Home Novel Cinta Kasihnya DIA
Kasihnya DIA
5/2/2014 16:20:49
22,099
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

BAHUkanan Umar bagaikan terbeban oleh sesuatu. Imbauan kenangannya terlerai. Dia menoleh ke bahu kanannya. Alangkah terkejut hatinya kerana ada kepala yang sedang terlentuk-lentuk di bahunya. Wajah manis berkulit putih kuning itu bercahaya disinari lampu daripada bumbung gerabak keretapi. Bulu matanya panjang dan lurus.

Tidak semena-mena perasaan resah menghantui hati Umar.Dia gugup dan berdebar. Tidak pernah dia menghadapi situasi itu. Ingin sahaja dia menggerakkan gadis itu, namun bimbang akan menimbulkan perasaan malu pula pada gadis yang sedang terlentuk-lentuk tidur dibahunya. Terlalu lena kelihatannya walaupun perjalanan keretapi menyebabkan koc itu bergoyang-goyang kiri dan kanan.

Belum sempat Umar dilanda kepenatan kerana memikirkan masalah yang sedang melandanya pada waktu itu, gadis tersebut telah membuka matanya.

Gadis itu tersipu malu sambil merenung ke arah Umar. “Oh, sorry! I tak sengaja! Hmm... thanks kerana jaga beg I tadi,” kata gadis itu. Dia menghulur satu beg plastik kepada Umar. Beg itu diambil dari atas meja kecil di hadapannya.

“Waktu saya balik ke sini tadi, you dah tidur lena,” terangnya lagi sambil matanya menoleh ke arah Umar sedang tangannya masih menghulurkan bungkusan plastik kepada Umar.

Umar keberatan menyambut beg plastik yang dihulurkan.

“Makanlah... Ada burger dan sandwich. Nanti tak sedap kalau dah sejuk.Hmm... ambillah. I memang beli untuk you, sebab you tolong jagakan beg,” pelawanya.

“Terima kasih, cik...” kata Umar. Dengan perasaan berat, Umar menyambut juga beg plastik itu. Rezeki tidak baik ditolak. Musuh jangan dicari.

“Nama saya Rina Melati,” beritahu gadis itu. Senyuman terus terukir di bibirnya. Senyuman itu amat manis.

Umar mengangguk sambil membalas senyuman gadis itu.Nama yang dimiliki seindah rupa parasnya.

“Makanlah... Saya beli di kafetaria tadi.”Gadis yang bernama Rina Melati, berpura memejamkan matanya kembali. Kini kepalanya terletak betul-betul di tengah bangku. Dia memerhatikan Umar dengan mata yang kadangkala terpejam kadangkala tidak. “Air minuman ada tak?” soalnya tiba-tiba.

Umar tersentak. “Ada!” beritahunya sambil menunjukkan botol air minuman yang sedang berada di tangannya. Air yang hanya tinggal sesuku sahaja dari botol itu.

“Hmm... ni, I ada extra sebotol lagi,” ujar Rina Melati lagi, cuba menabur budi. Botol air minuman yang masih belum dibuka penutup plastiknya dihulur kepada Umar.

“Err... tak... tak apalah. Ni ada ni,” kata Umar terus menolak. Bimbang hatinya termakan budi dengan gadis yang tidak dikenali.

“Nak berkumur lagi, nak minum, basuh tangan… mana cukup air sebanyak itu. Tercekik nanti.” Rina Melati seakan mendesak.

Umar tidak mampu lagi menolak.“Terima kasih, cik,” ucapnya malu-malu.

“You nak ke mana?” soal gadis itu. Belum sempat Umar memejamkan mata sebaik sahaja menghabiskan burger dan sandwich yang diberi olehnya. Tadi dia berpura-pura tidur untuk memberi peluang Umar makan dengan selesa tanpa rasa malu.

“Penang...” jawab Umar dengan suara perlahan.

“Tapi tren ni sehingga Butterworth saja.” Rina Melati cuba bergurau. Namun, gurauannya tidak mendapat respons daripada jejaka di sisi.

“Ya. Ke Butterworth!” Umar tersenyum. Meredakan hati yang kegelisahan dan gemuruh, pandangan matanya dilontarkan ke luar jendela walaupun yang dapat dilihat hanyalah kegelapan. Namun, mungkin itu terlebih baik kerana apabila matanya bertentangan dengan anak mata gadis itu. Degup debar dadanya seolah menggoncangkan seluruh tubuhnya.

“Bertolak dari rumah pukul berapa?” tanya Rina Melati, semakin ramah. Tubuh badannya bergoyang-goyang di atas kerusi mengikut lenggok perjalanan keretapi.

“8.00 pagi. Rumah saya jauh dari stesen keretapi,” jawab Umar malu-malu.

Gadis itu mengiringkan tubuhnya ke arah Umar yang sedang memeluk tubuh kerana kedinginan. “Oh Ya? Awak bukan asal Kuala Lumpur ke?” Rina Melati terus menyoal dengan penuh minat. Matanya pun bagaikan tidak mengantuk lagi. Keramahan dan kemesraan yang menghadiri dirinya secara tiba-tiba itu sukar untuk difahami hatinya sendiri. Dia pun tidak tahu mengapa tiba-tiba menjadi ramah dan mesra dengan pemuda berkulit cerah dan pemalu itu.

Sedangkan pada waktu itu hatinya dipukul badai resah mengenangkan nasib diri. Bukankah beberapa jam yang lalu, dirinya diterjah oleh takdir yang ngeri dan mengukir sejarah hitam dalam hidupnya? Oh, TUHAN. Beri aku kekuatan menjalani kehidupan dengan keadaan diri yang sebatang kara ini.

“Err... tak. Saya dari pantai timur,” jawab Umar lambat-lambat. Sebenarnya dia lebih suka jika Rina Melati tidak menyoalnya lagi. Dia berasa terlalu kecil. Tambahan setiap kali menyoal, gadis itu akan memandang ke wajahnya. Dia terasa malu dan berdebar. Tidak pernah dia berperasaan begitu seumur hidupnya.

“Nama you siapa?” soal Rina Melati pula. Sedari tadi dia menunggu pemuda yang duduk di sebelahnya mengenalkan dirinya.

“Umar...” jawab Umar ringkas.

“Umar al Khatab?” soal Rina Melati, cuba bergurau lagi. Wajah jejaka tampan di hadapannya terus direnung.

“Umar Abdul Samad,” jawab Umar lagi sambil memandang ke luar jendela. Usikan gadis tadi yang cuba mengaitkan namanya dengan nama sahabat Rasulullah itu mencuit hatinya. Senyuman tersembunyi di hujung bibirnya.

“You mengantuk ke? Tidurlah... I ni asyik nak sembang saja ya?” ujar Rina Melati sambil menutup mulut yang ingin menguap sekali lagi. Tanpa menunggu jawapan daripada Umar, dia memejamkan matanya.

Mata Umar terbuka luas pula setelah perutnya kenyang terisi sandwich dan burger. Tabir malam yang semakin menebal, tidak ada apa yang kelihatan di sepanjang jalan keretapi itu. Akhirnya matanya terlelap juga didodoi oleh bunyi roda keretapi yang berlaga dengan relnya.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.