Home Novel Cinta The Story of Us
The Story of Us
Hasz Ninie
26/3/2019 22:04:26
13,335
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

SARA bersungguh-sungguh mahu membawa aku meninjau ke segenap ruang vila ini. Dari setiap bilik ke setiap bilik aku dibawanya. Mulutnya becok menerangkan kepada aku tentang setiap dekorasi. Aku hanya mengikut dan mendengar sahaja. Dia yang beria-ia, bukan aku. Aku menurut pun kerana aku tidak mahu menghampakan dia. 

Tangannya menarik aku sekali lagi, menuruni anak tangga. Melintasi ruang tamu, kami akhirnya tiba di dapur.

“Kak Ayesha, inilah dapur. Kalau Kak Ayesha teringin nak masak apa-apa, semuanya dah tersedia di dalam peti sejuk. Tapi Sara rasa along takkan bagi Kak Ayesha masak kut.”

Aku liarkan mata. Ruang dapur yang bersih dan luas. Menghadap pula taman yang menghijau. Suasana pada waktu makan akan menjadi lebih nyaman dan segar. Bolehlah juga mencuci mata melihat kehijauan ciptaan Allah. Aku mengelilingi ruang dapur ini. Konsep klasik menjadi pilihan. Kabinet yang ada diperbuat daripada kayu oak. Susunannya pula mengikut bentuk U untuk membenarkan keupayaan berfungsi segi tiga yang menjadikan kerja menjadi lebih mudah. Kalau aku memasak di dapur seluas ini, dalam sekelip mata sahaja ia akan menjadi tongkang pecah. Mana tidaknya? Aku tidak tahu di mana letaknya bahan-bahan untuk memasak. Silap hari bulan, garam halus dikatakan gula.

Sara berdiri tegak di tepi peti sejuk, memberikan aku peluang untuk memerhatikan ruang dapur ini. Wajahnya kelihatan bangga kerana dapat memperkenalkan ruang dapur yang cantik ini kepadaku. Aku senyum kepadanya kemudian mengheret langkahku ke pintu gelangsar. Pintu gelangsar ditolak ke dua arah. Terbentang taman yang indah di hadapanku. Dihiasi bunga yang cantik dan mempesonakan. Sejuk mata memandang. Angin lembut menyapa muka. Kalau macam inilah suasananya, aku sanggup masuk ke dapur setiap hari.

“Tapi kenapa dia tak bagi akak masak?” Aku toleh ke belakang, melontarkan pertanyaan.

“Kak Ayesha, papa dah menggaji pembantu rumah. Logiklah along tak bagi Kak Ayesha masak.”

“Tapi kan… Mana papa Sara?” 

Sejak dari tadi Ghaz Lutfi dan Sara menyebut tentang Luf Harith tetapi aku masih tidak nampak kelibatnya. 

Raut wajah Sara berubah. Aku dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

“Papa… Papa sedang berehat di bilik,” balas Sara tidak beriak.

“Sara…” Suara aku tekankan sedikit, meminta dia menjelaskan perkara sebenar. Tidak mahu bersimpang-siur.

“Tiga tahun lepas papa dan yang lain terlibat dalam kemalangan. Arwah mama dan pemandu papa meninggal kat tempat kejadian. Papa disahkan lumpuh. Sebab itulah papa banyak berehat di bilik aje sebab dia tak nak susahkan sesiapa,” jelas Sara. 

“Boleh akak jumpa dengan papa Sara?” pintaku. Aku juga ingin mengenali seseorang yang berkawan rapat dengan arwah ayah. Mahu mengenal seorang lelaki bernama Luf Harith yang sudi menerima aku sebagai bakal menantunya walaupun kami masih tidak kenal antara satu sama lain.

Sara mencapai tanganku. Kali ini, dia membawa aku mendaki anak tangga. Setibanya kami di depan pintu bilik milik Luf Harith, aku dapati pintu bilik sudah terbuka. Aku dan Sara mula merapatkan diri ke dinding. Aku mengintai di sebalik ruang kecil di antara pintu dan kisi-kisinya. Ghaz Lutfi kelihatannya sedang bercakap dengan Luf Harith. Aku memasang telinga, ingin mencari tahu apa yang sedang dibicarakan oleh mereka berdua. Saat nama aku terpacul dari bibir Ghaz Lutfi, aku tahu mereka sedang berbicara mengenai aku.

“Dia masih berada dalam keadaan terkejut, Ghaz. Bagilah dia masa. Bukan mudah nak menakluki hati seorang perempuan. Papa juga pernah lalui apa yang Ghaz lalui. Arwah mama Ghaz juga keras hati orangnya. Macam-macam cara papa gunakan untuk pikat dia. Tapi dia memang tak pandang papa. Akhirnya…”

“Ayesha…” 

Ghaz Lutfi tiba-tiba menoleh ke belakang. Mata aku terjojol besar apabila dia melemparkan senyuman ke arahku. Aku fikir dia tidak tahu aku sedang mencuri dengar perbualan di antara dia dan Luf Harith. Rasa malu menyerbu mukaku. Mana aku nak sorok wajah ini?

“Tak baik mencuri dengar perbualan orang tahu?” Dia tersenyum senget. Senyuman itu kelihatan nakal di mataku.

Aku cepat-cepat menjarakkan aku dari muka pintu. Sara menepuk bahuku. Dia mengangkat kening.

“Kenapa?”

“Papa Sara tengah bercakap…”

Tidak habis ayatku, Ghaz Lutfi sudah muncul di muka pintu. Aku dan Sara hampir sahaja terlompat kerana terkejut dengan kemunculannya yang tiba-tiba itu. 

“Opocot mak kau!” Sara melatah kuat. Dadanya diusap perlahan. Tangan yang tergenggam ditunjukkan kepada alongnya.

Bila adiknya melatah, boleh pula Ghaz Lutfi senyum. 

“Papa nak jumpa kau.”

Aku menarik nafas sebelum melepaskannya perlahan. Rasa berdebar-debar juga hendak bertemu dengan bakal bapa mentua walaupun perkahwinan yang akan berlangsung adalah di luar kemahuanku. Aku turut usap dadaku perlahan-lahan, mengundang tawa kecil dari mulut Ghaz Lutfi dan Sara. Dua beradik ini seronok benar mentertawakan aku. Mereka tidak tahukah yang aku sedang menggelabah?

“Kak Ayesha tak payahlah risau. Papa tak makan orang.” Sara geli hati.

Aku mencubit lengannya. “Siapa cakap akak takut?” Nak jumpa bakal bapa mentua saja, kan?

“Tangan kau menggigil.” Ghaz Lutfi menjuihkan bibirnya ke arah tanganku. Dia turut sama mengusikku. Aku dapat merasakan tanganku menggeletar lalu aku sembunyikan tanganku ke belakang. 

“Ayesha…”

Laungan namaku dari dalam bilik yang menempatkan Luf Harith menyentakkan aku. Aku pandang Ghaz Lutfi dan Sara silih berganti. Kedua-duanya menganggukkan kepala, mengisyaratkan aku sesuatu. 

Dengan lafaz bismillah, aku menapak ke dalam bilik itu diikuti Ghaz Lutfi dan Sara. Mujurlah mereka menemani aku. Kalau tidak, janggal juga aku hendak beramah dengan Luf Harith. 

Nampak sahaja aku, Luf Harith menyambutku dengan senyuman manis di bibirnya. Tangannya dilambaikan ke arahku, meminta aku merapatinya. Tanpa membuang masa, aku gagahkan diri aku untuk mendekati katil. 

“Ayesha, kan?”

Spontan aku mengangguk. 

“Duduklah. Papa nak berborak dengan Ayesha,” pelawanya, merujuk kepada kerusi yang berada di sebelah katil. Aku akur saja. Punggung dilabuhkan ke kerusi sementara Sara sudah bergerak ke sisi katil. Dia duduk di birai katil. Ghaz Lutfi pula bersandar pada dinding dengan kedua-dua tangan menyeluk poket seluarnya.

“Ayesha sihat?” Itulah soalan pertama yang ditanyakan kepada aku. Aku menjawab dengan anggukan.

“Ayesha okey? Penculik tu tak ada buat apa-apa pada Ayesha, kan?” Cara dia bertanya seperti seorang ayah yang merisaukan anaknya. Hati aku tersentuh dengan keprihatinannya. 

“Tak ada.”

“Alhamdulillah.” Luf Harith meraup wajahnya. Setelah itu, tangannya dijatuhkan. Matanya merenung tepat ke wajahku. “Maafkan papa sebab baru sekarang papa munculkan diri. Sepatutnya selepas arwah Zahid meninggal, papa cari Ayesha dan bawa Ayesha masuk ke dalam keluarga ni. Tapi pada masa tu, Ayesha kelihatan gembira tinggal di rumah anak yatim tu. Jadi, papa tahan diri untuk bawa Ayesha pergi dari situ. Maafkan papa,” ujarnya membahasakan dirinya dengan panggilan ‘papa’. Aku pula yang janggal mendengarnya. 

“Tak apa. Ayesha tak salahkan pak cik.” 

“Panggil papa aje. Tak lama lagi Ayesha akan jadi menantu papa juga.” Dia kelihatannya berharap benar aku memanggilnya dengan gelaran itu sedangkan lidahku agak ‘keras’ untuk menggunakan gelaran itu. Ini pertemuan pertama antara aku dan dia. Bagaimana mungkin aku mampu memanggilnya ‘papa’?

“Cuba Kak Ayesha sebut pa-pa,” saran Sara yang bersetuju dengan permintaan Luf Harith.

“Pa-pa…” Bagaikan anak kecil yang baru pandai bercakap, aku menyebut perkataan itu.

Luf Harith senyum, berpuas hati. “Papa rasa anak papa dah ceritakan semuanya kepada Ayesha tentang amanah arwah ayah Ayesha.”

“Arwah ayah ada tinggalkan surat sebelum dia meninggal.” Aku menjelaskan. 

“Ayesha dah baca kandungan surat tu?”

Aku mengangguk.

“Dan Ayesha tak rasa pelik apabila tak ada orang datang ambil Asha setelah arwah ayah Ayesha meninggal?”

Aku gelengkan kepala. Sejujurnya, aku sendiri menyangka kandungan surat itu hanyalah pembohongan semata-mata kerana setelah arwah ayah meninggal, lelaki bernama Luf Harith seperti yang dikatakan dalam suratnya tidak memunculkan diri di hadapanku. Aku juga malas memberatkan kepala aku dengan perkara itu lantaran aku sudah mempunyai tempat tinggal. Di rumah anak yatim aku membesar, masakan aku masih mahukan tangan orang lain terhulur kepadaku? Setelah mengangkat kaki dari rumah anak yatim yang selama ini menumpangkan aku, aku sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri. Tidak mengharapkan ihsan orang lain. 

“Papa memang nak ambil Ayesha pada masa tu tapi bila papa tengok Ayesha bahagia tinggal kat rumah tu, papa fikir ada baiknya kalau Ayesha tinggal kat situ sampailah Ayesha dah boleh berdikari.” Tutur bicara Luf Harith amat menyenangkan aku kerana dia seolah-olah menganggap aku seperti anaknya sendiri.

“Dan kenapa sekarang papa nak Ayesha masuk ke dalam keluarga papa?” Tercuit rasa ingin tahu dalam diriku.

“Papa dah arahkan Ghaz untuk perhatikan Ayesha setiap masa. Bila papa dapat tahu yang Ayesha kena culik, papa tak senang duduk. Papa silap. Ayesha mungkin dah pandai berdikari tapi Ayesha tetap seorang perempuan. Sebab itulah papa suruh Ghaz pergi selamatkan Ayesha dan bawa Ayesha ke sini. Amanah arwah ayah Ayesha adalah untuk melindungi Ayesha dan papa nak tunaikan amanah tu.” Satu per satu dia menjelaskan kepadaku. Aku tadahkan telinga, mendengar segala penjelasan itu dengan tekun.

“Tapi kenapa Ayesha kena kahwin dengan anak papa?” Ekor mata aku dilirikkan ke arah Ghaz Lutfi. 

“Sebab papa tak nak Ayesha jadi anak papa aje. Papa nak Ayesha kekal tinggal kat sini sebagai satu keluarga. Bersama papa. Bersama Ghaz dan Sara. Kalau Ayesha jadi anak angkat papa aje, besar kemungkinan Asha akan menjauhkan diri daripada papa dan yang lain. Mungkin juga Ayesha akan menolak untuk tinggal kat sini.”

Aku mengeluh berat. Macam tidak logik saja alasan dia. Memang ini sajakah pilihan yang aku ada? Tidakkah aku memperjudikan kebahagiaan aku sendiri dengan menerima Ghaz Lutfi sebagai suamiku?

“Papa lakukan semua ini sebab papa risaukan keselamatan Ayesha. Percayalah cakap papa. Ghaz ada cakap pada papa. Orang yang culik Ayesha terlepas. Yang tertangkap pun hanya anak-anak buah dia aje. Mesti dia ada menyorok kat mana-mana sekarang ni. Dan dia mungkin akan cari Ayesha balik. Dia berdendam dengan arwah ayah Ayesha, kan?”

Serta-merta, raut wajahku berderau. Luf Harith tahu mengenai penculik yang menculik aku?

“Papa pun tahu pasal penculik tu?”

“Semuanya tentang diri kau, Ayesha.” Ghaz Lutfi mencelah. Mata aku mencari anak matanya. 


“KAU sendiri cakap yang kau dah laporkan kepada polis pasal tu. Takkanlah dia boleh terlepas lagi?” Aku naik radang, melepaskan amarahku di hadapan Ghaz Lutfi. Aku fikir apabila dia sudah melaporkan perkara itu kepada pihak polis, aku boleh bernafas dengan tenang. Orang itu tidak akan mencariku lagi.

“Ayesha sayang, yang tertangkap tu ialah orang-orang dia. Tapi bos dia masih bebas kat luar sana. Masa aku sampai, dia dah lesap. Mungkin dia dah tahu yang aku akan datang untuk selamatkan kau. Sekarang ni kita tak tahu dia ada kat mana. Mungkin dia sedang bersembunyi. Siapa tahu dia cuba culik kau sekali lagi seperti yang papa cakap tadi? Kau tak takut ke?” 

“Ah! Kau memang sengaja nak takut… Eh, kejap. Kau panggil aku apa tadi?” Aku fikir telinga aku yang salah mendengar atau dia betul-betul menyebut perkataan ‘sayang’ itu.

“Sayang.” Selamba sahaja dia mengaku. 

“Apa bersayang-sayang dengan aku? Kau tak ada hak nak panggil aku ‘sayang’!” Aku menggerutu geram, menafikan haknya memanggil aku sedemikian. Agak-agaklah dia hendak panggil aku dengan gelaran ‘sayang’ itu. Aku belum sah menjadi isterinya dan ada kemungkinan aku tidak akan menjadi isterinya. Berbulu telingaku apabila dia memanggil aku ‘sayang’. Entah-entah sudah acapkali dia memanggil perempuan lain dengan panggilan itu. Mungkin aku ini yang kesepuluh. Siapa tahu, kan? Lelaki kaya macam dia… Takkanlah tiada sesiapa yang cuba mendekati? Hairan juga aku apabila dia beria-ia hendak menjadikan aku isteri dia padahal dia boleh mendapatkan mana-mana perempuan di luar sana untuk dijadikan suri hatinya. Aku juga yang dipandangnya.

“Bila aku dah jadi suami kau, aku ada haklah kan untuk panggil kau ‘sayang’. Betul tak?”

“Belum tentu aku nak kahwin dengan kau.” Aku menjawab dingin. 

“Tapi papa dah bagi restu, sayang.”

Sekali lagi panggilan itu meniti di bibirnya. Aku hentakkan telapak kakiku ke lantai. “Dahlah panggil aku macam tu. Geli tahu tak?!”

“Hahaha.” Pecah ketawanya.

“Kau gelakkan aku?” 

“Kau ni comellah.”

Hati aku mahu kembang setaman apabila dipuji namun memikirkan pujian itu datangnya dari mulut Ghaz Lutfi, aku hanya mampu mencebik.

“Apa-apa pun keputusan kau, aku tetap akan menikahi kau. In shaa Allah, bila kau dah jadi isteri aku, aku akan melindungi kau dengan nyawa aku sendiri.”

Aku tidak jadi berkata-kata. Melindungi aku dengan nyawanya sendiri bermaksud dia sanggup menggadaikan nyawanya untuk aku. Kenapa dia perlu berfikir sejauh itu? Berbaloikah dia menggadaikan nyawanya untuk aku? Lainlah kalau aku dan dia saling mencintai. Ini tidak, aku dan dia bakal diikat kerana amanah arwah ayah. Tambahan pula, nyawa dia bukannya tiada harga. Senang-senang saja dia hendak mempertaruhkannya demi aku.

“Ghaz Lutfi…” Aku menyeru namanya. 

“Kau sebut nama aku sekali lagi.” Dia tersenyum tampak senang hati.

“Dah tu kau nak aku panggil kau apa? Dah terang-terangan nama kau Ghaz, kan?” 

“Tapi lagi manis kalau kau panggil aku…”

“Abang?” 

Dia mengangguk.

“Dalam mimpi.” Aku merengus halus disambut tawa kecilnya.

“Kau yakin dengan keputusan kau?” Topik sudah beralih.

Tawa itu mati. Dia pandang aku tanpa berkelip. “Kenapa? Kau tak yakin dengan aku? Atau kau masih fikir aku ni lelaki bahaya?”

Aku menjongket sebelah kening. Sebenarnya, aku juga tidak tahu apa yang aku fikirkan saat ini. Lelaki bahaya atau tidak, dia telah pun muncul di hadapanku.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie