Home Novel Cinta The Story of Us
The Story of Us
Hasz Ninie
26/3/2019 22:04:26
13,319
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

KALI pertama aku menginap di vila mewah ini, aku tidak dapat melelapkan mata. Padahal jarum jam sudah menunjukkan angka 10 malam. Aku kerdipkan mataku berkali-kali. Memang aku tidak berasa mengantuk langsung walaupun tubuhku beralaskan tilam lembut. Katil bersaiz queen pula tu. Aku tukar posisi. Mengiring ke kiri. Mengiring pula ke kanan. Memang tirai mata tidak mahu berlabuh. 

Sudahnya, aku bangkit dari peraduan. Tudung siap dicapai pantas lalu aku sarungkan ke kepala. Nasib baiklah Sara sudi meminjamkan aku baju dan tudung untuk malam ini. Bukan setakat pinjam, dia memang bagi terus kepada aku.

Aku buka pintu bilik dan mengatur langkah keluar dari bilik. Aku melintasi beberapa bilik dan langkah kaki aku terhenti apabila mataku tertancap pada sebuah bilik yang mana pintunya terbuka sedikit. Aku menapak perlahan-lahan dan mengintai di ruang kecil. Tubuh Ghaz Lutfi membelakangkan aku dan tangannya lincah menari-nari di atas kanvas. Mulut aku ternganga kerana kagum akan bakatnya. Pandai dia melukis. 

“Tutup mulut kau tu. Nanti syaitan masuk.” 

Terkejut dengan suara itu, aku menekup mulut. Tahu-tahu saja mulut aku ternganga luas. 

Sekonyong-konyong, Ghaz Lutfi berpaling. Seperti biasa, dia akan melemparkan senyuman manis untukku.

“Buat apa kau tercegat kat situ? Masuklah. Itu pun kalau kau percayakan aku.” 

Aku membuka daun pintu seluas-luasnya. Dah terkantoi aku mengintai dia, memang tidaklah aku hendak melarikan diri. Tetapi aku hanya berdiri di muka pintu saja, tidak melangkah masuk ke dalam ruang bilik itu.

“Aku berdiri kat sini aje,” putusku. Percayakan dia atau tidak, aku tetap kena menjaga batas pergaulan aku dengan dia. Memanglah Luf Harith dan Sara serta pembantu rumah ada di dalam vila ini, bukan kami berdua sahaja tetapi aku harus juga menjaga maruahku sebagai seorang perempuan. 

“Kenapa kau tak tidur lagi?” soalnya, membuka perbualan.

“Belum mengantuk.” Aku menjawab ringkas.

“Tak selesa?” Dia meneka.

“Tak selesa tu satu hal. Tapi aku betul-betul belum rasa mengantuk.” Aku memang tidak menipu. Berkali-kali sudah aku memaksa mata ini untuk lelap, mata aku masih juga mahu celik seluas mungkin. 

“Kau akan biasa dengan semua ni.”

Aku melepaskan keluhan. 

“Aku takkan pernah membiasakan diri dengan semua ni. Semua yang berlaku secara tiba-tiba. Kau muncul dan mengaku aku sebagai bakal isteri kau. Kau fikir aku boleh menerima apa yang kau cakap tu dengan mudah?” 

Ghaz Lutfi masih ralit dengan aktiviti melukisnya itu dan aku pun tidak mahu mengganggu keasyikannya itu. Tangannya menari ke kiri dan ke kanan silih berganti. Aku panjangkan leher. Sebuah lukisan yang membuatkan hati aku sejuk bagaikan aku berada dalam lukisan itu. Lukisannya kelihatan ‘hidup’. Penuh warna-warni dan aku yakin lukisannya diilhamkan oleh sesuatu. Sungguh aku tidak sangka lelaki ini mempunyai tangan berseni. Tidak semua orang dianugerahkan kelebihan seperti ini.

“Arwah ayah kau buat semua ni demi keselamatan kau, Ayesha. Dan aku tak pernah rasa terpaksa untuk ambil kau sebagai isteri aku.”

“Kau jangan terlalu yakin. Macam mana kalau aku layan kau dengan kasar? Tak hormat kau sebagai suami? Kau sanggup hadap perangai aku?” Aku cuba menguji dia. Mahu tahu juga apa jawapan yang akan terlontar keluar dari mulutnya. Dahlah dia tak kenal aku. Apatah lagi sikap aku. Mampukah dia menghadap seorang isteri yang akan menyakitkan hatinya? Lebih-lebih lagi isteri yang tidak pernah mencintainya.

“Aku akan buat kau jatuh cinta kepada aku.” 

Sudah aku duga jawapannya itu. Dia mana pernah kisah akan perasaan aku. Apa yang dia tahu, aku tetap akan menjadi isterinya. Mulut aku tidak boleh mengatakan ‘tidak’.

“Aku tak tahu nak cakap apa.” 

“Hei, kau tetap akan menjadi isteri aku. Kau dah tak perlu cakap apa-apa.” 

Kami berbicara seperti ini. Aku yang berdiri di muka pintu dan dia yang membelakangkan aku. 

“Not by choice,” sangkalku. Aku sendiri tidak meminta dia datang selamatkan aku dan mengaku aku sebagai bakal isterinya. Ya, aku perlu bersyukur dia sanggup mengambil risiko untuk menjadi hero dalam menyelamatkan seorang gadis yang diculik tetapi dia tidak perlu patuh dengan amanah arwah ayahku. Dia lelaki dewasa. Sepatutnya dia boleh berfikir dan membuat keputusan sendiri. Tidak perlu terikat dengan amanah orang lain. 

Apa yang dia dapat dengan memilih seorang gadis yang tidak dikenali sebagai isterinya? Mampukah dia mencipta kebahagiaan dia sendiri?

Ghaz Lutfi menyepi seketika. Dia meletakkan berus ke tempat asal kemudiannya bangkit dan memusingkan tubuh, menghadap aku. 

Dengan suara lunaknya, suara sama yang menggetarkan jiwaku, dia mengucapkan sesuatu bersama senyuman yang sememangnya tidak lekang dari bibirnya.

“Happy birthday, Ayesha.”

Aku terpaku. Mulut terkatup terus. Ucapan itu seakan-akan berdengung di telingaku. Dan pastinya ucapan itu membuatkan aku berasa terkejut dan terharu pada masa yang sama. Jiwa ini terbuai dengan sendirinya.  

Happy birthday, Ayesha.

Seingat aku, itulah kali pertama seseorang mengucapkan ucapan kelahiranku itu setelah kematian arwah ayah. Aku juga sudah tidak teruja dengan ucapan sedemikian, tidak juga mengharapkan ada orang akan mengucapkannya kepadaku sehinggakan aku hampir lupa hari kelahiran aku sendiri. Tetapi Ghaz Lutfi… Dia tahu tarikh lahir aku, mengingatkan aku satu tarikh keramat yang menandakan lahirnya seorang Ayesha Afiyah ke dunia dari perut seorang ibu.

“Kenapa kau diam? Kau penat ya? Apa kata kau pergi masuk bilik dan rehat? Esok aku akan hantar kau ke tempat kerja.”

Soalannya itu memecahkan lamunan panjang aku. “Macam mana kau tahu tarikh lahir aku?”

“Macam yang aku cakap, aku selalu perhatikan kau. Logiknya aku tahu semuanya pasal kau.”

“Terima kasih untuk ucapan tu,” ucapku perlahan. Tidak perlu aku katakan kepadanya bahawa aku berasa terharu di atas ucapan itu kerana dia sudah mampu mengagak melalui air mukaku. Sungguh aku tidak sangka ada orang yang mengingati tarikh lahir aku sedangkan aku sendiri hampir lupa tarikh penting itu. Dan orang itu ialah lelaki yang baru muncul dalam hidup aku.

“Apa dia?” Dia berpura-pura tidak dengar. Sengaja hendak mengusik aku. Macamlah aku tidak tahu yang dia mahu aku mengulang cakap ucapan itu.

“Terima kasih.” 

“Sama-sama, Ayesha. Dah lewat malam ni. Kau pergilah tidur.” Dia menghantar senyuman yang sama kepadaku.

“Selamat malam.” Sedikit demi sedikit, aku merasakan dinding keegoanku semakin runtuh. Semuanya kerana Ghaz Lutfi. 

“Selamat malam,” balasnya dengan perlahan.

Aku hayunkan langkah, berlalu dari situ. Tangan aku melekap di dada. Perasaan apakah ini?


AKU bersiap-siap ala kadar sahaja. Seperti biasa, baju dan tudung aku pinjam daripada Sara. Aku datang ke sini dengan sehelai sepinggan saja. Memang tidaklah aku ada pakaian ganti. 

Berdiri di hadapan cermin besar, aku melihat penampilan sederhanaku. Blaus labuh berwarna ungu yang dipadankan dengan slack putih. Mujurlah baju ini muat denganku. Sara mungkin lebih tinggi daripada aku beberapa inci tetapi saiz tubuhku dengan dia lebih kurang sama saja. 

“Kak Ayesha dah nak pergi kerja ke?” Sara menegur sewaktu aku menuruni anak tangga. Dia juga sudah bersiap untuk menghadiri kuliah. Sekilas, aku melihat dia yang berselendang. Kecantikannya semakin terserlah. Bentuk wajahnya yang bujur memang sesuai dengan selendang itu. Aku pula selesa mengenakan bawal biasa. Tidak perlulah belit-belit. Buat gaya rama-rama saja. Jimat masa.

“Ya, Sara. Kedai buka pukul 9 pagi.”

“Nanti bila Kak Ayesha dah kahwin dengan along, Kak Ayesha masih bekerja ke?” 

Soalannya itu tidak terduga langsung di benakku. Aku juga tidak memikirkan hal itu kerana semua yang berlaku agak drastik. 

“Along tak nak putuskan apa-apa pasal tu. Terserah pada Ayesha untuk teruskan bekerja atau mungkin nak sambung belajar.” Ghaz Lutfi menyampuk dari tangga atas. Aku mendongak dan memandang dia yang sedang membetulkan tali lehernya. Penampilannya sungguh kemas. Bersut hitam seperti semalam. Rambut pula disikat rapi. Rasa macam tidak percaya pula aku bakal berdampingan dengan lelaki seperti ini. Sejak dari dahulu lagi aku mengimpikan seorang suami seperti dia. Kemas dan bergaya. Aku tidak menyangka Allah memakbulkan doaku walaupun pertemuan kami tidak seperti orang lain.

Saat dia melintasiku, haruman cologne yang dipakainya menusuk ke hidungku. Bau maskulin semerbak ke udara. 

“Kak Ayesha ada terfikir nak sambung belajar?” 

Aku gelengkan kepala. Setakat ini aku memang tiada niat untuk menyambung pelajaran. Cukuplah aku menggenggam sijil STPM sahaja. Otak aku sudah tepu untuk belajar semula. 

“Kalau kau teringin nak sambung belajar, aku tak kesah. Aku boleh tanggung segala yuran…”

“Tak. Aku tak terfikir nak sambung belajar. Apa yang aku ada dah cukup untuk aku.” Aku menolak. Bukan aku menolak tuah tetapi aku memang sudah tidak berminat untuk belajar secara formal. Kalau aku belajar pun, aku mungkin takkan faham sampai bila-bila. Ilmu yang aku ingin bekalkan di dada adalah ilmu akhirat yang aku boleh dapati melalui ceramah yang aku hadiri.

“Alamak! Sara dah lambat. Sara pergi dulu!” Tiba-tiba Sara menjerit sambil menepuk dahi. Dia kelihatan menggelabah. 

Aku hanya menggelengkan kepala. Dah tahu lambat, dia masih juga sibuk bertanya macam-macam kepada aku.

Kalut Sara mencapai tanganku lalu disalaminya sebelum tergopoh-gapah berlari ke pintu dalam keadaan tergesa-gesa. Dia langsung lupa akan beg galasnya.

“Sara lupa beg ni!” Ghaz Lutfi melaungkan ke arah adiknya. Sara yang hampir saja memulas tombol pintu tidak jadi berbuat demikian. Dahi ditepuk sekali lagi dan berpatah balik untuk mendapatkan begnya yang terletak di sofa. Gara-gara ingin cepat, langsung dia terlupa akan begnya itu.

“Maafkan Sara, along. Lupa beg ni sebab Sara happy sangat dapat kakak ipar!” Sara beralasan. Beg digalas di bahu.

“Yalah tu.” Ghaz Lutfi tidak percaya. Tidak logik alasan itu.

“Betul!” Sara tersengih-sengih ke arahku. Keningku terangkat. Dah kenapa dengan budak ni? 

“Sara pergi dulu. Assalamualaikum!” Sara melambaikan tangannya sebelum bergerak ke pintu. Salamnya itu aku jawab di dalam hati. 

“Adik kau memang jenis yang periang, eh?” Aku mengajukan pertanyaan kepada Ghaz Lutfi setelah tubuh Sara menghilang di sebalik pintu. 

Pandangan Ghaz Lutfi terarah kepadaku. “Kau rasa?”

Eh, dia ni. Aku tanya dia. Dia tanya aku balik. 

“Aku tanya kau kan…” Aku tayang wajah geram yang sengaja dibuat-buat. Dia tidak ambil pusing sebaliknya menyisipkan senyuman di bibir nipis dan merahnya. Terpandangkan bibirnya yang merah itu, aku yakin dia tidak merokok. Orang yang merokok dan yang tidak merokok boleh dibezakan melalui warna bibir mereka. Dan Ghaz Lutfi tergolong dalam golongan kedua. 

“Dia memang periang orangnya. Walaupun dia cuma adik angkat aku, anak angkat dalam keluarga ni, dia tak pernah rasa janggal.”

“Beruntung kau dapat adik macam dia.”

Ghaz Lutfi mengangguk, tidak menyangkal kata-kataku. Aku, selaku orang asing dalam keluarga ini sudah berasa selesa bersama Sara walaupun baru sehari sahaja aku dan dia meluangkan masa dengan dia apatah lagi orang-orang kesayangannya. Kalau Sara tiada di dalam vila ini, aku yakin vila ini akan menjadi suram tanpa celoteh orang. Sekurang-kurangnya dengan adanya Sara, tidaklah ketara sangat kesuramannya.

Tiba-tiba aku teringatkan Luf Harith yang banyak menghabiskan masanya di bilik. Tidak teringinkah dia menikmati udara segar di luar? Andai benar aku akan menjadi isteri Ghaz Lutfi, aku mahu menjadi seseorang yang boleh mengubati kesepian Luf Harith. Aku boleh menjaga dia. Aku boleh menemaninya. Mungkin ada hikmahnya aku diamanahkan kepada keluarga ini. Allah mahu aku membantu Luf Harith. Kalau dia sendiri sudah menganggap aku sebagai anak sendiri, aku juga harus menganggapnya seperti papaku sendiri. 

“Jomlah kita gerak. Kau nak buka kedai, kan?”

Lamunanku mati. Aku melirik jam di pergelangan tangan. Nasib baiklah jam tangan aku masih berada dalam keadaan elok. Masih berfungsi dengan baik.

“Jomlah.”

Aku dan dia berjalan sebelah-menyebelah ke arah pintu. Dia membukakan pintu dan memberi isyarat kepadaku untuk menapak mendahuluiku. Aku akur.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie