melur, ada kekwa dan bermacam jenis pokok berbunga dan yang tidak berbunga tumbuh di perkarangan Vila Kencana Emas. Nurlisa sibuk menyiram dan membelek-belek bunga-bunga yang ada di situ. Daun-daun yang kering dibuangnya.

“Lisa! Tengok sini!”

Nurlisa segera menoleh untuk melihat siapa yang bersuara itu. Dia sedikit terkejut. Silauan cahaya lampu tiba-tiba menjilat wajahnya. Rona wajah Nurlisa bertukar menjadi merah jambu sama seperti bunga mawar yang sedang dibeleknya.Gadis itu benar-benar terkejut.

“Encik Adzman! Buat apa ambil gambar saya? Kan lebih baik Encik Adzman ambil gambar bunga-bunga yang sedang berkembang ni.” Bicara Nurlisa lambat-lambat sambil membetulkan tudungnya yang berwarna putih.

“Gadis dan bunga, sama cantiknya.” Adzman terus memetik kameranya berkali-kali. Entah mengapa tiba-tiba sahaja dia mendapat idea untuk menjadikan Nurlisa model fotonya. Foto yang akan dipertandingkan di peringkat kebangsaan itu. Kebiasaannya dia mengambil gambar gadis-gadis cantik yang sememangnya telah bersedia untuk sesi fotografi. Wajah wanita atau gadis-gadis itu sememangnya cantik tetapi semuanya telah ditampal dengan dengan alat kosmetik.

“Okey, Lisa. Terima kasih.” Adzman terus beredar dari situ.

Nurlisa terus menyambung tugasnya tanpa menyedari ada sepasang mata yang memerhatikannya sejak dari tadi.

“Lisa!” Beberapa minit kemudian, muncul pula Aldi terhincut-hincut berjalan menghampiri Nurlisa.Seawal pagi tadi dia sudah berjalan di sekitar vila itu. Dia mengenakan pakaian sukan. Seluar dan berbaju T putih berlengan pendek. Di bahunya tersangkut sehelai tuala kecil berwarna merah yang digunakan untuk mengelap peluh.Keadaan kakinya kini semakin baik walaupun sesekali dia terpaksa menggunakan tongkat.

“Assalamualaikum, encik.” Nurlisa menyapa Aldi yang semakin hampir dengannya. Bibirnya menyimpul senyuman. Aldi turut melemparkan senyuman kepadanya sambil menjawab salam. Mereka berbalas-balas senyum.

“Encik bersiar-siar ke?” ujar gadis itu lagi. Aldi mengangguk dan tersenyum lagi. Dia berasa bersyukur kerana dapat menikmati kembali kehidupan seperti dahulu. Boleh berjalan walaupun tidak sesempurna sebelumnya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Lisa kerana banyak membantu saya sewaktu saya duduk di kerusi roda. Saya tidak sangka yang saya boleh bersiar-siar seperti ini kembali.”Aldi menyandarkan tongkatnya di rimbunan pokok kemboja yang sedang berbunga.Sesekali dia perlu juga menggunakan tongkat sekiranya kaki terasa sakit.

“Bukan saya yang menyebabkan encik boleh berjalan semula.” Cepat-cepat Nurlisa memintas percakapan Aldi. “Encik yang memilih untuk berubah dan beri peluang kepada diri sendiri, di samping berdoa. Alhamdulillah... Allah telah makbulkan doa encik.” Dia meneruskan bicaranya dengan nada lembut sambil menoleh kepada Aldi.

“Ya. Alhamdulillah. Ini semua nikmat Allah. Apabila tak dapat berjalan, barulah kita rasakan yang berjalan itu adalah satu nikmat. Bila susah untuk bernafas, barulah kita rasakan yang bernafas itu satu nikmat. Udara yang berada di sekeliling kita ni menjadi amat berharga untuk kita sedut...” kata Aldi dengan tenang.

Jiwanya kini berasa tenteram dan bersyukur. Dia mendepangkan tangannya sambil menghirup nafas panjang-panjang.“Tapi Lisa yang memberikan keyakinan yang saya akan sembuh.”

Nurlisa merenung ke wajah Aldi dengan ekor matanya sambil berpura-pura membelek-belek daun pokok bunganya. Pagi itu wajah Aldi kelihatan bersih dan bersinar. Matanya dihiasi dengan bulu mata yang lebat dan lentik serta kening yang hitam. Hidungnya mancung. Jika dulu jambangnya meliar tidak terurus kini semuanya kelihatan rapi. Tanpa misai, janggut hitam yang melingkari dagunya tersisir rapi menampakkan lelaki itu kelihatan segak. Tambahan pula apabila dia tersenyum. Lelaki itu terlalu berbeza jika dibandingkan kali pertama dia melihatnya dahulu.

“Alhamdulillah, encik. Saya senang mendengar kata-kata encik tu,” ujar Nurlisa kepada Aldi. Tangannya masih sibuk mengutip daun-daun yang kekuningan pada pokok-pokok bunga mawar yang sedang berkembang bunganya.

“Itu semua kehendak Allah. Insya-allah, encik telah diuji-Nya.Encik boleh menempuhinya beberapa lama.” Suara Nurlisa agak perlahan. Bukankah semua hamba Allah itu akan diuji. Sakit dan sihat. Kaya dan miskin. Cacat dan sempurna. Segala-galanya adalah ujian untuk menguji keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.

“Lisa, mengapa Lisa panggil saya encik? Kenapa tak panggil Abang Aldi?” Aldi menyuarakan apa yang tersimpan dihatinya sejak sekian lama. Matanya merenungi langkah kaki Nurlisa yang terhincut-hincut, pergi dari satu pasu ke pasu yang lain.

“Saya menghormati encik sebagai anak majikan saya.” Nurlisa menegaskan pendiriannya. Panggilan itulah yang terbaik bagi mengelakkan rasa mesra antara dia dan Aldi.Dia harus sentiasa menjaga kesopanan dan tatasusilanya selagi bekerja di rumah itu.Dia takut akan dilabel sebagai orang gaji yang tidak sedar diri, cuba memikat anak majikan.“Tapi panggilan itu terlalu formal Lisa. Kita berada di rumah, bukannya di pejabat.”

“Encik... Saya bekerja di sini. Maafkan saya. Kita dah biasa begitu. Itulah panggilan yang saya gunakan. Saya rasa selesa begitu.” Nurlisa menguis semut hitam yang masuk ke kelopak bunga mawar yang berwarna kuning. Selepas itu dia mengucup kuntuman mawar itu sambil tersenyum.

Aldi tersenyum sendiri melihat telatah Nurlisa.“Beruntung betul bunga itu. Dibelai setiap hari, dimanja dan dikucup. Patutlah semua bunga-bunga di sini berkembang indah. Bunga-bunga itu mendapat layanan istimewa.” Aldi bersuara perlahan dalam nada bergurau.

“Awak melayan mereka dengan kasih sayang. Sentuhan kasih sayang awak telah menyuburkan bunga-bunga ini.Dulu tak macam ni Lisa.” Aldi cuba mengusik hati gadis itu. Namun nampaknya tiada respons yang diharapkan. Nurlisa tetap bersahaja.

“Bukan sebab saya. Semuanya kuasa Allah.” Nurlisa mengangkat baldi yang berisi kampit-kampit baja. Tangannya pantas mencedok baja di dalam baldi dan menaburkannya di pangkal pokok-pokok bunga yang di dalam pasu.

“Lisa, awak suka dan sayang kepada tumbuh-tumbuhan ya?” Aldi mengekori Nurlisa daripada belakang.

“Ya, encik.Macam manusia, tumbuh-tumbuhan ini pun perlukan kasih sayang. Itu fitrah untuk setiap makhluk.” Nurlisa menjawab perlahan.

“Oh, begitu!Apa tandanya kasih sayang awak pada mereka? Maksud saya pada bunga-bunga ni... ikan-ikan yang di dalam kolam tu.” Aldi cuba memerangkap Nurlisa dengan pertanyaannya.

“Siramlah air, bubuh baja, jaga kebersihan, beri makanan kepada ikan.” Nurlisa menjawab dengan jujur tanpa mengetahui maksud yang tersirat di sebalik pertanyaan pemuda itu.

“Kalau kepada manusia? Nak siram dengan air juga ke? Atau mandikan dengan baja tahi lembu?” Aldi ketawa selepas mengeluarkan kata-kata itu.

Nurlisa turut ketawa dengan gurauan Aldi.

Aldi turut ketawa. Dia senang mendengar bunyi tawa Nurlisa yang manja tetapi terlalu cepat ketawa itu hilang di pendengarannya. “Lisa belum jawab soalan saya.” Dia mengingatkan gadis itu yang kelihatan merah mukanya kerana tawanya yang panjang tadi.

“Selalu buat baik kepada orang yang kita sayang.” Nurlisa menjawab ringkas. Langkah kakinya bertambah deras. Dia cuba mengelakkan dirinya daripada terlalu rapat dan berbual mesra dengan lelaki itu. Setiap kali berdekatan, jantungnya akan berdegup kencang.

“Bertuahlah saya kerana menjadi kesayangan Lisa.” Aldi menduga lagi walaupun mengerti kata-katanya itu tidak akan mendapat sebarang reaksi daripada gadis itu.

Nurlisa tidak menjawab. Matanya merenung ke arah langit, melihat burung yang berterbangan. Tidak sanggup rasanya bertentang mata dengan lelaki itu. Perasaannya selalu jadi tidak karuan.

“Kan Lisa selalu buat baik dengan saya?” Aldi masih cuba bermain kata-kata dengan gadis itu untuk mengujinya.

“Membuat baik perintah TUHAN, encik.” Kata-kata yang ringkas tetapi sarat dengan makna yang tersirat. Begitulah jawapan daripada Nurlisa dengan suara yang amat perlahan.

“Encik!Saya nak ke sana pula.” Dia menunjukkan ke arah kolam yang penuh berisi dengan ikan-ikan peliharaan. Suaranya antara dengar dan tidak sahaja di telinga Aldi.

“Bukan kerana sayang?” Aldi menduga lagi. Gadis di hadapannya kini seolah lautan yang sangat dalam. Selagi di selam, akan bertemu dengan keindahan.

Lagi sekali, kata-kata daripada Aldi tadi tidak mendapat respons.Aldi masih mengekori langkah gadis itu yang terhincut-hincut.

Nurlisa berasa kurang selesa. Ketidakselesaannya di sembunyikannya dengan cara menundukkan wajahnya, merenung ikan-ikan di dalam kolam yang berenang ke sana sini sambil tangannya menyentuh ikan-ikan tersebut.

“Lisa masih belum jawab soalan saya,” ujar Aldi lagi sambil berdiri rapat di sisi gadis itu.

“Kasih sayang akan menimbulkan keinginan untuk membuat baik, bantu-membantu, melindungi...” Nurlisa menjawab dengan bahasa berkias.

“Buat baik kepada orang yang kita sayang tu macam mana maksudnya?” tanya Aldi seolah tidak memahami maksud ungkapan gadis itu tadi.

“Maksudnya, buat apa-apa kebaikanlah,” jawab Nurlisa dengan jujur. Hati kecilnya sudah menduga yang pertanyaan Aldi itu sekadar untuk mengujinya sahaja.

Aldi terus mengekori Nurlisa. Ingin sahaja bibir Nurlisa menyatakan rasa tidak selesanya kerana diekori oleh Aldi, namun dia takut dianggap sebagai seorang yang tidak tahu menghormati perasaan orang lain.

“Tadi saya nampak Adzman mengambil gambar Lisa.” Aldi menukar tajuk bicara sambil sama-sama memberi makanan kepada ikan-ikan itu.

“Ya, tapi saya tak faham, mengapa saya. Kan lebih baik ambil gambar bunga-bunga, vila yang cantik ini, ikan-ikan ni dan pemandangan di sekeliling rumah ni, rumput yang menghijau, air pancut. Itu semua lebih indah dan lebih sedap mata memandang.” Nurlisa bersuara tenang dengan wajah yang selamba.

“Adzman tu seorang yang sentimental. Dia orang seni Lisa.Dia tahu objek mana yang harus difokuskan dan dirakamnya. Yang ada nilai estetikanya. Keindahan dan kecantikan asli tidak serupa dengan keindahan dan kecantikan yang palsu.” Aldi menceritakan sedikit tentang adiknya kepada Nurlisa sambil merenungi mata gadis itu yang lembut dan redup.

“Jadi tak salahkan dia menjadikan Lisa objek lensa kameranya.” Aldi menyambung kata-katanya. Matanya terus memerhati gadis yang dihadapannya tanpa rasa jemu walaupun sesaat.

Nurlisa tersenyum sambil mengelap peluh yang mengalir di pipi dengan lengannya.

“Kalau saya potretkan wajah Lisa boleh?” soal lelaki itu pula. Aldi terus memerhatikan gadis itu. Seraut wajahnya yang mendamaikan. Dahinya, keningnya, matanya, hidungnya, pipinya, bibirnya, kedua lesung pipitnya. Segala-galanya adalah ciptaaan Allah yang amat indah. Indah dan mengilhamkan.

“Potret?” Nurlisa menyoal kembali kerana tidak mengerti maksud Aldi.

Soalan Nurlisa mengejutkan Aldi yang sedang berkhayal sejenak. Khayalannya pun hanyalah tentang gadis itu. “Saya tak minat mengambil gambar dengan menggunakan kamera. Saya lebih suka melukis.” Aldi menceritakan serba sedikit tentang kegemarannya. Dari kecil lagi dia memang minat melukis. Semuanya yang dilihat akan dilukis.

Rona wajah Nurlisa sekali lagi bertukar warna. Dia terasa malu dan berdebar. Sejujurnya dia tidak tahu yang Aldi pandai melukis. “Siapalah saya, encik. Lukislah sesuatu yang indah. Keindahan itu akan menyebabkan lukisan encik bertambah menarik untuk dilihat,” ujarnya lagi. Pandangan matanya menyinggahi pula ke arah kiambang-kiambang yang tumbuh segar di dalam kolam.

“Yang indah itu, Lisalah.” Aldi cuba menduga hati gadis itu. Rona merah jambu seolah memercik di wajah gadis itu.

Nurlisa tersenyum sambil menundukkan wajahnya. Dia terasa malu. Benar-benar malu, membuatkan dia membisu beberapa ketika.

“Betul tak apa yang saya katakan itu?” soal Aldi lagi.

Nurlisa masih belum menjawab segala pernyataan Aldi itu. Jauh dilubuk hatinya, dia tahu Aldi seorang lelaki yang sentimental. Berjiwa lembut. Hanya yang membezakan antara Aldi dan Adzman ialah Adzman bersikap periang, namun Aldi terlalu berhati-hati.

“Keindahan diukur oleh hati masing-masing,” jawab Nurlisa ringkas. Dia bimbang jika Aldi terus menduganya begitu, hatinya akan kecundang.

“Yalah! Itulah yang hati saya katakan. Keindahan itu Lisalah...” Aldi terus mengusik. Matanya terus mencuri ke wajah gadis itu yang tertunduk malu.

“Allah mencipta segala-gala-Nya mengikut kehendak-Nya. Alhamdulillah...” Spontan Nurlisa menjawab tanpa merenung Aldi. Hatinya selalu berasa tidak tentu arah jika bertentang mata dengan lelaki itu.

“Kenapa Lisa kata begitu?” Aldi semakin menghampiri gadis itu. Dia berminat untuk mengetahui buah fikiran gadis yang telah ditempatkan di hatinya itu.

“Saya ciptaan Allah. Dia pinjamkan saya segalanya. Rupa paras, pancaindera. Saya bersyukur apa yang telah Allah kurniakan kepada saya, encik.” Nurlisa merendah diri dan tidak pernah terpedaya dengan kata-kata pujian sejak dari zaman persekolahan lagi.

“Sama macam pokok ini. Langit dan bumi. Awan dan matahari. Udara yang kita sedut setiap saat. Semuanya Allah ciptakan. Untuk kegunaan makhluk-nya.” Nurlisa terdiam sejenak seolah berfikir.

“Tapi Lisa, saya selalu dengar, bukan semua ciptaan sempurna.Macam jari jemari kita ini.Ada panjang, ada pendek,” sahut Aldi pula sambil merenung gadis itu. Dia menunjukkan jari-jemarinya kepada gadis itu. Nurlisa tersenyum meleret.

“Encik Aldi! Cuba Encik Aldi bayangkan kalau jari kita sama panjang?” Nurlisa bergerak dari sisi Aldi lalu menghampiri seketul batu yang agak besar. Batu itu diangkatnya dengan menggunakan kelima-lima jarinya.

Aldi pun turut mengambil seketul batu sambil memegang dengan jari-jarinya.

“Ya. Kalau semua jari sama panjang, susahlah nak pegang sesuatu. Yang Allah jadikan ini sudah cukup cantik. Ibu jari pegang di sebelah kiri, di sisi jari-jari lain yang panjang mencengkam di bahagian hadapan.Jari kelingking yang comel ini, bantu dari sebelah kanan.”

Aldi meletakkan batu itu kembali di tempatnya. Dia mengangguk-anggukkan kepalanya. Matanya merenung pula ke langit yang luas terbentang. Langit berdiri dengan kukuh dan tidak pernah roboh walaupun tidak bertiang. Matahari menerangi pada waktu siang. Bulan menyinari malam. Kedua-duanya bercahaya, namun berbeza kesannya. Terik matahari menghangatkan. Cemerlangnya cahaya bulan, mendamaikan. Subhanallah.

“Kalau jari sama panjang, macam mana hendak menulis? Melukis? Hisy! Susah rasanya nak pegang pen atau berus.” ujar Aldi lagi lalu mematahkan ranting pokok jambu yang berhampiran dan menggaya-gayakannya seolah memegang pen. Dia semakin kagum dengan Nurlisa. Mesti satu waktu dulu gadis ini seorang pelajar yang cemerlang di sekolahnya. Benak Aldi meneka.

“Atau kalau Allah cipta udara yang berbentuk objek begini.” Tukas Aldi lagi lalu tunduk dan mengambil beberapa butir batu sungai yang kecil yang bertaburan di tepi kolam ikan itu.Batu yang dijadikan hiasan lanskap di situ.

“Hmm... macam mana kita nak bernafas ya?” Aldi meletakkan ketulan batu kecil itu di lubang hidungnya. Dia terdiam sejenak. Akur dan tunduk kepada kebijaksanaan Allah. Subhanallah.

Nurlisa tersenyum melihat perlakuan lelaki itu yang agak kebudak-budakan sesekali.

“Maha bijaksana Allah!” ucap Aldi sambil matanya merenung ke wajah Nurlisa yang bibirnya sentiasa tersenyum. Gadis itu menganggukkan kepalanya tanda menyetujui apa yang dikatakan oleh lelaki itu.

“Bagaimana dengan keluarga Lisa?” Aldi cuba mencungkil latar belakang gadis itu pula apabila dilihatnya gadis itu berada di dalam keadaan serba salah apabila diperhatikan. Dia menunggu Nurlisa bersuara memberi jawapan.

“Baik, encik. Alhamdulillah...” jawab Nurlisa sambil tangannya terus menabur makanan kepada ikan. Bunyi percikan air sewaktu ikan-ikan meloncat dan berebutan makanan menjadi suara yang amat merdu bagi santapan telinganya.

“Adik beradik berapa orang?” Lagi sekali lelaki itu cuba membuka lorong keramahan dan kemesraan daripada gadis itu. Rasanya sudah beberapa kali persoalan itu diajukannya kepada Nurlisa.

“Enam orang, encik,” jawab Nurlisa bersahaja. Matanya asyik merenung ikan-ikan yang sedang berenang di celah-celah pokok kiambang yang berkembangan.

“Lisa anak sulung, kan?” Aldi menyoal lagi.

Nurlisa menganggukkan kepalanya.

“Dah 13 kali saya tanyakan soalan yang serupa pada Lisa.” Aldi ketawa sendiri.

Nurlisa menganggukkan kepalanya sembil bibirnya mengukir senyuman pada mulanya, namun akhirnya turut ketawa bersama Aldi. Suasana hening seketika.

Nurlisa asyik merenung ikan di kolam, Aldi asyik memerhati di sekeliling taman dan vila itu. Di hatinya terbenih rasa bangga.

“Lisa tahu tak siapa yang mereka bentuk Vila Kencana Emas dan taman landskap di sekelilingnya?” Aldi melunakkan suaranya sambil memandang ke wajah gadis itu.

Nurlisa mengangkat bahunya. “Tak tahu, encik. Sudah tentu orang yang merekanya seorang yang cukup hebat dan tinggi nilai seninya. Saya suka berada di taman ni. Damai dan menyenangkan. Ada bunyi percikan air, ada bunyi air yang mengalir, ada wangian dari bunga-bunga yang sedang mekar, dan kicauan burung,” katanya lambat-lambat seolah sedang menikmati segala keindahan yang sedang diucapkannya. Dia memejamkan matanya seketika, cuba menikmati segala keindahan itu dengan perasaan yang mendalam.

“Vila itu? Lisa tak suka?” Aldi cuba menduga.

Nurlisa mengeleng-ngelengkan kepalanya. Apakah maknanya rumah umpama istana kayangan jika di dalamnya penuh dengan kesunyian dan kesepian. Tiada suara orang berbual, bergurau senda atau ketawa. Dia berasa lebih bahagia tinggal di rumah setinggan yang bocor atapnya dan berlubang di sana sini dindingnya bersama emak dan adik-adik. Namun penuh dengan kemesraan dan kasih sayang.

“Maafkan saya, encik. Saya lebih suka rumah setinggan tempat saya tinggal dulu encik. Villa ini indah dan menakjubkan tetapi ditambat kesunyian.” Nurlisa berterus terang.

Aldi terdiam sejenak mendengar kata-kata dari gadis itu.“Takkan Lisa tidak mempunyai impian untuk memiliki harta kekayaan.Ramai orang di luar sana terkejar-kejar mencari harta. Ingin rumah besar, kereta besar, duit banyak! Mustahil. Harta dan kekayaan ini akan memberi kesenangan, kenikmatan hidup. Itu kata mereka.” Dia tidak jemu-jemu menguji Nurlisa.

“Saya tidak inginkan itu semua, encik.Bersyukurlah dengan apa yang ada sekarang. Saya takut dengan kesenangan dan kekayaan.”

“Takut?” Hairan dengan jawapan gadis itu Aldi menyoal kembali.

“Takut terpedaya dan lupa kepada Allah.”Ringkas jawapan daripada bibir Nurlisa. Dia semakin berasa serba salah kerana diasak dengan bermacam soalan oleh anak muda itu.

“Yang saya inginkan ialah hidup yang sederhana serta diredhai oleh Allah,” kata Nurlisa.“Encik, saya minta maaf kerana memberitahu yang benar.” Sambungnya lagi.

“Maaf, mengapa harus minta maaf berkali-kali.”Aldi tidak faham dengan telatah Nurlisa yang tidak lekang-lekang perkataan maaf dari bibirnya. Namun rungutan itu hanya berbisik di hatinya sendiri.

“Saya bimbang, sekiranya encik yang mereka cipta Vila Kencana Emas ini, encik akan berkecil hati.” Nurlisa tetap bersahaja dalam kata-katanya.

Aldi tiba-tiba ketawa bertali-tali.

“Lisa! Awak tahu tak, awak ni macam robot. Robot yang telah diprogramkan mindanya.” Tawa Aldi masih belum reda. Dia nampak senyuman terlukis dibibir Nurlisa.

“Maafkan saya, encik. Saya bekerja di sini. Saya menghormati, encik,” kata Nurlisa dengan jujur. Tangannya mencapai segenggam lagi makanan ikan yang berbaki di dalam baldi lantas ditaburkannya di dalam kolam.

“Sebelum kerja di sini, Lisa kerja di mana?” Aldi tidak berputus asa untuk cuba beramah mesra dengan pembantu rumahnya itu. Pembantu rumah yang masih muda remaja, namun sebesar huma pun hatinya tidak pernah menganggap Nurlisa sebagai orang suruhan di rumah itu.

“Jadi pembantu juga encik tapi di sebuah restoran. Kerja apalagi yang saya boleh buat dengan kelulusan yang tidak seberapa ini.” Nurlisa merendah diri. Dia merenung kaki kirinya. Dia teringat penat lelahnya untuk memperolehi keputusan cemerlang sewaktu peperiksaan SPM dulu. Keputusan SPM pangkat satu, tetapi disembunyikannya dari pengetahuan Mak Cik Hasnah. Sehingga kini, sijil SPMnya masih terjaga baik di dalam simpanannya. Semua dokumen persekolahannya telah dibawa bersama sewaktu dia datang ke Vila Kencana Emas.Manalah tahu, suatu hari nanti dokumen-dokumen itu akan diperlukan untuk mencari kerja lain.

“Mujur Datin ambil saya sebagai orang gaji. Kalau saya kerja di restoran itu lagi, tentu saya hanya sesuai untuk pencuci pinggan mangkuk sahaja.” Nurlisa seolah berbisik untuk dirinya.

“Kenapa Lisa kata begitu?” Aldi tidak dapat meneka maksud gadis itu.

“Hmm... cuba encik bayangkan saya sedang membawa dulang yang penuh dengan makanan dan gelas minuman kepada pelanggan.” Suara Nurlisa selamba. Dia beredar ke arah hujung kolam itu dan menguak-nguak kiambang yang berhimpun di hujung kolam itu supaya bergerak ke serata kolam. Terhincut-hincut kakinya sewaktu bergerak ke sana sini.

“Hmm...” Aldi menahan tawanya. Dia membayangkan gadis itu yang berjalan tinggi rendah sedang membawa dulang berisi gelas air. “Pandai juga awak buat lawak, ya.” Tukas Aldi. Tawanya masih disembunyikan, bimbang gadis di depan mata akan berasa kecil hati. “Tapi Lisa, ketidaksempurnaan yang sedikit tidak akan menjejaskan impian, jika awak mempunyai pemikiran yang besar.”

“Maafkan saya, encik. Saya tidak begitu faham apa yang encik maksudkan.” Nurlisa membasuh tangannya.

“Maaf! Maaf! Saya memeningkan kepala Lisa dengan ungkapan yang tidak menentu. Lupakan saja.” Aldi percaya gadis itu memahami segala apa yang dibicarakannya tetapi pura-pura tidak memahami maksudnya. ‘Bukankah sebelum ini dia yang telah memberi kesedaran, peransang supaya aku berusaha untuk memberi peluang kepada diri sendiri dan akhirnya aku dapat berjalan dan berlari kembali?’ Hati kecil Aldi berbisik-bisik sendiri.

“Lisa, hmm... minggu depan saya akan berangkat ke luar negara untuk menyambung kembali studi saya.”Aldi bersuara perlahan. Hatinya seolah terhiris. Dia berasa berat untuk meninggalkan vila itu dan berpisah dengan gadis itu. Namun, cita-cita dan harapan kedua ibu bapanya harus diutamakan. Buat seketika, perasaannya terpaksa dikorbankan. Walau kesepian kembali bermukim dihatinya tanpa kehadiran gadis itu di sisinya.

“Oh ya? Baguslah, encik,” jawab Nurlisa ringkas. Dia tunduk merenung semut-semut yang sedang meniti tepian pasu bunga berhampiran kolam. Apakah lagi yang harus diucapkannya kepada lelaki itu? Pergi ke luar negara, bermakna mereka tidak dapat lagi berjumpa. Pergi ke luar negara, bermaksud mereka akan berpisah. Mungkin sekembalinya nanti Aldi sudah berumah tangga, ada isteri baru menggantikan Arishal. Ada rasa ngilu yang menyucuk-nyucuk ulu hatinya.

“Lisa tak mahu tanya berapa lama saya akan tinggalkan rumah ini?” Aldi melontarkan pertanyaan kepada gadis itu yang berwajah selamba sambil berjalan merapati gadis itu.

Nurlisa hanya melemparkan senyumannya kepada Aldi.

“Berapa lama encik akan pergi?” Untuk tidak menghampakan Aldi, terpacul pertanyaan itu daripada bibir Nurlisa. Kesayuan bertandang di hatinya. Dia tidak inginkan perpisahan yang akan terjadi itu. Sanggupkah dia meredah badai angin, pasir rindu? Rindu yang seringkali disimpan di dalam diam.

“Hmm... sepuluh bulan saja Lisa. Saya hanya meneruskan pengajian saya yang terbengkalai sebelum ini.” Aldi menerangkan. Matanya tidak jemu menatap wajah Nurlisa. Dia ingin melihat riak wajah gadis itu yang mungkin akan berubah apabila mendengarkan keputusannya itu. Keputusan yang akan membawa kepada perpisahan mereka buat seketika.

“Encik teruskan pengajian di mana?” tanya Nurlisa perlahan. Hatinya terasa pilu. Sewaktu di bangku sekolah, dia pun pernah bercita-cita untuk belajar sehingga ke luar negara. Namun, bak kata pepatah ukur baju di badan sendiri. Di sebabkan kemiskinan dan tanggungjawab yang harus dipikul, dia memendam segala keinginannya.

“Universiti of Cambridge, Londan. Lisa, teruslah bekerja di sini. Mudah-mudahan taman-taman di sekeliling vila ini akan terus berseri.” Aldi meluahkan harapan dengan bahasa kiasan. Sebenarnya dia ingin gadis itu terus berada di vila itu untuk selamanya.

Nurlisa tersenyum meleret. “Sepuluh bulan encik, macam-macam perkara boleh berlaku! Walau bagaimanapun insya-allah, jika khidmat saya masih diperlukan oleh datuk dan datin...” Jawapan Nurlisa sekadar menyedapkan hati Aldi sahaja. Perkhabaran daripada Aldi seolah satu isyarat yang dia harus meninggalkan rumah itu. Bukankah kehadirannya di rumah itu untuk menemani Aldi yang suatu waktu dulu duduk di kerusi roda? Kini Aldi sudah pulih dan akan menyambung cita-citanya. Untuk apa dia terus berada di Vila Kencana Emas itu?

“Saya harap, bila saya kembali, Lisa masih berada di sini.” Aldi bersuara lembut dan perlahan. Namun mengandungi segunung harapan. “Lisa...” Suaranya perlahan sambil mengekori gadis itu yang asyik membetulkan susunan batu-batu di tepi kolam ikan.

“Lisa janji dengan saya, ya.Bila saya balik dari luar negara nanti, Lisa mesti berada di sini lagi,” kata Aldi “Saya mahu Lisa di rumah ini selamanya.” Suara Aldi seolah berbisik. Suara batinnya seolah menggema meminta pengertian daripada gadis itu. “Tunggu kepulangan saya, ya.”

Suara Aldi semakin perlahan di pendengaran Nurlisa. Nurlisa benar-benar terkejut dengan perlakuan Aldi. Matanya yang lembut dan redup merenung mata lelaki itu. Di dalamnya ada sejuta rahsia, mungkin juga ada seuntai cinta. Entah apa yang bersuara di hati masing-masing, hanya Allah yang tahu. Memungkiri janji, akan meletakkan dirinya di dalam kemunafikan. Dia tidak mahu memungkiri janji.

“Insya-allah.Sekiranya itu ketentuan Allah, encik.” Jawapan itu mungkin lebih selamat daripada berjanji tetapi dimungkiri. Dia tidak tahu apa yang Allah telah tetapkan untuknya pada hari mendatang atau sebentar nanti.

“Sepuluh bulan sahaja Lisa.” Aldi terus mengharapkan kata-kata kepastian daripada gadis itu.

Nurlisa hanya tersenyum sambil merenung ke wajah lelaki itu. Angin petang berhembus lembut membelai mesra tubuh mereka berdua. Dua ekor kupu-kupu berterbangan di keliling mereka. Apakah satu saat nanti mereka akan menjadi seperti pasangan kupu-kupu itu, bebas terbang ke sana dan ke sini tanpa apa-apa halangan lagi?

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.