Home Novel Cinta SOULMATE TUAN PROFESOR
SOULMATE TUAN PROFESOR
Batiah Hadi
29/10/2017 00:00:20
201,332
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

Malam itu Izzah dijemput untuk makan bersama walaupun Izzah sebenarnya rasa sangat janggal. Sudahlah dia baru mengenali Prof itu hari itu dan sekarang dia sedang duduk di meja makan malam bersama Professor itu serta ibu bapanya. Walaupun beberapa kali dia menolak. Kata Izzah nanti kalau kerja selesai dia akan pulang makan di rumahnya.

“Makan sini. Izzah dah jadi tetamu kami malam ni jadi kena makan malam di sini,” ujar Puan Nora. 

“Tak apalah makcik,” tolak Izzah. Malu pula dia rasa.

“Eh makan sekali dengan kami Izzah. Kenapa? Izzah tak sudi ke nak makan bersama kami?” ajak Encik Hakim bapa Izmir pula. Dia baru balik dari solat Maghrib di masjid. Sewaktu dia pulang tadi dia tertanya-tanya juga siapalah anak gadis yang sedang bantu Puan Nora menghidang itu. Elok sopan dan manis orangnya. 

“Bukan macam tu makcik. Saya datang ni nak buat kerja,” ujar Izzah serba salah.

“Habis…buat kerja tak perlu makan ke? Lagipun Izzah dah tolong makcik hidang,” ujar Puan Nora. Berkenan dia dengan Izzah yang rajin membantunya. Peramah pula orangnya.

“Habis kerja nanti dia makanlah,” sambung Izmir pantas. Dia baru turun ke bawah selepas solat maghrib siap berbaju melayu dan kain pelikat. Puan Nora membulatkan matanya. Tak percaya dia dengan kata-kata Izmir itu. Izzah pun, kerana di saat itu ketika melihat makanan yang dihidang itu perutnya terus terasa lapar. Sedap-sedap semua yang dihidang oleh Puan Nora dan dia sendiri tadi.

“Kamu ni Izmir. Apalah salahnya dia makan sekali? Dia kan tetamu kita?,” marah Puan Nora. Izmir hanya menjuihkan bibir. Matanya lekat pada Izzah yang sedikit ternganga. Izzah baru perasan penampilan Izmir. Rambut basah dek wuduk, berbaju melayu dan berkain pelikat. Bergetar jiwa Izzah seketika. Aduhai kenapa hensem sangat pulak Prof aku ni, desis hati Izzah. Kalau nak hensem pun simpan-simpanlah sikit.  Prof aku? Kau melampaulah Izzah! Izmir berdehem. Izzah pantas memandang wajah Izmir. Izmir seperti memberi isyarat supaya Izzah berkata sesuatu. Izzah serta-merta faham.

“Tak apalah makcik. Saya kenyang lagi sebenarnya. Tengahari tadi saya makan lebih sikit,”

“Itu tengahari. Ini malam. Malam kena makan juga. Awak jangan takut dengan Prof awak ni. Di rumah ni saya bos. Kalau saya kata awak makan dengan kami awak makan dengan kami. Jangan nak ikut kepala bos awak ni. Dahlah bawa anak orang balik rumah suruh buat kerja lepas tu tak bagi makan pulak. Apa nak jadi dengan kamu ni Izmir?”

“Eh…saya pulak yang ibu leterkan? Bukannya saya tak mahu bagi dia makan. Nanti saya orderkan dia McD supaya sambil makan dia boleh buat kerja. Tak buang masa. Kami banyak kerja nak buat ni. Ini bukan sesi lawatan hari raya ke lawatan sosial ke..,”

“Mana tak kena leter..entah apa-apa kamu ni. Lawatan hari raya lah…sosial lah …Kat rumah ni banyak makanan ibu masak kamu nak bagi dia makan burger yang tak sihat tu je? Kamu ni dah tak ada hati dan perasaan ke? Dah dingin beku kamu ni. Izzah, awak jangan kisah dengan Prof awak tu. Awak duduk dan makan. Duduklah. Kalau dia buang awak bagi tahu makcik. Tahulah makcik nak buat apa. Duduk Izzah, jangan pedulikan dia,” ujar Puan Nora. 

“Tapi makcik..” bantah Izzah serba-salah. Dia perasan mata Izmir yang merenung tajam padanya.

“Duduk…” arah Puan Nora.

“Ye Izzah…duduklah. Kita makan sama-sama. Tak usah pedulikan Izmir tu,” kata Encik Hakim pula menyokong kata-kata isterinya itu. Izmir mendengus sedikit. Apa dah jadi? Dengan bapa dia sekali berkonspirasi dengan ibunya mahu Izzah makan di meja itu.

Izzah tidak terkata apa. Dia tidak berani menentang mata Izmir yang pasti sedang merenung tajam sehingga boleh berlubang Izzah dibuatnya saat itu. Akhirnya Izzah akur dan dia duduk di hadapan Izmir yang wajahnya seperti mahu memakan Izzah sahaja. Mana tidaknya gadis itu baru sahaja datang ke rumah itu tetapi telah menyebabkan dia dimarahi oleh ibunya pula. Entah apalah istimewa gadis itu sampai ibunya menegur begitu. Siap backing lagi. Kalau macam tu lama-lama Izzah akan naik kepala dengannya. 

Tak cukup dengan itu Puan Nora mula bertanya macam-macam dengan Izzah. Tinggal di mana dan sebelum ni belajar di mana. Berapa adik beradik dan macam-macam lagi. Izzah rimas sebenarnya bila hal keluarganya ditanya. Menyesal Izmir membawa Izzah malam itu ke rumahnya. Selalunya ibunya tidak begitu. Tapi bila dengan Izzah bukan main lagi. Siap ambilkan lauk. Begitu juga dengan ayahnya. Sesekali Encik Hakim mengerling pada anaknya yang wajahnya masam sejak tadi bila melihat perlakuan Puan Nora itu. Terasa geli hati pulak dia melihat wajah Izmir itu.



Selepas makan Izzah membantu Puan Nora mengemas meja dan membasuh pinggan. Selepas selesai Izmir telah pun berada di sebelah Izzah. Izzah tersentak. 

“Awak ni memang lebih sudu dari kuah kan? Baru datang rumah ni sekali dah dapat layanan istimewa,” ujar Izmir dari celah gigi yang diketap. Izzah menghela nafas. Dia sudah mengagak Izmir akan marah begitu.

“Maaf Prof. Saya tak minta pun. Nampaknya ibubapa Prof memang orang yang baik…peramah dan pandai meraikan tetamu. Kenapa Prof tak suka? Saya tak buat apa-apa salah kan?,”

“Memanglah tak salah. Cuma saya harap awak tak mengambil kesempatan dari kebaikan mereka dan mula lupa diri awak tu siapa,” ujarnya acuh tak acuh.

“Eh, tak kan lah saya nak ambil kesempatan. Tak baik Prof buruk sangka dengan saya macam tu. Jangan risau saya akan jaga perangai saya. Saya tak lupa saya ni hanya pembantu Prof dan harini pula hari pertama saya bekerja dengan Prof. Kalau boleh saya nak lah buat yang terbaik,” ujar Izzah tersenyum manis sambil mata coklatnya memerhati wajah Izmir yang tidak pun tersenyum. Mata bertaut lagi tapi tiada riak balasan senyum dari lelaki itu. Lelaki itu sememangnya ada masalah senyum. Sekurang-kurangnya senyumlah sikit untuk membalasnya. Penat rahangnya senyum.


“Tahupun…ikut saya,” arahnya tiba-tiba. Senyum Izzah terpadam terus. 

“Kenapa Prof?” tanya Izzah hairan. Tapi dia masih tidak berganjak walaupun Izmir sudah memulakan langkah. Izmir berpaling semula pada Izzah. Bulat mata Izzah.

“Ikut!” arahnya lantas berjalan ke satu koridor berdekatan dengan dapur. Mahu tak mahu Izzah mengekor lelaki itu sehingga mereka tiba ke sebuah bilik lantas Izmir membuka pintu bilik tersebut.  Izzah menjenguk sedikit. Bilik itu tak ubah seperti pejabat dan nampak agak selesa dengan sofa dan meja kopi. 


“Ini ofis saya. Awak duduk di meja sana. Dalam fail sebelah laptop tu ada data-data yang awak perlu masukkan secepat mungkin. Lepas dah masuk nanti saya nak awak buat carta dan histogram serta analisa maklumat yang ada,” ujarnya menunjukkan sebuah meja yang bertentangan dari meja pejabat yang Izzah pasti tempat Izmir duduk. Meja itu mempunyai sebuah laptop dan tetikus. Meja Izmir pula lengkap dengan desktop dengan monitor yang agak besar. Izzah hanya mengangguk. Matanya melirik lagi ke sekeliling pejabat itu. Memang nampak selesa dan jelas yang lelaki itu banyak menghabiskan masa dalam pejabat itu. Izzah pun terus memulakan tugasnya di bilik yang diubah menjadi home office untuk Prof Izmir. Pejabat itu lengkap dengan rak buku, desktop dan printer.


Seperti diarahkan Izzah pun duduk di meja tersebut. Dia mengaktifkan laptop itu. Sementara menunggu laptop itu, dia pun membuka fail kertas itu dan mula membacanya sambil cuba menghadam apa yang diarahkan oleh Izmir tadi. Dia melirik kepada data-data itu semua. 


“Ada file SPSS di situ yang awak boleh gunakan untuk masukkan data,” tiba-tiba Izmir bersuara dari mejanya. Izzah lantas memandang pada skrin yang telah diaktifkan dan mengenal pasti fail yang dikatakan itu lantas menekan kursor padanya.


Beberapa minit kemudian Izzah mula memasukkan data. Dia pernah bantu ibunya dulu sewaktu masih belajar. Masukkan data untuk tambah-tambah duit saku. Tugas Izzah lebih kepada mengubah data yang diberikan menjadi carta pai dan histogram. Izzah juga perlu menulis sedikit analisa untuk data-data tersebut. Sementara itu Prof Izmir pula menyediakan slaid pembentangan untuk progres penyelidikannnya yang akan berlangsung esok di mesyuarat pemantauan penyelidikan. 


Sekali sekala dia bangun memerhatikan skrin di laptop Izzah. Ada masa Izzah tidak perasan yang lelaki itu di belakangnya. Seperti mahu pengsan dia bila tiba-tiba suara Izmir kedengaran dekat di telinganya. Memberitahunya kalau-kalau ada yang dia tidak puas hati atau mahu Izzah menambah ayat atau menyediakan lagi carta-carta yang diperlukan. Patutlah Prof Izmir meminta dia datang ke rumah. Memang kerja itu memerlukan dia bersama-sama menyiapkan kerja itu. Tambahan pula tugas itu sangat mendesak. Sesekali Puan Nora menjenguk dan membawakan mereka berdua kopi dan biskut. Part itu Izzah merasa lega. Sangat perihatin Puan Nora terhadap anaknya. Izzah pun dapat sedikit tempias penyayang wanita itu. Pasti bertuah siapa yang jadi menantu Puan Nora. Aduh, jauh ke situ pulak dia terfikir. 



Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.