Home Novel Cinta Akad Dua Hati
Akad Dua Hati
Zan Zarida
17/8/2018 08:15:11
137,207
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 22

HUJUNG minggu, Zakuan ada janji temu dengan Miya, anak buahnya. Dia terpaksa pergi ke apartmennya memandangkan gadis itu tidak menjawab panggilan telefon daripadanya.

Sebenarnya dia ada meminta pertolongan Miya untuk menemaninya membeli barangan hantaran perkahwinannya. Masih ada beberapa barangan yang belum dibeli bagi melengkapkannya.

Tiba di hadapan apartmen Miya, Zakuan menekan loceng. Beberapa minit juga dia terpaksa menunggu, sebelum pintu dibuka.

Sorry… Miya baru aje siap. Tinggal nak pakai tudung aje. Pakwe tunggu sekejap ya,” ucap Miya dan membiarkan pak ciknya tercongok sorang-sorang.

Tidak lama kemudian, Miya muncul dengan wajah selamba. Padahal telah membuat Zakuan tertunggu-tunggu dan panas hati juga.

“Apasal tadi tak call aje? Tak payah nak naik sampai ke atas,” tanya Miya sambil membuka pintu gril, kemudian menguncinya dengan mangga.

“Bising macam mak nenek pulak minah ni. Cuba check ada berapa missed call dari pakwe?” tegur Zakuan sambil menjeling buah hati pengarang jantungnya.

“Okeylah, Miya mintak maaf. Lain kali tak buat lagi. Tapi lain kali memang dah tak berpeluang keluar dengan pakwe, kan? Lepas ni pakwe akan berkepit dengan makwe kesayangan pulak.”

“Nanti Miya kena temankan pakwe kat butik jugak tau. Nak fitting baju pengantin,” beritahu Zakuan.

“Yang tu, bukan pakwe patut pergi dengan Kak Lisa ke?” tanya Miya kehairanan.

“Hari ni Kak Lisa ada kursus. Hari lain pulak tak sempat nak pergi sama-sama. Dah satu jalan, kita pergi ajelah. Kak Lisa akan pergi sendiri nanti.”

“Hmm…bagus jugak kita pergi. Boleh Miya tumpang sekaki  cuba baju pengantin kat sana.”

“Belum apa-apa lagi dah berangan! Cepatlah cari pengantin lelaki, boleh sekali harung dengan majlis pakwe,” saran Zakuan.

“Berangan memang best pakwe! Boleh menikmati dimensi yang seronok dan indah walaupun cuma seketika,” balas Miya.

“Suka hatilah, asalkan perasaan gembira yang hadir dapat mengubat hati Miya tu,” balas Zakuan sekadar melayan kerenah gadis itu.

“Sudah semestinya!” jawab Miya sambil kenyit mata.

Sebenarnya dengan pakwe sahaja dia berani buat begitu. Kalau dengan lelaki lain, dia memang terpaksa menjaga tingkah lakunya. Kononnya perempuan Melayu terakhir, tetapi ada masanya hilang entah ke mana kesopanan dan kelembutannya.

 MEREKA tiba di Butik Anggun pada pukul tiga petang. Kehadiran mereka disambut oleh pemilik butik itu sendiri iaitu Puan Zatty.

“Cik Lisa tak datang sekali ke?”

“Tak dapatlah Puan Zatty, tiba-tiba dia ada kursus pulak.”

“Tak apalah, kita buat fitting untuk Encik Zakuan saja.”

“Wow! Cantik-cantiknya baju pengantin kat sini,” puji Miya sambil membelek baju-baju yang dipamerkan. Ada berbagai-bagai fesyen terkini untuk dipilih.

“Ni adik Encik Zakuan, ke?” tanya Puan Zatty.

“Eh, taklah. Miya ni anak buah saya.”

“Oh! Anak buah dan bapa saudara hampir nak sebaya pulak,”komen Puan Zatty sedikit terkejut.

“Tak adalah sebaya sangat, banyak juga beza umur kami.” Cepat sahaja Zakuan membalas, nanti ada pula yang merajuk.

“Okey, ini baju Encik Zakuan. Bolehlah cuba pakai dulu.” PuanZatty menyerahkan baju pengantin yang ditempah kepadanya.

“Sayangnya Kak Lisa tak dapat datang sekali, kalau tidak boleh ambil gambar,” keluh Miya.

“Apa kata Miya cuba baju pengantin Kak Lisa. Boleh Puan Zatty?” tanya Zakuan.

“Apa salahnya? Saiz badan mereka pun hampir nak sama.”

“Alah, seganlah…”

“Nak segan apa? Bukannya ada orang lain kat sini,” ujar PuanZatty pula.

“Siapa tahu, tiba-tiba hujung bulan ni ada pulak yang masuk meminang!” seloroh Zakuan pula.

“Okeylah. Dah alang-alang datang sini, bolehlah saya cuba pakai.” Akhirnya Miya bersetuju juga.

“Yang ini baju pengantin perempuan.” Puan Zatty terus menyerahkannya kepada Miya.

“Cantiknya… nanti saya pun nak buat design macam ni jugaklah.” Miya teruja sekali mahu mencubanya. Baju pengantin berwarna soft peach itu benar-benar membuat Miya berkenan padanya.

Zakuan pula tidak mengambil masa yang lama untuk mencuba baju pengantinnya. Cuma kain sampingnya, pembantu Puan Zatty tolong perkemaskan.

“Pakwe, cantik tak?” tanya Miya sebaik keluar dari bilik persalinan.

“Masya-ALLAH Miya, tiba-tiba pakwe rasa macam Miya pulak pengantin perempuannya,” puji Zakuan yang turut terpegun melihatnya.

“Meh, saya pakaikan tudungnya sekali. Nanti baru boleh ambil gambar,” panggil pembantu Puan Zatty.

“Betullah kata pakwe! Miya pun dah rasa aura pengantin semakin menghampiri.”

“Amboi, perasan terlebihlah pulak dia ni!” Zakuan menggeleng.

Sekejap sahaja, Miya telah siap dipakaikan dengan tudung pengantin. Wedding veil yang berbentuk telus dari bahan nipis dalam bentuk renda digunakan sebagai hiasan kepala. Ia memang aksesori pelengkap bagi pengantin perempuan agar terserlah keayuannya.

“Aduhai Miya… siapakah lelaki yang bertuah itu, ya?” tanya Zakuan.

“Pakwe janganlah terlebih excited pulak! Giliran pakwe melihat Kak Lisa dalam persalinan ini dah tak lama lagi.”

“Jom bergambar dekat pelamin sebagai kenang-kanangan,” pelawa Puan Zatty.

“Pakwe, apasal tiba-tiba Miya rasa berdebar-debar? Macam menanti detik pernikahan pulak.”

“Itu tandanya bakal pengantin lelaki berada tak berapa jauh dari Miya,” usik Zakuan.

“Pakwe ni buat saspens ajelah!” Mata Miya liar memandang sekeliling. Memang tiada orang lain pun melainkan mereka sahaja.

“Serius, Miya kelihatan sangat cantik dan menawan,” puji Zakuan.

“Betul kata Encik Zakuan tu. Memang naik seri di wajah Miya. Padahal cuma bersolek nipis sahaja.” Puan Zatty turut mengagumi kecantikan gadis itu.

Beberapa gambar mereka sempat dirakam dalam berbagai posisi. Miya dan Zakuan bagai pasangan pengantin sebenar pula. Sama cantik dan sepadan bersama.

 

 

SELESAI fitting baju di Butik Anggun, mereka terus menuju ke kereta.

“Sekarang ni kita nak ke mana pulak?” tanya Miya.

“Jom ikut pakwe beli barang hantaran untuk Kak Lisa.”

“Pakwe ni kan, suka buat kerja saat-saat terakhir! Patut semuanya dah siap.”

“Pakwe nak harapkan siapa lagi, kalau bukan diri sendiri yang buat semua tu?”

Tiba-tiba Miya berasa kasihan pula mendengarnya. Manalah dia tahu rupanya Zakuan uruskan sendiri semua persiapan perkahwinannya.

“Lagipun pakwe nak buat kejutan pada Kak Lisa.Kalau beli sama-sama dengan dia, tak syoklah sebab dia dah tahu hantaran pakwe.Tinggal dua tiga barang saja lagi,” sambung Zakuan.

“Nanti Miya pun nak hadiah jugak.” Dalam kasihan dengan pakwenya, dia tetap mahu membuat permintaan untuk dirinya.

No problem. Cakap aje Miya nak apa, nanti pakwe belikan.”

“Sayang pakwe…” ucap Miya sambil memeluk lengan Zakuan.

Demi memenuhi permintaan pakwenya yang akan mengakhiri zaman bujangnya tidak lama lagi, Miya terpaksa menenaminya. Penat juga dia mengikutnya dari satu butik ke satu butik. Rupa-rupanya agak cerewet juga pakwenya ini. Semuanya mahu yang terbaik dan tidak kisah meskipun harganya lebih mahal.

Akhir sekali mereka masuk ke butik barang kemas pula.

“Cincin yang ini sesuai tak?” tanya Zakuan sambil tunjukkan pada Miya.

“Wow! Memang secantik harganya. Berkilat dan hampir melicinkan dua bulan gaji Miya!” selorohnya kemudian tertawa manja.

“Untuk orang yang istimewa dalam hidup pakwe,tentulah kena pilih yang mahal dan cantik.”

“Beruntung Kak Lisa. Bilalah giliran Miya pulak?”

“Doa banyak-banyak!” suruh Zakuan.

“Pakwe dah tau ke saiznya?” tanya Miya pula.

“Yup. Sama saiz dengan jari kelengkeng ni.”

“Amboi, sweetnya.Jari manis dan kelengkeng kan bersebelahan?” puji Miya sambil mencuba cincinitu di jari manisnya.

“Miya tak berkenan ke mana-mana cincin sebagai hadiah?”

“Tak apalah pakwe, tadi tu Miya acah aje. Kalau cincin, tentulah Miya nak hadiah dari bakal suami Miya.”

“Kalau macam tu, sebelum balik pakwe belanja Miya makan dulu.”

“Alhamdulillah… kaki ni dah penat berjalan. Perut pun memang dah lama minta diisi dengan makanan yang sedap-sedap.”

“Pakwe selalu perasan, Miya ni kalau makan mesti banyak. Tak takut gemuk ke?”

“Kalau gemuk, boleh aje kurus balik. Tapi kalau mati kebulur, memang tak boleh hidup balik!”

Zakuan tertawa terbahak-bahak kerana berasa geli hati mendengarnya. Ada kalanya, si Miya ini boleh buat dia pecah perut dengan ayat-ayat spontannya.

“Nanti bila dah kahwin, pakwe jangan nak sekat-sekat selera Kak Lisa pulak. Kalau dia nak makan apa pun, tunaikan aje,” pesan Miya macamlah dia sudah ada banyak pengalaman dalam hal-hal rumah tangga.

“Insya-ALLAH pakwe akan jaga dia dengan baik,” jawab Zakuan dengan senang hati.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Previous: Bab 21
Next: Blurb

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham