Home Novel Cinta Seindah Jacaranda ( Jacaranda 2.0)
Seindah Jacaranda ( Jacaranda 2.0)
Aaliya Adni
5/12/2018 00:03:56
231,954
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

February 1994

Musim Panas - Sydney, Australia

 

Kapalterbang Fluggesellschaf Airways meluncur membelah terminal antarabangsa lapangan terbang Kingsford-Smith di kota Sydney itu. Bila rodanya menghentam bumi Sydney, sedikit gegaran terasa dalam koc. Juruterbang itu berjaya mendemonstrasikan  kepakarannya. Hentakan ketika mendarat amat minimal. Dan kapalterbang itu bergerak selama beberapa ketika sambil kelajuannya semakin menurun.

                 Bunyi bingit enjin kapal terbang yang menyakitkan telinga itu akhirnya berhenti bersama dengan waktu. Arissa menjenguk-jenguk ke tingkap kecil berbentuk bulat itu.  Tidak sabar menjejak ke dunia baru, pengalaman baru...Dia mahu melakar sesuatu disini.  Dia mahu menggembirakan ibunya.Dia mahu suatu kejayaan.

                 Kelihatan beberapa kapalterbang yang sudah sedia ada di beberapa apron di lapangan terbang yang luas itu. Penumpang mula bangun apabila sahaja lampu amaran dipadamkan dan hebahan dibuat. Ramai yang teruja dan bersedia untuk sampai ke destinasi mereka.

                “Apa kau jenguk-jenguk Rissa? Macam lah ada yang menunggu.Ada sesiapa yang kau kenal kat bawah tu?” gurau seorang rakan perempuannya, Zaharah. Zaharah gadis bertudung bawal baru dikenalinya. Dia kelihatan anggun memakai kot berwarna hampir sama dengan warna kot yang Arissa pakai. 

                Mereka bangun mahu menurunkan barangan dan bagasi tangan dari kompartmen di atas kepala.

               “Baik-baik jangan sampai terjatuh atas orang,” Arissa mengingatkan. Dia memang empati dengan semua orang. Beg pakaiannya ditarik ke bawah. Beg yang besar dan dianggarkan seberat 5 kilo itu di tarik dari kedudukannya di laci yang terletak di atas kepala tempat penumpang.

             “Tolong aku…” tiba-tiba dia memohon bantuan.

Buuuuupppp…!!! Beg itu terjatuh ke atas seseorang di sebelahnya.

              “Sorry, sorry..” dia meminta maaf sambil bersusah payah cuba memegang tali beg itu. Itu sahaja yang termampu dikatakannya bila beg itu rupanya memang menghempap kepala seseorang.

               “It is okay..! It is okay” kata lelaki caucasian itu sambil mampu tersenyum walaupun agak jelas kepalanya sedikit kesakitan dihentam beg pakaian Arissa.

               Beg yang menghempap kepala lelaki itu telah terjatuh ke atas kerusi di belakangnya dan butang di atasnya terbuka. Beg tu sedikit ternganga.

               “Adohai.. butangnya terbuka lagi..!!” dia cepat-cepat menarik beg itu ke atas kerusinya, menyumbat semula barang-barang yang hampir terburai dan membetulkannya semula. Sudah dua kali butang beg itu terbuka sendiri kerana terlampau penuh diisi seperti mahu meletup. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Mujur lelaki yang terkena beg itu tidak cedera apa-apa dan mujur juga tiada apa yang sempat menjengah keluar dari dalam beg tersebut. Memang beg itu tidak berat sangat kerana hanya diisi beberapa helai pakaian dan beberapa peralatan keperluan sekiranya berlaku pendaratan kecemasan, dia ikut nasihat yang diberikan semasa pegawai di minggu orientasi dulu. 

              “Mujurlah mat saleh tu gentleman,” kata Zaharah. “Sempurna sungguh ciptaan tuhan.. dah la kacak, gentleman pulak.. bestnya…Tengok mamat-mamat skema melayu ni, sikit pun tak nak tolong..” juihnya, merujuk kepada beberapa orang pelajar lelaki yang bersama mereka dalam kapal terbang itu. 

             “Aah.. ada di biarkan saja,” kata Rozana pula. Rozana juga baru dikenalinya dan mulai mesra sungguhpun tidak mampu dibandingkan dengan geng lama nya di tingkatan lima.

             “Handsome..,” kata Zaharah nampak sangat berkenan dengan lelaki mat saleh itu. Tetapi disinggul Rozana.

             “Sudah-sudah lah...you baik-baik sikit, ada ma’am sebelah dia tu. Tak nampak ke?” Gadis berambut pendek paras bahu itu membahasakan dirinya dengan gantinama I dan you. Tidak seperti Arissa dan kawan-kawannya yang lebih selesa dengan aku dan kau.

             Zaharah mencebik.

             “Aduhai..I gurau je lah..”

             Arissa senyap sahaja. Dia memang agak bengang dengan pelajar-pelajar lelaki yang bersama-sama mereka di situ. Mereka macam kurang gemar untuk berbaik-baik dengan pelajar-pelajar perempuan itu. Bukan mereka tak pernah bersua. Mereka juga pergi ke minggu orientasi di Kuala Lumpur sebagai persediaan untuk ke luar negara. Empat daripada pelajar-pelajar itu ditempatkan di Sydney juga.

             “Halloo kat sini tak ada bezanya lelaki ke perempuan.. nak hidup, pandai-pandailah..”kata seorang  daripada pelajar lelaki Melayu. Berkerut dahi Arissa dan kawan-kawan perempuannya mendengar telahan pelajar yang bersama mereka naik penerbangan itu.  Empunya suara itu memang agak lantang dan kadang kala menjengkilkan.  Tak sempat pula mereka hendak membalas kerana semua penumpang sedang sibuk bersesak di lorong dalam pesawat itu, hendak bergerak ke arah pintu keluar.

            “Hmm korang,” bisik Arissa.”Betul jugak cakap dia tu.. barang dia orang pun banyak.  Kita kena lah tanggung sendiri. Janganlah nak bash je mamat melayu....” Sekilas itu dia terkenangkan kawan karib di kolejnya, Suhana yang tak habis-habis menyanjung lelaki mat saleh.

            "Wah, defend dia orang nampak?" Rozana meningkah.

            "Alah..be realistic saja lah... Kita kan jauh dari negara kita..sapa lagi kawan kita kat sini sekarang ni??" bisik Arissa ke telinga Rozana.

 

                Mereka bergerak perlahan-lahan dari tempat duduk ke pintu keluar. Pramugari dan seorang lelaki berpakaian seperti seorang juruterbang,kedua-duanya caucasian yang berdiri sopan di tepi pintu keluar, mengucapkan selamat jalan sambil tersenyum mesra. Rambut perang pramugari itu ternampak di sisir kemas dengan topi berwarna biru terletak cantik di kepalanya. Hidung yang mancung dan kulit kemerahan dengan bintik-bintik di wajahnya disembunyikan dengan warna bedak asas. Bau wangian semerbak di ruang menuju ke pintu keluar. Sebagai pelajar yang sibuk dengan pelajaran, dia tak mampu menduga apa brandnya minyak wangian itu, Arissa hanya tahu bau itu memang sedap menusuk hidungnya. Tak jauh beza dengan bau minyak wangi guru Bahasa Inggerisnya Mrs Mark yang memang keturunannya datang daripada United Kingdom.

              Giliran Arissa sampai ke pintu. Dia menarik nafas lega. Dia dapat merasakan kelegaan apabila matanya dapat melihat betapa luas terbentang lapangan terbang itu, dia memerhatikan keadaan sekeliling sambil menghela nafasnya.

             Inilah Sydney. Kotaraya tersibuk di hemisfera selatan. Dan lapangan terbang ini adalah salah sebuah lapangan terbang yang paling sibuk dibanjiri jutaan manusia setiap hari.Dan dia sedang melangkah untuk membuat jejakan pertama ke situ. Terus dia teringatkan sebuah mutiara kata yang ditulis kawannya dalam buku autografnya


           “Jejak pertama ini hanyalah satu langkah kecil seorang manusia tetapi adalah suatu lonjakan besar untuk manusia sejagat..


           Terasa macam dirinya Neil Armstrong nak mendarat di muka bulan. Ya, langkah yang amat besar untuk manusia sejagat….Dia berazam akan menjadi pelajar terbaik di sini dan mengharumkan nama keluarga dan negara.  Dan langkahnya untuk mencapai impian mula membentuk menjadi realiti.

 

 

Memasuki gerbang di balai ketibaan, dia dapat lihat kesibukan manusia melangkah keluar. Kedengaran bunyi hebahan dibuat untuk penerbangan-penerbangan yang tiba dan akan berlepas selanjutnya. Dalam kesibukan itu Arissa tercari-cari arah untuk mendapatkan bagasi. Matanya liar mencari papan tanda arah ke tempat bagasi. Dia dengan beberapa orang lagi pelajar itu baru saja mencecah usia 17 tahun tahun lepas. Dan kini mereka berada di negara yang sangat asing bagi mereka. Dalam teruja mereka terpapar di wajah masing-masing perasaan cemas kerana tidak pernah seumur hidup berpijak di negara Kangaroo itu.

             “Banyak pramugari kat flight tadi dah agak berusia ye..” bisik Arissa kepada Rozana. "Tengok kat TV selalu macam sexy  dan muda saja.."

             “Aah, tak macam kat masa kita orang naik kapal terbang Dondang Air masa nak pergi ke Filipina, semuanya cantik dan muda saja.” gadis berambut pendek itu menyahut sambil tertawa mengekeh.

             “Okaylah tu, nanti kita dah tua kita apply jadi pramugari kat Fluggesellschaft Airways..” kata Arissa berjenaka.

             “Aah.. nak menyebut kerja kat mana pun tergeliat lidah masa tu,” kata Rozana. Dan mereka berdua tergelak lagi.

            “You all ni ada-ada saja,” sahut Zaharah. “Sekurang-kurangnya ambil positif, dia orang tak diskriminasikan wanita berusia.”

            “Aku tak setuju pun kalau kecantikan dijadikan umpan untuk menarik pelanggan...” kata Arissa. " Kiranya, bagus juga dia orang ni.."

            “Tapi itu namanya strategi syarikat-syarikat tu. Dia orang mesti nak untung dan cari jalan berbeza tarik pelanggan..nama pun berniaga!” ujar Rozana pula.

            Arissa mengangkat bahunya. “Not convinced,” balasnya. "Pakai sexy pun, ramai  juga orang pilih syarikat macam yang kita naik ni, kan?" Belum sempat Rozana membalas mereka terpaksa bergerak. Perbualan itu putus begitu sahaja.


Mereka mengheret bagasi menerusi laluan khas dan meletak barang-barang mereka ke atas troli dan melalui laluan kastam untuk pemeriksaan. Setelah lepas, kumpulan mereka yang teridir daripada tiga pelajar wanita dan empat pelajar lelaki, menuju ke arah gerbang keluar. Ramai orang sedang menunggu di laluan keluar itu. 

           “Tak ada pun officer tunggu kita,” ujar salah seorang pelajar lelaki.  Itu suara yang memberikan kata-kata jelik di dalam kapal terbang sebentar tadi. Arissa menoleh ke arah suara itu. Wajah pelajar lelaki yang sedikit rendah itu diperhatikannya.

             “Ahh tu sampel lelaki melayu yang tak gentleman,”kata Zaharah. “Cuba kalau lelaki mat saleh…siap buka kan pintu kapal terbang lagi..”

            Tersenyum mahu tergelak Arissa mendengar bebelan Zaharah. Memang Zaharah dan Suhana mempunyai pandangan yang sama. Sikit-sikit mat saleh..

          “Ehem.. Zara..kau jangan buat malu tau.. yang bukakan pintu kapal terbang tu dan tunggu kau depan pintu tu tadi, sebab tu dah memang kerja dia.. by the way, tak usah lah dok hentam sangat mamat melayu ni.. kita ni kan ke bakal-bakal engineer.. bakal-bakal professional..tiba bab macam ni masih sibuk nak suruh orang lelaki angkat barang kita..come on.. barang kita, kita angkat.”

          Zaharah menampar bahu Arissa.

         “Amboi kau Arissa!!…hah Roz!.. look here.. ni pula ada sampel wanita melayu feminist.” katanya menuding ke arah Arissa.  

         Belum sempat dibalas Rozana, Arissa sudah menukar topik.

        “Eh.. pukul berapa sekarang ni?” tanya Arissa kepada Rozana.

         Arissa menjeling ke arah jam di lengan kirinya. Jari panjang jam  menunjukkan angka enam dan jarum pendek angka tiga.

       “Tadi aku ingat Kapten kapalterbang tu cakap pukul 6.00 petang.. tapi kita dah kat sini dalam setengah jam..so, sekarang mungkin dah 6.30 petang,” dia menelek jam di lengannya pula. Kesemua mereka membelek jam masing-masing.

       “Tak apalah tak ada nanti kita cari teksi pergi ke Dewan Malaysia,” sampuk seorang pelajar lelaki yang sedikit gempal. Kot dipakainya memberikan gambaran matang daripada usianya. Sambil mengheret bagasi mereka pun meneruskan langkah mereka. Mulai saat ini mereka semua kena berdikari. Lebih daripada ketika mereka berada di dalam pagar sekolah asrama yang mereka huni sebelum ini.


Mungkinkah tiada sesiapa yang menyambut kedatangan mereka di situ? Mereka tercegat sambil memerhati kalau-kalau ada mana-mana orang yang sedang membawa papan tanda untuk menarik perhatian. Malangnya tidak ada.  Di balai ketibaan itu mereka tercangak-cangak seketika. Tiada seorang pula di antara mereka yang pernah menjejakkan kaki ke Australia sebelum itu.

           Manusia semakin berpusu-pusu. Ada yang tercegat memerhatikan papan tanda yang terpasang kira-kira 15 kaki dari aras lantai, menyiarkan jadual ketibaan dan berlepas penerbangan. Beberapa orang pramugari daripada pelbagai penerbangan antarabangsa seperti MAS, Lufthansa dan British Airways dapat dilihat dan boleh dikenali dengan mudah. Pramugari MAS amat senang dikenalpasti kebanyakannya berdandan cantik dengan kebaya ketat berstiletto tinggi,membawa bagasi dengan roda diheret sambil berjalan penuh gaya. Ada pula beberapa orang juruterbang dalam uniform kelihatan segak sedang berjalan santai mungkin selesai bertugas.

 

          “Apa kita nak buat ni,” tanya Rozana.

         “Cari teksi dan pergi ke Dewan Malaysia,” kata Arissa. “Aku rasa itu yang wajar. Buat apa kita tunggu di sini? Siapa yang sepatutnya ambil kita tapi tak datang.. so, kita nak tunggu sampai bila?”

        “Betul, buang masa kat sini.” balas seorang pelajar lelaki berkaca mata. Arissa tidak pasti namanya, walaupun pernah nampak kelibat pelajar itu semasa orientasi.

        “Tapi bukan ke sepatutnya ada orang datang ambil kita?” tanya Zaharah sedikit gusar untuk bertindak mengikut naluri.

“Memanglah.. tapi dia tak datang.” tegas Arissa.

 

Sedang mereka asyik berbincang tindakan yang hendak diambil, kedengaran suara seorang lelaki menegur, kedengaran dekat dari arah belakangnya.

 

Previous: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.