Home Novel Cinta SEBELUM NAFAS TERHENTI
SEBELUM NAFAS TERHENTI
16/1/2014 09:51:09
57,020
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

DATIN Rabiatul berjalan dengan sabar melalui tanah yang berlopak dan bersampah di sana sini. Wanita yang berbadan tinggi dan agak gempal itu rasa bersyukur kerana masih ada lorong yang boleh dilalui di celah himpunan sampah yang memualkan tekak itu. Ada bau masam, masin, tengit serta memedihkan hidung dan menyebabkan tekaknya seolah kembang dan ingin memuntahkan segala isi dalam perutnya. Beberapa kali dia terpaksa berjalan terjengkit-jengkit kerana jalan yang lecah dan berlopak.

“Aiya! Nyonya... belakang sana ada perhentian bas maa! Itu! Sana lepas tempat sampah tu, lu cross jalan dan ada bas lalu ikut jalan yang besar di depan sana!” Terngiang di telinganya percakapan lelaki Cina tempat dia menghantar keretanya untuk diperbaiki.

Entah mengapa tiba-tiba kereta yang dipandu berasap-asap. Asap keluar dari celahan bonet dan ekzos berwarna putih berkepul-kepul. Datin Rabiatul terpaksa menghentikan keretanya di tepi jalan serta merta dan mujurlah kejadian itu berlaku berhampiran dengan bengkel membaiki kereta.

Datin Rabiatul berasa lega sebaik sahaja selesai melalui tempat longgokan sampah. Bau-bau yang kurang enak menyebabkan isi perutnya bagaikan ingin meledak keluar. Baru sahaja dia selesai menyeberang jalan yang kecil itu, dia terpandang sesuatu di dalam semak di tepi jalan. Pada mulanya dia menyangka bangkai seekor anjing yang dicampak di situ. Maklumlah, jalan yang berdekatan dengan tempat pembuangan sampah. Bermacam jenis sampahlah yang akan terhimpun di situ dan kawasan yang berdekatan dengannya.

Segalanya dilakukan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Namun apabila dia merenung sekali lagi dengan jarak yang agak dekat, kira-kira lapan kaki, Datin Rabiatul terlompat. Terkejut benar dia kerana melihat sekujur tubuh yang berlumuran darah.

“Kasihannya, jadi mangsa langgar lari budak ini!” Datin Rabiatul rasa tersentuh dengan peristiwa itu. Dia segera menelefon hospital dan meminta bantuan ambulans. Tidak berapa lama kemudian, tempat itu telah dikerumuni oleh ramai orang untuk menyaksikan peristiwa yang telah berlaku. Ambulans yang sampai tidak berapa lama kemudian terus mengejarkan gadis itu ke hospital. Atas rasa simpati yang mendalam, Datin Rabiatul merelakan dirinya untuk menemani gadis yang tidak dikenalinya itu ke hospital.

Di dalam ambulans, Datin Rabiatul benar-benar bimbang melihatkan keadaan gadis yang masih tidak sedarkan dirinya itu. Kain serta baju yang dipakai oleh gadis itu telah bertukar warna menjadi merah.

“Kasihan budak ini! Tak berperikemanusiaan betul orang yang melanggarnya ini! Di tinggalkan begitu sahaja!”. Datin Rabiatul melontarkan rasa geramnya dengan bercakap sendiri.

“Yalah! Nasib baik, kakak jumpa! Kalau tidak, tak tahu apa yang terjadi!” Jururawat yang ada bersama dengan Datin Rabiatul di dalam ambulans itu menyampuk. “Nasib baik tidak terdampar di tengah jalan dan ada kenderaan lain pula yang menggeleknya! Nauzubillah!” tambahnya lagi.

“Dahlah hari beransur malam! Senja-senja begini, jalan tu jarang orang yang melaluinya lagi,” ujar jururawat itu lagi. Bibirnya berbicara, namun tangannya masih bekerja.

“Yalah! Panjang umur budak ni! Tak ada kecederaan di kepala nampaknya. Kalau tidak tak tahulah saya, macam mana dengan nasibnya.” Datin Rabiatul memerhatikan nafas Nurlisa yang turun naik.

“Belum tahu lagi kakak! Doktor belum buat pemeriksaan! Tidak ada darah di kepala belum tentu lagi tak cedera. Budak ni pengsan, masih belum sedar lagi. Mungkin kepalanya terhentak. Tapi mujurlah mukanya tak cedera,” kata jururawat itu dengan perlahan sambil memerhatikan wajah Nurlisa. Tubuh badan gadis itu hanya mengalami luka kecil.

“Pemandu-pemandu kenderaan sekarang ni kak... tahu nak cepat saja! Ramai yang tidak mengikut undang-undang dan peraturan jalan raya. Membelok tidak memberi signal! Brek mengejutlah. Tak tahu hala tujulah... itulah yang menjadi masalah.” Jururawat itu mencucuk jarum di lengan Nurlisa untuk memasukkan tiub supaya boleh menyalurkan air ke dalam tubuh gadis itu.



@@@


CAHAYA senja sudah lama menghilang. Malam semakin menghimpit. Langit gelap tanpa sebutir bintang yang menerangi. Angin sepoi-sepoi bahasa membawa isyarat, kemungkinan bumi akan disirami hujan. Hembusan angin malam membawa bersamanya bau yang tidak enak dari arah parit-parit kecil di sekeliling rumah. Demikianlah keadaannya jika berumah di kawasan setinggan yang sesak di dipinggir bandar itu. Mahu tidak mahu harus bersabar dan tahan menghidu segalanya.

Mak Cik Hasnah terus meninjau ke arah jalan di hadapan rumahnya. Hatinya diburu oleh rasa gundah yang tidak sudah sedari tadi. Waktu maghrib sudah lama berlalu. Waktu isyak pun sudah lama mendatang, namun anak gadisnya masih belum pulang. Wanita tua itu terbatuk-batuk dengan keras. Dia menggosok-gosok dadanya yang leper. Matanya terpandang Nur Fitri, anak ketiga yang masih bergolek-golek memeluk bantal yang kumal sambil membaca komik. Komik yang dikutip dari tempat pembuangan sampah, itulah yang menarik perhatiannya. Sekejap mengiring ke kiri kemudiannya beralih ke kanan.

“Fitri! Mak tak nampak pun Fitri sembahyang malam ni! Maghrib tadi pun tidak. Isyak pun buat-buat lupa!” Suara Mak Cik Hasnah agak kuat kerana jarak mereka agak jauh. Dia mengharapkan anak lelakinya itu memahami apa yang dimaksudkannya.

“Alah! Sekejap lagilah mak. Fitri nak baca komik ni dulu.” Nur Fitri menjawab tanpa memandang ke wajah emaknya yang sedang merenungnya dengan tajam, dari jauh. Komik dibacanya sambil meniarap pula.

“Fitri!” jerit Mak Cik Hasnah sambil berjalan ke arah anak itu lalu mencapai rotan yang terselit di celah dinding.

Fitri yang melihat pergerakan emaknya itu melompat bangun dan menghumbankan komik ke tepi dinding. Dia merengus dan mengambil air sembahyang di paip berhampiran longkang di tepi rumah dengan perasaan marah. Kakinya dihentak-hentak tanda memprotes.

“Lepas isyak, pergi mengaji Quran.Ani dan Hambali dah pergi dari tadi. Yang kamu berlengah-lengah di rumah ni kenapa?” Mak Cik Hasnah masih cuba berlembut, menghadapi anak lelaki yang mencecah usia remaja.Menasihati dengan kasar akan mengeraskan hati anak itu.

“Yalah mak! Nanti Fitri pergilah. Kak Aina tak pergi mengaji, tak sembahyang, mak tak marah pun!” Sambil membentang sejadah, Nur Fitri sempat merungut-rungut lagi.

“Kak Aina uzurlah!” Nuraina menjerit kecil sambil menjeling tajam kepada si adik.

“Allah Hu Akhbar...” Nur Fitri memulakan solatnya lalu melenyapkan leteran emaknya.

Mak Cik Hasnah berdiri di muka pintu dan mencari-cari kelibat anak sulungnya.

Nuraina menunggu Nur Fitri menyelesaikan solatnya. “Fitri! Pergi minta maaf daripada mak!” Matanya dijegilkan tanda marah.

Nur Fitri pura-pura tidak mendengar.

Nuraina mendekati adiknya itu. Tangannya mencapai cuping telinga adiknya itu. Lalu cuping telinga itu dipulas perlahan. “Jangan buat mak bersedih dengan perangai Fitri! Berdosa tau tak! Mak yang mengandung dan melahirkan kita di dunia ini!” Nuraina cuba menasihati adiknya lagi.

“Hisy! Kan Fitri dah sembahyang ni? Yang Kak Aina bising-bising kenapa?” Nur Fitri cuba melawan kakaknya. Pantang telinganya jika mendengar orang berleter. Tambahan pula cuping telinga itu pula dicubit, dipulas.

“Kak Lisa balik nanti, Kak Aina beritahu dia yang Fitri melawan emak!” Ancaman daripada Nuraina menutup mulut Fitri daripada bersuara.

Nur Fitri mencapai kitab al-Quran yang telah lusuh di atas rak buku yang tersangkut di dinding. Rak buku yang terdiri daripada sesiku dan sekeping papan tempat meletak al-Quran dan Muqaddam. Dia melangkah keluar dari rumah untuk pergi ke rumah Haji Muin, guru yang mengajar anak-anak di kawasan perumahan setinggan itu mengaji Quran.

Nuraina tersenyum apabila mendengar suara Nur Fitri meminta maaf daripada emak sebelum dia keluar mengaji.

“Mak! Mana Kak Lisa ni? Dia masih belum balik lagi ni!” Rungutnya dengan nada bimbang. Nuraina memandang ke wajah emaknya yang sedang menyembunyikan perasaan risau. Dia segera mendapatkan emak yang masih terbatuk-batuk di luar rumah. Seketika dia menghilang ke dapur dan datang kembali di sisi emak serta menghulurkan segelas air suam. Tangannya mengurut-ngurut belakang emak yang kelihatannya tercungap-cungap menahan batuk yang ingin menerobos melalui kerongkongnya.

“Tak taulah Aina! Emak pun sedang risau ni! Aina, masaklah nasi dulu! Gunakanlah beras yang mana ada tu, tapi jangan dihabiskan! Esok-esok kita kehabisan beras pula kalau kakak kau tidak balik malam ini! Dadar telur tu dua biji sahaja! Lepas tu beri adik-adik semua makan! Emak nak pergi tunggu kakak kau di perhentian bas tu! Dah malam ni!”

Nurlisa sudah tamat tingkatan lima, Nuraina masih belajar di tingkatan dua, Nuraini masih di sekolah rendah di dalam darjah enam, Nur Fitri di dalam darjah empat, Mohd Hambali di dalam darjah dua dan yang bongsu Mohd. Faiz baru berusia empat tahun. Enam orang cahaya mata yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya. Mak Cik Hasnah bersyukur dengan rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah terhadapnya. Allah yang telah menetapkan kadar rezeki kepada setiap hamba-Nya. Dia sentiasa bersyukur seadanya.

“Emak janganlah pergi! Emak tak sihat!Terbatuk-batuk tu! Nanti mak terjatuh pula di situ! Biar Aina saja yang pergi! Selepas beri adik-adik makan nanti, biar Aina yang tunggu kakak di situ ya.” Nuraina cuba memujuk emaknya.

“Aina jaga adik-adik di rumah!Biar mak yang pergi. Hari dah malam. Bahaya kalau gadis macam Aina yang menunggu sendirian di pondok bas itu. Ramai yang menganggu nanti. Mak ni dah tua. Tak siapa yang teringin nak kacau.” Dengan suara serak, Mak Cik Hasnah berkeras dengan keinginannya. Tangannya mencapai sehelai tuala lusuh yang tergantung di ampaian dan meletakkan tuala itu di atas kepalanya. Dia faham benar dengan situasi di kawasan setinggan itu. Ramai penghuninya. Pendatang asing dari negara seberang pun ramai.

“Yalah, mak. Tapi mak jangan pergi lama-lama.” Nuraina berpesan. Redup matanya melihat ke wajah emak yang telah melahirkannya. Tubuh emak yang kurus kerana menahan derita sakit batuk kering direnung berulangkali. Emaknya juga mungkin banyak memendam perasaan kerana kesedihan dan kekecewaan setelah ditinggalkan oleh suami.

Membasuh kain baju di rumah orang dapatlah seringgit dua upahnya. Kadangkala dia dan anak-anak lelakinya, Fitri serta Hambali mengutip tin-tin atau kotak-kotak di tempat buangan sampah dan dijual. Adalah juga pendapatannya tiga empat ringgit sehari. Hidup seperti ayam, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Syukur, tidak ada hari yang dia tidak dapat menyediakan makanan untuk anak-anaknya walaupun tidak sesedap mana. Walaupun hidup dibelit kemiskinan dan keperitan, Mak Cik Hasnah tetap bersyukur dengan segala nikmat yang Allah kurniakan kepadanya. Berpegang kepada kata-kata yang termaktub di dalam al-Quran itu membuatkan Mak Cik Hasnah mampu bersabar dan tabah menempuhi kesusahan.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.