Home Novel Cinta The Story of Us
The Story of Us
Hasz Ninie
26/3/2019 22:04:26
13,330
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

‘ARWAH ayah kau kenal Luf Harith’. 

Ayat itu menyentakkan aku. Luf Harith? Kejap. Minda aku sudah dapat menangkap sesuatu. Tidak mungkin! Nama yang aku katakan aku tidak tahu itu akhirnya menjengah ke lipatan memoriku. Arwah ayah… Dia ada memberitahu sesuatu kepadaku melalui sepucuk surat. Dan di dalam surat itu dia ada menyebut tentang seorang lelaki bernama Luf Harith. Mungkinkah…?

“Kau…” Aku merasakan seluruh tubuhku menggigil apabila matanya merenung tepat di wajahku. Tarikan apakah ini? Hanya seorang lelaki bernama Ghaz Lutfi berjaya membuat aku seperti ini. Sungguh aku tidak percaya akan ada tarikan magnet antara aku dan dia. Apa yang paling menakutkan aku ialah dialah satu-satunya lelaki yang berjaya menarik perhatianku sepenuhnya.

Bagaimana aku hendak menerima semua ini? Fikiran aku kusut. Rasa seperti hendak hantuk saja kepala ini ke dinding.

“Luf Harith tu papa aku.”

“Kau anak kepada Luf Harith?!” Nada suara aku mendadak naik, hampir menggegarkan gegendang telingaku sendiri.

“The one and only.” Entah bila masakah dia merapati aku kerana bisikan itu begitu dekat dengan telingaku. Suaranya dilunakkan, mahu meraih perhatian aku. Dan aku yakin aku kini sudah tertarik sepenuhnya kepada dia. Cara dia bercakap dan cara dia merenung aku sudah cukup membuatkan hati wanita aku bergetar. Mana mungkin aku mampu menepis perasaan aneh ini dengan mudah. Rapuhnya jiwa aku…

“Jadi, kau adalah bakal isteri aku.”

Aku kematian kata. Minda aku berkecamuk dalam cubaan untuk mencerna segala maklumat yang terkumpul di situ. Lelaki ini… Lelaki yang kini duduk di sebelahku ialah anak kepada Luf Harith, kawan kepada arwah ayah. Arwah ayah pernah memberikan aku sepucuk surat sebelum dia meninggal. Dan surat itu hanya perlu dibuka sebaik sahaja umur aku mencecah 18 tahun. Surat itu aku simpan rapi di dalam bilikku di rumah anak yatim dan setelah genap umur aku 18 tahun, aku membuka surat itu dan membaca isi kandungannya. Masih aku ingat setiap bait-bait perkataan yang tercoret di dalamnya. Membaca isinya sahaja sudah membuatkan tangan aku bergerunyut. 


Anak ayah… 

Ayesha Afiyah. 

Maafkan ayah sekiranya ayah terpaksa meninggalkan Ayesha sepertimana arwah ibu tinggalkan kita berdua. Tapi Ayesha tak perlu risau. Akan ada orang yang menjaga dan melindungi Ayesha. Walaupun ayah dan ibu dah tak ada di sisi Ayesha, kami akan sentiasa mendoakan Ayesha. 

Maafkan ayah sekali lagi, sayang. Ayah tak berniat hendak menjual Ayesha jauh sekali hendak mempertaruhkan kebahagiaan anak ayah sendiri. Tapi ayah melakukannya kerana atas dasar kasih sayang ayah kepada Ayesha. Suatu hari nanti Ayesha akan faham mengapa ayah buat macam tu. Percayalah. Ayah hanya mahu melihat anak ayah bahagia. Disayangi oleh semua orang. Ayah tak nak anak ayah dicerca hanya kerana Ayesha bukan anak kandung ayah. Ayesha berhak hidup seperti gadis yang lain.

Ayah ada bercakap tentang seseorang yang akan menjaga dan melindungi Ayesha, bukan? Suatu saat ayah pergi dari hidup ini, dia akan datang kepada Ayesha. Ayesha perlu ingat satu nama saja iaitu Luf Harith. Dia ialah kawan baik ayah. Dan ayah juga sudah banyak terhutang budi pada dia. Jadi, mulai hari ini Ayesha anggaplah Luf Harith itu sebagai ayah Ayesha kerana suatu saat nanti Ayesha juga akan menjadi sebahagian daripada keluarganya. Menjadi isteri kepada anaknya. Ayah serahkan Ayesha kepada orang yang ayah percaya akan menjaga Ayesha sebaik mungkin.

Jadilah isteri dan ibu yang baik untuk bakal anak-anak Ayesha. Maknakan kehidupan Ayesha. Ayah dan ibu tak mahu apa-apa melainkan kebahagiaan Ayesha sendiri. Ayah sayangkan Ayesha. Demi Allah, ayah tak pernah nak memperjudikan nasib Ayesha. Ayesha berhak disayangi, berhak mengecapi kebahagiaan.

Ayah, Zahid.

Setitis demi setitis air mataku menitis dan jatuh ke pipi saat aku mengingati satu per satu kandungan surat itu. Teganya arwah ayah menyerahkan aku kepada seseorang dalam keadaan aku tidak memberikan apa-apa persetujuan. Dia melakukannya demi kebahagiaan aku? Kebahagiaan apa yang dia maksudkan?

Aku sudah cukup bahagia dengan apa yang aku ada sekarang ini. Pendidikan aku tidak seberapa, tidak segah orang lain. Aku belajar sehingga STPM saja. Dan setelah itu, aku bekerja di sebuah kedai emas. Gajinya cukup menampung hidupku. Aku tidak mahukan kemewahan. Cukuplah dengan apa yang aku ada sekarang ini. Tetapi semuanya akan lenyap dalam sekelip mata kerana nasib dan hidupku kini dipertaruhkan kepada lelaki yang berpengaruh. Aku tahu dan amat yakin bahawa Ghaz Lutfi bukanlah calang-calang orang. Dia dikelilingi oleh orang-orang suruhannya. Mereka memanggilnya dengan gelaran hormat iaitu ‘tuan’. Malahan, dengan mudahnya dia menewaskan orang-orang yang menculikku. 

Aku telah terjerat ke dalam perangkap seorang lelaki bernama Ghaz Lutfi. Akukah yang bernasib malang dipertemukan dengan lelaki ini?

“Hei, kau menangis?” Terkejut dengan sentuhan lembut pada pipiku, aku terus menengadah kepala. Tangannya menari-nari di pipiku, mengesat sisa air mataku dengan tisu. Anehnya, aku tidak menolak tangan itu.

“Takkanlah aku mahu tersenyum dalam keadaan macam ni?” Ada unsur sindiran dalam kata-kataku. 

Dia tidak lagi bertanya. Wajahnya kosong. Sekosongnya. Tiada apa-apa reaksi. Suasana di dalam kereta menjadi hening kerana masing-masing sudah mencipta dunia sendiri di ruangan mata.


KERETA yang bergerak ini memasuki sebuah laman yang sangat luas. Tersergamnya vila mewah di hadapanku. Di garaj, beberapa buah kereta mewah tersusun dengan cermat. Mak oi, kaya sangat keluarga lelaki ini. Macam mimpi pula aku dibawa ke sini. 

“Kita dah sampai.” Ghaz Lutfi memberitahuku.

Aku pandang dia yang sudah membuka pintu kereta. “Dan tempat ni…?” Aku agak ragu-ragu untuk bertanya.

“Vila keluarga aku.”

Dia melangkah turun dari kereta. Pada awalnya aku tidak mahu turun namun dia tetap menggamit aku agar segera menapak keluar dari perut kereta. Sewaktu aku menutup rapat pintu kereta, mata aku terus meliar ke arah sekeliling. 

“You’re dangerous.” Suaraku separa berbisik. Sewaktu aku berada dalam dalam tahanan penculik yang mendendami arwah ayah, aku tidak pula takut. Tetapi apabila aku bersama Ghaz Lutfi, ketakutan mulai menguasaiku. Paniknya aku pada saat ini menjadikan aku seolah-olah lumpuh, memaksa diri aku akur kepada seorang lelaki yang sedang memandangku dengan pandangan yang sukar ditafsir. 

“I’m not.” 

Dia menekankan suaranya, seakan-akan mahu meyakinkan aku bahawa aku telah membuat penilaian yang salah tentang dirinya. Hanya kerana aku menuduhnya sebagai lelaki bahaya, dua matanya merenung tajam ke arahku. Terkesankah dia dengan tuduhan aku itu? 

“Kau memang lelaki bahaya,” desisku. Aku masih tidak menarik balik tuduhan itu, melawan segala perasaan yang sedang bergelodak dalam diri. Mana mungkin aku mahu berkongsi hidup dengan seorang lelaki sepertinya. Menjaga aku? Entah-entah dia yang merosakkan aku. Arwah ayah… Kenapa dia mengamanahkan aku kepada lelaki bahaya ini?!

“Kau dah salah menilai tentang aku, Ayesha. Aku tak bahaya. Aku bukan orang jahat seperti yang kau sangkakan.” Dia menegaskan, berharap aku menarik balik tuduhan yang aku lemparkan kepadanya.

“Kau belasah orang. Kau masih nak cakap kau bukan lelaki macam tu?” tempelakku. Dia tidak bahaya kononnya padahal tadi bukan main seronok dia menerajang orang. Mata aku menjadi saksi. Dan dia masih mahu menafikan. 

“Tapi dia orang tak mati. Dan orang-orang aku sudah memaklumkan kepada pihak polis tentang hal itu. Lagipun, dia orang juga bersalah dengan menculik kau.” Dia membela diri.

Aku buntangkan mata. Mati atau tidak, dia tetap menggunakan kekerasan. Jika dilihat dari sudut pandangan undang-undang, dia dikira bersalah kerana mendatangkan kecederaan. 

Aku angkat tangan, memicit dahiku. 

“Arwah ayah aku… Dia ada bagi surat kepada aku. Dalam surat tu dia cakap akan ada orang yang akan menjaga dan melindungi aku iaitu ayah kau, Luf Harith. Dia juga ada cakap yang aku akan menjadi isteri kepada anak Luf Harith. Jadi, anak yang dimaksudkan itu ialah kau?” Aku tidak pasti perasaan apa yang sedang menghurung hatiku kala ini. Semua yang berlaku adalah di luar permintaan dan kesedaran aku. Terikatnya aku kepada seorang lelaki asing hanya kerana sepucuk surat.

“Kau dah tahu jawapannya.” 

“Habis tu, kenapa baru sekarang kau mencari aku? Kenapa tidak dari dulu lagi setelah arwah ayah pergi meninggalkan aku? Mengapa sekarang kau mahu merosakkan kehidupan aku?” Bertubi-tubi aku menyerang dia dengan soalan. 

“Kau nampak bahagia tinggal di rumah tu jadi papa aku fikir ada baiknya kau terus tinggal di situ. Untuk pengetahuan kau, aku tak ada niat nak rosakkan kehidupan kau,” balas Ghaz Lutfi dengan tenang. 

“Dan sekarang kau dan papa kau mahukan aku menjadi sebahagian daripada keluarga kau orang? Apa ni? Kau ingat aku ni apa?” 

Aku berasa kecewa. Terkelindan aku dengan kenyataannya itu. Dia tahu aku sudah bahagia dengan kehidupan aku lalu mengapa dia mencuba merosakkan semuanya? Hanya kerana amanah arwah ayah? Selama ini aku boleh saja bernafas dengan tenang. Tiada sesiapa menggangguku. Aku bahagia. Aku tidak perlukan dia. Dia fikir aku mahu bergantung pada orang lain? Aku lebih rela hidup tanpa pergantungan orang lain. Semenjak aku keluar dari rumah anak yatim, aku sudah pandai berdikari. 

“Kau bukan lagi seorang budak, Ayesha. Ini masanya untuk kau fikirkan masa depan kau. Juga keselamatan kau. Aku akan menjaga dan melindungi kau.” Bibirnya carik dengan senyuman. 

“Selamat ke aku setelah mengahwini seorang lelaki bahaya macam kau?” Terpacul soalan berbaur sinis itu dari bibirku. Aku pejamkan mata seketika dan membukanya sesaat kemudian. Namun, sebaik sahaja mata aku bertemu dengan anak matanya, dia tidak lagi tersenyum ke arahku. Riak wajahnya bertukar menjadi kosong, tiada biasan emosi manusia di sebalik riak itu. Dia seolah-olah telah memakai topeng di wajahnya dan menyembunyikan wajah sebenarnya daripada pandanganku.

“Siapakah yang bahaya? Lelaki yang culik kau tadi atau aku?” Dia menyoal. 

Setapak dia menapak ke arahku, mengecilkan jarak antara kami. Setapak juga aku berundur, cuba menjauhinya.

“Aku baru kenal kau. Macam mana aku nak tahu kalau kau tak mempunyai niat yang tak baik terhadap aku?”

Dia mengetap bibir.

“Apa…!”

Tidak aku duga dengan tindakannya yang pantas. Lengannya menangkap pergelangan tanganku dan tubuhku ditolak ke kereta. Walaupun tolakan itu tidaklah kuat mana namun bagi aku, tindakannya itu cukup melampau dan aku ingin sekali meludah ke wajahnya. Tiada sesiapa pernah memperlakukan aku seperti ini kecuali orang yang menculik aku tadi. Untuk hari ini saja aku sudah menjadi mangsa kepada dua lelaki yang tidak tahu menghormati perempuan. Dayus!

Dan-dan, kedua-dua telapak tangannya melekap pada dinding kereta, di antara kepalaku. Tubuhku mengeras. Kedudukan kami agak rapat benar setelah dia berjaya memerangkapku pada kereta. Jika dilihat dari arah belakang, aku bagaikan dipeluk oleh dia padahal tangannya tidak menyentuh mana-mana bahagian tubuhku. 

“Tuan!” Pemandu Ghaz Lutfi yang terkejut dengan tindakan majikannya mahu masuk campur namun ditegah.

“Jangan menyibuk.” Arahan itu kedengaran tegas menandakan dia benar-benar tidak mahu sesiapa sahaja campur tangan.

Pemandu itu mundur, tidak jadi menghayunkan langkah ke arah kami berdua. 

“Ayesha, let’s get one thing straight.” Dia memulakan bicara. Aku melangut muka, menentang sepasang mata miliknya. Pandangan kami bersatu. Dua nafas menjadi satu. Hembusan nafasnya yang menyentuh kulit wajahku menjadikan aku kegelian sekaligus mendatangkan rasa gementar dalam diriku. Aku merasakan pada saat ini hanya kami berdua sahaja yang ada di situ. Tiada yang lain walaupun aku yakin beberapa pasang mata sedang memerhatikan kami. Mereka mungkin berandaian aku dan Ghaz Lutfi sedang melakonkan babak dalam drama. Mungkin disebabkan itulah, mereka tidak mahu menjadi penyibuk dan lebih rela menjadi penonton. 

Aku merenung anak matanya sedalam-dalamnya dan dalam masa yang sama aku tertanya-tanya adakah aku akan mati di tangan seorang lelaki yang mendakwa dirinya adalah bakal suamiku. 

Ghaz Lutfi tersenyum ke arahku. Walau bagaimanapun, tiada kehangatan atau kemesraan daripada senyumannya itu. Dia tidak mencuba untuk menarik perhatianku lagi sebaliknya dia mahu ‘menundukkan’ aku.

“Aku bukan seorang lelaki bahaya. Aku hanya seorang lelaki biasa. Aku belasah dia orang semua tadi kerana aku tahu dia orang mahu apa-apakan kau. Kau fikir aku akan biarkan aje bakal isteri aku menjadi mangsa lelaki tu?” Suaranya bergemeresik, menghantar satu maksud yang aku fahami dengan jelas.

“Tapi kau…”

“Kau masih nak cakap aku lelaki bahaya? Ayesha, kau kena faham. Kalau aku lelaki bahaya, takkanlah aku selamatkan kau? Baik aku biarkan kau macam tu aje. Aku tahu apa yang aku buat. Aku menyelamatkan bakal isteriku. Juga bakal ibu kepada anak-anakku. Kau kena faham tu.”

Secara tiba-tiba, pernafasanku bagaikan terhenti seolah-olah salurannya tersumbat. Beria-ia benar dia mahu aku menjadi isterinya dan ibu kepada anak-anaknya. Tetapi dia tidak bertanya kepada aku sama ada aku bersedia atau tidak dengan kejutan ini. Menjadi isterinya? Mahukah aku? Aku tidak kenal dia. Macam mana hendak berkongsi hidup dengan orang yang aku tak kenal langsung?

“Kau ialah Ayesha, bakal isteri aku. Ingat tu.” 

Kenyataan itu sahaja sudah cukup membuatkan aku mahu pitam. Pada hari ini bersamaan 13 Februari 2019, aku diangkat menjadi bakal isteri kepada seorang lelaki bernama Ghaz Lutfi. Sehari sebelum hari kekasih menjengah.

“Kau dah faham, kan? Aku tak buat semua ni kerana aku terpaksa. Kau akan menjadi isteri aku dan aku akan menjadi suami kau.”

Usai menuturkan ayat terakhirnya, dia menjarakkan kedudukan kami. Tangannya jatuh ke bawah. Aku menarik nafas lega. Hampir semput aku dengan tingkahnya. 

“Papa aku nak jumpa kau.” Dia membalikkan tubuh, bersedia untuk melangkah.

“Kejap.” Aku cuba menghalang langkahnya. Serentak, dia memusingkan tubuh. “Apa dia?”

“Aku tak cintakan kau dan kau takkan cintakan aku. Jadi, kenapa kau masih nak jadikan aku isteri kau?”

“Salah tu. Kau akan jatuh cinta kepada aku dan aku akan mencintai kau,” sanggahnya. Bibirnya kembali herot dengan senyuman. Yakin benar cara dia bercakap itu. Tetapi aku tidak menafikan. Renungannya sahaja sudah membuatkan diri aku lemah apatah lagi setelah berkongsi hidup dengannya kelak.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie