Home Novel Cinta Bayangan Semalam
Bayangan Semalam
Ardeena Safiyya
22/1/2021 09:52:42
9,436
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

ISNIN, 3 JULAI 2017
(11:55)

Telefon pintar milik Aina Afifah diletakkan di atas meja kerjanya. Tiada sekelumit rasa risau, mahupun takut akan dicuri oleh para pekerja yang lain. Iyalah, premis ini dipenuhi dengan kamera litar tertutup, kalau ada pencuri pun pasti mudah ditangkap.

Lagipun, siapa mahu curi telefon pintar murah? Setakat tiga atau empat ratus ringgit sahaja, semua orang boleh beli. Lainlah yang harganya membuatkan orang terpaksa menjual organ sendiri demi 'sesuatu' yang berharga itu.

"Kak, siapa yang datang tu?" soal Aina apabila menyedari loceng pejabat asyik berbunyi, mungkin ditekan oleh tetamu yang mahu datang.

"Entahlah, pergi lah tengok. Akak tak tahu, dahlah akak nak sambung buat kerja. Kau tu pun Aina, jangan asyik mengulat je. Sale dahlah naik sekarang, makin banyak kerja." Wanita berusia lewat 20-an itu bersuara sambil menghadap komputer ribanya. Fokus benar, langsung tidak menoleh Aina yang sedang menuju ke pintu utama melihat gerangan siapakah yang hadir pada waktu ini.

"Yelah kak, doakan Aina ada bisnes sendiri satu hari nanti. Tak adalah asyik makan gaji je..." Aina meneruskan langkahnya ke pintu utama lalu menarik pemegang besi yang akan membuka pintu kaca itu.

Dari dalam kedai, memang tidak boleh nampak siapa yang datang kerana pintu kaca itu sudah ditampal dengan wallpaper cermin.

"Assalamualaikum ukhti."

"Wa... Waalaikumussalam." Aina tersengih sendiri melihat wajah lelaki itu yang lengkap dengan kaca mata hitam yang menutup matanya, menjadikan lelaki itu maco.

Ish, di sini juga encik teman ini mahu datang! Tiada kerja kah?

"Eh, awak buat apa datang sini? Tak ada kerja ke? Tak ada kerja, macam mana nak kahwin?" Aina menggeleng kepalanya perlahan. Memanglah suka ditatapnya wajah si lelaki idaman, tetapi sekarang kan waktu kerja, mengapa lelaki itu ke sini?

Sejak tadi, bibir mungil itu tidak lekang dari senyuman. Perlahan-lahan, Aina menapak keluar daripada premis bekerjanya, untuk berjumpa sebentar dengan Haris. Ini kalau diketahui Kak Izzah ini, pasti habis dipotong gaji lagi. Orang suruh buat kerja, si budak Aina ini pula pergi dating dengan boyfriend. Kurang asam punya pekerja!

"Awak tak lapar ke?" soal Haris sambil tangan kanannya menjinjit beg plastik yang berisi sesuatu. Entah apa yang diisi dalamnya pun Aina tidak tahu.

"Lapar lah, habistu awak nak ajak saya makan? Hish, mengamuk lagi orang tua tu. Baru dua bulan dapat kerja kat sini, asyik curi tulang je. Saya lah tu." Tawa Aina terlepas, sedar akan kesalahan sendiri mencuri tulang semasa kerja. Jadi, takkan Haris pun sama seperti dirinya?

Geng curi tulang?

"Ajak awak makan? Eh, apa kelas Tuan Haris nak keluar makan dengan awak? Jangan perasan sangat, nah saya bawa nasi ayam untuk awak. Beli kat kedai depan tu je." Segera Haris menghulurkan plastik merah berisi makanan itu kepada Aina. Tangannya bergetar semasa menyerahkan barangan tersebut.

Pap!

"Awak ni dah kenapa? Dahlah perasan, lepas tu gementar semacam ni dah kenapa? Takut kantpi dengan bini? Eh bro, sedar sikit kau tu belum kahwin lagi." Aina ketawa terkekek-kekek melihat riaksi Haris yang cuak. Beg plastik itu dirampasnya laju, lalu dilihat isinya.

Wah, harum! Mana tidak harum, nasi ayam kedai janda kegemaran Aina, tahu-tahu pula Haris membelinya. Haris tenung sahaja Aina yang asyik tersenyum-senyum sendiri sambil menghidu bau juadah pemberiannya.

"Bau nasi ayam tu je? Saya ... tak nak?"

"Hey!" Mata berwarna coklat gelap yang redup itu tiba-tiba merenung Haris dengan tajam seperti harimau ynag sudah mengesan mangsanya.

Haris berundur sedikit demi sedikit ke belakang, takut dengan 'mata harimau' milik Aina. Sekarang ini, Aina ialah harimaunya dan dia ialah mangsanya. Padan muka, siapa suruh cari fasal!

Seperti haiwan yang sudah merelakan dirinya dikorban oleh haiwan pemangsa. Itulah perbandingan situasi yang sedang dilalui Haris dengan Aina sekarang.

"Kita tak kahwin lagilah, awak!" Mata harimau yang menakutkan Haris itu hilang secara tiba-tiba. Aina pula menunduk sambil bermasam muka. Entah mengapa, wanita berusia 21 tahun ini berasa tidak senang hati.

Di mana silapnya?

"Awak sedih ke?" Haris menundukkan sedikit egonya untuk memujuk Aina. Geram-geram pun, tipulah tidak berasa risau jika menyakiti si ratu hati.

"Taklah," jawab Aina perlahan.

Entah ombak apa yang mengganggu fikirannya kali ini. Entah mengapa, tiba-tiba rasa bersalah dengan lelaki ini. Adakah dia telah memberikan harapan palsu, atau sebaliknya?

Hati wanita itu sedang bergelora. Hanya Tuhan yang tahu keadaan sebenarnya.

"Aina, kalau awak rasa sedih, saya ada dengan awak. Saya dah janji, nak jadi yang pertama dan terakhir untuk awak. Okey?" Haris memandang wajah Aina yang sedang kelam. Cuba mengerti perasaan si wanita yang sedih mendung itu.

Dia Aina Afifah. Hanya dia yang pertama, dan terakhir.

Dia cinta terakhir.

Dia cinta mati, Haris berjanji.

"Kenapa awak ada dengan saya?" Kali ini, Aina mendongak kepalanya pula setelah puas menunduk. Nada wanita itu lemah dan layu, menandakan hatinya sedang resah gelisah.

Perlukah dirinya, memperjuangkan perkara yang belum pasti?

"Hmm, ingat soalan apa tadi. Awak tanya kenapa awak ada dengan saya? Awak lupa ke, saya the only one kawan lelaki awak. Awak tak ingat ke, saya dah berjanji nak jadi orang yang awak sayang. Forever." Haris mengenyitkan matanya kepada Aina menandakan setiap kata-kata yang terbit dari mulutnya, semuanya ikhlas dan nyata.

Mana mungkin Haris sanggup menipu cintanya. Pertama kali lelaki itu jatuh cinta dengan seorang wanita, Aina Afifahlah namanya. Bibir tidak lekang dari senyuman manis dan pipi merah yang terselit dua lesung pipit yang tercipta indah membuatkan Aina kelihatan cantik dan matang lebih dari usia.

Sebelum membalas kata-kata Haris, Aina menghidu semula plastik nasi ayam yang dijinjitnya. Manalah tahu, bersembang lama dengan lelaki ini, basi pula nasi itu nanti. Kalau sudah sembang dengan Haris, mana boleh berhenti.

Tiada tanda hendak basi.

"Awak, nak minta sesuatu boleh?" Bibir mungil Aina dimuncungkan di hadapan Haris. Aina, nasib baiklah Haris ini jenis melayan sahaja sifat 'manja' yang dimiliki oleh gadis muda ini. Bagi Haris, gadis yang manja tetapi garang ini tidak ubah seperti arwah adiknya yang sudah meninggal dunia tiga tahun lalu kerana barah otak.

Setiap kali dilihat wajah manis kekasihnya Aina, setiap kali itu bayangan tentang arwah mula datang memeluk fikirannya. Wajah manis si adik, mana mungkin pernah lekang dari ingatan.

"Ha, mintalah." Haris mengiyakan sahaja. Biarlah si comel ini ingin bermanja, lagipun dia bakal isterinya juga!

Suasana bertukar sunyi seketika. Kicauan burung-burung yang terbang, mula membisingkan sedikit suasana. Mereka berdua agak kekok ketika ini, tiada seorang yang mampu melontarkan kata-kata memecah suasana.

"Awak, saya nak tangkap gambar dengan awak boleh?" pinta Aina malu-malu kucing. Pipi gebunya sudah merah padma dek malu yang datang tanpa memberi salam, disorokkan sedikit agar tidak kelihatan oleh lelaki itu.

"Hah, gambar?"

Haris mengerutkan dahinya. Ambil gambar? Huh, boleh kira dengan jari sahajalah berapa kali lelaki itu mengambil gambar dalam setahun. Galeri dalam telefon pintar hanya tersimpan screenshot, gambar sendiri pula sedikit sekali.

Mungkin itulah lelaki. Tidak suka agaknya dengan imej diri sendiri. Gambar hanya disimpan sebagai memori dan kenangan, mungkin menjadi tatapan orang tersayang andai tibanya ajal satu hari nanti.

"Tapi, saya tak bawa handphone pulak. Tertinggal atas meja tadi. Pinjam awak punya, boleh?" Aina kini tersenyum lebar gembira. Hilang sebentar 'stres' yang dihadapinya semasa bekerja dengan si Izzah yang sentiasa menyinis setiap masa, seolah-olah Aina perlu membuat kerja 24 jam setiap hari.

Tahulah bisnes, tetapi manusia juga perlukan rehat berbanding asyik bekerja sepanjang hari. Rehat ini diisikan dengan menjamu hidangan, melakukan hobi, meluangkan masa bersama yang tersayang mahupun tidur dan melelapkan mata begitu sahaja.

"Ha, yelah. Nah. Awak tangkap gambar awak seorang jelah. Saya malas." Haris menyerahkan telefon pintarnya kepada Aina. Fuh, boleh tahan juga jenamanya. Logo buah yang terdapat di bahagian belakang telefon pintar tersebut, membuatkan Aina berasa agak sedikit cemburu.

Bagaimana pula, Haris lebih 'berjenama' berbanding dirinya? Aina bekerja sambilan dengan menjadi dropship dan menguruskan perniagaan kecil milik Izzah, manakala Haris ini tidak tahu kerja apa pula.

Menganggur? Tidak mungkin. Kalau benar Haris seorang 'Penganggur Terhormat', dari mana pula datangnya wang untuk membeli barangan mahal ini? Bukan semua orang mampu memilikinya.

Perlahan-lahan, telefon pintar itu disambut oleh Aina. Tidak ada sedikit pun rasa gerun untuk menyentuh barangan peribadi milik lelaki ini, sudah nama pun boybestfriend. Bukan setakat dengan gelaran itu sahaja, sudah dicopnya gelaran 'bakal isteri' lelaki itu.

"Tak boleh. Saya nak kita tangkap gambar sama-sama. Kalau saya nak tangkap gambar sorang-sorang, dah lama saya tangkap tahu tak." Tanpa membiarkan Haris sedar, Aina klik pada butang berbentuk bulatan yang tertera pada skrin telefon pintar tersebut.

Mudah sahaja untuk membiarkan lelaki ini 'tertangkap' di dalam gambar, alih sahaja perhatiannya dan tekan sahaja butang tangkap, tanpa membiarkan Haris sedar. Memang payah untuk mendapatkan hasil lelaki itu untuk tersenyum, namun cukuplah ada sekeping dua memori untuk tatapan akan datang.

Iyalah, kita belum tahu siapa yang pergi dahulu. Lagipun, gambar yang diambil secara candid dan tanpa disedari ini, lebih membangkitkan kenangan berbanding gambar yang diambil secara sengaja.

Klik!

"Awak!" Laju sahaja Haris merampas telefon pintarnya apabila menyedari Aina mengambil gambarnya tanpa keizinan tuan badan. Tindakan itu, membuatkan Aina sedikit kekok. Lelaki yang dikenali dengan sifat lemah lembut dan penyabar ini, tiba-tiba sahaja menunjukkan sifat tegasnya.

Sayang sangat agaknya dengan telefon pintar yang kononnya 'mahal' itu, sanggup digadainya cinta semata-mata demi barangan mahal yang disangka bukan mampu dimiliki ramai orang.

"Sorry lah saya marah awak tadi. Tak sengaja. Nah lah, tangkaplah gambar banyak-banyak. Saya sanggup bagi phone ni kat awak daripada hilang awak, tahu tak." Telefon pintar yang dirampas Haris tadi dihulurkan semula kepada Aina.

Benar, Haris sanggup memberi barangan berharganya kepada Aina, berbanding hilangnya rasa cinta daripada wanita itu. Sungguh utuh perasaan sayang antara mereka, namun sudikah Tuhan meredhai hubungan mereka ini?

"Betul ni, awak nak bagi? Kalau betul, saya ambil terus." Telefon pintar disorokkan di belakang, sambil Aina melakukan rengekan manjanya. Siapa tidak mahu mendapat hadiah yang ribuan ringgit harganya ikhlas dari teman lelaki?

Second hand pun, second hand lah. Janji bergaya. Eh tidak, ini bukan sekadar second hand, ini juga barangan peribadi yang pernah dipakai oleh Haris Mirza, sahabat lelaki yang sudah dianggap lebih dari itu.

Jikalau benar Haris ingin menghadiahi dirinya, bohonglah jika Aina tidak mahu terima. Lagipun, Aina lebih banyak menggunakan peranti digital sebagai asas kerja, berbanding Haris yang agak kurang menggunakannya.

"Eh tak, mana boleh! Bagi balik, tu orang punya lah!"

"Ha, saya nak tanya awak sesuatu. Awak ni, sebenarnya kerja apa?" Bebola mata Aina Afifah menatap wajah sang jejaka lama, menandakan topik perbincangan mereka kembali serius.

"Kenapa awak nak tahu?" Haris tersenyum simpul. Baginya, biarlah ia rahsia. Tiada siapa perlu tahu, melainkan keluarganya. Bukan apa, risau sekiranya Aina tidak dapat menerima pekerjaannya. Ya, dia bukan kaya seperti orang lain dan mampu memberikan ribuan ringgit sebulan, cukuplah dapat menyara diri dan mengumpul duit untuk menghalalkan cintanya.

"Taklah, saja je nak tahu. Kot-kot lah awak kerja haram ke..." Mulut wanita itu tidak lepas dari menahan tawa. Tersembur dirinya tatkala melihat riaksi Haris yang agak cuak.

Kerja haram?

Biar betul Haris, biar betul.

"Gila ke nak kerja haram? Aku ni, ada akal lagi lah nak fikir mana satu baik buruk. Huh, senang senang je kau cakap aku ni kerja haram eh?" Haris menjegil matanya. Hilang sudah perkataan awak dan saya yang biasa digunakannya dengan Aina digantikan dengan perkataan kau dan aku. Bukan bermakna Haris sedang marah, tetapi geram.

Dua perkataan berbeza, dua emosi berbeza.

"Habistu, mana awak dapat duit beli ... ni?" Telefon pintar yang masih berada di tangan Aina ditunjukkan.

"Actually, tu hadiah dari abang saya lepas grad."

"Hah? Hadiah ... lepas grad?" Otak Aina mula memproses maklumat. Sejak tadi sakit kepala menerjah dirinya, membuatkan Aina tidak dapat berfikir dengan tenang. Ada sahaja resah gelisah yang ingin datang mengganggu.

"Mak yang bagi. Hadiah katanya. Tapi kalau awak nak, saya boleh je belikan," tutur Haris meyakinkan Aina.

Apa sahaja dirinya mampu, demi membahagiakan si puteri idaman. Bagaikan cinta seorang ayah kepada anaknya, apa sahaja permintaan akan cuba ditunaikan demi melihat sang anakanda membesar bahagia.

Begitu juga dengan Aina, yang sudah lama kehilangan ayahnya sejak belasan tahun lagi. Hadirnya Haris dalam dunia kecilnya ini, membuatkan dirinya terasa dihargai dan disayangi.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ardeena Safiyya