Home Novel Cinta Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
3/2/2022 09:59:01
7,973
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

Jam ditangan dikerling lagi. Orang yang ditunggu belum berkunjung tiba. Sebenarnya dia yang awal. Memang sudah menjadi sikapnya yang tidak gemar orang lain tertunggu-tunggu akan kehadirannya. Bosan berdiri dia duduk ditangga tetapi, memilih sudut yang agak tersorok dari pengunjung yang ramai itu. Jam dipergelangan sekali lagi ditilik. Ada lebihan masa sepuluh minit sebelum waktu yang dijanjikan. Hati kecil merungut sedikit. Dia tidak biasa keluar ke tempat yang sesak begitu sendirian. Tapi, apakan daya Hanis masih belum pulang. Dan, Zamri pula seakan memaksa untuk bertemu dihujung minggu itu. Ikutkan hati lebih baik berjumpa dipejabat sahaja. Tetapi Zamri tetap berdegil. Katanya minggu hadapan dia sudah tiada lagi dipejabat. Barulah Suraya teringat akan perletakan jawatan lelaki itu. Memikirkan lelaki itu bersungguh-sungguh dan serius, benak terfikir mungkin ada sesuatu yang ingin disampaikan. Boleh jadi tools atau equipment syarikat yang belum sempat dipulangkan. Kerana teori yang tak boleh disangkal itu, akhirnya dengan perasaan berat dia bersetuju. Cuma, dia sedikit hairan kerana tempat pertemuan yang dipilih itu adalah SOGO. Kenapa tidak di apartment sahaja. Bolehlah dia turun dan ambil alatan tersebut tanpa perlu keluar ke tengah kota. Belum puas dia memerhati kesibukan para pengunjung yang bolak-balik ke sana sini, telefon pintar di dalam sling bag berbunyi. Dia melihat nama pemanggil yang tertera dan ikon hijau ditekan.

"Anne, apa kata Anne tunggu abang dekat Starbucks. Abang nak cari parking ni." maklum Zamri sebaik telefon itu dibawa ke telinga.

"Okay." sahutnya.

"Abang nak Cappuccino." pesan Zamri sebelum menamatkan panggilan. Dia menyimpan kembali telefon pintar dan menoleh ke belakang. Starbucks berada disitu. Mengikuti arahan Zamri dia memesan Cappuccino. Dan Americano untuk dirinya. Kemudian mencari sebuah meja yang tidak terlalu tersorok kedudukannya. Tidak lama menunggu sebelum Zamri muncul dengan senyuman yang tidak putus dari bibir. Dia tersenyum pendek menyambut kedatangan lelaki itu. Tetapi, lirikannya dikutik rasa hairan kerana tiada sebarang beg atau barangan lain bersamanya. Lelaki itu datang berlenggang kangkung.

'Oh, boleh jadi dalam kereta.'

"Nak makan?"

"Tak. Tak lapar. Terima kasih." tolak Suraya sopan meskipun sedar lelaki itu ikhlas mempelawa. Zamri mencapai minumannya sedangkan dia masih ternanti-nanti akan tujuan pertemuan itu.

“Parents Anne sihat?” soal Zamri. Dia sedikit terperanjat menerima pertanyaan tersebut. Perkara yang langsung tiada kaitan dengan hal ehwal kerja atau syarikat. Namun dia tetap bersikap tenang. Mungkin lelaki itu baru berkesempatan untuk bertanya padahal sudah hampir dua bulan setengah mereka berkerja bersama-sama.

“Sihat. Kenapa?” ujarnya membalas pandangan Zamri. Wajahnya tidak ditonjolkan sebarang reaksi terkejut. Pura-pura santai. Sekejap sahaja, matanya dialihkan pula memerhati kenderaan yang sedang beratur dijalanan. Perasaannya menjadi tidak selesa bertemu dengan lelaki itu disitu atas dasar bukan kerana urusan kerja. Walaupun sudah acapkali mereka melaksanakan tugasan bersama-sama tetapi, bertemu janji di hari minggu sebegitu mulalah mengundang rasa kurang enak disudut hatinya. Lebih-lebih lagi mengenangkan status sebenar lelaki itu.

“Tak ada apa pun. Saja tanya. Anne ada boyfriend tak?” soal Zamri membuatkan dia sekali tersentak. Pandangan yang sejak tadi berlabuh ke arah satu pasangan warga emas yang sedang berjalan berpegangan tangan dialihkan tepat ke arah lelaki segak dihadapannya.

'Cool, Yaya…cool.'

Hati kecil memberi amaran. Dia harus ingatkan dirinya bahawa lelaki dihadapannya itu tetap mempunyai pengaruh dipejabat meskipun kelibatnya tiada lagi pada minggu hadapan. Dan sudah tentu dia tidak mahu terpalit dengan sebarang masalah kerana dirinya masih berada di dalam tempoh percubaan. Walaupun lelaki itu sudah

tiada nanti, tetapi, pendapat lelaki itu pasti penting buat Mr. Lee yang akan menandatangani dokumen akhir pengesahan jawatannya. Bimbang pula jikalau tersilap kata memakan diri pula.

“Tak ada.” jawabnya ringkas. Namun, masih sempat mengukir sejuring senyuman. Sinis. Hal peribadi bukanlah sesuatu yang akan sewenang-wenangnya dikongsi. Tampak jelas dimata lelaki dihadapannya itu kini sedang tersenyum lebar.

“Baguslah. Keluarga Anne boleh terima ke kalau Anne kahwin awal?” soal Zamri tidak sabar.

Hai.. Makin menjadi-jadi pulak soalannya. Duduk Suraya dirasakan semakin tidak selesa. Mahu sahaja dia mengangkat kaki dari situ. Tetapi hati kecil terus memujuk sabar. Tiba-tiba terdetik difikirannya amaran demi amaran daripada Hadi dan Aidil sebelum ini.

“Diorang tak kisah awal atau lambat. Asalkan Anne gembira dengan pilihan Anne.”

Dia menjawab lambat-lambat. Bibirnya menguntum senyuman yang kelat.

“Sebenarnya abang berkenan dengan Anne. Abang tak tahu macam mana nak cakap. Tapi, percayalah. Abang takkan sia-siakan Anne. Lagipun isteri abang dah setuju benarkan abang kahwin lagi.” sahut Zamri dengan rasa teruja. Suraya membulatkan biji mata.

Tanpa sedar, entah bila, dia sudah berada dibahagian luar gedung membeli-belah tersebut. Apa yang diingatinya sebentar tadi, selepas lelaki itu dengan selamba mengajaknya berkahwin terus sahaja dia mengangkat kaki. Satu habuk kata atau pesanan tidak dititip. Hati berdongkol geram. Memang tak salah dirinya berprasangka sebentar tadi. Tapi hati kecil masih berlembut mahu mengalah. Apa yang dirinya mahu ketika itu adalah berada jauh dari tempat itu juga lelaki itu sendiri. Dia terdengar namanya dilaungkan. Rupa-rupanya Zamri sedang mencarinya. Hampir berlari anak dia menjauhi langkah yang laju itu sambil berpura-pura tidak mendengar namanya diseru. Teriakan Zamri masih kedengaran. Stesen LRT semakin dekat jaraknya. Dia mempercepatkan langkah.

“Hei!!” tempiknya. Nampaknya Zamri tidak berputus asa. Berjaya menyambar lengannya dari belakang manakala Suraya pula menarik kembali. Namun makin kuat pula tindak balas lelaki itu. Keadaan itu hanya mengingatkan dirinya akan peristiwa bersama Dr. Adrian kelmarin. Panas hati apabila situasi yang hampir sama berulang. Cuma, kali ini dia telah bersedia. Pisang tak mungkin berbuah dua kali! Berang dengan kedegilan Zamri pantas sahaja dia memulas lengannya yang dipegang itu. Mungkin kerana tidak menjangkakan serangan itu Zamri terus terpusing ke belakang. Ditendang sekuat hati belakang lutut lelaki itu hingga lelaki itu jatuh melutut sambil mengerang kesakitan.

'Huh! Puas hati aku.'

Dia berpaling untuk melangkah pergi. Tetapi kembali menghadap Zamri yang masih berlutut.

"Maaf, Abang Zam. Saya tak berniat nak pukul abang. Tapi keadaan memaksa. Terus terang saya cakap saya takde sebarang perasaan pun pada Abang Zam." ujarnya seolah sedang berdiplomasi padahal dia sepatutnya mengecam dan mengherdik tindakan lelaki itu.

Appear weak when you are strong, and strong when you are weak.

Kata-kata salah seorang jeneral terhebat Cina itu memainkan pengaruh besar ke atas dirinya ketika itu. Dia ingin beredar sebelum sejenak dia berpaling lagi.

"Lagi satu thanks ragging saya sejak dari awal saya masuk kerja. Saya anggap ia sebagai work out or hidden skill drills."

Dengan itu dia berlalu dengan perasaan gementar dan hati remuk redam tercalar. Tidak dihiraukan lagi seandainya insiden itu menjadi tumpuan ramai. Hati yang sedia bengkak makin bongkol. Perasaan yang sedia luka makin terhiris. Menggeletar seluruh tubuh ketika dia pergi dengan derap yang kasar dan lebar itu. Persetankan period kontrak itu! Maruahnya lebih bernilai dari segala-galanya. Dan..

'Apa dah jadi dengan dua orang staf TSL ni? Dan kenapa aku jugak yang harus menjadi mangsa? Arghhh!!'

Satu tin minuman bergas di atas meja kopi itu ditenung lama. Meski mendengar lantunan ketawa besar secara beramai-ramai yang datang dari arah peti televisyen, The Nanny tidak lagi menarik perhatian. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. Dia memarahi diri sendiri yang asyik mengulang tayang peristiwa siang tadi. Duduknya disofa itu tidak tetap. Ada sahaja yang tidak kena. Akhirnya dia bersandar malas sambil kepala terteleng memandang skrin televisyen dengan pandangan yang kosong.

"Sudah-sudahlah tu. Benda dah jadi.. Kau pun tak sangka Zamri tu akan cakap macam tu, kan?"

Teguran yang datang dari Hanis membuatkan dia membetulkan kedudukannya. Hanis duduk disampingnya. Suraya menghela panjang. Harum semerbak wangian syampu rambut digunakan oleh temannya itu menusuk ke lubang hidung. Dia menjeling sekilas. Patutlah. Hanis baru sahaja selesai mandi. Rambutnya masih basah. Kerap kali dia mengingatkan kawan baiknya itu supaya tidak mengamalkan mandi pada waktu malam. Namun, nasihatnya itu seperti mencurah air ke daun keladi.

“Itulah. Tak sangka pulak dia ada niat lain dekat aku. Selama ni aku ingat kebaikan tu semata-mata sebab aku ni staf baru.” katanya setelah agak lama mendiamkan diri. Sakit dihati kembali bernanah setiap kali nama lelaki itu disebut. Ada udang disebalik batu rupanya pada setiap perhatian yang diberikan lelaki itu kepadanya.

“Tulah... Kena waspada juga kalau bekerja dengan orang lelaki ni. Kalau dia bujang aku tak kisah. Tapi ni, laki orang.” ujar Hanis. Dia memuncungkan bibir. Mati akal untuk menjawab. Semua salahnya. Kalaulah dia mendengar amaran yang diberikan oleh Hadi dan Aidil dahulu tentu perkara itu boleh dielakkan dari berlaku. Dijeling bilik Kak Rin yang bertutup rapat. Wanita itu telah terbang ke US beberapa hari yang lalu ketika Hanis masih di Pantai Timur. Suraya pasti wanita itu tentu akan turut berasa marah apabila mengetahui akan perkara itu. Namun, dia tidak betah untuk memanjangkan hal itu lagi. Cukuplah hanya Hanis saja yang ada untuknya berkongsi rasa. Dan dia mengucap panjang rasa kesyukuran apabila tiba dirumah siang tadi. Hanis telah kembali dan tidaklah dia sendirian menghadapinya.

“Zamri tu mesti tunggu masa yang sesuai untuk bagitahu kau, kan?” getus Hanis. Dia mengangkat kening memandang kawan baiknya itu.

"Ha'ah. Pandai kau teka. Last week minggu last dia bekerja dengan syarikat." maklumnya sedikit lemah. Jengkel pula apabila melihat Hanis memberi reaksi yang berlebihan. Mulutnya ternganga dan mata yang sedia bulat itu dibulatkan.

"Sudahlah."

Sikunya setelah reaksi itu bertahan kira-kira satu minit.

"Dah…dah. Tak payah nak marah ke apa. Bukan kau yang kena reject." ujar Hanis lembut melihatkan Suraya yang masih bermurung.

"Aku tak marah. Tapi bengang. Kenapa orang lelaki ni ada perangai yang pelik-pelik, ye?" Soalnya dalam nada yang geram. Hanis ketawa kecil. Dia menjeling tajam.

'Apa yang kelakar?'

"Kau tak pernah berkawan rapat dengan lelaki, sebab tu mudah je kau cakap macam tu. Sebenarnya sikap diorang takde lah pelik pun. Cuma diorang ni kadang-kadang ada sikap tak sabar. Alah, sama je macam kita. Tak perlu main blame game." tutur Hanis sabar melayani bad mood kawan baiknya ketika itu. Dia membisu. Memutar kata Hanis mengingatkan kepada momen bersama Dr. Adrian.

'Jadi alasan lelaki itu adalah kerana tidak sabar? Tidak sabar untuk apa? Dia merenung dalam. Apa yang Dr. Adrian mahu sebenarnya? Dia suka something yang ada pada aku? Apa yang aku ada?'

Dia membelek dirinya sendiri. Tiada apa yang menarik. Biasa-biasa sahaja. Kalau mahu dibandingkan dengan Hanis, gadis itu jauh lebih jelita.

'Apa, ya?'

Hanis menggelengkan kepala melihat telatahnya. Dia menepuk peha gadis itu berkali-kali sebelum mendengar bunyi deringan yang bertalu-talu datang dari biliknya.

"Dah.. Tak perlu fikir apa-apa lagi. Aku masuk bilik dulu." ujar Hanis buru-buru menghilang. Lamunannya bertempiaran. Remote televisyen di capai. Dia menekan butang OFF. Dengan perasaan malas, tin minuman itu disambar lalu dia beredar ke bilik. Dia mencapai telefon di atas katil. Nombor telefon kediaman orang tuanya ditekan. Suara Puan Norlin kedengaran ceria di hujung talian. Suraya memejamkan mata sambil bibirnya mengukir sebuah senyuman. Ubat penenang yang sentiasa mujarab!

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.