Home Novel Cinta Tersilap Pinang Isteri
Tersilap Pinang Isteri
Niesya Hanie
20/6/2014 13:54:43
66,945
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 8

     “ASSALAMUALAIKUM!”
     “Waalaikumussalam!”“Mana semua orang kat dalam rumah ni? Dah nak masuk waktu maghrib, tak balik lagi ke?” soal Encik Rostam.
     “Memang Min seorang aje kat rumah ni, bang. Zwana keluar dengan rakan-rakan sepejabatnya. Zwani pulak baru aje telefon. Katanya dia ke rumah kawannya,” terang Puan Rosmini, panjang lebar.
    “Hmm... budak-budak sekarang, ada-ada aje alasan nak merayau kat luar tu,” rungut Encik Rostam.
     “Mari bang, Min ada buat kuih talam yang abang suka tu,” pujuk Puan Rosmini sambil menarik tangan suaminya ke meja makan.
     “Min ni, pandai nak pujuk abang ya?” ujar Encik Rostam, tersenyum.
     “Abang kan suami Min. Kita kahwin pun bukannya baru setahun dua. Dah berpuluh tahun, bang. Takkanlah Min masih tak faham lagi perangai abang tu,” sindir Puan Rosmini.
     “Yalah, Min memang seorang isteri yang baik. Beruntung abang kahwin dengan Min,” puji Encik Rostam.
     Puan Rosmini mengisikan air ke dalam cawan suaminya sambil tersenyum. Dia berasa amat bahagia.
     “Mari minum sekali, Min. Minum seorang-seorang ni tak berapa sedaplah. Kalau ada isteri kat sebelah, lagi sedap kuih ni,” ajak Encik Rostam.
     “Yalah bang, Min ambil cawan dulu,” balas Puan Rosmini sambil berlalu ke dapur.
     Encik Rostam tersenyum memandang isterinya.
     “Hah! Yang abang tersenyum-senyum ni kenapa? Dah macam nangka busuk Min tengok,” ujar Puan Rosmini.
     “Hai, tersenyum dengan isteri sendiri pun tak boleh ke? Nanti abang tersenyum dengan si bucuk, Min cakap abang gila pulak,” gurau Encik Rostam sambil disusuli ketawa yang panjang.
    “Abang ni ada-ada aje. Takkanlah abang nak tersenyum dengan kucing pulak. Nanti orang kata suami Min sewel pulak.”
     “Abang bukan apa, abang cuma terfikirkan Zwana dan Zwani. Mereka dah semakin dewasa, dah ada kerjaya sendiri, ada duit sendiri...” ujar Encik Rostam tidak dapat meneruskan kata-kata.
     Dia sebak yang teramat sangat.
     “Ada apa ni, bang?” soal Puan Rosmini.
     “Bukan apa Min, abang kalau boleh nakkan yang terbaik untuk kedua-dua anak kita. Abang sentiasa berdoa moga-moga anak-anak kita akan dapat jodoh yang baik-baik.”
     “Iyalah bang, sama-samalah kita berdoa.”
     “Satu lagi, Min kena janji dengan abang yang Min akan berikan kasih sayang Min sama banyak di antara kedua-dua anak kita tu. Jangan sekali-kali Min membeza-bezakan mereka,” ujar Encik Rostam, meluahkan apa yang terbuku di hati.
     “Kenapa pulak abang cakap macam tu? Apa selama ni abang nampak Min berat sebelah ke?” soal Puan Rosmini.
     “Bukan macam tu, Min. Iyalah dunia sekarang, macam-macam perkara yang boleh terjadi. Manalah tahu suatu masa nanti kasih sayang Min tertumpah pada seorang aje anak kita hanya disebabkan kesilapan kecil yang dilakukan anak yang seorang lagi,” ujar Encik Rostam, berandaian.
     “Tak, bang. Min janji dengan abang, apa pun yang akan berlaku, Min tetap akan menyayangi kedua-dua puteri kita. Min janji dengan abang.”
     Setitis air jernih yang menitis di pipi Puan Rosmini disapu lembut suaminya.

     DI Banglo Astana Mokhtar, kedengaran riuh sekali dengan ketawa dan latah Bibik Suminah. Mereka sedang sibuk menyediakan makan malam untuk tetamu yang teristimewa. Datin Aida tidak sabar menanti kehadiran bakal menantunya. Dia terjengah-jengah ke halaman, menanti kepulangan Hairul Zafrel dan bakal menantunya.
     “Datin, makanannya udah sedia. Puding juga udah siap,” beritahu Bibik Suminah.
     “Terima kasih ya, bik.”
     “Datin, sabarlah. Sebentar lagi Tuan Erul pasti sampai,” ujar Bibik Suminah, cuba menenangkan Datin Aida.
     “Entahlah bik, saya dah tak sabar benar nak melihat bakal menantu saya. Lawa ke, tak ke.”
     “Pilihan Tuan Erul pasti istimewa, Datin. Usahlah Datin gundah.”
     “Yalah. Awak ni Ida, takkanlah anak kita tu nak cari bakal isteri yang tak ada hidung pulak,” sampuk Datuk Mokhtar.
     “Abang bukan tak tahu, perempuan zaman sekarang ramai yang pandai berlakon. Bukan mereka tak tahu yang anak kita tu banyak duit. Nanti kalau dia salah pilih macam mana?”
     “Awak ni bimbang tak tentu pasallah. Kita tengok dulu perempuan yang dia nak bawa hari ni. Kalau kita tak berkenan, kita beritahulah kat Erul baik-baik supaya tak ada yang bermasam muka pulak nanti,” cadang Datuk Mokhtar panjang lebar.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Niesya Hanie