Bab 18

Ah... sakit... sakit... ah... berhen... henti.” Erangan kesakitan bergema di ruang tamu itu tetapi orang yang memukulnya langsung tidak mempunyai tanda-tanda untuk berhenti.

“Aku rayu... tolong lepaskan anak aku... sa... salah aku! Aku yang tak didik dia betul-betul. Tolong lepaskan dia Uda. Tolong Uda...tolong... tolong...” Mengigll-gigil suara itu merayu sambil diselang seli oleh tangisan nyaring wanita pertengahan umur disebelahnya.

Pak Uda yang sedang duduk bersilang kaki di atas sofa ruang tamu itu memberi isyarat kepada Abang Puteh yang sedang memukul Amir untuk berhenti.

Dalam keadaan merangkak wanita pertengahan umur itu mendapatkan anaknya yang sudah terkulai layu seperti tidak bernyawa di atas lantai. “Mir... Mir... bangun sayang... mak ni nak... bangun Mir...” Semakin kuat tangisan itu apabila anaknya tidak menyahut. Dia memandang ke arah suaminya untuk meminta pertolongan tetapi suaminya itu seperti tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

“Kau tak kisah kan Din? Aku tolong ajar anak kau?” tanya Pak Uda seperti meminta izin daripada ketua kampung yang masih membatu ketakutan di situ. “Kau tahu apa yang anak kau buat. Aku harap, kita tak akan bersemuka dalam keadaan macam ni lagi.” Dingin suaranya sambil matanya mencerlung memandang ke arah ketua kampung itu memberi amaran.

Abang Puteh hanya membatu di sebelah sambil memandang kosong ke arah Mak Edah yang masih memangku anaknya.

Laju kepala ketua kampung tu mengangguk sambil melawan rasa getaran di tangannya berhadapan dengan Pak Uda. Anak matanya dilarikan daripada bertentangan dengan Pak Uda. Langsung tidak berkutik dia di situ.

Abang Puteh mengeluarkan sampul kecil berwarna putih daripada dalam poket seluarnya dan diberikan kepada Pak Uda.

 “Ini... buat bayar bil hospital anak kau. Kalau tak cukup, kau tahu mana nak cari aku.” Sampul itu diletakkan di atas meja bulat yang betul-betul berada di hadapannya.

Selesai sahaja, mereka berdua terus melangkah keluar daripada rumah ketua kampung itu tanpa menoleh ke belakang.

 

 

 

“Heh Puteh, mana Uda?” suara Mak Ani bergema digelanggang silat yang terletak agak tersorok di penghujung kampung. Motorsikalnya dimatikan.

Abang Puteh yang sedang memerhati anak muridnya berjalan menuju ke arah pagar kayu sebelum membukanya. “Assalamualaikum.” Dia memberi salam membuatkan Mak Ani tarik muka kerana terasa seakan diperli.

“Waalaikumussalam.” Kasar Mak Ani membalas. “Mana Uda?” sekali lagi dia mengulangi pertanyaannya. Mukanya dimasamkan tetapi itu langsung tidak memberi kesan kepada Abang Puteh.

“Abang ada dekat dalam. Mak Ani boleh duduk dulu.” Ujarnya menunjuk ke arah bangku di sudut gelanggang silat itu.

Sejurus itu, Abang Puteh datang semula pada Mak Ani memberitahu Pak Uda setuju utnuk berjumpa dengan Mak Ani.

“Abang kau tu ingat dia YB ke? Payah betul nak jumpa.” rungut Mak Ani sambil mengikuti Abang Puteh masuk ke dalam sebuah pondok kecil tempat Pak Uda selalu berehat setelah berpuas hati dengan gerakan seni silat anak muridnya. Setelah itu, barulah Abang Puteh yang akan mengambil alih sampailah tamat sesi latihan.  

Abang Puteh meminta diri apabila Mak Ani mengambil tempat duduk di hadapan Pak Uda yang sedang menghirup kopi panasnya.

Mak Ani mengangkat keningnya. “Siapa yang datang?” dia bertanya setelah melihat cawan kopi di hadapannya masih berasap.

“Nak apa kau datang jumpa aku?” Pak Uda bertanya.

Tahulah Mak Ani yang Pak Uda tidak mahu dia masuk campur dalam urusannya. Eleh, aku pun tak nak tahulah. Bentak hatinya. Dia berdehem.

“Berapa rumah sewa kau kalau aku nak sewa?” Mak Ani bertanya angkuh. Dia berpeluk tubuh memandang Pak Uda untuk maklum balas.

“Kau nak yang macam mana? Kalau nak sekali perabot aku bagi RM800, untuk half furnished aku ambil RM750. Bil utiliti aku tanggung.” Terang Pak Uda.

Terloncat kecil Mak Ani dari kerusi sambil matanya bulat memandang Pak Uda. “Mahalnya, kau nak pergi haji balik hari ke Uda?” dia meninggikan sedikit suara kerana terkejut.

Giliran Pak Uda pula terkebil-kebil memandang Mak Ani. “Cukup murahlah tu aku bagi Ani. Kau nak murah yang macam mana? Ada perabot lagi. Bil aku tanggung.” Pak Uda turut hilang sabar.

“RM800 tu kau cakap murah? Kau ingat rumah sewa kau tu hotel lima bintang?” Mencerlung mata Mak Ani memandang lelaki itu. Dia sudah bersiap-siap untuk berperang mulut...

“Memanglah bukan hotel lima bintang. Kalau tak, kau ingat mana nak dapat sewa RM800 sebulan?” Pak Uda juga tak nak kalah.

Berkerut dahi Mak Ani... “apa yang sebulan?” lurus dia bertanya. Terkedip-kedip matanya memandang Pak Uda.

“Sewalah.”

“Bila masa aku cakap nak sewa sebulan? Aku ni nak sewa sehari je.”

Terpampan Pak Uda di situ. Terkedip-kedip dia memandang Mak Ani sebelum menepuk dahinya apabila dapat menangkap apa yang disampaikan oleh Mak Ani. “Maksudnya, kau nak sewa homestay aku semalam. Bukan kau nak sewa rumah sewa aku.” Ditekankan sedikit perkataan rumah sewa itu.

“Ye... ye... homestay.” Mak Ani mengiyakan dengan teruja. “Aku tengok tak adalah besar mana pun rumah kau tu sampai nak sewakan RM800. Tu aku tanya kau nak pergi haji balik hari ke?” perli Mak Ani.

Psssttt...”

Bunyi itu menangkap pendengaran Mak Ani dan Pak Uda.

“Bunyi apa tu?” tanya Mak Ani takut-takut. Matanya meliar memerhati pondok itu.

“Jin belaan aku.” Ujar Pak Uda selamber membuatkan muka Mak Ani pucat lesi.

Dia terus berdiri. “Ha, homestay kau... kau... tu.Berapa?” Cepat-cepat dia bertanya tanda sudah tidak betah untuk duduk lama-lama di situ. Fikirannya sudah jauh menerawang. Jangan-jangan air dalam cawan ni jin dia punya? Mengigil badannya apabila terbayangkannya.

“Aku bagi harga kawan-kawan je. RM50 semalam.”

Mak Ani mengangguk laju tanda setuju. “Nanti aku beritahu tarikh.” Selepas itu dia langsung tidak berpaling lagi dan memecut berjalan keluar daripada gelanggang dan terserempak dengan Mak Nah dan Pak Ramli yang baru sampai di gelanggang silat itu.

“Eh Ani... kau buat apa dekat sini? Laju semacam je.” Tegur Mak Nah. Tambahan lagi dia melihat jelas muka pucat lesi Mak Ani.

Mak Ani menghampiri Mak Nah dan berbisik. “Tadi, masa aku jumpa Uda... ada sekali jin belaan dia.” Nafasnya turun naik memandang ke arah Mak Nah.

Terlepas tawa kecil daripada bibir Mak Nah. “Eloklah tu, jin tahu ‘setan’ datang.” Ujar Mak Nah berterus terang.

Mencerlung mata Mak Ani memandang Mak Nah yang masih dengan sisa ketawanya. Dia berdengus dan menolak motorsikalnya tidak jauh daripada gelanggang sebelum pergi dengan hati yang membengkak.

Sementara Mak Nah dan Pak Ramli berjalan masuk ke dalam pondok itu dengan tawa yang semakin kuat sehingga Mak Nah perlu menekan sedikit perutnya sebelum bersuara. “Nasib bekas madu kau tak tercirit dalam kain dia Wa.”

Seorang wanita cantik sedang duduk di kerusi yang baru ditinggalkan oleh Mak Ani. Air kopinya dihirup ayu. “Aku terhibur.”

Pak Uda tersenyum nipis.

Mak Nah dan Pak Ramli mengambil tempat.

“Betul ke Zed dah mati?” Mak Nah memulakan perbualan yang dijawab anggukan kecil dari Puan Najwa. Jelas riak wajah penuh kerisauan dari air mukanya.

Suasana bertukar serius dalam masa yang singkat.

“Aku dah bagi amaran pada yang lain supaya bersembunyi. Itu sahaja cara yang ada sekarang.” Terang Puan Najwa sambil memandang wajah sahabatnya seorang demi seorang.

Pak Ramli hanya menundukkan kepalanya bimbang kerana...

Beberapa tahun kebelakangan ini, seorang demi seorang bekas ahli kumpulan Kala Jengking yang berpaling tadah sehinggakan terbubarnya kumpulan itu ditemui mati ataupun hilang begitu sahaja. Dan Zed ialah salah seorang daripada mereka. Dia ditemui mati 3 hari yang lalu di rumah kekasih gelapnya di tengah ibu kota dalam keadaan yang sangat mengerikan. Manakala kekasih gelapnya sekarang dalam buruan polis.

Tetapi Puan Najwa yakin yang kekasih gelap lelaki itu telah mati dan mayatnya dibuang jauh untuk mengaburi mata pihak berkuasa bahawasanya kekasih gelap Zed ataupun namanya Datuk Zainuddin dalang disebalik kejadian itu.

“Tak ramai yang tahu siapa pengkhianat dalam kumpulan tu...” Perlahan Mak Nah berkata apabila terdengar suara garau Pak Uda.

“Dasar pengkhianat!” Pak Uda terus menumbuk meja itu. Walaupun tumbukan itu dilihat lemah, tetapi ianya cukup untuk meretakkan meja kayu usang itu. Mengigil tubuhnya melawan amarah yang sedang meresap ke dalam setiap pembuluh darahnya. Perlahan dia bangun daripada kerusi itu menuju ke arah muka pintu cuba untuk menenangkan dirinya...

Sehinggalah tiba harinya di mana Pak Uda perlu menjemput tetamu Mak Ani pada tarikh yang dijanjikan.

Uda... tepukan lembut di bahunya menyedarkan dia daripada lamunan yang panjang.

“Uh... uh...uh...” Anak buah Pak Murad yang sedang dicekiknya meminta untuk dilepaskan kerana sudah sesak nafas. Dengan kasar Pak Uda menolaknya sehingga terdorong ke sudut rumah.

“Kenapa Uda? Jauh kau mengelamun.” Tegur Pak Ramli sambil memerhati salah seorang anak buah Pak Murad cuba untuk mencapai telefon pintarnya yang sedang berdering di atas lantai sebelum tangannya itu dipijak oleh isterinya dengan kasar.

Bergema jeritan kesakitan di dalam rumah itu.         

“Aku rasa kau dengan Nah dah boleh balik. Farissha mesti dah nak sampai.” Beritahu Pak Uda sambil menendang muka anak buah Pak Murad yang terakhir sehingga tidak sedarkan diri. Dua daripada mereka sudah diheret oleh Abang Puteh masuk ke dalam kereta. Dan kereta itu nanti akan ditinggalkan di hujung kampung.

Mak Nah dan Pak Ramli mengangguk bersetuju.

Setelah memastikan semua anak buah Pak Murad tidaksedarkan diri barulah mereka semua membuka topeng yang tersarung di kepala.

“Hati-hati.” Pesan Mak Nah dan Pak Ramli serentak apabila melihat tanda-tanda yang hujan lebat itu tidak akan berhenti dalam masa terdekat.

Mereka keluar daripada rumah itu dalam keadaan yang agak tergesa-gesa sambil melihat sepintas lalu Abang Puteh yang sudah basah kuyup itu sedang membetulkan kedudukan duduk anak buah Pak Murad di dalam kereta milik mereka itu.

 

 

 

Termengah-mengah Nur Farissha berlari dalam hujan. Walaupun dia kepenatan, kakinya masih tetap berlari kerana dia takut anak buah Pak Murad itu mengekorinya. Sedikit demi sedikit wajahnya mula terukir senyuman senang apabila hampir sampai ke destinasinya.

Kedatangannya disambut mesra oleh Pak Ramli dan Mak Nah.

Mak Nah menuangkan air di dalam cawan sementara Ida Muhainy merawat luka kecil yang dialami Nur Farissha setelah dia siap membersihkan diri. Sambil itu Nur Farissha bercerita kepada mereka.

Mak Nah dan Pak Ramli terkejut sewaktu Nur Farissha menceritakan tentang ubat tidur. Mereka sama sekali tidak menyangka Mak Ani sanggup pergi sejauh itu. Kau tunggu Ani. Memang arwah aku kerjakan kau nanti! Amuk hati Mak Nah. Hanya kerana wang ringgit...

Nur Farissha tersenyum lemah setelah dia habis bercerita. Sesekali dia menjarakkan mukanya dengan kapas muka yang ditekapkan oleh Ida Muhainy kerana pedih. Begitu juga seluruh badannya. Terutama di bahagian bahu dan perutnya. Tangan kirinya memegang perutnya kerana masih terasa senak. Mukanya berkerut sedikit apabila Ida Muhainy mula menyapu ubat pada tepi bibirnya.

“Kamu dah fikir masak-masak Farissha?” Pak Ramli sekadar menduga.

“Ye Pak Cik. Farissha dah fikir masak-masak.” Tegas dia berkata.

“Macam mana dengan penerimaan ayah kamu nanti? Dia mesti lagi kecewa apabila mengetahui perkara ini.” Mak Nah menambah seolah-olah dia langsung tidak tahu apa yang terjadi.

Nur Farissha terdiam. Dia dalam keadaan serba tidak kena kerana banyak yang ingin diluahkan dan ditanya. Tetapi dia tidak tahu dari mana ingin dimulakan. Bagaimana dia ingin menyakinkan Mak Nah dan Pak Ramli?

Seeloknya tidak perlu diperpanjangkan cerita ini, Mak Nah bangun dan memeluk Nur Farissha sambil berbisik lembut, “satu saat nanti, kamu akan dapat jawapannya Farissha. Antara cepat atau lambat sahaja. Kamu percaya cakap Mak Nah.” Perlahan belakang kepala Nur Farissha diusap sayang.

“Doa kami mengiringi pemergian kamu. Lagipun, ini bukan kali pertama kan?” usik Pak Ramli menceriakan suasana.

Nur Farissha tersenyum senang sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Jaga diri kamu elok-elok ye Farissha. Sentiasa berdoa padaNya meminta pertolongan.” Mak Nah menitipkan sedikit kata-kata semangat. Rasanya sudah tiba masanya untuk Nur Farissha pergi dari kampung ini. Dari mula lagi tidak sepatutnya Nur Farissha kembali ke sini.

“Jangan risau mak. Thia ada. Dia boleh tolong tengokkan Kak Farissha. Hainy dah beritahu dia.” Ida Muhainy berkata untuk menyakinkan kedua orang tuanya yang disangkakan berat hati untuk melepaskan Nur Farissha pergi.

Nur Farissha menyalam Mak Nah dan Pak Ramli buat kali terakhir di beranda rumah sementara Ida Muhainy memanaskan enjin kereta. Mujurlah hujan sudah mula beransur reda.

Suasana di Terminal Sentral Kuantan lenggang sewaktu mereka berdua sampai. Alhamdulillah, perjalanan mereka dipermudahkan.

“Kak, ni tiketnya.” Hulur Ida Muhainy yang baru lepas menukar tiket di kaunter.

“Terima kasih.” Ucap Nur Farissha. Dia tidak mampu untuk melebarkan senyumannya kerana hujung bibirnya masih pedih ditumbuk oleh Pak Murad.

“Hainy dah inform Thia. Nanti dia ambil Kak dekat Terminal Shah Alam. Kak jangan risau ye. Hainy pun dah forward kan gambar Kak dekat dia.” Tas tangannya dibuka lalu menyerahkan sesuatu kepada Nur Farissha.

“Apa ni?” Nur Farissha terkejut melihatnya.

“Wani bagi. Dia cakap dia cuba tolong setakat yang mampu. Kak tak ada smartphone kan?”

NurFarissha sekadar mengangguk sambil membelek kotak telefon pintar itu. Iphone 6s.

“Dia belitengahari tadi. Dia harap sangat dengan pemberian dia ni, Kak dapat maafkan semua kesalahan dia.” Melihatkan Nur Farissha terus membisu dia menambah, “ Hainy rasa dia tak sejahat Mak Ani dengan Jiqah tu Kak. Dia cuma... terpengaruh.” Ida Muhainy meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya. Itu memang sifatnya sedari dulu.

Nur Farissha melemparkan senyuman. Semoga kau dalam lindungan Allah S.W.T adikku. Doa ikhlas seorang kakak kepada adiknya.

Pengumuman ketibaan bas dari Kuantan-TBS-Shah Alam-Klang diumumkan.

“Nanti ada kesempatan, sampailah Hainy dekat Shah Alam. Jangan lupa, stesen bas Shah Alam tau. Pemandu bas tu akan umumkan. Kak tak perlu risau.” Ida Muhainy mengingatkan apabila Nur Farissha melangkah masuk ke dalam pintu masuk bas.

“Kak pergi dulu.” Dia melambai untuk kali yang terakhir dan berjalan ke arah tempat duduknya. Kepalanya disandarkan apabila bas mula bergerak. Dia memerhati sahaja pemandangan malam di luar melalui tingkap bas. Pandangannya kosong... sekosong hatinya. Entah bila dia terlelap, dia sendiri tidak tahu.

 

 

 

“Sebab kau lembut sangat dengan Si Ani tu lah Wa... dia sampai pijak kepala.” Mak Nah meninggikan suaranya di dalam talian. Dadanya sudah berombak. Dia langsung tidak faham kenapa sahabatnya itu sangat berlembut hati dengan bekas madunya itu. Jika sahabatnya itu bagi keizinan, sekarang juga dia ganyang muka tak semenggah Mak Ani itu. Sakit sungguh hatinya di kala ini.

Pak Ramli mengusap lembut belakang kepala isterinya berharap dapat mengurangkan sedikit kemarahannya. Dia faham, mesti Najwa itu ada sebab yang kukuh untukitu.

“Nah...” Akhirnya suara Puan Najwa kedengaran di cuping telinga Mak Nah.

“Ye...” Laju Mak Nah menjawab untuk menunggu maklum balas dari Puan Najwa.

“Akusendiri yang akan uruskan dia. Kau tak perlu kotorkan tangan kau.” Ringkas dan padat sahaja Puan Najwa berkata. Dan setelah itu hanya kedengaran bunyi bip tanda panggil telah dimatikan.

Mak Nah menghela nafasnya sambil memandang ke arah suaminya. Pak Ramli turut mengerutkan dahinya. Mereka sememangnya selalu gagal untuk membaca apa yang berada di dalam fikiran sahabat mereka itu.

 

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh