Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
127,272
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24

24

LOKMAN Azad sengaja menghantar Hanim terlebih dahulu sebelum menghala ke kediaman Nur Naziha. Dia berbuat begitu kerana ingin berdua-duaan dengan Nur Naziha. Walaupun menyedari niat yang tersembunyi di sudut hati lelaki itu tetapi Nur Naziha tidak mampu bersuara. Dia hanya mendiamkan dirinya di sebelah Lokman Azad.

“Esok sudi tak Ziha makan tengah hari dengan abang? Abang belanja.” Pancing Lokman Azad sambil menoleh sekilas ke arah gadis di sisinya.

“Ziha minta maaf, bang. Esok Ziha nak kemas rumah.” Dia menolak pelawaan lelaki di sisinya dengan baik.

Lokman Azad mengeluh perlahan. Namun didengari dengan jelas oleh Nur Naziha.

“Tak apalah. Orang tak sudi, nak buat macam mana?” Merajuk bunyinya.

Nur Naziha menggelisah di tempat duduknya. Dia benar-benar terkepung di sisi lelaki itu. Dia tahu, Lokman Azad lelaki yang baik. Tetapi dia tidak mempunyai sekelumit pun perasaan terhadap lelaki itu.

Permintaan Tuan Haji Saadun yang seolah-olah merayu dirinya agar menggantikan tempat arwah Melissa di sisi Lokman Azad juga membuatkan dia berada dalam dilema. Haruskah dia memaksa dirinya untuk menerima lelaki di sisi kalau hatinya telah lama tertutup untuk mana-mana lelaki?

Dia serik dengan lelaki. Serik!

Kalaulah Abang Azad tahu kisah silam hidupku, lalu bagaimana agaknya? Apakah dia akan memandang hina pada perempuan yang sedang dipuja-pujanya ini?

Huh, lelaki memang sukar hendak dimengerti.

Tidak! Aku tidak akan membuka pintu hatiku secara paksa semata-mata kerana kasihankan Lokman Azad yang sudah kematian isterinya itu. Mustahil aku menerimanya sekadar untuk menjaga hati Tuan Haji Saadun.

Mereka tidak kenal siapa sebenarnya diri aku. Kalau ditakdirkan hijab yang menutup wajahku ini terselak nanti, apakah penghinaan yang akan dilemparkan mereka ke arahku?

Dia terbayangkan pula wajah Hajah Hawa. Dia cukup sedar perempuan itu tidak menyukai dirinya. Kalau ditakdirkan dia membuka hatinya untuk menerima cinta yang dihulurkan oleh Lokman Azad, mahu tak mahu dia terpaksa berdepan dengan Hajah Hawa. Sanggupkah dia berurusan dengan bakal ibu mentua yang membenci dirinya?

Tidak! Aku tidak sanggup berdepan dengan semua itu. Aku mahukan kehidupan yang tenang setelah suatu ketika dahulu seluruh kehidupanku dilanda badai yang maha hebat. Dia menoleh ke arah lelaki yang sedang memegang stereng di sisinya.

“Kalau Ziha cakap sikit, abang jangan marah ya.” Getusnya perlahan. Dia harus berterus-terang agar lelaki di sisinya tidak terus mengharap.

Lokman Azad menoleh sekilas ke arahnya. “Cakap ajelah. Abang tak marah.”

“Ziha tahu abang mula sukakan Ziha. Tapi, Ziha tak boleh terima.”

“Kenapa? Ziha dah ada pilihan sendiri?” soal Lokman Azad dengan suara yang terkawal.

Nur Naziha menggeleng.

“Buat masa ni hati Ziha tertutup untuk insan bernama lelaki. Sekarang Ziha nak bersendiri. Dulu Ziha pernah kecewa cinta. Ziha minta tolong pada abang, janganlah desak Ziha lagi. Ramai lagi perempuan lain di luar sana, abang pilihlah mereka. Ziha harap abang hormat pendirian Ziha ni.”

Lokman Azad kelu dengan pengakuan berani gadis di sisinya. Dia cuba membuka mulutnya, ingin merayu lagi agar diberikan peluang untuk mengubati luka di hati Nur Naziha. Tetapi kemudiannya, dia mengambil keputusan untuk tidak memberikan apa-apa komen.

Kedua-duanya hanya mematung sehinggalah Nur Naziha melangkah turun dari Pajero Lokman Azad.

NUR NAZIHA melangkah naik ke rumah sambil tersenyum. Rupa-rupanya tidaklah sukar sangat hendak berterus-terang. Hatinya lebih lega selepas berterus-terang di depan Lokman Azad seketika tadi. Dia berharap agar lelaki itu faham dan menghormati keputusannya. Dia hanya ingin agar dirinya dibiarkan bersendiri.

“Ehem...”

Deheman Puan Suzila yang sedang duduk di depan televisyen itu membuatkan langkah kakinya terhenti. Menyedari yang dia masuk tanpa mengucapkan salam, dia segera menuturkan ucapan itu ke arah Puan Suzila yang galak memandangnya.

“Ada orang hantar baliklah malam ni. Siapa tu, Ziha?” soal Puan Suzila ketika Nur Naziha melabuhkan punggung di atas kusyen berhampiran dengannya.

“Oh, tu anak bos Ziha. Lokman Azad.” Jawabnya.

“Kenapa tak kenalkan dengan acik?”

“Perlukah acik kenal dengan dia? Ala, Ziha rasa tak payahlah.”

Puan Suzila tersenyum sumbing. Ketika melihat imej bosan yang terpapar di wajah Nur Naziha tahulah dia bahawa lelaki yang baru menghantarnya pulang seketika tadi tidak memberikan apa-apa makna di hatinya. Dia kecewa sebenarnya.

“Ziha dah makan?” Oleh itu, dia sengaja mengalih topik perbualan mereka.

Nur Naziha angguk.

“Kebetulan Ziha makan nasi ayam di rumah bos Ziha tadi. Tulah sebabnya Abang Azad terpaksa hantar Ziha balik ni.”

“Murni tak ikut sama ke?”

“Murni keluar awal petang tadi. Dia ada date.

“Wah, hebat jugak Murni tu. Ingatkan dengan imej tomboy dia tu, lelaki tak berapa berkenan.” Itulah komen awal Puan Suzila sebaik sahaja mendengar cerita yang Murni ada date.

“Ziha pulak macam mana? Bila agaknya nak keluar date dengan teman lelaki?”

Nur Naziha ketawa kecil. Bosan juga kalau seringkali diasak dengan soalan yang sama.

“Ziha akan keluar date lepas acik kahwin. Boleh gitu!”

“What? Oh... tidak!!!”Puan Suzila terjerit. Mereka kemudiannya ketawa bersama-sama.

Dia membawa dirinya ke bilik tidak lama kemudian. Kalau tanpa cinta hidupnya lebih tenang dan bermakna, maka dia lebih rela dengan kehidupan yang begitu. Dia tidak mahu hidupnya bercelaru seperti suatu ketika dahulu, ketika mana di jiwanya ada cinta yang menggebu-gebu!

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.