Home Novel Cinta The Story of Us
The Story of Us
Hasz Ninie
26/3/2019 22:04:26
13,314
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

MEMANG betul apa yang diberitahu oleh Ghaz Lutfi. Lelaki yang menculik aku tempoh hari masih bebas kerana hanya anak-anak buahnya saja yang tertangkap. Menurut Ghaz Lutfi, sewaktu dia tiba di tempat penculikan, dia tidak dapat mengesan keberadaan lelaki itu. Perlukah aku risau? Tidak kut. Aku sekarang ini dikelilingi oleh pengawal-pengawal peribadi yang diupah oleh Ghaz Lutfi. Lelaki itu tidak akan berani menentang Ghaz Lutfi.

“Puan tengah menungkan apa tu?”

Kak Zah menegur. Aku tersentak lalu menutup lembaran akhbar dan aku letakkannya ke sisiku. Akhbar tadi tidak dibaca pun. Minda aku sudah menerawang jauh entah ke mana. Hanya apabila aku ditegur oleh Kak Zah, aku kembali ke alam nyata.

“Kak Zah nak bawakan makanan ke bilik papa ke?” Aku bertanya apabila mata ini tertancap pada dulang yang ditatangnya. 

“Haah.” 

“Biar saya hantarkan makanan ni ke bilik papa,” tawarku lalu bangun dari sofa. Aku mendekati Kak Zah, meminta dulang itu bertukar tangan. Kak Zah kelihatan keberatan.

“Eh… Puan kan…” 

Aku tahu apa yang dia mahu cakapkan lalu aku memintas, “Tak apa. Inilah masanya saya nak kenal-kenal bakal bapa mentua saya dengan lebih dekat.” Aku memujuk dia. Termakan dengan pujukan aku, Kak Zah menyerahkan dulang itu kepadaku. 

“Terima kasih, Kak Zah.”

“Lain kali biar Kah Zah aje yang buat. Ini kerja Kak Zah. Bukan kerja puan.” 

Aku sekadar senyum, tidak berjanji apa-apa dengan dia. 

Penuh berhati-hati aku menatang dulang sewaktu mendaki anak tangga. Patutlah susah sangat Luf Harith hendak keluar dari bilik. Dalam keadaan kakinya yang tidak boleh berjalan, bagaimana dia hendak menghirup udara segar di luar rumah? Aku patut usulkan cadangan kepada Ghaz Lutfi untuk memindahkan Luf Harith ke tingkat bawah. 

Pintu kamar tidur Luf Harith memang sedia terbuka. Aku nampak dia sedang membaca majalah. Sekali-sekali dia membetulkan kaca matanya.

“Assalamualaikum, papa.” Aku memberi salam terlebih dahulu. Perasan akan kehadiran aku di muka pintu, Luf Harith menutup helaian majalah. 

“Waalaikumussalam. Masuklah, Ayesha.” Dia mempelawa dengan ramah. Kehadiran aku di vila ini tidak lagi sebagai orang yang tidak dikenali. Aku sudah menjadi orang yang terdekat dengan keluarga ini.

Aku menapak masuk bersama dulang di tangan dan pintu aku biarkan terbuka dengan luas.

“Ayesha ada bawakan makanan untuk papa,” maklumku setelah meletakkan dulang di atas kabinet di sebelah katil.

“Buat susahkan Ayesha aje. Selalunya Zah yang hantarkan makanan ke sini.”

“Mulai hari ni, Ayesha yang akan bawakan makanan untuk papa.” Aku memutuskan tanpa berbincang dengan sesiapa.

Luf Harith tampak serba salah. “Tapi Ayesha kan kerja. Larat ke nak…”

“Ayesha ingat Ayesha nak jaga papa. Jadi, Ayesha fikir Ayesha nak berhenti kerja.” Aku memintas bicaranya, menyatakan rancanganku. 

Aku sudah berfikir masak-masak mengenai perkara ini dan aku tidak mahukan sebarang bantahan. Apa salahnya aku berbakti kepada Luf Harith yang aku sudah anggap seperti papa sendiri? Allah tidak mengizinkan aku menjaga arwah ayah kerana arwah ayah pergi dahulu. Mungkin inilah hikmahnya di sebalik perkahwinan tanpa relaku dengan Ghaz Lutfi. 

Mata Luf Harith bulat, terkejut dengan keputusanku. “Papa tak pernah suruh Ayesha berhenti kerja untuk jaga papa. Ayesha akan jadi isteri Ghaz, bukan pembantu di vila ni. Kalau soal papa, Ayesha tak perlu risau.”

“Papa, Ayesha kesiankan papa. Papa tak boleh berjalan dan setiap hari papa hanya duduk terperuk di dalam bilik aje. Ayesha nak papa rasa udara segar. Luangkan masa dengan anak-anak papa.” Aku menyuarakan perasaan simpatiku terhadapnya. Tidak salah rasanya kalau aku memberi dia peluang menjamu mata dengan melihat pemandangan di luar vila.

“Ayesha…”

“Ayesha akan bincang pasal ni dengan Ghaz. Papa tak payah risau.”

Terlepas keluhan dari bibirnya. Tahu benar aku tidak akan berganjak daripada kata putusku. 

“Ayesha… Arwah ayah Ayesha mengamanahkan papa untuk jaga Ayesha bukan sebaliknya.”

“Ghaz boleh jaga Ayesha.” 

“Ayesha…”

“Papa nak Ayesha suapkan?” Aku menawarkan diri, sengaja menutup subjek perbualan itu kerana aku sudah nekad dengan keputusanku.

Terkesan riak yang kurang senang di wajahnya namun aku buat tidak tahu saja. Mangkuk berisi bubur aku capai. Aku sudukan bubur yang suam-suam kuku itu lalu aku suakan ke arah Luf Harith. Dalam keadaan teragak-agak, Luf Harith membuka mulutnya. Aku tersenyum senang hati.


GHAZ LUTFI menanggalkan kot hitam dari tubuhnya lalu dicampakkan ke sofa. Tali leher turut ditanggalkan lalu dilontarkan ke tempat yang sama. Aku yang memerhatikan lagaknya itu mendengus halus. Tak bolehkah dia letakkan kot dan tali leher itu elok-elok? Tetapi aku malas melayan kerenahnya itu. Lantak dialah. Ini rumah dia. Harta benda dia. Siapa aku hendak menegur dia? Jika aku menegur, ada juga yang tidak puas hati nanti.

“Aku nak cakap sesuatu dengan kau.” Aku memulakan bicara antara kami. Inilah masanya untuk aku berbincang dengan dia. Tentang kami.

Dia melabuhkan duduknya di sofa. 

“Apa dia?”

“Pasal papa.”

“Kenapa dengan papa?” Dia memandang aku dengan riak wajah hairan. 

“Aku fikir nak pindahkan papa ke tingkat bawah. Senang papa nak bergerak dengan kerusi roda dia.” Hasrat itu aku suarakan di hadapannya. Dia bersetuju atau tidak, aku tetap akan memaksa dia untuk bersetuju.

Ghaz Lutfi hembus nafas. “Ayesha, sebelum ni aku dah suarakan pasal tu kat papa tapi papa yang tak nak.”

“Aku akan pujuk papa sampai dia bersetuju dengan aku.” Aku masih tetap dengan keputusanku.

“Kenapa kau beria-ia?” 

“Ghaz, papa mungkin tak boleh berjalan. Tapi dia masih boleh mampu untuk rasa apa yang kita rasa. Kalau dia asyik terperuk dalam bilik aje, kesihatan dia akan bertambah merosot. Aku nak dia rasa udara segar kat luar vila ni. Barulah dia ceria. Kau tak rasa macam tu ke? Pemandangan Allah kat luar vila ni sangat indah. Sayangnya papa tak dapat merasainya lagi.”

Ghaz Lutfi terangguk-angguk bersama senyuman mekar di bibirnya. 

“Nampaknya aku memang tak salah buat pilihan.”

Aku kerutkan dahi. “Pilihan apa?”

“Pilih kau sebagai isteri aku sebab aku tahu kau boleh jadi isteri yang terbaik untuk aku. Dan menantu terbaik untuk papa. Jika kau tanya kepada lelaki lain, adakah mereka mahukan perempuan seperti kau sebagai isteri? Mereka pasti akan menjawab ya.”

“Melebih-lebih pula kau ni. Aku tak adalah baik sebenarnya.” Aku capai kusyen di sisiku lalu aku balingkan ke arahnya. Cekap dia menyambut kusyen itu.

“Orang baik takkan mengaku dia baik dan sebaliknya.”

“Jadi, kau rasa aku orang jahat?”

“Orang jahat boleh berubah jadi orang yang baik.”

Aku buat-buat ketawa.

“Tak betul apa yang aku cakap?”

“Kau ni kan…”

“Ayesha, aku nak bagi kau sesuatu. Kau tunggu sini kejap.” Dia bangkit dari sofa dan berlari keluar dari pintu utama. Aku tercengang dengan tindakannya itu. Apa yang penting sangat sampai dia tidak menyempat hendak mendapatkan ‘sesuatu’ itu?

Tidak lama kemudian, Ghaz Lutfi kembali ke ruang tamu. Di tangannya terdapat paper bag.

“Nah.” Paper bag itu dihulurkan kepadaku. Aku terkebil-kebil memandang dia. Tangan teragak-agak untuk menyambut huluran itu.

“Memang untuk kau. Ambillah,” gesa Ghaz Lutfi, memaksa aku. Hendak tidak hendak, tangan aku menyambut jua beg keras yang terhulur ke arahku itu. Aku melihat isi di dalamnya. Ada sebuah kotak yang aku tidak pasti apakah isinya.

“Apa ni?” soalku sebaik sahaja kotak itu aku keluarkan dari beg kertas. Aku tidak mahu membukanya kerana aku sudah dapat meneka apa yang terisi di dalam kotak itu. Memandangkan aku pernah bekerja di kedai emas, logiklah aku kenal kotak seperti itu.

“Your birthday’s present.”

Aku tergemap. Tidak terkata perasaan terharuku saat ini. Dialah orang pertama yang mengucapkan ucapan hari lahir untuk aku dan dia juga yang menjadi orang pertama memberikan aku hadiah. Adakah dia akan sentiasa menjadi orang pertama yang akan memberi aku kejutan demi kejutan?

“Aku minta maaf sebab baru bagi hadiah ni. Sepatutnya pada malam aku wish kau punya birthday, aku patutnya bagi hadiah. Tapi aku tak sempat nak belikan apa-apa untuk kau. Pagi tadi aku teringat dan aku singgah kat kedai untuk belikan kau hadiah.”

“Kau tak sepatutnya…”

“Kau tak suka?”

Aku geleng. “Bukan aku tak suka tapi kau tak rasa semua ni macam terlalu drastik ke? Kau berusaha untuk impress aku sedangkan aku masih keliru sama ada keputusan yang aku ambil ni baik untuk aku atau tak.” Aku tidak risaukan diri aku. Aku bimbangkan dia. Bagaimana kalau aku melukakan hatinya? Yang merana nanti ialah dia, bukan aku.

“Kau tak perlu paksa diri kau untuk jatuh cinta pada aku dalam masa yang singkat. Kau hanya perlu jadi isteri aku dan sokong aku. Itu aje. Aku bukan minta kau jadi teman tidur.” 

Kata-katanya itu meresap ke kalbuku. Dia memang tidak meminta aku menjadi peneman tidurnya tetapi sebaik sahaja lafaz terakad antara aku dan dia, aku sudah mempunyai tanggungjawab sebagai seorang isteri. Tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya. Jika aku mengasingkan tempat tidur, aku yang berdosa. Aku tidak mahu mencemarkan kesucian sesebuah perkahwinan dengan meletakkan syarat tertentu dengan niat untuk membataskan sentuhan antara kami berdua. Lagipun, tiada perkahwinan kontrak dalam Islam. Terlafaznya akad nanti, aku dan dia perlu memainkan peranan masing-masing.

“Ghaz, aku tak yakin kalau aku mampu jadi isteri terbaik untuk kau. Kau perlu bagi aku masa.”

Dia mengangguk, tidak menunjukkan keberatan atas permintaan aku. Dia mengerti aku, itu sudah cukup.

“Amanah arwah ayah kau bukan satu mainan, Ayesha. Papa dah berjanji dengan arwah ayah kau dan janji itulah yang aku mahu tunaikan. Jaga dan melindungi kau selagi Allah izinkan. Dalam masa yang sama, kau juga boleh menyokong aku sebagai isteri.”

Aku diam sahaja, tidak tahu hendak memberi respon apa.

“Bukalah kotak tu.” 

Tangan aku agak terketar-ketar untuk membuka kotak itu. Saat bahagian penutupnya diangkat, aku terpempan. 

“Tak. Aku tak boleh terima hadiah ni.” Aku menutup kotak itu kemudian meletakkannya di atas meja kopi. 

“Kenapa?” Dahi Ghaz Lutfi mencipta kerutan.

“Mahal. Aku tak layak hadiah semahal tu.” Aku berkali-kali menggelengkan kepala. Seumur hidupku tidak pernah dihadiahkan sesuatu yang melebihi gajiku sebulan. Rantai leher emas kut. Memang tidaklah aku hendak memakainya.

“Ayesha, hadiah ni memang untuk kau.” Nada suaranya kedengaran tegas menandakan dia tidak memberi aku sebarang peluang untuk menolak pemberian itu.

“Tak. Aku tak layak untuk terima hadiah semahal tu.” Aku berdegil. Agak-agaklah aku hendak menerima hadiah sebegini. Terima tetapi tidak pakai, membazir juga akhirnya. Sepatutnya dia bagi sahaja kepada Sara. Aku yakin Sara tidak akan menolak hadiah ini.

“Siapa cakap kau tak layak? Kau bakal isteri aku. Dan hadiah ni memang dikhaskan untuk bakal isteri aku. Kau nak tahu tak? Inilah kali pertama aku belikan rantai emas untuk seseorang. Aku tak pernah keluarkan duit aku untuk beli barang mahal macam ni tahu? Tapi untuk kau, aku sanggup.”

Mataku mengecil. Benarkah apa yang dikatakannya itu? Mana mungkin dia tidak pernah membelikan apa-apa untuk perempuan lain. Macamlah aku seorang sahaja perempuan yang dekat dengan dia. Tidak boleh percayakan dia sangat. Nanti senanglah dia hendak menundukkan aku.

“Kau jangan tipu aku. Kau kaya. Kau ada banyak duit. Takkanlah kau tak pernah ada teman wanita? Dan tak pernah belanja teman wanita kau? Aku tak percaya.” Aku mulai serkap jarang. Tipulah kalau dia cakap dia tidak pernah mempunyai hubungan dengan mana-mana perempuan sebelum ini. Hati dia mungkin sudah dimiliki oleh seseorang sebelum aku dan dia dipertemukan.

“You’re the first and the last for me.”

Ayat itu menyentap tangkai hati aku. Pertama dan terakhir? Boleh ke aku percayakan dia ni? Sungguh, aku tidak mahu kehadiran orang lain pada saat aku dan dia sudah berkahwin. Haru jadinya kalau aku dipaksa bersaing dengan perempuan lain untuk mendapatkan Ghaz Lutfi.

“Kau memang pandang semua orang kaya macam tu ke? Banyak duit dan punya ramai perempuan? Aku bukan macam tu, Ayesha. Selama ni aku memang tak pernah bazirkan masa aku untuk perempuan. Aku sibuk. Tak ada masa nak fikir pasal tu.” Dia kedengaran serius, menolak tuduhan aku.

“Tapi kau ada masa pula untuk fikirkan pasal aku?”

“Sebab kau bakal isteri aku, Ayesha sayang.”

Aku melarikan wajah, tidak mahu menunjukkan wajah aku yang sudah merona. Panggilan ‘sayang’ itu sudah mencairkan hati aku. Berkali-kali aku menepis perasaan teruja ini, aku terpaksa mengaku dia telah berjaya menarik seluruh perhatianku. Dadaku berdebar-debar. Jantung aku berdetak dengan kadar kelajuan luar biasa. Dan aku dapat merasakan rasa menggeletar di tanganku sudah merangkak sehingga ke seluruh tubuh.

“Ayesha…”

“Aku nak naik ke bilik.” Cepat-cepat aku bangun, mahu mengelak daripada dia. Namun, sepantas kilat dia menyambar lenganku yang berlapik. 

“Take this with you.” Suaranya berbaur arahan dan aku tidak dapat menolak lagi. Pemberian yang aku tolak mentah-mentah tadi sudah mendarat di telapak tanganku. Aku melangut muka, memandang dia.

“Aku tak terima penolakan.” Dia bertegas.

Hanya dengan sebaris ayat itu, aku membisu dan terpaksa menerima pemberiannya.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie