Home Novel Cinta Akad Dua Hati
Akad Dua Hati
Zan Zarida
17/8/2018 08:15:11
137,027
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 3

SETELAH menunaikan solat isyak, Miya melayari Facebook pula. Bersantai di ruang tamu lebih selesa berbanding terperap dalam bilik. Selain dapat memandang keindahan alam melalui balkoni,dapat juga menghirup udara segar.

Sesekali berangan kononnya duduk di penthouse seronok juga. Hilang segala gundah di hati, terbang segala masalah yang menghimpit. Namun semua itu akan menjelma semula bila terbitnya mentari. Begitulah kitaran hidup yang perlu dilalui demi mendewasakan diri.

Sebaik terlihat photo-photo kereta yang dihantar rakannya, baru dia teringatkan kereta Volvo antik siang tadi. Terasa pelik pula lelaki itu tidak menghubunginya. Berdasarkan suaranya, berbudi bahasa jugaklah orangnya. Bagaimana rupanya tidak dapat pula dia bayangkan. Tapi kalau dah sukakan kereta antik, gayanya tentu sahaja macam orang dulu-dulu!

Tanpa berlengah, jari Miya pantas menyemak panggilan masuk daripada lelaki itu. Kemudian dia terus menghubunginya untuk memastikan kunci kereta telah selamat diterima.

Beberapa kali juga dai mencuba, namun masih tidak berangkat. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menelefonnya kemudian sahaja. Sementara itu dia bercadang mahu menyimpan nombor telefonnya. Takut terpadam tanpa sengaja pula. Seketika dia berkira-kira sendiri hendak letak nama siapa.

Tiba-tiba datang idea nakalnya. Sebentar tadi dia turut terbaca rakannya memuat naik status berkenaan nama-nama yang disimpan di telefon. Berbagai gelaran diberikan kepada rakan tertentu untuk melindungi identiti mereka dari diketahui orang lain.

 Miya tersenyum sendiri setelah menaip nama gelaran untuk jejaka itu. Jejakalah sangat! Alah, tak ada siapa yang tahu melainkan dirinya. Dah susah sangat nak dihubungi, nasib kaulah! desisnya.

“Pinjam telefon,” pinta Ain tiba-tiba. Dia yang baru keluar dari bilik telah menadah tangan. 

“Nak call siapa?” tanya Miya sambil menyerahkan telefonnya kepada Ain.

“Mak aku. Bateri telefon habis pulak, tadi terlupa cas,” beritahunya.

Balik kerja tadi, dia terus mandi dan bersolat maghrib. Kemudian sambung menyiapkan tugasan yang perlu dihantar pada hari esok. Walaupun boleh sahaja disiapkan pada esok pagi, Ain memilih membuatnya di rumah sahaja.

“Okey...” Miya terus memberi tumpuan pada kaca televisyen.

Perbualan Ain dengan emaknya cuma sebentar sahaja. Setelah bertanya khabar dan beritahu yang dia tidak dapat pulang pada hujung minggu ini, dia segera menamatkan perbualan. Cadangnya sebelum tidur nanti dia akan menghubungi semula emaknya. Sedar emaknya rindu dan mahu berbual panjang dengannya.

Belum sempat Ain menyerahkan telefon kepada Miya, tiba-tiba ada panggilan masuk pula. Sepantas kilat mata Ain menjeling pada skrin. Terpapar nama si pemanggil ‘Tikus Mondok.’

Miya yang terdengar segera mengambil telefon dari pegangan Ain.

“Siapa tu?” tanya Ain, kehairanan. Bulat matanya menanti jawapan daripada gadis itu.

“Shy...” Miya segera memberi isyarat agar Ain menutup mulut. Nanti tak pasal-pasal dia kantoi pulak.

“Waalaikumussalam...” Miya menjawab perlahan salam yang diberi.

“Awak call saya, ya? Sorry lah tadi tertinggal telefon kat kereta,” beritahu si pemanggil.

“Asyik tertinggal aje! Mula-mula kunci, kemudian telefon. Lepas ni entah apa pulak,” bebel Miya macamlah telah kenal lama dengan lelaki itu.

“Rasanya lepas ni hati saya pulak yang tertinggal!” balas lelaki itu dalam tawa.

Miya terus terdiam dengan gurauan yang dia tidak duga sama sekali. Melampaulah pulak!

“Awak?”

“Hmm... dah selamat terima kunci kereta tu?” Miya segera bertanya.

“Alhamdulillah...  sayangnya tak sempat berjumpa awak.” Sedikit kecewa nada suaranya.

“Okeylah, saya cuma nak tahu pasal tu aje,” balas Miya yang tidak mahu berbasa-basi. Mendengar perkataan sayang buat dia berasa geli-geleman!

“Boleh tak, lain kali kita jumpa?”

“Rasanya tak perlu kut. Bye.” Miya segera memutuskan talian. Tak kuasa dia mencari nahas. Sebelum perbualan berlanjutan, baik dia undur diri.

“Siapa tu?’ Ain mengulangi pertanyaannya. Saat ini dia memang tidak sabar hendak tahu.

“Bukan sesiapa...” Miya menjawab selamba, sengaja mahu berahsia.

“Tak baik tau sesuka hati letak nama macam tu. Apa perasaan kau kalau oranglain buat kat kau?” tegur Ain.

“Yalah...” balas Miya kerana tidak mahu memanjangkan isu itu. Dalam hati dia menahan gelak, ada aku kisah?

“Siang tadi kau beli apa?”Ain mahu menyibuk pasal aktiviti teman serumahnya pula.

“Tak ada apa. Bulan ni aku nak tanam azam berjimat cermat,” beritahu Miya sambil main mata.

“Ya sangatlah tak nak boros!” perli Ain.

“Betul, tahun ni aku tak nak membeli lagi kat kedai dua ringgit mahupun MR.DIY.”

“Baguslah tu. Kalau tak, asyik membeli barang yang tak perlu aje! Konon murah tapi akhirnya tak digunakan jugak.”

“Barang yang aku beli ada kegunaannyalah,” sangkal Miya.

“Ya sangatlah tu!” Ain menjeling geram.

Miya buat tak reti sahaja dan sambung menonton televisyen. Ain pula beredar menuju ke biliknya kerana mahu tidur awal.

Tidak lama kemudian, telefon Miya berdering lagi. Senyuman lebar terukir sejurus dapat panggilan daripada Zakuan, pak cik mudanya.

“Pakwe apa kbabar? Apasal lama tak call?”Tiba-tiba Miya berasa amat rindu dengan adik bongsu ayahnya. Masing-masing duduk di negeri yang sama, tetapi tidak selalu dapat berjumpa.

“Mestilah tengah senang hati. La ni sibuk sikit, tu yang tak sempat nak call Miya,” jawab Zakuan yang agak rapat dengan anak buahnya itu.

Miya dan adik-beradiknya memang sejak dahulu lagi memanggilnya dengan panggilan pakwe. Kalau panggil pak cik, rasa tua sangat pula. Padahal dia baru berusia awal tiga puluhan. Hendak panggil Pak Su, sudah ada bapa saudara sebelah ibu Miya dengan gelaran itu.

“Yalah, orang dah nak kahwin, kan? Nanti tak dapatlah Miya nak manja-manja dan mintak belanja lagi...” tutur Miya seakan merajuk pila.

“Apa lagi? Carilah satu pakwe yang kaya-raya! Nanti boleh sponser sekali majlis pakwe,” gurau Zakuan disusuli ketawa panjang.

“Amboi, dah ada syarikat sendiri, takkan nak orang lain sponser jugak?” perli Miya.

“Saja la. Miya pulak, bila nak kerja dengan pakwe? Sekarang projek dah bertambah, tak nak tolong ke?” tanya Zakuan penuh harap.

Dia telah lima tahun menguruskan syarikat pembinaannya bersama rakan kongsi di ibu kota. Dia pernah menawarkan Miya untuk berkerja di syarikatnya, tetapi gadis itu menolak.

“Bukan macam tu, Miya nak timba banyak pengalaman kat tempat lain dulu.Lepas tu barulah boleh kerja dengan pakwe.”

“Suka hatilah!”

“Janganlah merajuk. Insya-ALLAH awal tahun nanti Miya kerja dengan pakwe.Tapi awal tahun berapa, tak tahu lagi.” Sempat juga Miya bergurau.

“Pintu ofis pakwe sentiasa terbuka untuk Miya. Bila-bila pun pakwe sedia terima.”

“Terima kasih. Ni ada apa-apa ke telefon malam-malam?”

“Jom kita balik kampung hujung minggu depan,” ajak Zakuan.

“Boleh, lagipun Isnin minggu depan cuti.” Miya terus bersetuju, tambahan pula dia telah lama tidak menjenguk ibunya. Kali terakhir pun semasa cuti sambutan Hari Raya Haji.

“Alhamdulillah...”

“Kak Lisa ikut tak?” Sengaja Miya bertanya pasal tunang Zakuan.

“Mestilah dia ikut. Tu yang pakwe nak Miya balik sekali.”

“Cantik!”

“Amboi, apasal suka sangat?”

“Miya dan dia, kan sama-sama hantu buku? Nanti nak ajak dia pergi Big BadWolf Ipoh. Pakwe kena belanja kita orang tau.”

“Aduhai... kopak la pakwe kalau macam ni.”

“Alah, bukannya selalu Miya mintak belanja.”

“Yalah Miya sayang...”

Yes!” ucap Miya dengan girang.Dia sudah terbayang buku apa yang akan dibeli. Peluang yang datang perlu direbut sebaiknya setelah sekian lama berpuasa membeli novel.

“Okeylah, pakwe nak bagitau tu aje.”

“Nanti kirim salam pada bakal isteri pakwe tu,” pesan Miya.

“Insya-ALLAH. Miya pulak jangan lupa jaga diri.”

“Ya, pakwe tak payah risau. Kat ofis Miya ada banyak adiwira-adiwira hebat.”

“Kalau macam tu, pilihlah satu untuk jaga Miya sampai akhir hayat.”

“Yang tu kena cari kat tempat lain. Tak mahulah kerja satu tempat! Hahaha...”

“Pandai aje mengelak. Okey, bye.”

“Bye...” balas Miya.

Sejenak dia memejamkan mata. Di pejabatnya mana ada adiwira hebat. Yang jadi penyelamat ketika ada kecemasan adalah pengawal keselamatan. Andai ada apa-apa kerosakan, pekerja penyelenggaraan pula yang datang membantu. Agaknya,siapalah adiwira yang sanggup menjaga hati dan dirinya nanti? Miya tertanya sendiri.

 

 

 

 

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.