Home Novel Cinta Kasihnya DIA
Kasihnya DIA
5/2/2014 16:20:49
22,100
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Duatahun kemudian...

CUACAhari ini agak redup sejak dari semalam. Kemungkinan bumi akan disirami hujan yang dirindukan sejak berminggu. Semua orang sudah mengeluh kerana cuaca panas yang merimaskan. Ingin melelapkan mata pun bagaikan tidak selesa kerana badan berpeluh.

Kaki Umar melangkah cepat-cepat menuju ke pintu masuk perpustakaan sebaik sahaja jam menunjukkan 10.30 pagi. Sebaik masuk ke perpustakaan, dia terus memilih tempat duduk yang dapat memberi keselesaan untuknya mentelaah. Baru sahaja dia membuka buku rujukannya, datang seorang gadis manis menghulurkan secebis kertas.

“Umar, ni dari Erin. Dia minta sampaikan pada awak,” kata gadis itu dengan suara berbisik.

Cebisan kertas itu bertukar tangan. Gadis itu beredar sebelum sempat Umar bertanya lebih lanjut.

Umar, Rin perlukan pertolonganmu. Rin tunggu di depan pagar luar kampus. Datang sekarang juga. Daripada: Eryna Natasha

Umar terkejut sejenak. Matanya memandang timbunan buku di atas meja. Terkenang pula pesanan ayah dan ibu sewaktu kepulangannya minggu lalu. Mata ayah yang penuh harapan. Begitu juga dengan renungan ibu. Mata adik-adiknya, Fatimah Zahra dan Azim yang penuh dengan impian. Perasaannya dihimpit rasa serba salah. Bayangan wajah Eryna Natasha pula seolah melekat di retina matanya. Wajah manis dengan matanya yang redup dan mengilhamkan itu sukar dibuang dari ingatan.

Dalam rasa serba salah, timbunan buku rujukan di atas meja semakin menyusut kerana Umar telah mengembalikannya ke rak satu demi satu. Tak tahu apakah yang menariknya untuk memenuhi permintaan gadis itu lalu kakinya melangkah longlai menuju ke luar pusat sumber lantas menuju ke pagar kampus.

Eryna Natashasedia menunggu di sisi keretanya.Dia memakai jeans biru muda dan blaus putih berlengan tiga suku. Rambutnya yang ikal melepasi bahu bergoyang-goyang dibelai angin yang bertiup sesekali. Wajah Eryna Natasha nampak berseri dihiasi dengan senyuman manisnya. Senyuman semanis madu.

“Hai, Umar. Maaf mengganggu Umar,” sapa Eryna Natasha kepada Umar sebaik sahaja ternampak kelibat lelaki itu yang sedang menuju kepadanya.

“Masuklah, Umar. Kita pergi bersiar,” pelawa Eryna Natasha, bersuara manja. Dia masuk ke dalam kereta dan membuka pintu kereta dari dalam sambil mempelawa pemuda itu masuk ke dalam kereta. Matanya merenungi Umar dengan sinar ceria. Bibirnya melempar sekuntum senyuman yang mekar. Senyumannya tidak dibalas oleh pemuda itu.

Tajam pandangan mata Umar kepada gadis itu seolah mata pedang yang akan mencarik apa juga yang terkena libasannya. “Bersiar?” soalnya dengan nada terkejut. Dihatinya diintip rasa sesal. Sesal meninggalkan pusat sumber dan buku-buku rujukan hanya kerana pesanan seorang gadis yang tertulis pada secebis kertas. Dia rasa tertipu. Masanya terbuang begitu sahaja. Sangkanya gadis itu benar-benar dilanda masalah dan dia tidak keberatan untuk membantu siapa sahaja kerana menganggap semua muslim dan muslimah sebagai saudaranya.

“Saudari tak ada kuliah ke hari ni?” soal Umar lagi. Mukanya dijenguk ke dalam kereta memerhati Eryna Natasha yang sedang menghidupkan enjin kereta.

“Rin tak ada mood untuk masuk kuliah hari ni. Jomlah temankan Rin. Please!” rayu Eryna Natasha. Pandangan matanya penuh harap.

Umar berasa serba salah. Dahinya berkerut menandakan kotak fikirannya berasa keliru. “Err... tadi pesanan yang saya terima, saudari meminta pertolongan,” beritahunya jujur. Bola matanya yang hitam dan tajam menikam ke wajah gadis yang sedang bertentang mata dengannya. Dia rasa dipermainkan. Namun, tidak ada riak marah pada nada suara dan raut wajahnya. Hanya bola matanya merenung tajam ke arah gadis itu.

“Kenapa nak bersaudari-saudari dengan Rin pulak. Umar, Rin sedang minta pertolongan Umar ni.Tolong temankan Rin bersiar. Please!” kata Eryna Natasha seakan menangis.

“Rin...” Umar terdiam seketika. Dia cuba membiasakan lidahnya menyebut nama ringkas gadis itu. Gadis yang baru dikenali beberapa hari kerana satu insiden kecil.

“Rin, saya nak siapkan assigment.” Umar cuba menolak keinginan Eryna Natasha dengan cara yang paling baik.

“Okeylah, tak mau tak apa. Rin tak mahu memaksa. It’s okay,” kata Eryna Natasha dengan suara sedikit bergetar. Perasaan hampa cuba dibendung dengan secalit senyuman tipis. Kemudiannya dia mengetap bibir, menahan sebak di jiwa. Kereta terus diundurkan ke belakang, seketika kemudian Eryna Natasha memecut laju menuju ke jalan raya besar, meninggalkan Umar yang masih berada di situ.

Walau bagaimana pun Umar sempat melihat ada air mata yang membasahi pipi gadis itu. Perasaan sesal pula mengambil tempat di hati pemuda itu. Salahkah dia menolak keinginan seorang gadis? Fikirannya mula memberat. Tingkah laku Eryna Natasha tadi menimbulkan tanda tanya dibenaknya.

Umarmenghumbankan tubuh di atas katil sebaik sahaja sampai di bilik. Wajah Eryna Natasha yang muram sewaktu pelawaannya ditolak tadi terbayang-bayang di matanya. Tambahan pula apabila melihat gadis itu menangis. Perasaan bersalah menyelubunginya.

Dia menggigit-gigit bibirnya. Nostalgia manis yang masih disimpan di dalam lipatan hati tiba-tiba menelusuri lorong fikirannya.Intonasi suara Eryna Natasha tadi bagaikan pernah didengarinya sebelum ini. Dia terkenang kepada Rina Melati.

Umar cuba membuang kenangan di dalam keretapi jauh-jauh daripada ingatannya, namun sehingga hari ini kenangan itu tetap segar dalam ingatan. Sejak pertemuan itu dan sejak kehilangan Rina Melati pada hari pertama dia menaiki keretapi, dia tidak pernah bertemu lagi dengan gadis yang pernah berbudi dengannya. Setidak-tidaknya burger dan sandwich yang pernah mengisi perutnya telah menjadi setitik darah yang mengalir di dalam tubuhnya.Dia tidak pernah bermimpi untuk bertemu dengan gadis itu lagi. Mungkin, pertemuan di dalam keretapi itu adalah pertemuan pertama dan terakhir.

Namun, pertemuannya dengan Eryna Natasha mengubah pendiriannya. Eryna Natasha mirip benar dengan Rina Melati yang pernah menyulam mimpi di atas bahunya. Yang membezakan hanyalah cara mereka berpakaian. Rina Melati bergaya sopan dan menutup aurat serta bertudung kepala, manakala Eryna Natasha seorang gadis moden yang suka berpakaian seksi dan karektornya menggoda.

Mungkinkah Rina Melati, cinta pandang pertamanya?

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.