Home Novel Cinta The Story of Us
The Story of Us
Hasz Ninie
26/3/2019 22:04:26
13,318
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

AKU belum membuat keputusan untuk tinggal di vila itu namun aku juga tidak boleh menolak keputusan yang dibuat ke atas aku. Ghaz Lutfi sendiri mengarahkan aku untuk mengemaskan segala pakaianku untuk dibawa ke vila keluarganya. Aku pula malas bertekak dengan dia. Hanya menurut sahaja selagi dia tidak menyuruh aku melakukan sesuatu yang buruk. 

Sudah lama aku menetap di rumah sewa ini. Akhirnya, aku terpaksa melambaikan tanganku kepadanya. Rasa sedih ada. Rasa kecewa pun ada. Semuanya sudah bercampur menjadi satu perasaan yang aku tidak boleh tafsirkan. Pada saat aku fikir aku bahagia hidup begini, dia datang merosakkan segalanya.

Lewat petang itu, setelah menguruskan segala-galanya, aku dan dia bergerak pulang ke vila. Setibanya kami di vila, dia melangkah turun dari kereta. Aku yang sedang mengelamun langsung tidak sedar yang dia sudah berdiri di luar kereta dan mengetuk cermin kereta bertalu-talu. 

Tanpa berlengah, pintu aku buka. 

“Kau okey?” soalnya penuh keprihatinan. 

Aku memaksa untuk senyum biarpun rasa sakit hati membarah sehingga ke jiwa. Berpindah ke vila bukan kehendak aku. Menjadi sebahagian daripada keluarga Ghaz Lutfi juga bukan keinginan aku. Tetapi aku tidak berdaya untuk mengatakan ‘tidak’ saat minda aku diterpa kandungan surat itu.

“Aku tahu kau masih tak suka dengan keputusan aku.” Bagaikan memahami apa yang aku sedang fikirkan, dia bersuara. 

“Bukan setakat tak suka, kau memang tak bagi aku pilihan,” tingkahku. Keputusan yang dibuat olehnya tidak merujuk aku langsung. Sepatutnya kedua-dua belah pihak perlu berdiskusi terlebih dahulu. Ini tidak, kebebasan aku untuk membuat pilihan dipatahkan oleh desakannya.

“Suatu hari nanti kau akan tarik balik kata-kata tu.” Dari manalah datangnya keyakinannya itu?

“Oh ya? Aku pun nak tengok sejauh mana kau boleh bersabar dengan aku.” Jika dia fikir aku sengaja hendak memulakan pergaduhan antara kami, aku memang sengaja pun.

Bibir Ghaz Lutfi terherot. Sinis. Langsung tidak melayan ketegangan emosiku. Sabar saja dia dengan kerenahku.

“Bawa semua bagasi ke dalam.” Ghaz Lutfi melaungkan arahan kepada salah seorang pengawal peribadinya yang berdiri di sebelah tiang besar. 

“Baik, tuan.”

Pengawal peribadi itu menurut perintah. Dua bagasi aku yang besar dikeluarkan dari but kereta dan ditarik masuk ke dalam vila. Ghaz Lutfi mula menapak, meninggalkan aku. Aku pandang dia dengan perasan jengkel dan paksa kedua-dua kaki untuk mengekorinya dari belakang.

Seorang perempuan berumur dalam lingkungan lewat 40-an datang menghampiri kami berdua yang kini tercegat di ruang tamu. 

“Kak Zah, nanti bawa bagasi ni ke bilik atas sebelah kanan.” Ghaz Lutfi menudingkan jari telunjuknya ke arah dua buah bagasi di muka pintu.

“Baik, tuan,” sahut perempuan itu. 

Mata aku bertembung dengan sepasang mata milik perempuan dipanggil Kak Zah itu. Semalam aku tidak nampak pula kelibat dia. Atau aku yang tidak perasan.

“Oh ya, Kak Zah. Ini Ayesha Afiyah, bakal isteri saya.” 

Kak Zah mengangguk faham akan status aku. 

“Puan.” Dia menyapa aku dengan ramah.

Aku goyangkan tangan. “Tak payahlah panggil saya puan, akak. Panggil saya dengan nama aje dah cukup.” Aku menjawab, tidak suka dengan panggilan yang ditujukan kepadaku itu. Dah macam aku ini isteri kepada tuan besar pula. 

“Kak Zah minta maaf kalau puan tak suka Kak Zah panggil puan macam tu. Tapi puan kan bakal jadi isteri kepada Tuan Ghaz. Tuan Ghaz ialah majikan Kak Zah. Nak tak nak, puan kena biasakan diri dengan panggilan tu. Kalau tak, Tuan Ghaz mungkin akan pancung kepala Kak Zah sebab tak hormatkan puan,” ujar Kak Zah berbaur gurauan. 

“Pancung kepala? Sampai macam tu sekali?” Aku menoleh sekilas ke arah Ghaz Lutfi. Kejam sangat dia sampai hendak pancung kepala orang bagai. 

“Kak Zah, jangan sakat saya macam tu. Jatuh air muka saya depan bakal isteri saya ni.” Ghaz Lutfi mengingatkan.

Kak Zah tergelak kecil. 

“Puan, Kak Zah bergurau aje. Tuan Ghaz ni baik orangnya. Dia takkan pancung kepala Kak Zah. Tapi Kak Zah tetap kena hormat puan sebagai bakal isteri kepada Tuan Ghaz.” 

“Saya tak nampak Kak Zah semalam.” Aku ubah topik. Tak kesahlah dia hendak panggil aku apa sekalipun. Bukannya panggilan tidak elok pun.

“Kak Zah ambil cuti semalam sebab ada hal keluarga. Sebab itulah Kak Zah tak ada kat vila ni semalam. Kalau tak, dari semalam lagi kita dah boleh kenal-kenal,” balas Kak Zah, langsung tidak lokek dengan senyuman.

“Ayesha, aku naik atas dulu. Nak jenguk papa.”

Ghaz Lutfi tidak menunggu responku. Dia seraya berlalu ke tangga dalam keadaan tergesa-gesa.

“Puan nak minum? Kak Zah boleh sediakan.” 

Aku menggelengkan kepala. Tekakku tidak berasa haus pada saat ini. Kalau aku dahaga pun, aku ada tangan untuk digunakan. Aku boleh ambil sendiri di dapur. Tidak perlu menyusahkan Kak Zah untuk sesuatu kerja yang mudah.

“Kalau macam tu, Kak Zah bawa bagasi-bagasi ni ke bilik puan ya?” 

Aku sekadar mengangguk, memberi kebenaran kepadanya. Kak Zah tidak menunggu lama untuk membawa dua bagasi aku ke tingkat atas. Kudratnya boleh tahan juga. Dua bagasi ditarik serentak.

“Kak Ayesha!” 

Bahu aku ditepuk kuat oleh Sara yang muncul secara mengejut di belakangku. Aku tolehkan kepala ke arahnya. Lengan aku dipaut dengan mesra. Sejak aku tiba di vila ini, dia memang tidak mahu berenggang denganku. Mungkin benar katanya. Dia kesunyian. Dengan adanya aku, terubatlah kesepiannya itu.

“Baru habis kuliah ke?” Aku cuba mencari tajuk sesuai untuk memulakan perbualan.

Sara mengangguk. “Ya. Hari ini lecturer buat kuliah ganti. Kalau tak ada kelas ganti, habis aje kelas pertama tadi Sara dah boleh balik rumah.” Dia tayang senyuman.

“Sara suka ke akak tinggal kat sini?” Terpacul soalan itu dari bibirku dengan tiba-tiba.

“Kenapa Kak Ayesha tanya soalan macam tu? Mestilah Sara suka! Sara dah ada kawan. Tak adalah sunyi lepas ni. Lagi baik kalau Kak Ayesha bagi Sara anak saudara. Lagi ramai lagi bagus.” Sara menegakkan ibu jarinya. Teruja benar untuk menerima kehadiran bakal anak saudaranya.

Aku tersipu malu dek usikannya itu. Aku mungkin akan menjadi isteri Ghaz Lutfi tetapi aku tidak pernah terfikir untuk mempunyai anak dengan dia. Namun, aku menempah dosa jika tidak melayan suami. 

Ah, pening kepalaku memikirkan hal itu. Semuanya berpunca daripada sepucuk surat pemberian arwah ayah.

Hati belum bersedia tetapi jasad aku sudah ada di sini.


TELEVISYEN terpasang tetapi mata aku tidak fokus pada skrin. Fikiran aku menerawang jauh. Hanya jasadku sahaja yang ada di dalam bilik ini. 

Tok. Tok. Tok.

Dari luar, ketukan pintu kedengaran. Aku mencapai tudung dan sarungkan ke kepala kemudian langkah diaturkan ke arah pintu. Sebaik aku membuka daun pintu, tersembul Sara di hadapanku.

“Kak Ayesha, Sara mengganggu ke?” Agak berhati-hati dia meluncurkan pertanyaan. Maklumlah, jarum jam sudah berganjak ke angka 11.00 malam dan dia pula sedang terpacak di depan bilikku.

“Tak pun. Kenapa?”

“Sara bosanlah. Ingat nak lepak dengan Kak Ayesha. Boleh tak?” Dia meminta keizinan. 

Aku buka pintu seluasnya, membenarkan dia masuk. Dah alang-alang dia nak lepak, aku layankan saja. Selama ini kalau dia bosan dia buat apa untuk menghilangkan kebosanannya? Tertanya-tanya juga aku. Takkanlah melepak dengan Ghaz Lutfi? Memang aku tidak akan percaya kalau dia dan Sara lepak bersama. Lelaki beraura dingin seperti Ghaz Lutfi tidak akan mahu melayan kerenah seseorang yang manja seperti Sara.

“Kak Ayesha buat apa?” Dia menyoal sewaktu punggung berlabuh di birai katil. 

“Tengok TV tapi tak ada drama yang menarik hati akak.” Aku serahkan alat kawalan kepadanya. Dengan pantas dia menyambut dan mula menukar siaran. 

“Sara tak ada kuliah ke esok?” Dah lewat malam macam ni dia masih tidak mahu tidurkah?

Sara menggeleng. “Tak ada. Ala… Kak Ayesha janganlah layan Sara macam budak-budak. Apa salahnya malam ni Sara tidur lambat sikit, kan?” Dia merungut dengan riak wajah cemberut. Terusik aku dengan kemanjaannya itu.

“Akak tak cakap tidur lambat tu salah, Sara. Akak ingatkan Sara ada kuliah esok.” Aku mencubit pipinya dengan niat ingin mengusik. Comel betul Sara ni. Mata bulat. Bibir nipis. Hidung mancung. Mesti ayah dan ibunya mempunyai paras rupa yang cantik. Tidak hairanlah kecantikan mereka diwarisi oleh Sara.

“Habis tu, Kak Ayesha tak kerja ke esok?” Kali ini, dia pula tanyakan kepada aku tentang rutin aku pagi esoknya. 

“Kerja. Tapi akak dah biasa tidur lambat,” balasku. Jadual tidurku memang tidak menentu. Tidur awal atau lambat, aku tetap akan bangun tepat jam 5.45 pagi. Sudah terbiasa dengan jadual itu.

Sara melemparkan alat kawalan ke sisinya. Dia merebahkan badan ke katil secara mengiring. Telapak tangan menongkat kepala. 

“Kak Ayesha, boleh Sara tanya sesuatu?” 

Aku angguk tanda memberi keizinan. 

“Macam mana Kak Ayesha dan along boleh bercinta? Sara hairan juga bila along cakap dia dah ada bakal isteri. Selama ni dia tak pernah kenalkan Kak Ayesha pada Sara pun.” 

Aku terbatuk setelah mendengarkan soalannya itu. 

“Sara salah tanya ke?” Keningnya hampir bertaut.

“Tak. Soalan Sara tu macam direct sangat. Akak pun tak tahu nak jawab macam mana.” 

Aku menggaru pangkal leher setelah tudung aku cabut dan diletakkan ke pehaku. Kisah aku agak rumit jika aku mahu ceritakan satu per satu kepadanya. Bermula dengan sepucuk surat arwah ayah kemudian aku diculik dan Ghaz Lutfi datang menyelamatkan aku. Bercinta dengan lelaki itu? Memang tidak pernah ada di dalam kamus hidupku. Ghaz Lutfilah lelaki pertama yang muncul dengan tiba-tiba dalam hidupku. Juga lelaki pertama yang mengiktiraf aku sebagai bakal isterinya.

“Kenapa Kak Ayesha tak tahu pula? Along kan teman lelaki Kak Ayesha.” 

Aku telan air liur yang terasa kelatnya. Sara ni dah macam wartawan saja. Semuanya dia nak korek, ambil tahu. Aku pula memang tidak tahu macam mana hendak jelaskan kepada dia bahawa aku dan Ghaz Lutfi tidak bercinta. Pertemuan kami berlaku dengan tiba-tiba. Kalau aku memberitahu dia perkara sebenar, dia mungkin tidak percaya.

“Sara…”

“Kak Ayesha memang cakap aku-kau dengan along, eh? Tak terfikir ke nak ubah panggilan? Biar sweet sikit. Ini tak, Sara tengok Kak Ayesha dengan along macam kawan aje. Takkanlah bila Kak Ayesha dah kahwin dengan along, Kak Ayesha masih nak cakap macam tu?” Terherot-herot mulut Sara memberi pandangan mengenai bahasa panggilan yang aku gunakan terhadap Ghaz Lutfi.

“Habis tu, apa yang patut akak panggil along Sara? Awak?”

Tergeleng-geleng kepala Sara. “Awak tu sebelum kahwin bolehlah Kak Ayesha nak guna. Dah kahwin, panggillah abang, hubby ke… Barulah romantis. Kalau along dengar Kak Ayesha panggil dia macam tu, boleh cair telinga dia. Entah-entah tak dapat tidur malam. Beraku-kau tu macam kawan aje.” 

Merah padam muka aku apabila dia memberi cadangan sebegitu. Rupanya dia perasan yang aku ‘beraku’ dan ‘berkau’ dengan alongnya.

“Sara tak rasa mengantuk ke?” Aku cepat-cepat tukar topik. Malas hendak meleretkan perbualan mengenal hal aku dan Ghaz Lutfi.

Sara bingkas bangun. 

“Kak Ayesha mesti dah mengantuk, kan? Sara balik ke biliklah.” 

Aku mengangguk. Lega sebenarnya. Tak perlu mencari idea untuk menjawab setiap pertanyaannya. 

“Selamat malam, Kak Ayesha,” ucap Sara, meraih tanganku lalu disalaminya. Sopan benar bakal adik ipar aku ni. Sempat aku memuji kesantunannya di dalam hati.

Hilangnya Sara di balik pintu, aku merebahkan tubuh ke katil. Mata merenung siling. Masih banyak perkara yang sedang berlegar di kotak fikiranku. Arwah ayah tidak sepatutnya mengamanahkan aku kepada Luf Harith. Tetapi apabila minda aku dijengah oleh wajah Luf Harith, dia tampak gembira benar apabila bertemu dengan aku. Sejauh mana rapatnya arwah ayah dengan dia, aku tidak tahu. Jika arwah ayah meminta Luf Harith menjaga aku bermakna arwah ayah meletakkan seluruh kepercayaan terhadap Luf Harith.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie