Home Novel Cinta Bayangan Semalam
Bayangan Semalam
Ardeena Safiyya
22/1/2021 09:52:42
9,444
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

AHAD, 2 JULAI 2017
(17:45)

"Ceh! Ingat cincin betul, rupanya cincin daun. Awak ni, memang nak kena!" Sekali lagi, Aina menunjukkan muka buruknya kepada Haris. Geram, sungguh geram.

"Hmm, awak ni. Saya mana ada duit lagi nak beli cincin betul. Satu hari nanti, okey?" jawab Haris menenangkan Aina yang sedang merajuk. Merajuk main-main namanya! Manja!

"Taklah, cara awak cakap tu, macam yakin sangat nak melamar saya. Sekali, busted! Eii, geram tahu tak?" Aina mengetap bibir.

"Awak ni kan .... Awak tahu tak, saya betul-betul cintakan awak tau. Tapi, bukan hari ni lah. Satu hari nanti, okey?" Haris tersenyum sambil menongkat dagunya.

Jujur, Haris sudah menganggap Aina sebagai kawan baiknya sejak mereka kenal dahulu lagi. Tanpa sedar, mudahnya cinta berputik antara mereka, hingga tidak sabar untuk naik ke pelamin.

Aina pula, tipulah kalau tidak menganggap Haris sebagai lelaki pertama yang pernah membuatkannya jatuh cinta. Kematangannya, kerajinannya dan kesopan santunnya membuatkan Aina tertarik kepada lelaki itu. Tambahan pula, Haris seorang yang dengar dan melayan sahaja cakap Aina.

Cinta mengubah segalanya. Hanya menunggu detik bahagia, yang bakal menanti.

"Ye, saya tahu." Aina menutup mulutnya dengan tangan. Sekejap, malu pula jika mereka benar-benar berkahwin nanti. Entah apa lah yang panggilan yang mereka akan gantikan selain saya dan awak.

Abang? Sayang? Cinta? Honey? Kanda? Dinda?

Suatu hari nanti, mereka akan tahu.

Jika hari ini, mereka hanya mampu melakar bahagia bersama tanpa hubungan yang halal, akan mereka pastikan satu hari nanti, ia tidak berlaku lagi.

"Ha, saya nak tanya awak satu benda ni? Awak nak ikut saya kerja ke tak hari ni?" Soalan dari Haris memecah sunyi. Tangan mulus Aina ditenung sahaja tanpa jemu. Kalau diikutkan nafsu, sudah lama tangan itu menjadi usapannya setiap hari.

Sabar, Haris. Belum lagi.

"Mestilah nak!" jawab Aina sambil menjerit kecil. Hatinya sudah berbunga-bunga bersorak bahagia. 1 jam melihat lelaki ini, tidak ubah seperti sejam dikelilingi dengan syurga makanan yang tiada batasannya.

Sudah sayang, semuanya indah. Cinta tidak buta, tetapi manusia yang membutakan cinta.

Kadangkala, rasa kasih pula terhadap Haris yang bekerja keras demi menghalalkan wanita pujaan hatinya. Terharu dan bahagia, melihat sang cinta berusaha untuk membina denai bahagia.

"Awak ni, seminit tak tengok saya tak boleh eh? Wah, happy betul saya dapat girlfriend macam awak. Eh, saya rasa nak ngap-ngapje awak ni, biar hancur lumat. Comel sangat!" Haris ketawa kecil manakala Aina pula merah padma wajahnya menahan malu.

"Hei, kalau awak ngap saya, macam mana awak nak nikah dengan saya? Awak nak nikah dengan monyet ke?" Lidah dijelirkam tanda mengejek. Padan muka!

"Eh, tak nak saya kahwin dengan monyet. Lainlah monyet tu awak." Kedengaran tawa mereka berdua mula menghiasi sunyi.

Monyet pun bolehlah. Janji ada. Hanya Aina di hati, tiada orang lain. Kalau ditawarkan wang bernilai sejuta pun, tidak mahu ditukar ganti dengan sebutir permata yang bernama Aina Afifah, si gadis kecil molek dan manis.

"Ceh. Penipu! Kejap lagi ada yang masuk hospital tanjung rambutan ni, tunggu!" Aina menjuih bibir, tanda tidak setuju.

"Hahahaha!"

"Awak, kenapa goyang?" soal Aina apabila menyedari bangku batu yang mereka duduk tiba-tiba sahaja bergoyang dengan sendiri. Risau juga, andai tiba-tiba mereka tergolek ke bawah ke, takut majlis idaman bertukar majlis arwah.

"Saya yang goyanglah. Awak takut sangat ni kenapa? Macamlah kita berdua ni berat sangat, sampai kerusi batu ni tak muat tampung!" Haris terus menggoyangkan kerusi batu itu, berniat untuk menakut-nakutkan Aina.

Ingat dia seorang sahaja yang mampu kenakan orang? Eh, ini Haris lah. Bukan calang-calang orangnya.

"Awak, janganlah. Saya takut. Stop, please ...." rayu Aina. Gadis itu menginjak sedikit ke kanan, untuk menjauhkan diri daripada Haris.

Risau juga, jika lelaki yang disayanginya ini tiba-tiba berubah menjadi psiko ke apa, fikiran orang lain manalah boleh baca, bukan? Tambahan pula, Haris ini memang sukar dijangka. Ada sahaja akalnya untuk mengenakan Aina, si permata hati.

"Takut pelamin angan jadi kenduri arwah ye? Ingat saya tak boleh baca fikiran awak tu? Saya kan Haris, bukan calang-calang orang tahu tak." Haris memberhentikan goyangannya. Akhirnya, kerusi batu itu berhenti bergoyang. Aina menghembuskan nafas lega, tidak perlu lagi dihadapnya 'neraka jadian' Haris itu.

Seram tahu tak!

"Ehem, tapi betullah." Aina menekup mulutnya. Eh, betul pula tekaan mamat ini pada masa ini. Mungkin nasib sahaja agaknya.

Mana wujud manusia yang boleh membaca fikiran orang lain di dalam dunia ini, lainlah jika ada bantuan robot atau teknologi. Manusia diberikan akal seorang satu, dan apa yang tersimpan di dalamnya kekal menjadi rahsia sendiri, tanpa ada seorang pun yang tahu.

"Haris." Perlahan nama itu dipetik.

"Ye?" Lelaki itu menjawab dengan tenang.

"Awak ... tak marah ke, saya sukakan awak?"

Aina menutup wajahnya dengan tapak tangan. Tiba-tiba hadir pula perasaan malu yang datang entah dari mana. Sesaat pun dia tidak mahu memandang lelaki itu kerana malu.

"Kenapa saya nak marah?" Haris tenung sahaja Aina yang tidak memandangnya. Wanita itu, kecil molek dan comel sahaja, tetapi berani sungguh menyuarakan isi hatinya.

"Iyelah, mula-mula saya ingat kita kawan je. Lepas tu, kita macam ... dah lebih daripada kawan pula," balas Aina dalam keadaan menutup mukanya.

Siapa sangka, lelaki yang disangkakan sahabat, kini bertukar menjadi teman lelaki. Mungkin satu hari nanti, suami pula. Bertahun-tahun mereka saling rapat bersama, mana boleh tidak terjatuh cinta!

Kalau hendak berkahwin itu mudah dan tidak memerlukan belanja yang besar, sudah tentu mereka sudah menjadi suami isteri yang sah sekarang.

"Memang, kita dulu-dulu kawan je. Tapi, bukan sekarang kan? Awak sayangkan saya kan? Macam tulah juga saya," jawab lelaki itu selamba, tanpa ekspresi yang drastik.

Aina mula tersenyum malu. Pipi mulus yang asalnya berwarna cerah kini bertukar merah padma. Semakin dekat dengan lelaki itu, semakin membuak-buak perasaan malunya mendatang. Itulah, sudah jatuh cinta. Menipulah kalau tak kekok sesama sendiri.

"Aina, saya nak tanya awak sikit." Lembut sahaja suara itu masuk ke gegendang telinga Aina Afifah.  Bersedia menanti apa sahaja soalan yang bakal terpacul dari mulut Haris Mirza. Stok calon suami namanya, mana boleh tidak dilayan.

Haris mengambil nafas terlebih dahulu sebelum bertanyakan soalan kepada Aina. Meskipun soalan ini hanya bertujuan untuk bergurau, namun isi kandungannya agak sensitif juga. Berkali-kali lelaki itu bertanya kepada diri sendiri, mahu tanya atau tidak.

Agaknya, soalan apalah yang ingin ditanyakan Haris?

"Awak ... sanggup tak cintakan saya sampai mati. Mak ... maksud saya, awak teman saya sampai akhir nafas ni."

Fuh, tenang. Hanya menunggu respon daripada Aina. Wanita kecil molek itu terdiam sejenak, berfikir perkataan apa yang patut dijawab.

"Maksud awak?" Aina memandang Haris tanpa segan lagi. Entah mengapa, hatinya ragu-ragu dengan soalan ini. Bukan tidak mengerti, tetapi sanggupkah dirinya untuk pertahankan sebuah ikatan, hingga akhir nafas ini? Sayang memang sayang, tetapi risau andai janji ini tidak mampu ditunaikan.

Iyalah, masa hadapan belum tahu lagi. Lainlah semalam yang sudah meninggalkan kita. Ada suka, ada duka, ada tangis dan juga tawa yang kekal tersimpan dalam fikiran.

Tiada jalan untuk pulang ke masa semalam, jadi teruskanlah abadikan hari ini tanpa menjenguk kembali kesilapan yang telah berlaku. Tidak perlu betulkan yang mana silap, cukuplah kita tidak mengulangnya pada hari ini. Jadikan yang baik itu pengajaran, yang buruk itu sempadan.

Soal hati, sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata melainkan pemiliknya sahaja yang tahu. Allah ciptakan kaum Adam dan Hawa untuk berpasang-pasangan, memiliki keturunan yang baik-baik serta bermesra bersama, tetapi siapa pasangan yang tertakdir buat kita, masih belum tahu.

Kadangkala, ada yang bercinta sehingga sepuluh tahun, tetapi tidak juga ke pelamin. Terputus di tengah jalan. Tiada siapa yang minta, tetapi takdir sudah menentukan sampai di situ sahaja. Mungkin, akan ada pengganti yang lebih baik akan muncul.

"Maksud saya, kalau saya pergi dulu, awak sanggup tak pergi ke kubur saya, lawat kubur saya hari-hari, bacakan doa .... Awak kuat tak untuk buat semua tu. Sendiri."

Jeda.

Aina merenung anak mata perang Haris. Entah mengapa, sebak pula datang menghampiri dirinya. Tadi malu, kini sebak pula.

Benarkah dirinya, sanggup untuk mencintai hingga ke akhir hayat, dan mencapai Jannatul Firdaus bersama, bersama dengan keturunan soleh dan solehah. Mampukah dirinya, melakukan semua itu?

Bebola mata perang gelap Aina kini merenung ke bahagian tanah pula. Sekejap tersenyum, sekejap mengelipkan mata, entah apalah yang difikirkan olehnya.

"Awak ...." Aina menongkat dagunya. Mana mungkin ingin diri ini membayangkan peristiwa yang menyakitkan, tetapi pasti berlaku suatu hari nanti. Sama ada Haris yang pergi dahulu, ataupun dirinya.

Kerana, mati itu pasti. Manusia, telah diciptakan oleh Allah, hanya sementara di dunia ini. Hanya untuk beramal soleh semata-mata untuk mengejar kehidupan yang lebih baik di sana. Tiada pengakhiran, tiada penghujung.

Di syurga, manusia yang telah bersusah dengan amal soleh di dunia, akan bersenang-senang dan bahagia selamanya, tiada sedikit pun sengsara.

Lihatlah, manusia lebih mengejari dunia. Kelab-kelab malam dan aktiviti pelacuran semakin berleluasa, sedangkan masjid dan pusat dakwah sunyi. Anak-anak muda kini lebih menggemari untuk mencari kesoronokan dunia berbanding akhirat.

"Awak, dah lah tu. Kenapa nak sedih? Saya okey je kat sini, tak ada apa pun." Haris melakar senyuman mesra. Siapa sahaja tidak sentap, mendengar tentang kematian.

"Tak ada lah, saya tak sedih pun. Tapi, awak janganlah cakap selalu pasal tu," balas Aina lembut.

Kenapalah, lelaki ini terlalu baik buatnya? Benarkah Haris adalah jodoh Aina yang sebenar-benarnya, atau ada yang lain?

Tentang itu, tiada siapa yang mengetahui. Dua pasangan sahabat yang bertukar menjadi cinta ini, terdiam seketika.

"Kalau macam tu, kenapa awak diam? Kita teruskan jelah macam biasa, tak payah sedih sangat. Insya-Allah, panjang lagi umur kita. Okey?" Kata-kata itu terhenti di situ. Sudah cukup, untuk memuaskan hati wanita yang sedang tidak tenteram, entah ke mana fikirannya melayang dibawa angin.

"Awak fikir, saya diam sebab saya merajuk? Eh, taklah. Ini Aina Afifah, mana boleh merajuk. Saya perempuan, tapi hati kental tahu! Mana boleh menangis!" Aina mencebik. Perasaan sebak tadi disimpan jauh di dalam lubuk hati, mana boleh ditunjukkan kepada Haris. Kantoilah Aina sebenarnya wanita yang selalu merajuk dan menangis.

Bukankah lelaki, menyukai wanita yang kuat dan kental emosinya?

Jawapannya tidak. Bukan semua kaum Adam memilih wanita seperti itu. Wanita, memang dilahirkan dengan sifat lembut dan ayu, serta mudah terluka apabila disakiti. 

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ardeena Safiyya