Home Novel Cinta SeJiWa (SEKUEL BaYaNGaN GuRaUaN)
SeJiWa (SEKUEL BaYaNGaN GuRaUaN)
Sayhazs Zailie
19/8/2017 17:44:25
103,653
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

*TQ Portal Ilham for created this lovely cover...


DOA dipanjat seikhlas hati. Mengakhiri solat sunat yang disempurnakan sebentar tadi. Usai itu dia berteleku di tikar sejadah. Berzikir, berselawat, bertahmid. Mengabdikan diri terus pada yang Maha Esa.

Hatinya damai. Jiwanya tenang. Perasaannya syahdu. Segalanya dapat dirasakan. Mana mungkin dia dapat miliki momen-momen sebegini. Kecuali bersama Pencipta hakiki.

'Terima kasih, Ya ALLAH. Atas segala kurniaan-MU ini. Jua segala yang kumiliki. Tiada apa lagi yang ku pinta selain dari rahmat dan perlindungan-MU. Moga ia terus kekal menjadi milikku hingga ke akhir nafas nanti.'

Seraya itu tubir matanya terasa hangat. Pantas Tengku Harrys seka dengan hujung jari. Buat kesekian kali, air matanya mengalir atas hamparan suci. Di bumi UK ini.

Masih segar di ingatan. Hari terakhir dia di sini sebelum pulang ke Malaysia. Di atas hamparan ini juga dia menitiskan airmata. Memohon doa pada-NYA agar dipertemukan dengan gadis itu. Gadis misteri yang sering dijelmakan dalam jaga dan mimpi-mimpinya sejak insiden pelanggaran dulu. Hatinya dah tak kuat untuk terus bergurau dengan bayangan itu.

'Atas izin-MU, aku bertemunya semula. Dan hari ini aku kembali membawanya ke sini. Sebagai bukti kebesaran-MU.'

Tengku Harrys menghela nafas. Air hangat yang bersisa diseka lagi.

Sungguh. Segala yang berlaku adalah bukti kebesaran yang di atas sana. Kalau dulu dia bersendirian. Tetapi kini, dia berteman.

Bibir Tengku Harrys mengukir seulas senyuman. Perlahan dia berpaling, mencari sekujur tubuh yang masih lena diulit mimpi. Namun senyumnya tiba-tiba mati. Katil di belakang sudah tak terisi.

"Irish?"

Tiada sahutan. Pandangan terus berkalih ke bilik air. Pintu itu masih terbuka.

'Ke mana dia?'

Tengku Harrys bingkas bangun. Songkok dan sejadah disimpan kembali. Mata terus mencari kelibat Irish. Bila melihat langsir balkoni berterbangan ditiup angin, kakinya pantas dihala ke situ. Sweater tebal di hujung katil sempat dicapai lalu dikenakan.

"Irish?"

Sesusuk tubuh semerta berpusing ke arahnya.

"Ya."

"Buat apa kat luar ni?"

"Saja. Ambil angin."

"Sejuk, kan?"

Irish tersenyum kecil. "Sekejap aje. Boleh, kan?"

Tengku Harrys tidak membalas. Sebaliknya, dia berjalan mendekati wanita itu. "Bila masa keluar ni?"

"Masa awak sembahyang tadi."

"Tak dengar pun?"

"Maknanya solat awak khusyuklah tu. Sebab tu tak dengar."

Giliran Tengku Harrys tersenyum simpul.

Memang dia tak dengar apa-apa lansung tadi. Tumpuan diberi sepenuhnya pada solat yang didirikan. Sampai Irish keluar bila pun dia tak perasan.

"Kenapa tak kejutkan? Boleh ikut sembahyang." Irish sambung bicara.

"Tengok awak lena tidur. Tak sampai hati nak kejutkan."

"Sekarang, saya yang rugi tak dapat jemaah sekali."

Kali ini Tengku Harrys tertawa halus. Tercuit dengan kata-kata itu. Perlahan dia dekatkan bibir ke telinga Irish. "No worries. Cause you own me for the rest of your life to be your 'Imam' after this."

Irish terkedu. Dia tahu sekarang memang gelap. Tapi gelap manapun, takkan dapat menutup mukanya yang confirm dah berubah merah. Tengku Harrys dikerling sekilas. Masih tak lekang garisan senyum di bibir. Puas menyakat agaknya.

Lantas wanita itu kunci suara. Kalau terus bercakap, silap-silap mukanya bertukar warna lain pula. Butiran putih yang masih turun dari langit kembali dipandang.

Dah tiga hari mereka terkandas kerananya. Niat ke rumah Tengku Yasmin juga habis sama tergendala.

"Tengok apa?" tegur Tengku Harrys.

"Salji."

"Khusyuk betul. Sampai tak toleh orang kat sebelah ni."

"Yelah. Saya first time. Awak dah biasa."

"Nak try pegang?

"Pegang apa?"

"Salji tu."

Serentak kepala Irish berkalih. "Hmm?"

"Jom... keluar."

"Biar betul?"

"Betullah."

"Boleh ke?"

"Kenapa pulak tak boleh?"

"Dalam salji macam ni?"

"Anything for you," balas Tengku Harrys sudah berkira-kira untuk masuk. "Lepas solat subuh ni kita keluar. Sarung baju tebal-tebal sikit. Takut awak jadi air batu nanti."

Membulat mata Irish soroti langkah suaminya yang begitu selamba.

'Betul-betul ke ni?'


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.